AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 18 March 2017

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 41



 Seharian bekerja bagaikan tidak terasa. Hatinya berbunga riang.   Hubungannya dengan Haikal bertambah baik. Persahabatan mereka bersambung kembali.  Semuanya berlaku tanpa dirancang.  Kalau boleh dia ingin menari dan menyanyi gembira.  Meluahkan apa yang dirasa.  Dia sedar siapa dirinya, bukan gadis pilihan jejaka.  Tidak, dia bukan ingin merampas Haikal daripada Ain.  Dia hanya inginkan seorang kawan yang mahu meminjamkan  bahu untuknya.  Mendengar suka dan dukanya.  Tiada permintaan tambahan, sudi mendengar luahan hatinya sahaja sudah mencukupi.
            “Akak tengok kau asyik tersenyum sendiri saja? Ada apa-apa ke?” usik Maznah. Hairan dengan gegalat pembantunya itu.  Riang tidak salah, tetapi kalau sudah senyum seorang diri, tentu ada yang tidak kena. Jangan sampai orang kata gila sudahlah.
            “Ketara sangat ke kak?”  soal Rose dengan wajah bersalah.
            “Kalau tak ketara, akak tak tegur,” kata Maznah separuh berbisik.
            Rose tertunduk malu, asyik sangat melayan perasaan sendiri, sampai senyum seorang diri pun tidak perasan.
            “Terlebih gembira kak,”  luah Rose.
            “Baguslah, tapi jangan keterlaluan, takut menangis pula,” pesan Maznah dan berlalu ke dapur. 
            Rose tersenyum.
            “Hoi! Apa ni?” jerit seorang pelanggan.
            Rose menoleh.  Apa pula ini? Bisiknya dalam hati.  Dia mendekati pelanggan lelaki yang makan seorang diri di satu sudut di restoran itu.
            “Ada apa encik?” tanya Rose dengan wajah cuak.
            “Ini,” tunjuk lelaki itu. 
            Seekor lipas di dalam mee goreng pesanan lelaki itu.  Terbeliak mata Rose melihatnya. 
            “Tak mungkin encik, restoran kami ini bersih. Cuba encik tengok, ada tanda gred A yang kami perolehi daripada pihak  Perbandaran. Takkan encik tak nampak,” jelas Rose.
            “Itu saya tak tahu, kalau saya adukan kepada pihak berkuasa, awak kena denda ni, silap haribulan boleh tutup restoran ni,” kata lelaki itu kasar.
            Rose mengeluh. Nasib baik di waktu itu pelanggan tidak ada, hanya lelaki itu sahaja yang  menjamu selera.
            “Panggil majikan awak! saya tak boleh diamkan hal ni, saya dah makan sikit, kalau jatuh sakit siapa nak tanggung?” bising lelaki itu.
            “Kenapa ni Rose?” tanya Maznah kehairanan.  Dari dalam dapur suara lelaki itu boleh didengari.
            “Ada lipas dalam mee goreng Kak Maz,”  terang Rose.
            Maznah terkejut.  Tidak mungkin! Dia sendiri yang memasak tadi.  Tidak mungkin dia tidak berhati-hati.  Lagipun restoranya dijaga kebersihannya terutama di dapur dan kawasan penyediaan makanan.
            “Kalau tak nak saya buat aduan, bayar ganti rugi!”  ugut lelaki itu.
            “Ganti rugi?”  Maznah mengetap bibir.  Ini pasti mAinn kotor lelaki itu.
            “Kalau macam tu, encik nak buat laporan polis pun saya tak mahu nak larang.  Kalau buat aduan di perbandaran, habis kuat saya akan disuruh tutup restoran beberapa hari dan bayar denda beberapa ratus, selepas semua masalah selesai, restoran boleh dibuka semula.  Rasanya tak banyak yang perlu saya bayar,” sambung Maznah.  Tahulah dia lelaki itu ingin memeras ugut dirinya.  Mungkin lipas itu diletak sendiri oleh lelaki tersebut. 
            “Erk…” lelaki itu mengelabah.
            Rose mencekak pinggang.  Wajah lelaki itu dipandang lama.  Main kotor rupanya.
