Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 18 April 2017

DARI MANA DATANGNYA IDEA KARYA AKU TURUT BAHAGIA





            Setelah lama menyepikan diri daripada  dunia penulisan.  Saya tercari-cari arah, apa kisah yang hendak ditulis dan ingin dipaparkan.  Sudah terlalu lama tidak melakar cerita atau bermain dengan perkataan.   Cerpen terakhir saya adalah pada tahun 2002 kalau tidak salah.  Selepas itu saya terus menyepikan diri,  tiada idea, otak bagaikan tidak berfungsi, ketika itu mengandungkan anak bongsu.  Seperti si dia menarik-narik idea di kepala. Terus hilang dan termati ayat-ayat cinta yang sebelum ini mampu digarap menjadi barisan cerita yang enak di baca.  Akhirnya angkat tangan kedua belah,  berhentilah seketika dan memberi tumpuan kepada si manja yang bakal lahir nanti.
            2012, selepas berhenti kerja di sebuah rumah anak yatim.  Saya menulis kembali.  Sudah lama tidak menulis terasa kaku dan berat jari jemari menari di komputer. Bagaimana saya menulis kembali?  Saya membaca semula karya-karya yang pernah diterbitkan sebelum ini.  Cuba cari skil dan cara menulis cerpen semula.  Alhamdulillah, masih ingat cara dan tekniknya.  Akhirnya karya kembali semula, diterbitkan di dalam sebuah majalah Islamik. 
            Dalam tahun yang sama saya beranikan diri menulis novel pula. Kenapa tidak mencuba, rezekikan, di terima atau tidak bukan ukuran, yang penting saya berusaha dan berani mencuba.  Kisah apa yang saya hendak tulis?  Yang mampu penerbit ambil dan terbitkan.  Mati akal juga, tiada cerita yang menarik yang mampu saya tulis untuk di jadikan sebuah manuskrip novel.
            Teringat kisah seorang kawan yang saya kenali beberapa tahun dahulu.  Kisah rumah tangga poligaminya. Kenapa saya tidak tulis kisah tersebut, sekurang-kurangnya menjadi panduan kepada orang lain agar tidak sewenang-wenangnya sanggup berkongsi kasih sedangkan hati tidak ikhlas menerimanya.  Perkahwinan bukan perkara main-main, hari ini suka, kita ajak berkahwin, esok tidak suka, berpisahlah kita.  Ini bukan kisah zaman kanak-kanak, main kahwin olok-olok, tetapi realiti sebuah kehidupan yang harus kita tempuh dan hadapi dengan hati yang cekal. Melihat kehidupannya membuatkan hati saya berdetik, harus sampaikan sesuatu untuk masyarakat di luar sana agar menjadi iktibar dan tidak terjebak.
            Saya terus menulis, tidak pandang kiri dan kanan lagi, kebetulan mengenali seorang penulis muda yang sudi membantu. Saya pun menulislah kisah rumah tangga poligami kawan saya ini, bukanlah seratus peratus saya ambil kisahnya, tetap ada penambahan untuk menyedapkan cerita dan menarik hati pembaca untuk membacanya.
            Usai siap naskah yang setebal beberapa ratus muka surat, saya terus hantar ke sebuah rumah penerbitan.  Malangnya karya saya bukan pilihan syarikat tersebut, kerana genre yang berbeza. Rupanya syarikat penerbitan tidak berapa suka memaparkan kisah rumah tangga poligami.  Baru saya tahu, tapi saya tidak putus asa.  Karya saya dibedah oleh beberapa orang penulis yang sudah ada nama besar, mereka menegur dan menegur sehingga karya itu menjadi sebuah karya yang amat saya banggakan.

            Perinciannya seperti benar, sebab memang kisah benar yang saya garapkan dari sudut pandangan saya sebagai orang luar dalam rumah tangga kawan saya itu.  Hati seorang perempuan, sedikit tidak pasti akan terluka dan terguris.

            Saya lahirkan watak Ummi Khadeeja yang bersemangat waja, tabah dan sabar, namun tetap lemah sebagai seorang perempuan yang pasti ada rasa cemburu terhadap perempuan lain. Biarpun mulutnya redha dan rela, tetapi hati tidak akan menipu.  Lama kelamaan pasti tampak juga ketidakikhlasan hatinya membenarkan suaminya berkahwin lagi. 
            Saya lahirkan watak Syifa Umaira’ seorang isteri muda yang tamak haloba dan lupa diri, sudahlah mengambil hak orang lain, masih berlagak bagaikan mangsa keadaan.  Sedangkan perkahwinan itu, dia sendiri yang mahukan, bersetuju dengan rela hati, tiba masa baharu dia tahu langit  itu tinggi atau rendah.  Orangnya wujud di dunia nyata, sikapnya tidak pernah berubah biarpun sudah berpuluh tahun hidup berumah tangga dan berkongsi kasih dengan perempuan lain.  Kebahagian yang didambakan tidak akan muncul selagi dia cuba melawan kehendak takdir dan terlalu mementingkan diri sendiri.  Jiwanya yang mati tidak mungkin boleh dihidupkan jika dia terus melawan arus dan kalah dengan hawa nafsu syaitan yang merasuk diri. 
            Amir Hudzaifa, entah apa yang dicari dalam sebuah rumah tangga poligami. Kebahagian yang didambakan, keharmonian yang dicanang-canangkan hanyalah mainan mulut sahaja, hakikatnya tidak semua mampu merealisasikan.  Isteri tua tidak redha, isteri muda memendam rasa, sampai bila harus mereka hidup bersandiwara? Hanya masa yang akan menentukan. 
            Saya juga masukkan anak-anak pengikat kasih dalam masa yang sama mampu tersisih lantaran kesibukan ayah menguruskan dua rumahtangga.  Ditambah dengan pekerjaan yang disandang. Adakah cukup masa dan waktu untuk menyelesaikan semua hal yang bersangkutan dengan kehidupan berkeluarga? 
            Bercakap mudah, berjanji pun tidak payah, jika tidak mampu, usah berani-berani mencuba, takut jalan senget di akhirat kelak kerana tidak mampu berlaku adil diantara mereka, takut tidak tertunai tanggungjawab, takut tidak sempurna memberi kepada yang hak.  Fikir-fikirkanlah kesannya untuk jangka masa yang panjang.  Jika mampu mendidik keluarga sehingga mampu meraih syurga Ilahi dan redhanya, dipersilakan.  Jika hanya menjadi penyebab fitnah agama, usahlah mencuba.  Cukuplah hanya seorang, biar kekal sehingga ke Jannah, atau yang pertama sudah meninggalkan dunia yang fana ini, tidak mampu hidup sendiri dipersilakan cari pengganti. 

            Itulah yang ingin saya sampaikan dalam karya saya AKU TURUT BAHAGIA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan