Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 24 April 2017

BAGAIMANA ADUH, PENING! DIREKA.



            Seorang penulis, jika mendengar cerita, dia tidak akan duduk sahaja, pasti idea mula bermain-main difikiran.  Begitu juga saya, ketika mendengar cerita seorang kawan tentang perkahwinannya yang dilanda badai.  Akal sudah mula menari-nari, kebetulan sedang mencari intipati novel ketiga.  Aduhai, pucuk dicita ulam mendatang, bukanlah hendak ambil keseluruhan cerita, tetapi sebagai asas untuk saya mula menulis cerita terkini untuk manuskrip terbaharu saya.

            Kisah apa ya?  Apalah yang saya hendak tuliskan?  Kawan saya itu ada masalah rumah tangga, suaminya sudah mula gila talak.  Orang lelaki gila talak, biasalah.  Kalau saya buat kisah rumahtangga juga, tetapi perempuan yang gila talak? Bagaimana agaknya ya?  Mulalah akal saya menyimpul jalan cerita. 
            Kisah seorang perempuan beranak lima gila talak dengan bekas suaminya yang sudahpun berkahwin lagi.  Itulah mula langkahnya bagaimana saya  mendapat idea menulis cerita untuk naskah ADUH, PENING!  Saya  sendiri yang menulisnya juga pening.  Bukan mudah untuk saya menulis sebuah kisah yang jarang-jarang berlaku, biarpun ada.  Ketika menulis satu cerita, para penulis bukan sahaja untuk mencari keseronokkan atau memberi kegembiraan berganda kepada para pembacanya tetapi juga ingin menurunkan nasihat buat para pembaca atau masyarakat di luar sana, jangan mudah untuk melafazkan cerai, apatah lagi ada anak-anak yang masih memerlukan belaian manja ayah dan ibu.
            Hati kita sakit, terus minta cerai, memang mudah.  Tetapi, lihatlah wajah-wajah kecil yang berada di sisi kita.  Apa nasib mereka? Hidup tanya kasih sayang seorang ayah atau ibu.  Kita? Mudahlah, sudah lepas beban di kepala lantaran sikap dan perangai yang menyakit pasangan kita sudah tidak lagi terlihat di mata. Kita sudah mampu menarik nafas lega.  Tetapi anak-anak? Pernahkan kita tanya akan perasaan mereka?    
       
            Itulah yang ingin saya sampaikan di dalam ADUH, PENING! Jika rumahtangga menghadapi masalah, cubalah selesaikan dengan baik.  Bersengketa, bermasam muka, perkara biasa dalam rumahtangga, tetapi janganlah sampai bercerai berai.  Jika ada cara untuk berdamai, usahakanlah.  Kasihanilah anak-anak.  Apapun yang ingin kita lakukan, tolonglah fikirkan masa hadapan anak-anak.  Sebagai seorang penulis, tiada satu pun karya yang ditulis tidak diselitkan pengajaran buat para pembaca di luar sana.  Tidak sedikit banyak, pasti ada.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan