AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 11 March 2017

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 37



Apalah punya teruk kelupaannya. Belum pun tua, sudah terlupa. Kena makan kismis banyak-banyak atau dia terminum air yang banyak semutnya.  Diri sendiri lupa, pandai-pandai nak salahkan semut.  Rose mengeluh sendiri.  Macam mana dia boleh lupa? selalu selepas mengira jumlah pendapatan restoran hari ini, dia akan meletak beg duitnya di atas meja juruwang.  Nasib baik  kunci restoran ada juga di tangannya.  Mungkin semua pekerja termasuk majikannya sudah pun pulang ke rumah masing-masing.  Seram juga ke sana seorang diri, hari sudah semakin jauh malam.  Dengan bertemankan  lampu jalan dan lampu beberapa buah kedai yang masih terpasang, Rose memberanikan diri kembali ke Restoran Selera Melayu.  Beg tangannya yang tertinggal perlu diambil segera.  Esok sebelum ke restoran dia perlu ke pasar membeli beberapa barang kering.  Duit yang diberi oleh majikannya ada dalam begnya. 
            Rose memakir kereta tidak jauh dari restoran.  Di hadapan restoran terdapat beberapa buah kereta lagi.  Salah satunya kereta Maznah, tidak balik lagikah majikannya itu.  Tadi rasanya, Maznah sudah pun keluar dari restoran sebelum pintu di tutup.  Pangannya melilau mencari kelibat Maznah, tidak pula kelihatan.  Dia melangkah ke bahagian belakang restoran. Pintu belakang terbuka.  Semakin berkerut dahi Rose.  Dia menuju ke pintu yang terbuka sedikit.  Terdengar suara orang bercakap.  Siapa?  Alamak!  Kenapalah cari nahas.  Kalau majikannya tidak mengapa, bagaimana jika pencuri atau perompak?  Nak  masuk ke tidak?  Bahaya kalau dia masuk seorang diri.  Nak telefon siapa?  Aduhai…  telefon pula tinggal dalam kereta. 
            Suara orang bercakap semakin deras di telingannya.  Suara orang lelaki dan suara Maznah.  Siapa lelaki itu? Bunyi macam orang berkelahi sahaja.  Rose melangkah makin dekat dengan pintu. Jelas kedengaran butir bicara dua individu.
            “Saya mana ada duit sebanyak tu?  Awak ingat besar sangat ke keuntungan yang saya dapat?  Awak tak malu memeras ugut saya?” Maznah menggeleng laju.  Kesal bercampur marah menghentak jantung hatinya.  Boleh mati cepat kalau dibiarkan dirinya dijadikan tempat meminta oleh bekas suaminya yang tidak bertanggungjawab itu. 
            “Awak bagi saja restoran ini kat saya, lepas tu saya takkan ganggu awak lagi!”  Azlan memandang wajah Maznah dengan geram.  Minta seribu dua pun ada sahaja alasan. Itu kira keuntungannya melabur di restoran itu dahulu.  Sekarang sudah tiba masanya dia meminta hasilnya pula.
            “Berapa sangat yang awak melabur sampai awak rasa restoran ni milik awak?” tanya Maznah geram. Air mukanya tampak kelat.Dia berhak mempertahankan maruah dan haknya jika dicabar.  Pelaburan bekas suaminya bukan banyak sangat pun, hanya beberapa ribu ringgit.  Dia rela membayarnya semula.  Tidak perlu memeras ugutunya seperti besar sangat pelaburan yang telah diberi. Minta bantu di restoran pun bekas suaminya selalu menolak.  Bila restoran ini sudah maju dan terkenal mulalah nak meminta dan menagih, kononnya ada hak di sini.
