AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 31 March 2017

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 42 - ASMAH HASHIM.



Ain memerhatikan sahaja tingkahlaku Rose dari kejauhan.  Sukar benar dia nak berbaik dengan gadis hitam itu.  Bertambah-tambah kebencian menebal di hati.  Kalau ikut hati marahnya, mahu sahaja dihunus pedang panjang, biar tercabut keluar semua urat dan nadi gadis itu. Biar hilang ditelan tanah.  Tidak bernyawa lagi.  Tidak bernafas lagi.  Kalau bernyawa dan bernafas pun hanya membuatkan hati orang tidak selesa, buat apa?  Kejadian hujung minggu hari itu masih bermain di benaknya. Masih terbayang kegembiraan di wajah yang dibencinya itu.
            Ain melangkah keluar dari keretanya dan mendekati Rose yang sedang mengemas kawasan restoran.  Dia menolak Rose sehingga hampir terjatuh.  Tangan diangkat mula nak menampar gadis itu. Belum sempat Ain buat apa-apa, satu tangan sasa sudah menghalang tujuan tidak baiknya itu. 
            “Amboi! Amboi! Berani ya?”  kata lelaki itu. Dahinya berkerut, renungannya tajam.  Tangannya tegap.
            “Lepaslah!”  marah Ain.  Terhalang maksudnya nak mengerjakan Rose yang sudah berdiri di hadapannya.  Mereka saling memandang antara satu sama lain.
            “Kau nak buat apa ni? Nak sepak teman wanita aku?”  marah lelaki itu. 
            “Teman wanita?!”  jawab Rose dan Ain serentak. 
            Rose memandang lelaki itu tidak berkelip. Kejap, kejap…  dia tidak bermimpi, pagi tadi dia bangun seperti biasa. Datang ke tempat kerja seperti biasa.  Buat kerja pun seperti biasa.  Bila pula dia jadi teman wanita kepada lelaki ini?  Siapa pula lelaki ini?  Kacak, mampu menawan mana-mana wanita yang melihatnya.  Dia jadi teman wanita lelaki ini?  Lelaki ini pasti silap tengok.  Tidak tengok dirinyakah?  Pelik, pelik… leter Rose dalam hati. Masih tidak hilang rasa terkejutnya.
            Ain mengerut dahi.  Biar betul?  Punyalah kacak jadi teman lelaki gadis hitam legam ini?  Ini mesti kena bayar, kalau tidak, tak mungkin lelaki sekacak ini memilih gadis seperti Rose. Tidak mungkin! Jerit Ain dalam hati. Boleh mati terkejut. 
            “Awak kenapa? Macam tengok hantu aje?”  lelaki itu menarik Rose dekat dengannya. 
            Terkebil-kebil Rose mengikut.  Aduhai… mimpi apakah ini? Kata hati kecil Rose.
            “Hey, jantan. Awak  tengok sikit muka dia ni?  Gadis hitam legam macam ni awak  jadikan teman wanita?  Awak buta warna ke?”  sindir Ain geram.
            “Kenapa? Apa masalah awak?  ikut suka sayalah,” marah lelaki itu. 
            “Saya tak percaya! Berapa dia bayar kat awak untuk jadi teman lelaki dia?” tempelak Ain geram.
            “Bayar?  Uhuhuh… ingat saya spesis gigolo ke apa?” tengking lelaki itu.
            “Manalah tau!zaman sekarang orang nak duit, sanggup buat apa saja.”  Ain mencebik.
            “Jaga sikit mulut tu, kang berterabur gigi tu saya kerjakan!”  ugut lelaki itu.
            Rose tidak berkutik berdiri memerhatikan lelaki yang tidak dikenali dan Ain saling bertikam lidah.  Nasib baik lidah, kalau parang, pasti  ada yang menemui ajal. Macam kena gam sahaja seluruh tubuhnya. Sebenarnya akibat terkejut, kejung terus.
            “Cubalah, kalau berani!”  Ain mencabar.
            “Eee… perempuan tak sedar diri!”  Lelaki itu nak menyerang Ain.
            Rose menarik tangan lelaki itu.  Bukan sebab nak menghalang tetapi takut berlaku pembunuhan di dalam restoran itu. 
            “Kalau nak bergaduh, pergilah tempat lain,”  kata Rose macam orang bingung.
            “Awak!” kata lelaki itu manja-manja.
            Hah!  Rose mengerut dahi. Biar betul? Pening lalat sekejap.
            “Eee… nak muntah aku!”  Ain buat muka meloya.
            “Nak muntah sangat, pergi main jauh-jauh. Ini pesanan saya, jangan awak ganggu bakal tunang saya ni! Kalau awak berani apa-apakan dia, awak terpaksa berhadapan dengan saya!”  ugut lelaki itu berani.
            “Ada aku hairan!”  lawan Ain.  Sedikit dia tidak rasa hairan. 
            “Awak jangan cabar saya! Saya bukan dayus suka pukul perempuan!”  Lelaki itu mencebik pula.
            Beberapa orang pekerja sudah mengelilingi ketiga-tiga mereka.  Nasib baik Maznah tiada, kalau tidak bertambah kecoh jadinya.  Rose mengurut dada. 
            “Ain, pergilah balik! Jangan ganggu saya lagi,” pinta Rose.
