AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Tuesday, 14 March 2017

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 38



Pagi-pagi lagi Zaiton sudah menjengah ke dalam bilik Rose.  Hampir tengah malam dia menunggu kepulangan sahabatnya.  Telefon pula tidak berjawab.  Sebagai seorang sahabat dan rakan serumah, perasaan bimbang tetap ada.  Apatah lagi mereka sudah lama bersama.  Dia menarik nafas lega melihat sekujur tubuh sedang enak dibuai mimpi.  Zaiton mendekati.  Kain selimut yang sudah lari dari tubuh cik puan yang lena tidurnya dibetulkan. 
            Dia keluar dan menyediakan sarapan. Pasti Rose kerja lebih masa semalam.  Rajin sungguh sahabatnya itu. Ringan tulang membantu, tidak pernah pertikai soal upah.  Kenapalah pihak pengurusan Milinium tidak memandang kerajinan dan kecekapan sahabatnya itu. Kalau tengok keadaan fizikalnya tiada siapa yang mahu seorang setiausaha seperti itu.  Zaiton mengeluh.  Dia menyediakan roti tuna menggunakan tuna dalam tin.  Seteko air milo.  Dia juga bersarapan sebelum ke tempat kerja. 
            “Oi! Rajin pagi ni?” sapa Rose.  Dia tersedar daripada tidur apabila tubuhnya diselimut kembali. Dia yang menendang selimut  agar tubuhnya berasa sejuk sedikit terkena angin kipas yang terpasang.
            “Bangun pun, ingatkan nak tidur sampai tengahari.”  Zaiton menuang air milo ke dalam cawan. Dihulurkan kepada Rose. Matanya masih melekat pada wajah keletihan itu.
            “Kenapa lewat?” tanya Zaiton.
            “Bila? Semalam? Beg aku tertinggal di kedai, aku terpaksa patah semula.  Sampai di kedai, rupanya bekas suami Kak Maznah sedang menyerangnya.  Apa lagi terpaksalah aku tunggu sehingga selesai masalah mereka,” cerita Rose.
            “Dasyat betullah perangai bekas suami Kak Maznah tu ya?  Kalau semua lelaki macam tu, boleh kurus kering kaum perempuan,” ulas Zaiton.
            “Nak buat macam mana, nasiblah,”  keluh Rose. Kejap lagi dia terpaksa keluar awal, dia nak ke pasar borong membeli beberapa keperluan restoran.
            “Kau dengan  Kak Maznah kena hati-hati, bimbang pula aku dengan sikap bekas suami majikan kau tu.  Macam orang gila pun ada,”  luah Zaiton.  Kalau sudah berani datang ke restoran ketika orang tiada, itu sudah agak merbahaya.  Macam mana kalau lelaki itu bertindak lebih jauh.  Tidakkah merbahaya. 
            “Insya-ALLAH, aku ingat nak ajak Kak Maznah buat laporan polis.  Kalau ada apa-apa yang berlaku, sekurang-kurangnya pihak polis sudah tahu,” cadang Rose.
            “Bagus juga tu,”  jawab Zaiton menyetujui cadangan Rose.  Dalam soal ini, keselamatan diri lebih penting.
            Usai sarapan Zaiton ke tempat kerja.  Rose menuju ke destinasinya.  Dia membeli barang-barang yang tersenarai.  Setelah selesai semuanya, dia menuju ke restoran pula.  Banyak kerja menanti.  Penyata kewangan bulan ini kenalah disiapkan segera.  Hampir cukup bulan.  Nasib baik waktu belajar dahulu, dia akan belajar asas akaun, jadi… mudahlah dia membuat kerja-kerja perakaunan.  Maznah juga sudah mempercayainya.  Alhamdulillah, dia tidak boleh mengambil kesempatan di atas kebaikan majikannya itu. 
            Rose memakir keretanya di belakang restoran.  Dia mengeluarkan semua barang yang dibeli.  Pelanggan tidak berapa ramai, kerana masih awal pagi.  Biasanya pukul 10.00 pagi restoran itu akan dipenuhi para pelanggan.    Sekali lagi waktu makan tengahari, waktu paling sibuk buat semua para petugas Restoran Selera Melayu.
            “Dapat semua barang, Rose?” tanya Maznah yang baharu sahaja siap memasak.  Dia berehat seketika melepaskan kelelahan memasak makanan mengikut menu yang memang disediakan di restorannya.  Bukan tiada tukang masak, tetapi dia lebih suka restoran itu menyediakan masakan air tangannya sendiri.  Terasa puas di hati, titik peluhnya berbaloi dengan pendapatan yang diterima. Tidak hanya tahu jadi majikan sahaja tetapi apa pun tidak tahu buat.
            “Dapat kak,” jawab Rose, semua barang dibawa masuk ke dapur dan ada yang disimpan ke dalam stor yang terletak di bawah tangga.  Satu rak khas telah dibina di dalam stor itu bagi menyimpan barang-barang restoran.  Beberapa orang pekerja turut membantu. 
            Maznah duduk di kaunter juruwang sambil meneguk teh o ais kegemarannya. Dia mengamit Rose mendekatinya.  Gadis itu kelihatan letih sedikit.   Maznah tersenyum.
            “Esok akak nak ke mahkamah.  Rose datang awal sikit ya,” perintah  Maznah.  Esok ada perbicaraan kes tuntutan harta sepencarian oleh bekas suaminya terhadap dirinya.  Dia sudah bersedia semuanya. Kalau diminta membayar semula duit modal yang diberi, dia sudah bersedia. Tetapi menyerahkan sebahagian restoran itu, dia tidak akan benarkan perkara itu berlaku.
            “Boleh saja kak, tak ada masalah.”  Rose tersenyum. 
            “Terima kasih Rose,” ucap Maznah dengan mata berkaca.
            “Pasal tuntutan restoran ini ya kak? Akak kena kuat ya.  Jangalah sedih sangat.  Saya pasti, akak boleh lalui dugaan ini.  ALLAH lebih Maha Mengetahui kak.  Jangan putus asa.  Jangan takut dengan bekas suami akak tu.  Dia berani gertak saja.  Dia takkan berani buat  apa-apa. Negara ini ada undang-undangkan.  Kalau dia berlebih sangat, kita buat saja aduan polis.   Sebut pasal aduan.  Saya ingat nak ajak akak buat laporan polis pasal hal semalam.  Saya takut dia akan bertindak lebih berani lagi,” kata Rose panjang lebar. 
            “Ya Rose.  Akak pun takkan biar dia ambil restoran akak ni.  Akak yang bertungkus lumus membangunkannya sehinga jadi seperti hari ini.  Dia hanya tahu datang makan percuma dan minta duit. Hati siapa yang tidak sakit?”  cerita Zaiton.  Air matanya berleretan dari lubuk kesedihan.
            “Saya sokong kak!  Walaupun kita perempuan, tetapi sebenarnya kita dilahirkan kuat kak.  Cuba akak renung dalam-dalam.  Orang lelaki tak tahan sakit kak, tapi kita tahan sakit, sakit beranak.  Orang lelaki tak mampu buat beberapa kerja dalam satu masa, tetapi kita mampu, dalam satu masa kita boleh memasak, basuh baju dan jaga anak.  Cuba akak suruh  orang lelaki atau suami yang buat, saya pasti tak ada yang mampu.  Air mata yang mengalir bukan sebab kita lemah tetapi penguat semangat untuk kita terus berjaya dan tidak kenal putus asa,”  jelas Rose panjang lebar.  Macam pakar motivasi pula.  Dia sendiri tidak berkahwin, pandai-pandai menasihati orang lain.  Tidak cermin diri agaknya.  Hey, di rumah  sewanya ada dua cermin tahu, satu cermin almari dan satu lagi cermin panjang yang sengaja diletakkan di dinding bilik.  Sebelum nak nasihatkan orang, kenalahlah pandang kiri kanan dahulu, muhasabah diri kata orang.  Apa dia peduli, asalkan niatnya baik.
            “Terima kasih Rose, kerana berada di sisi akak.  Tak sia-sia akan ambil kau bekerja.” 
            “Ala kak, jangan puji saya sangat. Malulah pula.” Rose menyengih. 
            “Nak malu apanya? Betul apa akak cakap.  Kalau akak ada anak, akak ambil kau buat menantu,”  kata Maznah sambil bibirnya melakar senyuman manis buat pekerjanya yang baik hati itu.
            “Puji-pujian hanya bagi ALLAH SWT kak.  Kepada manusia, cukuplah dengan ucapan terima kasih.  Kalau lebih-lebih dipuji nanti lupa diri.  Saya tak nak jadi orang lupa diri, tak ingat jalan pulang, haru nanti,” gurau Rose.
            “Macam-macamlah Rose ni!”  Maznah ketawa.  Sekali-sekala gadis itu melawak, buat dia tersenyum lama.
            “Saya pergi bantu staf yang lain kemas meja.  Akak rehatlah kat sini.” Rose berlalu ke ruang hadapan restoran. Dia menyusun dan membersihkan lauk-pauk yang terhidang. Yang sudah kurang isinya di letak tepi dan diisi ke dalam bekas yang lebih kecil.  Pelanggan semakin ramai.  Kesibukan sudah bermula.   Kak Maznah tidak menang tangan menulis harga makanan yang dijamah oleh para pelanggan.  Sekeping kertas akan diletakkan di bawa pinggan pelanggan. 
            Rose juga melakukan perkara yang sama.  Pelanggan restoran itu hanya perlu membawa kepingan kertas kecil itu ke kaunter bayaran.  Semakin hari, dia semakin pandai melakukan kerja-kerja rencam di restoran itu.  Banyak perkara  telah majikannya ajar.  Banyak ilmu tentang pengurusan restoran telah diterima.  Maznah tidak pernah lokek ilmu.  Dia benar-benar lega kerana diberi peluang bekerja di situ.  Biarpun gajinya tidak sepadan dengan tenaga yang mengalir keluar, namun dia puas.  Terasa diri dihargai dan dihormati. Tidak pernah mereka mengelar dirinya dengan pelbagai gelaran yang menyakitkan hatinya.  
            Hampir pukul 3.00 petang baharulah para pelanggan dan pengunjung restoran itu berkurangan.  Dapatlah para petugas, berhenti untuk solat dan makan tengahari.  Majikannya tidak menghadkan para pekerjanya makan.  Ambillah apa sahaja menu yang terhidang.  Jangan ambil banyak takut tidak habis.  Kalau berasa mampu habiskan, ambillah.  Itu rezeki para petugas, tidak salah kongsi bersama.  Jangan culas dan curi tulang sahaja.  Itu menjadi pantang larang buat majikannya.   Selagi rajin, tidak curi tulang, terima kerja yang diberi tanpa melawan, semuanya akan berjalan lancar dan baik-baik sahaja.

No comments:

Post a Comment