            “Tak kiralah! Ada juga duit saya dalam tu!’  Azlan tidak mahu kalah.  Kehidupan serba mewah yang diajar kepada isteri baharunya telah memakan diri.   Dia yang hanya bekerja sebagai pegawai biasa di jabatan kerajaan manalah mampu nak hidup bermewah.  Tetapi mengikut hati dan nafsu, duit gaji beribu ringgit pun tidak pernah cukup.  Malah terpaksa berhutang pula dengan orang lain.  Itu sebab dia meminta duit dengan bekas isterinya itu bagi menampung kehidupan rumah tangga baharunya.  Isteri baharunya tidak pandai buat sebarang kerja untuk menambah pendapatan. Hanya duduk rumah menjaga anak.  Disuruh bekerja pun malas.  Akhirnya dia sendiri yang pening.
            “Ini, saya pulangkan kembali duit pelaburan awak sebanyak dua ribu, jangan nak ganggu saya lagi!”  marah Maznah geram.  Api kemarahan sudah pun menyala.    
            “Saya tak nak! Saya nak keuntungan restoran ini diberi kepada saya seperti yang saya minta sebelum ni 10k setiap bulan.  Bulan ni mana ada awak bagi?  Awak sengaja nak permainkan saya?”  Azlan menjegilkan mata, menikam anak mata  Maznah. Mana boleh macam itu?  Kalau dia menerima duit pelaburannya kembali, dia hanya akan dapat dua ribu itu saja.  Kalau dia tidak ambil, bererti dia masih boleh mengutip hasil seperti yang dikenaki.  Dia tidak akan melepaskan lubuk emas itu dari hidupnya. 
            “Kalau awak berdegil, kita selesaikan masalah ini di mahkamah! Awak pun dah saman saya, kan?  Kita tengok apa mahkamah nak jawab.  Awak jangan nak main-mainkan saya dengan ugutan awak tu! Awak ingat saya takut?”   herdik Maznah, sudah hilang sabar. Hari semakin jauh malam, esok pagi banyak tugas menanti.  Lelaki yang tidak diundang ini tiba-tiba masuk sewaktu dia nak menutup pintu belakang restoran. 
            “Kalau awak berani, buatlah! Awak ingat saya hairan?”  Azlan mencebik. Dia pasti kemenangan berpihak kepadanya.
            “Baik, sekarang saya minta awak, keluar dari kedai saya!  Keluarlah!” jerkah Maznah hilang kesabarannya.  Benci  mengalir laju dalam jiwanya.  Benci teramat terhadap lelaki yang pernah menjadi teman hidupnya itu.   Menyusahkan sahaja.  Mereka bukan ada apa-apa hubungan.  Dasar muka tidak malu.
            “Saya akan tuntut hak saya!”  kata Azlan tegas.
            “Tuntutlah! Ada saya kisah?  Lelaki dayus! Awak hanya tahu merampas hak orang lain! Dayus namanya!’  kata Maznah berani.  Dia sudah bersedia.  Beg tangannya dipegang kejap.  Kalau Azlan bertindak gila, dia lebih daripada itu.  Dia tidak mahu lagi kelihatan lemah di mata lelaki itu.
            “Awak jangan nak cabar saya?  Kang saya lempang!”  Azlan sudah mengangkat tangan.
            “Hoi! Sudahkah dayus pengecut pula!  Berani naik tangan dengan perempuan.  Carilah lawan sendiri, jangan hanya berani di hadapan orang perempuan saja,”  sampuk Rose.       Dia menampakkan diri dan hanya menjadi pendengar sahaja tadi.  Dia bertikam pandangan dengan Azlan. Benci pula dia dengan lelaki yang tidak ada maruah dan harga diri ini. Memeras titik peluh orang lain, samalah ertinya dengan pencuri dan perompak, mengambil dengan paksa, nak panggil apa lagi.
            “Rose?”  Maznah menapak mendekati Rose.  Hilang rasa takutnya.  Kalaulah Azlan bertindak kasar tadi, hanya dirinya berseorang di dalam restoran itu. Dari mana pula munculnya pekerjanya itu.
            “Kau jangan masuk campur ya hitam?”  herdik Azlan.
