AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 17 March 2017

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 40

Belum pernah dia keluar berdua-duaan dengan Haikal sejak mereka tidak lagi berkawan setelah masing-masing meningkat dewasa.  Rasa janggallah pula.  Nanti apa pula pandangan orang yang melihat mereka berdua.  Tentu ada yang berasa pelik.  Tidak malukah Haikal?  Berbagai persoalan bermain dibenaknya. Terlanjur sudah bersetuju untuk keluar menonton wayang bersama pemuda itu tidak dapat ditolak.  Nanti dikatakan jual mahal pula.  Zaiton pula ada hari keluarga tempatnya bekerja.  Terpaksalah Rose berdua-duaan dengan sahabatnya itu.

    Tempat yang menjadi pilihan, sudah tentulah Midvalley.  Kawasan perniagaan dan pusat membeli-belah yang paling sibuk di Kuala Lumpur.  Terletak di tengah-tengah antara Kuala Lumpur dan Petaling.  Hujung minggu kawasan itu pasti dipenuhi barisan manusia yang ingin merehatkan diri, sambil keluar bersama rakan-rakan dan kenalan.  Di situ ada segalanya.  Bagaikan syurga membeli belah sahaja. Produk berjenama banyak terdapat di situ.  Tidak kira, kaya atau miskin Midvalley menjadi pilihan, selain SOGO di Kuala Lumpur. 

    Rose memandu sendiri.  Bukan Haikal tidak mengajaknya naik kereta pemuda itu, tetapi dia menolak. Kalau terjadi apa-apa, boleh sahaja dia berlari balik.  Belum pernah dia  keluar dengan teman lelaki.  Erk…  Haikal bukan teman lelaki, tetapi sahabat baiknya.  Jangan pula ada yang tersalah teka.  Mengamuk Ain nanti. Sebut pasal  musuh tradisinya itu, sudah lama tidak kelihatan kelibat gadis itu.  Apakah mereka tidak lagi bersama?  Tidak pula Haikal bercerita tentang tunangnya itu, jika mereka berjumpa.  Dia pula tidak mahu bertanya, nanti dikatakan kaki penyibuk pula. 

    Setelah memarkirkan keretanya di tempat letak kereta Midvalley yang banyak tetapi penuh itu, Rose melangkah keluar menuju ke pusat membeli belah  Metrojaya.  Mereka sudah berjanji untuk bertemu di kawasan itu.  Kalau ikutkan dia, biar tunggu di kedai buku MPH sahaja.  Penat menunggu boleh juga dia masuk mengintai-intai buku yang ada.  Nak tunggu di hadapan panggung wayang, malu pula.  Mahu tidak mahu terpaksalah dia menunggu di tempat yang telah dijanjikan.

    Berdiri di hadapan Metrojaya bagaikan patung bernyawa, menayangkan diri sendiri.  Para pengunjung yang lalu di hadapannya pasti memandangnya dan tersenyum.  Pelik sangatkah? Tidak pernah tengok orang hitamkah?  Bukan dia sahaja yang hitam di dunia ini, ramai lagi di luar sana.  Sengaja nak menyakitkan hatinya. Pandangan yang penuh menjijikkan atau juga menegur dan melakarkan senyuman, dibalas dengan senyuman juga.

    “Dah lama tunggu?” sapa Haikal yang   baharu sahaja tiba setelah setengah jam berlalu.

    “Setengah jam, lenguh jugalah kaki ni,”  ujar Rose.

    Haikal menyengih.  Dia terlambat kerana berpusing beberapa kali di zon tempat meletak kenderaan di pusat membeli belah itu.  Hujung minggu jangan haraplah nak dapat tempat parkir yang mudah.  Kenalah tunggu seketika, kalau-kalau ada pengunjung yang keluar.

    “Jom, kita nak makan dulu ke, menonton dulu?” tanya Haikal.

    “Kita tmenonton dulu, lepas tu makan.  Beli makanan ringan saja dululah,” cadang Rose.

    Haikal mengangguk.  Mereka berjalan menuju ke pangung wayang GSC Midvalley.  Fast And Furious 7 menjadi pilihan.  Kenak orang lelaki, ikutkan sahajalah.  Boleh tahan jugalah ceritanya.  Layan.  Menonton dan menghayati jalan cerita.  Menarik dan buat hati tertarik.  Kepada peminat  cerita ini yang pernah mengikut jalan ceritanya dari siri 1 sehinggalah sekarang, pasti teruja menontonnya.  Dia? Biasa-biasa sahaja. 

    Usai menonton mereka menjamu selera di salah satu restoran yang ada.  Selalunya KFC menjadi pilihan.  Bukan dia pandai makan, makanan lain.  Dia bukan manusia yang boros.  Makan ikut kenak selera.  Makan ketika lapar adalah. Bedal sahaja apa yang ada di hadapan mata.  Maggi pun jadi.  Roset tersenyum sendiri. Sejak bekerja di restoran, tidaklah dia makan maggi lagi.

    “Terima kasih kerana sudi teman saya keluar.” Haikal tersenyum.

    “Terima kasih kembali kerana sudi ajak saya keluar,” ucap Rose.

    Mereka berbual mesra, tentang zaman kanak-kanak dan zaman persekolahan mereka.  Ada yang indah, ada juga yang menyakitkan hati.  Semuanya dilalui mengikut berjalannya waktu dan masa.  Menikmati makanan sambil berbual dengan sahabat yang amat disayangi membuatkan hatinya berbunga riang.  Kadangkala rasa diri ini kerdil berada dan berdiri di sisi Haikal.  Lelaki itu tampan bergaya, sedangkan dia seperti arang di hujung dapur, berguna tetapi tidak boleh dibawa ke tengah rumah.  Hanya menjadi penunggu di celahan dapur.  Setiap butir bicara Haikal terus masuk ke cuping telinga. Menampakkan betapa dia menghayati saat-saat bersama. 

***

    Dari kejauhan tanpa disedari sepasang mata memandang dengan hati terbakar.  Bukan main lagi pasangan itu bergurau senda.  Yang lelaki langsung tak tahu malu bergurau senda dengan gadis hitam legam yang tidak sedar diri. Yang perempuan pula tidak mahu, tergedik-gedik dengan tunang orang.   Ini tidak boleh jadi! Ingat dia tunggul?  Boleh dibuat sesuka hati.  Orang ramai?  Peduli apa dia.  Ini sudah melibatkan maruahnya juga, Manalah tahu terserempak dengan rakan sekerjanya atau kawan satu universiti atau kawan sekolah.  Malu besar dia. 

    Ain melangkah laju mendekati pasangan yang sedang enak menikmati makanan ringan di restoran KFC.   Hari ini dia akan buat perhitungan dengan lelaki itu. Kalau padi katakan padi, tidak dia tertampi-tampi. Mana boleh jadi macam ini.  Bagaikan menunggu buah yang tidak gugur sahaja.  Leteran emaknya satu hal. Pertanyaan orang kampung usah ceritalah.  Semua sengaja menguji kesabarannya.  Apa yang akan dia lakukan?

    Ain mendekati.  Air yang masih penuh dalam bekas  dituangkan ke atas kepala Rose.  Dia tersenyum puas.

    Rose terkejut dan bingkas bangun.  Senyuman yang terlakar di wajah Ain dipandang seketika.  Terkejut dengan tindakan dan perbuatan Ain yang tidak disangka.  Dari mana datangnya perempuan jadian ini? 

    “Awak ni kenapa?” tengking Haikal.  Terkejut pun juga dengan tindakan  tunangnya itu. 

Pelanggan yang memenuhi ruang di restoran itu terus memandang siaran langsung yang memalukan itu. 

    “Kenapa?  Awak tu kenapa?  Jangan nak tanya soalan bodoh kat saya ya!” marah Ain. Mahu sahaja dia menumbuk muka Haikal.  Biar rasa sakit, sebagaimana sakit hatinya ketika itu.

    “Kau ni kenapa?” marah Rose.  Habis basah baju dan tudungnya.  Main kasar nampak? Detik hati kecilnya. Mata yang memandang tidak dihiraukan.  Itu sifat semula jadi manusia terangsang ingin melihat sesuatu yang luar biasa dari kebiasaan.  Lebih-lebih lagi melihat orang bergaduh, bagaikan wayang percuma sahaja.

    “Kau tanya aku kenapa? Yang kau menggatal dengan tunang aku kenapa?  Awak pula layan perempuan hitam legam ini? Tak tahu malu langsung!” herdik Ain bagaikan orang gila.  Berapi-api perkataan keluar dari mulutnya yang berbisa.  Mana boleh tahan.  Ada tunang, macam tidak ada. Ingat dia tunggul kayu yang tidak bernyawa, tiada perasaan?  Hey… jangan main-main dengan Ainlah.

    “Tak ingin aku menggatal dengan tunang kau ni! Dia yang ajak aku, aku ikutlah!”  Rose sudah mula mencekak pinggang.  Bukan berguna bergaduh dengan perempuan putus wayar ini. Silap haribulan ada yang mati kena bunuh.

    “Bukan kau tak boleh tolak?  Kalau sudah namanya perempuan miang keladi! Inilah rupanya, tak padan dengan hitam macam bontot kuali ada hati nak berkawan dengan lelaki kacak!” sindir Ain kejam.

    “Hitam-hitam aku tak menyusahkan sesiapalah!” jawab Rose. Dia menolak Ain sehingga jatuh terduduk di lantai.

    “Hoi! Sudahlah! Buat malu saja. Orang perhati tu!” marah Haikal.  Kalau kedua perempuan ini berjumpa, pasti bergaduh. 

    “Malu?  Awak ingat saya tak malu?  Awak buat saya macam perempuan tak guna saja! Saya awak ketepikan, perempuan hitam ni pula awak bawa ke hulu ke hilir!” bentak Ain dengan mata membutang tajam menikam mata Haikal yang berdiri di sebelah Ain.  Dia masih dilantai, punggungnya terasa sakit akibat hentakan kuat ketika jatuh tadi.  Haikal buat tidak nampak sahaja. Langsung tidak membantu.

    Berhenti!

    Ain mengetap bibir, dia tidak akan lakukan seperti yang dibayangkan tadi. Itu merendah martabat kaum wanita.  Menyerang perempuan lain hanya kerana seorang lelaki?  Oh, tidak akan!   Dia memerhatikan sahaja Rose dan Haikal berbual mesra.  Menahan rasa sakit di dada. Pedih, lukanya dalam, disimbah pula dengan air garam, semakin sakit rasanya.  Mahu sahaja dia meraung di situ juga.  Tidak mungkin Haikal sanggup keluar berdua dengan gadis hitam itu?  Tidak mungkin! Jeritnya dalam hati. Terasa bagaikan darah mengalir keluar dari matanya.  Terasa pedih dan perit jiwanya.  Kau tunggulah si hitam, detik hati kecilnya dan berlalu pergi dengan hati yang penuh sebal.

No comments:

Post a Comment