AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Monday, 3 April 2017

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 44 - ASMAH HASHIM



Pagi itu Rose keluar awal dari biasa.  Ada urusan yang perlu dibereskan.  Kak Maznah tidak hadir pagi itu, mahu atau tidak dia terpaksa membantu tukang masak menguruskan keperluan restoran.  Hembusan bayu pagi menolak lembut wajahnya.  Suasana sunyi di sekeliling kawasan itu sedikit pun tidak mengentarkannya.  Dia lebih takut ‘hantu hidup’ daripada ‘hantu kubur’ yang baharu bangun dari kubur.  Bukanlah berani jumpa hantu, tetapi hantu kepala hitam @ manusia jauh berbahaya daripada hantu dalam kubur itu.  Dia membebel sendiri.  Matanya tetap juga merayap kiri, kanan, depan dan belakang.  Erk… mana ada takut, seram sahaja.  Rose tersenyum sendiri. Pagi-pagi lagi dia sudah tinggalkan nota di atas meja.  Takut Zaiton lompat terjun katil bila tengok dia tidak ada di rumah.
            Usai mengunci kereta, dia melangkah ke pintu belakang restoran.  Dahinya berkerut melihat satu lembaca tertunduk-tunduk di dalam kesuraman lampu jalan.  Alamak! Mulutnya cabul sangatkah tadi?  Tiba-tiba seram sejuk seluruh tubuhnya.  Jangan hantu sudahlah! Tidak mahu hantu berkepala hitam atau pun hantu kubur, dua-dua menyeramkan.  Nak buat macam mana ini? Bisik hati kecilnya.  Dia menunggu seketika di sebalik tiang ruang tepi kedai.  Memerhatikan sahaja tingkahlaku makhluk yang belum dikenal pasti identitinya. Manusiakah? Hantukah?  Persoalan itu bermain dibenaknya. Gelap kawasan itu, ada pasu bunga di situ.  Buat apa pula lembaga itu di situ?  Tidak mungkinlah siram pokok?  Atau curi pokok bunga?  Itu lagi tidak logik, berapa senlah sangat pokok puding itu.
            Rose mengetap gigi.  Dia pula sudah seperti pencuri, terhendap-hendap. Kalau datang tukang masak restoran itu, menyergah dia, mahu terperanjat beruk jadinya.  Dia mengeluarkan lampu picit kecil yang selalu disimpan dalam beg tangannya.  Lampu itu dihidupkan.  Dengan lafaz Bismillah, Rose menghalakan lampu picit ke arah lembaga yang seperti sedang berbuat sesuatu.  Apa pula kerjanya awal-awal pagi begini?
            “Assalamualaikum… buat apa tu?” sapa Rose perlahan.
            “Wa’alaikumsalam, buat yang nenek suruhlah,” jawab lembaga itu.
            Rose mengerut dahi. Nenek?  Suruh?  Nenek mana pula? Suruh buat apa?  Suara lelaki itu?
            “Nenek suruh buat apa?”  tanya Rose bersahaja.  Hairannya, lelaki itu langsung tidak menoleh.
            “Malam tadikan nenek suruh tanam tangkal ni kat sini.  Nenek tegur saya ni kenapa? Dahlah perjanjian tak boleh menoleh kalau sedang buat upacara, nenek kalau gagal tuan saya tak bayar langsung tau!” cerita lelaki itu panjang lebar,
            Oh! Tidak boleh menoleh?  Hmm… tangkal?  Ini nak jahanamkan restoran majikan aku rupanya? Leter Rose dalam hati.  Dia menyinsing lengan baju.  Dalam dunia serba moden ini, masih ada lagi manusia berhati hitam guna bomoh bagai untuk merosakkan perniagaan orang lain?  Suara lelaki itu macam dia pernah dengar?  Tetapi di mana ya? Fikir Rose sebentar.
            “Tak siap lagi ke?” tanya Rose.
            “Belumlah nek, mentera ni panjang sangat.  Bos saya tak nak pula buat sendiri! Menyusahkan betul!”
            “Kalau dah panjang, baca pendek saja,” suruh Rose.
            “Baca  apa yang pendek nek?  Malam tadi nenek tak cakap pun?  Takut terlepas waktu subuh, tak menjadi pula nek?” kata lelaki itu lagi.
            Hmm… tidak boleh buat selepas subuh, tak menjadi.  Fahamlah Rose duduk perkara.
            “Baca Bismillah cu,”  kata Rose.  Dia menunggu waktu untuk mengetuk kelaki itu.
            “Bismillah?  Biar betul nek?”  tanya lelaki itu kehairanan. Semalam nenek itu ada beritahu, kalau ada sesiapa tegur, jangan takut, jawab sahaja.  Menoleh pun tidak boleh.  Kena tanam tangkal sebelum azan subuh. Kalau tidak tangkal itu tidak menjadi.  Dia ikut sahaja, tetapi tidak pulalah ada pesanan supaya baca pendek. Bismillah pula itu?  Bingung dia seketika.  Nak menoleh, takut tangkal itu tidak mujarab. Tidak menoleh, macam pelik sahaja arahan yang baru di terima.
            “Betullah! Bismillah…”Rose mengetuk kepala lelaki itu sehingga pengsan.  Sekuat hatinya.  Jangan mati sudahlah.  Ooo… nak buat dajal di restoran itu?  Siapalah hantu yang menghantar agaknya?  Ini sudah lebih.  Main kasar pula.
            “Rose!” sapa seseorang.
            Rose menoleh dan mengurut dada.  Terkejut dia.
            “Kak Milah?”  tanya Rose.
            “Ya! Kenapa ni? Siapa lelaki tu?” tanya Kak Milah tukang masak Restoran Selera Melayu.
            “Jom, tolong saya angkat baruah ni!” arah Rose. Nasib baik lelaki itu kurus, mudahlah nak diangkat bawa masuk ke dalam kedai.
            “Siapa ni Rose?” soal Kak Milah kehairanan.
            “Inilah hantu kepala hitam kak,” jelas Rose.
            “Hantu kepala hitam?”  Kak Milah mengerut dahi.  Dia membantu Rose membawa masuk lelaki itu dan diletakkan di kerusi. 
            Rose berlari ke dalam stor mengambil tali.  Tangan lelaki itu diikat ke belakang.  Kakinya juga turut diikat.  Kalau tidak pasti lelaki itu akan lari. Lampu restoran dibuka semuanya.  Terang benderang seluruh kawasan.  Jelaslah sekarang wajah lelaki itu.  Rose berlari ke ruang tepi restoran tadi.  Dia mengambil barang-barang yang dipuja oleh lelaki itu.  Diletakkan di atas meja.
            “Tangkal? Ya ALLAH! Budak ni nak bomohkan restoran ni ke Rose?”
            “Ya kak.  Dia tengah pengsan tu. Akak pergi buat kerja akak dulu.  Nanti kita soal siasat dia, lepas itu kita bawa ke balai polis.  Ingat ini perkara main-main!” marah Rose. Geram betul dia dengan sikap mereka yang sebangsa dan seagama dengannya.  Sikit-sikit cari bomoh! Siki-sikit pakai ilmu pelaris, itu semuakan kerja kurafat! Tidak cium bau syurga.  Apatah lagi menganiaya orang seperti ini.  Memanglah dosa besar.  Rose membiarkan lelaki itu berikat di kerusi.  Dia melalukan tugasnya seperti biasa.  Seorang demi seorang pekerja  masuk bekerja.  Masing-masing terkejut melihat lelaki itu.  Berbagai soalan keluar dari mulut mereka.  Jenuh jugalah Rose nak menjawab.
            Mereka berhenti melakukan tugasa yang diberi, untuk solat subuh, kemudian sambung semula.  Ada  ruang solat  yang disediakan oleh majikan mereka.  7.30 pagi, segala menu sarapan sudah siap terhidang.  Rose semakin cekap membantu, baik di ruang dapur mahupun ruang hadapan restoran.  Pelanggan mula masuk untuk menjamu selera.  Para pelanggan pun terkejut melihat lelaki itu berikat dan pengsan.
            “Ini tidur ke pengsan?” tanya Kak Milah.