            “Awak jangan nak tuduh saya sengaja nak ugut awak! kalau restoran dah kotor nak salahkan orang pula!” marah lelaki itu.
            “Saya takkan bayar!” Maznah bertegas.
            “Kalau macam tu, saya akan buat laporan sekarang juga,” ugut lelaki itu sekali lagi.
            “Buatlah!”  Maznah tidak berganjak daripada keputusannya.
            Lelaki itu mendail nombor siapa? Entahlah.  Bercakap pun jauh daripada mereka.  Macamm berahsia sahaja.  Rose dan Maznah saling memandang. 
            “Kalau awak tak nak bayar, awak akan tanggung akibatnya!” kata lelaki itu kasar.
            “Apa kecoh-kecoh ni?”  tegur seseorang.
            Rose dan Maznah menoleh.
            Azlan, bekas suami Maznah  sudah berdiri di belakang mereka.
            “Ini bukan urusan kau.” Maznah menjeling tajam.
            “Ini restoran aku juga!’ kata Azlan kasar.
            “Perasan! Kita tunggu keputusan mahkamah!” Maznah mencebik.  Dia sudah mengemukakan bukti tentang restorannya kepada pihak mahkamah bagi menjawab tuntutan bekas suaminya bagi mendapatkan hak harta sepencarian.
            “Kalau restoran awak, awak sajalah yang bayar ganti rugi yang diminta oleh lelaki ni.  Oh ya… lelaki ni juga adalah tuan punya restoran.  Awak boleh minta kat dia.” Maznah menyengih.
            Rose tersenyum.
            “Erk… kenapa pula minta kat saya?”  Azlan kehairanan.
            “Kan awak tuan punya restoran, kenapa tak boleh minta kat awak?”  Maznah mengangkat bahu.
            “Siapa nak bayar ni?” tengking lelaki tadi.
            “Dia!” jawab Maznah dan Azlan serentak.
            Siapa nak bayar?  Rose menggeleng laju.  Apa yang sedang berlaku sebenarnya?  Siapa lelaki ini?  Kenapa beria-ia meminta bayaran, Azlan pula datang menyibuk.  Memang tepat pada waktunya.
            “Kau nak orang majlis datang saman restoran ni?  Kau nak restoran ni ada masalah?”  Azlan mengetap bibir.
            “Bukan salah saya, entah-entah lelaki ini letak sendiri lipas dalam mee goreng tu, siapa tahu?”  Maznah menjeling ke arah lelaki yang sudah mengelabah itu.
            “Jangan nak main tuduh pula, memang saya jumpa lipas dalam mee goreng ni,”  kata lelaki itu masih mempertahankan apa yang dikatakannya tadi.
            “Okey, kita selesaikan hal ini di balai polis!” sampuk Rose. Kalau tiada kata putus, tidak guna bergaduh. Buang masa sahaja.
            Semua terdiam dan memandang  Rose tidak berkelip.
            Kata pemutus kalau susah sangat nak buat keputusan.
            “Macam mana?”  Rose mengangkat kening.  Dia menyengih.  Susah sangat. Jangan nak main ugut-ugut, ingat Malaysia tiada undang-undang.  Kalau nak sangat cari duit cara mudah, jom selesaikan di balas polis. Cepat dapat jawapan.
            “Erk…” lelaki itu memandang Azlan. Mati kata-kata.
            Azlan mengeluh.  Kantoi!  Tidak menjadi rancangannya.
            Maznah menyengih dan mencekak pinggang.  Tahulah dia kerja siapa.  Jangan harap mudah-mudah nak mendapat duit daripadanya. 
            “Azlan! Saya takkan benarkan awak merasa walau satu sen pun duit titik peluh saya!”   Maznah mengetap bibir. 
            Azlan menjeling tajam dan berlalu keluar bersama lelaki tadi.  Geram dan marah bercampur baur menjadi satu.  Panas dadanya. 
            “Orang upahan Azlan rupanya,”  ulas Rose.  Dia menggeleng kesal.  Orang macam ini pun ada. 
            “Kalau tak sabar, mahu akak jadi pembunuh, Rose!”  kata Maznah geram.
            Itu lagi berat, kata Rose dalam hati.  Dia memandang sahaja kedua lelaki itu berlalu pergi, seperti sedang bergaduh pun ada.  Manusia, manusia…

No comments:

Post a Comment