            “Kau jangan ganggu tunang aku! Faham!” amaran Ain keras.  Jari telunjuk tepat berada  berhampiran mata Rose.
            “Hoi!”  Lelaki itu sudah menggenggam penumbuk.
            “Ini hari kau…!” Ain berlalu dengan hati yang berbukit-bukit marah.  Tidak dapat melepaskan rasa marahnya terhadap gadis hitam itu.  Ada pula yang datang membantu, siap mengaku teman lelaki dan bakal tunang! Uhuhu… tak sesuai langsung!
*** 
            Rose memandang lelaki itu atas bawah, bawah ke atas.    Datang dari mana lelaki ini? Pandai-pandai mengaku teman lelaki dan bakal tunangnya.   Kalau ikutkan hatinya  mahu sahaja dia mengamuk sama.  Memang sudah menyusahkan dirinya.  Ikut suka hati sahaja buat pengakuan.  Ingat dia alat permAinn?  Kalaulah Ain berita Mak Limah CNN itu, mahu  malu besar dirinya.
            “Awak ni siapa? Awak nak malukan saya ya? Awak tahu perempuan tu siapa?  Jiran merangkap rakan sekolah saya! Perbuatan awak bukan membantu saya, malah menjahanamkan saya, faham!” marah Rose.  Kenapalah dia menjadi manusia mudah marah sejak dibuang kerja. Kenapalah ramai sangat yang datang mengganggunya sejak akhir-akhir ini. Kenapa mereka tidak membiarkan dia hidup aman damai seperti orang lain.  Kenapa dia?  Ain tidak sudah-sudah datang menyerangnya.  Ini muncul pula seorang lagi makhluk yang entah datang dari mana? 
            “Erk… saya niat nak tolong awak aje,”  kata lelaki itu terkebil-kebil dimarahi Rose.
            “Tolong? Itu bukan tolong, tapi menyusahkan!”  Hampir air matanya mengalir keluar.  Dia mula mundar-mandir.  Sedang berfikir bagaimana nak menapis berita besar yang bakal tersebar.
            “Awak risau sangat tu kenapa?  Cuba bawa saya air untuk menghilangkan dahaga yang sedang memuncak di tekak saya ni,” kata lelaki itu selamba dan terus duduk di kerusi.
            “Air! Air ludah nak?” marah Rose. Masalah yang baharu saja timbul masih belum selesai, ditambah adegan baharu pula.
            “Oit! Garangnya, ucap terima kasih tidak, tahu-tahu nak marah pula.  Saya dah selamatkan awak dari kena lempang tau.  Ucapkanlah terima kasih dulu.”
            “Banyak awak punya terima kasih. Awak sedar tak, awak baharu saja membunuh saya dalam senyap!”  tengking Rose.
            “Hah?”  Lelaki itu terkejut.  Biar betul, dia sekadar membantu, tidaklah terfikir sampai  nak membunuh.  Salah terjah agaknya. 
            “Pelayan!” panggil lelaki itu melambai kepada salah seorang pekerja yang berdiri tidak jauh dari situ, masih memerhatikan kedua-dua manusia yang bertengkar tanpa sebab itu.
            “Ya encik?” tanya pelayan lelaki itu lembut dan penuh hormat. 
            “Jus oren satu, air kosong satu,” pesannya.   
            Pelayan lelaki itu mengangguk dan berlalu pergi.
            Rose masih lagi kebingungan. Apa yang harus dia lakukan. Malu keluarganya nanti jika berita itu tersebar.  Kalau kedua orang tuanya bertanya, bagaimana? Takkan nak beritahu, baharu sahaja putus hubungan. Nampak sangat dia menipu. Lelaki yang duduk di hadapannya rasa nak ditelan hidup-hidup. Bikin hidupnya susah sahaja.
            “Awak! peninglah kepala saya.  Kalau besar sangat pun masalah awak tu, bukan tak boleh diselesaikan.  Bawalah bertenang.  Nanti kita fikirkan bagaimana nak selesaikan masalah awak tu, ya?” pujuk lelaki itu.
            Rose memandang wajah lelaki itu tidak berkelip. Sedapnya bercakap.  Entah datang dari planet mana terus terjah mengaku teman lelakilah, bakal tunanglah.  Lepas tu suruh bertenang?  Banyak kacak dia punya muka! Erk... memang kacak pun.  Perasanlah, kalau puji berhadapan.    Rose mendengus kasar.
            Air yang dipesan sudah pun sampai.  
            Lelaki itu mengamit Rose duduk.
            “Cubalah bawa bertenang.  Awak mengelabah sampai tercabut ekor pun tak boleh buat apa-apa. Sudah terlajak kata.”
            “Senanglah awak cakap! Saya yang menjadi  mangsa tau!” 
            Rose mengetap bibir.  Kena mula buat skrip untuk menangkis segala tohmahan yang bakal diterimanya nanti.  Kena teliti setiap butir bicaranya jika bercakap dengan kedua orang tuanya. Memang menyusahkan.  Rose mengeluh berat.  Seberat kepalanya ketika itu.  Wajah lelaki yang duduk di hadapannya di pandang sambil menggeleng penuh kekesalan.

No comments:

Post a Comment