            “Apa hitam, hitam?  Saya terpaksa masuk campur kerana Cik Maznah adalah majikan saya.  Takkan saya nak biarkan majikan saya kena pukul? Mana boleh tahan!”  Rose mencebik.  Di tangannya sudah siap siaga batang penyapu. Kalau lelaki itu lebih-lebih, dia tidak akan mendiamkan diri. Dia akan lawan.
            “Pekerja dengan majikan sama saja! Kurang ajar!’ Azlan menendang kerusi yang ada.
            “Siapa yang dulu kurang ajar?  Bukan awak ke?” balas Maznah.
            “Ikut suka akulah!” Azlan masih bertegas.
            “Ikut suka kami juga!”  Rose menggenggam penumbuk.  Ingat dia tidak boleh berlawankah? Dia ada tali pinggang hitam dalam taek kwan do.  Siapa berani? Sila rapat! Kekuda tegap di tempatnya.  Jika lelaki itu berani menyentuh dia dan Maznah, dia juga ridak akan teragak-agak.
            “Encik jangan berani-berani datang lagi ke mari! Saya akan buat laporan polis jika encik berani lagi ganggu majikan saya.  Kita jumpa di mahkamah nanti.  Saya akan pastikan encik tak dapat satu sen pun,”  kata  Rose berani. 
            “Ikut suka akulah!” Azlan mencebik.
            “Kalau saya minta pihak polis tangkap encik nanti, jangan kata pula saya tak bagi amaran!” bentak  Rose.
            Azlan mengetap bibir.  Gadis hitam itu cukup berani.  Tidak ada rasa takut di matanya.  Kalau dia melawan, rasanya teruk juga dia kena. 
            “Ini hari kau orang  berdua. Tunggulah!”    pesan Azlan sebelum menolak pintu belakang dengan kasar, berdentum bunyinya.
            “Uhuhu… takutnya!” usik Rose, dia menyengih.
            Maznah tersenyum, gadis itu cukup berani.
            Azlan berlalu dengan hati yang sebal dan penuh kemarahan. 
            “Terima kasihlah Rose, kalau awak tak datang tadi, entah apa yang berlaku pada saya,” luah Maznah.  Dia duduk di kerusi.  Melepaskan rasa sakit di hati.  Dia perlu bertenang seketika.  Maznah menarik nafas lega, nasib baik Rose muncul tiba-tiba, kenapa gadis itu muncul, tak perlulah tanya sekarang ini, esok sahajalah dia bertanya.  Lagi lama bersembang, lagi lambat mereka pulang.  Badan sudah cukup letih, esok kena bekerja lagi.
            “Sama-sama kak… saya nak ambil beg duit saya yang tertinggal sebenarnya,” jelas Rose dan  menuju ke meja kerjanya.  Beg masih di atas kaunter pembayaran.    Dia menarik nafas lega.  Wajah Maznah yang termenung jauh ditenung seketika.  Simpati menyinggah menjadi tetamu di hati.  Dia mendekati.
            “Akak tak boleh diamkan diri, semakin galak dan berani bekas suami akak itu bertindak.  Jangan sampai akak tinggal sehelai sepinggang,” pesan Rose.
            “Nanti kita fikirkan nak buat apa. Jom baliklah, dah lewat sangat ni,” ajak Maznah.  Dia segera keluar bersama Rose dan mengunci pintu. 
            “Pandu hati-hati kak,” pesan Rose.  Bimbang juga jika Azlan mengekori  salah seorang daripada mereka.
            “Rose juga, berhati-hati ya.”  Saling pesan memesan sesama mereka. Masing-masing memandu kereta keluar dari kawasan rumah kedai itu.
            Rose memandang sayu kereta majikannya yang menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran. Ingatkan dia adalah manusia yang malang dan asyik diuji, rupanya ada orang lebih buruk nasibnya berbanding dirinya.  Dia harus belajar bersyukur dengan apa yang dia ada.  Jangan sesekali menyesal dengan apa yang berlaku.

No comments:

Post a Comment