            “Sengaja buat pengsan, kak.” Rose mengambil sedikit ais.  Dia meletakkan ais itu ke dalam baju lelaki itu.  Apa lagi mengelupuhlah lelaki itu kesejukan.  Terus terbuka besar matanya.
            “Hoi! Apa main kasar?” jerkah lelaki itu.
            “Amboi! Dah buat salah, nak marah orang pula?” jerkah Rose kembali.  Kepada para pelanggan yang menegur  diterangkan duduk perkara.  Nanti dikatakan buat aniaya dengan lelaki itu, lagi parah.  
            “Lepaskan akulah! Bodoh!” jerit lelaki itu sambil meronta-ronta.
            “Jais! Telefon polis,” suruh Rose.  Dia memandang lelaki itu atas ke bawah, bawah ke atas. Ini lelaki yang sama mengatakan mee gorengnya ada lipas.  Apalah punya teruk manusia, kerjanya hanya tahu menipu dan ingin menganiaya orang lain.
            “Apa main panggil polis pula?  Lepaskan akulah!”  rayu lelaki itu.  Wajahnya sudah pucat. 
            “Siapa suruh kau buat macam ni?  Kau nak naya restoran kami ya?”  soal Rose bagaikan seorang anggota polis. 
            “Tak ada siapa suruh! Aku yang nak buat sendiri,” jawab lelaki itu berani.
            “Kalau macam tu, senanglah kerja pihak polis. Kami akan dakwa kau! Ini penipuan kau kali kedua, saksi ramai, sekurang-kurangnya kau boleh makan percuma dalam penjara,”  bentak Rose.
            “Janganlah! Lepaskanlah aku.  Aku cari makan saja!” Merayu sekali lagi.
            “Cari makan? Cari makanlah dengan cara yang halal!  Ini kerja haram tau, berdosa besar!”  sampuk Kak Milah.  Geram pula dia melihatnya.  Badan tegap, usia muda, tetapi buat kerja tidak senonoh.  Tidak ada masa depan langsung.  Makan hasil haram, hati hitam legam. Biar badan hitam tetapi hati putih, macam gadis di sebelahnya itu.  Kalaulah dia ada anak lelaki dan tidak memilih, mahu sahaja dijadikan menantu.  Sayangnya, anaknya semua perempuan. 
            “Lepaskanlah saya!” Ada sendu dalam nada lelaki itu. 
            “Kirim salam! Lain kali jangan buat jahat, kalau tak nak jumpa polis!”  herdik Rose.  Buang masa betul, tergendala kerja-kerjanya.
            “Kasihanilah saya, dah dua hari saya tak makan, itu sebab kena buat kerja macam ni,”  rayu lelaki itu dengan wajah yang sedih.
            “Ingat cerita sang harimau dengan sang kancil ke?’  Rose menggeleng kepala.  Manusia macam ini pun ada, ingat dia boleh tertipu. Dua hari tidak makan, pergi jalanlah!
            “Kak Rose! Polis dah datang!” jerit Jais dari ruang depan kedai.
            “Tolonglah!” Sekali lagi lelaki itu merayu.  Tiada siapa pun simpati, malah mengutuk lelaki itu lagi ada.  Ada juga yang menasihatinya.  Macam-macam ragam.
            “Kenapa ni cik?” tanya salah seorang anggota polis yang melangkah masuk.  Dua orang mengiringi di belakang.
            Rose menceritakan apa yang berlaku. Sudah dua kali lelaki itu membuat onar di restoran itu.  Mereka akan dakwa lelaki itu.  Biar dia rasa terpaksa ditahan dilokap.  Siapa pun yang mengupahnya, pasti akan diseret sama.  Jangan main-main dengan undang-undang Negara. Hatinya bertambah sakit bila seseorang itu suka memusnahkan orang lain dengan menggunakan ilmu hitam.  Erk… hitam jangan sebut, sensitif! Dia tersenyum sendiri.  Alhamdulillah, lelaki itu dibawa ke balai polis. Lega rasanya.  Biar padan dengan muka, berasalah makan nasi dari penjara.  Hidup biarlah beradap dan bermaruah.  Walaupun hanya bekerja sebagai tukang cuci tandas, itu lebih jauh mulia daripada menjadi penjenayah dan makan duit haram.

No comments:

Post a Comment