AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 15 March 2017

HITAM-HTAM SI TAMPUK MANGGIS - 39 ASMAH HASHIM



Matanya bengkak kerana terlalu banyak menangis.  Sudah dua hari dia ambil cuti kecemasan dan pulang ke kampung. Ke mana  lagi dia nak pergi?  Dia bukan ada ramai kawan untuk diajak berbual atau dipinjam bahu untuk mencurahkan apa yang berbuku di jiwa.  Hanya emaknya, teman setia.  Biarpun pedih telinga mendengar kata-kata nista dan kasar emaknya, namun… jauh di sudut hatinya, wanita itu tetap menjadi kesayangannya.
            Rasa kasih dan cinta adakala membunuh jiwanya.  Rasa rindu yang mencengkam hati, bagaikan rasukan mampu membunuh diri. Kenapa Haikal kejam sangat kepadanya? Sudah lama tidak bersua muka, suara yang ada bagaikan bisu untuk berbicara.  Sudah lupakah nombor telefonnya?  Tidak ingatkah nombor whatsappnya?  Tidak kenal lagikah FBnya?  Semuanya sepi tanpa khabar berita. Hilang ghaib tanpa dikesan.  Membunuh rasa damai di hati.  Tiada satu pun panggilan yang diterima daripada kekasih hati dan tunangnya itu.  Sepi tanpa berita.  Tidak tahu harus bagaimana?  Nak bertanya dengan bakal mertua, terasa malu menebal dalam hati.  Nanti banyak pula soalan yang keluar dari mulut Cikgu Hajah Mona itu. Tidak  sanggup dia berhadap dan bersua muka dengan bakal emak mertuanya itu.  Kejadian bulan lepas sudah cukup membuatkan hatinya pilu.    Haikal langsung tidak memujuk biarpun dia menyatakan ingin memutuskan tali pertungan mereka.  Kejam sungguh Haikal. Kenapa tiba-tiba hati tunangannya itu menjadi sekeras keluli.
            Dua bulan lagi majlis perkahwinannya bakal berlangsung.  Apa nak jadi? Kalau pengantin lelaki bagaikan menculik diri sendiri.  Menghilang tanpa sebarang berita terkini. Di tempat kerja pun sudah ditanya, hanya  bahu rakan-rakan setugas bakal suaminya itu yang berbicara.  Boleh sakit mata melihatnya.  Masing-masing seperti sepakat tidak mahu membantu.    Kalau dia bertindak lebih-lebih, nanti semakin panjang rajuk tunangnya itu,  Berdiam diri juga tidak menyelesaikan masalahnya.  Malah semakin rumit dirasakannya. 
            Pandangan dilepaskan di laman rumah, menyaksikan cantiknya bunga-bungaan tanamann emaknya.  Baharu hari ini terasa indahnya, ketika hatinya sedang dihenyak rasa pilu yang meruntun jiwa.    Air mukanya tampak kelat bagaikan sudah hilang seri dan manisnya. Kalau rupa secantik bidadari namun disulam rasa duka, tidak juga nampak cantiknya.  Dia duduk termenung dianjung rumah sambil memandang sawah padi yang berliuk-lentok ditiup angin.  Emaknya sudah keluar entah ke mana.  Malas nak bertanya sedangkan hatinya asyik diulit resah yang tidak kunjung padam.  Apa yang nak dilakukan masih tepu difikiran. 
            Mandi tidak basah, tidur tidak lena, makan tidak kenyang, sudah sakit angau jadinya.  Lelaki itulah yang pertama hadir dalam hidupnya selama ini Tiada dua, tiada tiga.  Jauh disudut hati berharap jodoh mereka masih berpanjangan dan kekal selamanya.  Kalau dia mengalah, tentu Haikal akan naik tocang, membuli dirinya sesuka hati. Jika dia diam, inilah jadinya, tiada langsung budi bicara atau ada niat nak memujuk hatinya yang lara, rajuk itukan tanda sayang selain cemburu.  Kalau rajuk tidak dipujuk, maka berpanjanganlah perang dingin antara mereka.
            “Menung ajelah yang kau tahu, Ain…” tegur Mak Limah yang baharu sahaja pulang dari bank.  Dia sendiri pening memikirkan sikap bakal menantunya itu. 
            “Mak!” Ain bingkas bangun dan duduk di samping emaknya di kaki tangga. 
            “Pergilah cari dia,”  suruh Mak Limah.
            “Tak naklah! Nampak sangat Ain yang terhegeh-hegeh!”  Masih berkeras.  Tidak mahu dirinya diperkecilkan. Dia juga ada maruah dan harga diri. Kalau Haikal ingin main kasar, dia akan ikut jejak langkah tunangnya itu.
            “Kalau dua-dua berkeras, bila nak selesai?”
            “Biarlah!  Sampai kami sama-sama letih dan penat,” jelas Ain tidak mahu berganjak.
            “Kalau macam tu, baik putus saja.  Kepala mak pun tak sakit.  Cari saja orang lain yang mampu pujuk kau!” kata Mak Limah, ada rentak risau di hujung nafas.
            “Apa mak cakap ni?”  Ain kesayuan. 
            “Habis tu?  Majlisnya dua bulan lagi, persediaan apa pun belum buat lagi.  Nak tunggu sampai bila?” Entah mengapa tiba-tiba hatinya diamuk rasa gementar. 
            “Nantilah Ain fikirkan.”  Ain mengusap pemandang sawah padi dengan mata sayu.  Kebimbangannya semakin meruncing. Bagaimana jika Haikal memutuskan pertunangan mereka?  Semakin difikirkan, semakin sarat rasa sebal di hatinya.
            “Fikir apa lagi?  Kalau masih enam bulan, bolehkan fikir.  Ini tinggal 2 bulan.  Mana cukup waktu nak buat semuanya!” marah Mak Limah. 
            “Sabarlah mak, tahulah Ain nak buat apa.”
            “Tahulah, tahulah! Sampai bila?” tengking Mak Limah geram.
            Ain mencebik. Dia juga tidak tahu harus berbuat apa?  Haikal sengaja mencari masalah dengannya. Bukan lelaki itu tidak tahu dia memang anti dengan Rose. Dengan perempuan hitam legam itu juga dia kalah. Dia tidak akan membiarkan perkara itu berlaku. 
            “Nanti biar Ain fikirkan dulu.” Luah Ain dengan mata berkaca.   Buat apa dia menangis untuk lelaki yang tidak tahu menghargai dirinya. Hanya tahu menyakiti hatinya. Hati perempuannya diracun tanpa sedar oleh lelaki yang mengaku menyayanginya. 
            “Ikut suka kaulah! Kalau jadi apa-apa jangan salahkan mak pula?” 
            “Ain tahulah mak.”
            “Itu saja yang kau tahu, tahu, tahu, tahu!” marah Mak Limah.  Geram pula dengan sikap lepas laku anaknya itu. Orang tua yang pecah kepala, mereka senang sahaja buat keputusan.  Macam tiada perasaan.  Ingat nikah kahwin perkara main-main?  Maruah dan harga diri boleh tercemar lantaran sikap ambil mudah mereka berdua.  Hantukkan kepala keduanya, baharu nak faham agaknya.
            “Mak jangan nak marah Ain pula! Haikal yang buat hallah!”  Ain mencebik.  Kalau ada masalah emaknya hanya tahu melepaskan kemarahan terhadap dirinya sahaja.  Cuba pergi serang Haikal itu.  Ini tidak, membebel sahaja di rumah, rungut Ain dalam hati.
            “Habis tu? Ain nak mak marahkan siapa?”  Mak Limah mendengus kasar.  Susah betul nak jaga anak seorang. Biar ramai sekurang-kurangnya kalau ada masalah tahu sebabnya, ini seorang pun susah. 
            “Marahkanlah bakal menantu mak yang sengal, sombong dan ego tu!” suruh Ain.
            “Itu anak orang, belum lagi jadi menantu, baru bakal!  Kau nak mak kena sembur macam hari tu, sebab jajakan cerita tentang kau dipukulnya?”  bebel Mak Limah.
            “Memang dia pukul pun, tak betul ke?”  Ain menjeling. 
            “Lempang sekali saja pun!”  Mak Limah menggaru kepala di sebalik tudungnya.  Bikin hati panas sahaja dengan sikap anak-anak hari ini.
            “Sekalipun,  sakit tau mak!”
            “Lain kali, jangan ikut hati nak marah atau arah orang lelaki ni, mereka bukan suka ditunjuk ajar, tak faham ke? Rajin-rajinlah baca majalah, cari info tentang lelaki. Ini tahu  tengok whatsapp, Fb!” leter Mak Limah.  Budak-budak sekarang buku dan majalah pun malas  nak baca.  Mana nak datang ilmunya dan tahu serba serbi.
            “Pergi cari Haikal, selesaikan masalah ini cepat!”  suruh Mak Limah.  Tidak mungkinlah dia yang mencari bakal menantunya itu. Mana nak dituju.  Takkan Ain tidak tahu mana bakal tunangnya bekerja dan rumah sewanya.  Kalau begini jadinya, alamat tak berkahwinlah anaknya tahun ini.          
            “Tak naklah!” Ain menolak.  Tidak mahu menjatuhkan maruah sendiri.
            “Jangan keras hati, kalau terlepas ke tangan orang lain, diri sendiri yang gigit jati.”
            “Diakan lelaki, biarlah dia yang pujuk!”
            “Tak ada maknanya. Ingat cerita dalam novel ke?  Lelaki dalam dunia nyata ni, mana ada romantik dan suka pujuk memujuk?  Kalau perempuan tak bergerak, mereka macam enjin rosaklah, tak juga bergerak, faham tak?” ajar Mak Limah. 
            “Itu lelaki dulu mak, tak romantik, tak pandai memujuk. Lelaki sekarang lain,” kata Ain.
            “Tak ada lainnya, sama saja,” jawab Mak Limah.
            “Mana mak tahu?”  Ain mengerut dahi. Emaknya macam tahu sahaja perangai orang lelaki zaman ini.  Zaman sudah berubah, manusia juga berubah  mentalitinya.
            “Tahulah.”
            “Mak, nak buat macam mana ni?” rengek Ain sambil memegang tangan Mak Limah, kukuh.
            “Nak buat macam mana?” Dia sendiri pening memikirkannya.  Nak bertanya kepada bakal besannya tidak pasal-pasal kena sembur, masalah yang lepas masih tidak selesai. Masalah orang muda, orang tua yang susah hati dan kena selesaikan.  Masalah, masalah!

No comments:

Post a Comment