AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 1 April 2017

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 43 - ASMAH HASHIM



Maznah terkocoh-kocoh kembali ke kedai. Kekecohan di kedai petang tadi sudah diberitahu oleh beberapa orang pekerjanya.  Kenapa pula ini?  Apa yang telah berlaku.  Rose masih ada masalah dengan gadis sekampungnya itukah?  Kasihan dan simpati menampal di hati.  Dia sendiri ada masalah, berjam-jam dia menunggu di lapangan terbang, bayang adiknya pun tidak kelihatan.  Mengikut mesej yang diterima daripada adiknya, betullah adiknya akan balik hari ini. Kenapa tidak kelihatan?  Dia tersalah masakah? Berkali-kali dia meneliti mesej yang diterima.  Memang nak kena adiknya ini. Sengaja mempermainkannya.
            Sampai di kedai, Maznah terus mencari Rose.  Hatinya cuak melihat Rose sedang duduk berhadapan dengan seorang lelaki.  Mungkin lelaki itulah yang dikatakan oleh para pekerjanya yang bergaduh dengan Rose dan kawan pekerjanya itu.  Maznah berjalan, mendekati.
            “Joe!” sapa Maznah.
            Lelaki yang bernama Joe menoleh.  Dia menyengih.
            “Kak!”  balasnya. 
            “Tak guna punya adik, akak tunggu lama di lapangan terbang, rupanya kau dah ada di sini?”  Maznah menampar bahu adiknya. 
            Lelaki bernama Joe itu memeluk dan bersalaman dengan Maznah penuh hormat.
            Rose terlopong melihatnya.  Aduhai…  adik Kak Maznah rupanya, detik hati kecilnya.
            “Rose, bergaduh lagi ke?” tanya Maznah dan duduk mengadap kedua insan yang dikenalinya itu.
            Rose mengeluh. Terasa diri menyusahkan majikannya sahaja.  Asyik bertengkar dan bergaduh.  Dia bukan dilahirkan sebagai kaki pukul atau kaki gaduh. Apalah nasib.  Sudahlah buruk, bermasalah pula.
            “Maafkan saya kak.” Rose menunduk.
            “Bukan salah Rose, budak perempuan tu yang suka cari gaduh dengan Rose. Akak faham.”
            “Yalah kak… tak tahu nak buat macam mana, asyik kacau saya aje,” luah  Rose. Dadanya berat dan sebak.
            “Joe pun salah kak, tak pasal-pasal menyusahkan pekerja akak ni,”  sampuk Joe. 
            “Kenapa pula? Ooo… fahamlah akak. Kaulah lelaki yang dikatakan turut bergaduh tu, ya?”  Maznah menggeleng.
            “Nasi dah jadi bubur, terlajak kata kak, tak boleh nak tarik balik. Melainkan jadikan kenyataan,” gurau Joe sambil menyengih.
            Roseayatimah menutup mulut, terkejut! Hey lelaki, tengoklah diriku ini, kata Rose dalam hati.  Dia mengerling.  Mahukah lelaki sekacak Joe itu menjadikan dia teman wanita.  Memang buta warna agaknya.
            “Kenyataan?  Apa dia Joe?”  Maznah cuak, apa pula yang dibuat oleh adiknya itu.  Sudahlah tiba-tiba balik.  Sampai ke tanah air sudah bergaduh pula.
            “Joe manalah tahu, perempuan yang bergaduh dengan pekerja akak ni, sekampung.  Jadi Joe dah cakap yang pekerja akak ni bakal tunang Joe.” Mata Joe menyinggah di wajah muran dan kelat Rose.
            “Saya ke dapur dululah kak.  Terbengkalai kerja saya nanti.” Rose tidak mampu mendengarnya.  Sakit benar hatinya.  Pilu terasa.  Mudah sangat orang mempermainkan perasaannya.  Mentang-mentanglah keadaan fizikalnya tidak elok.
            “Yalah.” Maznah tidak mahu menghalang.  Dia memandang wajah adiknya. 
            “Kenapa buat macam tu?  Akak kenal sangat cita rasa Joe. Jangan permainkan perasaan orang, tak baik,” nasihat Maznah, kurang senang dengan tindakan adiknya itu,  Joe atau Johari adalah adik bongsunya.  Pergi ke luar negara kerana sambung belajar,  setelah tamat belajar sambung bekerja di sana pula.   Lima tahun bekerja, baharu sekarang nak pulang.
            “Akak tak suka ke Joe berkawan dengan pekerja akak tu?”
            “Bukan tak suka, tapi untuk Joe permainkan perasaannya, akak tak benarkan.  Dia seorang gadis yang baik Joe.  Akak tak mahu tengok dia terluka.  Fizikalnya sahaja tak cantik, tapi hatinya suci bersih.”
            “Akak ni, buruk sangat ke perangai adik akak ni?”  Joe berasa kecil hati.  Dia bukan lelaki yang mudah mempermainkan perasaan orang lain.  Biarlah keadaan dan waktu yang menentukan. 
            “Buruk tu tak, tapi akak bimbang.  Adik akak dahlah kacak macam Eizlan Yusuf, bergandingan dengan Rose.  Orang akan cakap, adik sekadar nak mempermainkan perasaan dia saja.  Jadi… hati-hati sebelum memulakan langkah.  Takut ada hati yang terluka parah,” nasihat Maznah tidak henti-henti. Bimbang benar dia.  Rose terlalu baik dan tidak layak disakiti hatta hatinya sekalipun.
            “Tak baik  akak cakap macam tu tau.”  Joe mengerling dan menghabiskan minumannya.
            “Ni berapa lama pula nak balik ni?  Selamanya atau singgah sekejap, bagaikan camar yang pulang singgah seketika sebelum terbang kembali,”  usik Maznah.
            “Tengok keadaan.”  Joe masih lagi memerhati Rose bekerja.  Rajin rupanya.
            “Tengok keadaan atau tengok orang,” gurau Maznah.  Kenakalan adiknya yang seorang ini, buat kepalanya pening.
            “Ala… akak ni.” Joe menyengih.
            “Kalau Joe nak balik rumah dulu, pergilah balik. Ini kunci.  Jangan sepahkan pula rumah akak sudahlah,” pesan  Maznah. Kunci rumah sudah diletakkan di atas meja.
            “Nak melepak kat sini dululah, baru balik,” kata Joe.  Kagum dia melihat kejayaan kakaknya, tetapi dia kecewa kerana rumah tangga kakaknya gagal di tengah jalan.  Mungkin ada hikmah yang terbaik buat kakaknya itu.  Maznah satu-satunya kakak yang dia ada.  Mereka berdua beradik sahaja.  Ayah masih hidup tetapi sudah berkahwin lain dan tinggal di kampung.  Kerana perkahwinan ayahnyalah dia merajuk hati sehingga habis belajar pun dia tidak pulang. 
            “Kalau dah letih, pergilah balik. Bawa kereta akak tu.  Jangan kacau pekerja-pekerja akak tau,”  ingatan sekali lagi.  Maznah menjeling manja.
            Joe menyengih.
            “Hai awak!”  sapa Joe.  
            Rose sedang mengemaskini akaun restoran.  Gadis itu hanya melakarkan senyuman dan tumpukan semula kerja yang sedang dilakukan.
            “Awak jangan marah saya tau.”  Joe memerhati gadis itu bekerja.
            “Tak guna marah awak. Cuma, lain kali jangan main terjah saja.  Sebelum ambil tindakan buatlah siasatan sikit.” Rose mengerling.
            “Saya tahu saya salah.  Harap maafkan saya. Macam P.Ramlee dan gangnya, MAAFKAN KAMI, MAAFKAN KAMI, MAAFKAN KAMI, MAAFKAN KAMI!” kata Joe sambil menyanyi mengikut rentak lagu P. Ramlee dalam Pendekat bujang Lapuk.
            “Yalah! Saya maafkan awak.  Jangan ganggu saya, boleh tak? Kalau saya kira, kakak awak juga yang marah saya.”  Rose kurang selesa diganggu begitu. 
            “Okey, kerana saya sudah malukan awak.  Apa kata saya ajak awak keluar, hujung minggu ini,” ajak Joe dengan penuh mengharap.
            “Hah?  Awak ni peliklah.  Kita belum kenal awak dah mengaku saya bakal tunang awak.  Bila baharu kenal, awak dah ajak saya keluar.  Cepat betul pengaturan masa hadapan awak ya?”  sindir Rose. Manusia macam ini pun ada. 
            “Kalau awak tak sudi, tak mengapa. Kita berjanji temu kat sini pun boleh.” Joe masih tidak berputus asa.
            “Ikut suka hati awaklah. Jangan ganggu kerja saya sudahlah.”  Rose menunduk semula, menyiapkan laporan kewangan untuk bulan itu.
            “Saya benar-benar minta maaf. Saya ingat nak selamatkan awak saja tadi, tak fikir pun kesannya pada awak.  Lain kali saya berhati-hatilah,”  terang Joe.
            “Yalah, saya maafkan awak.” Malas mendengar pujuk rayu lelaki itu, akhirnya dia memaafkan lelaki yang telah pun memusnah separuh dari hidupnya tanpa sedar.


No comments:

Post a Comment