AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 8 April 2017

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 45 - ASMAH HASHIM



            Terlopong mulut Maznah mendengar cerita Kak Milah dan Rose.  Ada orang berniat nak membomohkan restorannya dengan ilmu hitam?  Syukurlah, ALLAH masih melindungi mereka.  Mujur dapat ditangkap lelaki yang bertanggungjawab itu.  Baharu sahaja balik dari mahkamah, kena ke balai polis pula.  Penat tidak hilang lagi.  Banyak sungguh masalah. Kalau tidak sabar, boleh meroyan satu badan.
            “Macam mana kes tuntutan itu kak?  Dapat tak?” Rose tidak sabar ingin tahu.
            “Kita menang Rose, akak cuma perlu bayar modal yang dikeluarkan sahaja.  Lagipun, segala bukti dan akaun restoran akan dah serahkan kepada pihak mahkamah. Mereka nilaikan sendirilah. Alhamdulillah… setelah puas bertikam lidah, akhirnya keputusan memihak kepada kita.  Taklah akak sakit kepala lagi,” cerita Maznah sambil menarik nafas lega.
            “Alhamdulillah, kena buat kenduri doa selamat ni kak, kita terlepas daripada bala, dua bala sekali,” kata Rose riang.
            “Betul juga tu.  Minggu depan kita buat.  Kita panggil  rumah anak-anak yatim menjamu selera di restoran ini sambil tu bolehlah akak menderma.”  Maznah setuju dengan cadangan Rose.  Gadis itu nampak biasa, tetapi berani, cekap dan berwawasan.  Tidak pernah putus asa walaupun sering dipandang hina.    Dia benar-benar kagum dengan sikap gadis itu.
            “Helo dan selamat pagi! Tegur seorang lelaki yang tampan dan bergaya.
            Rose memandang wajah lelaki itu.  Kalau sudah Melayu dan beragama Islam, sapalah dengan salam, dapat juga pahala, bebel Rose dalam hati.  Kalau lepas cakap tidak pasal-pasal kena luku nanti. 
            “Wa’alaikumsalam!” jawab Rose, Maznah dan Kak Milah serentak.
            “Ops! Salah masuk tempat ya?”  Joe menyengih.  Terasa malu dengan kealpaan diri sendiri.  Hish… ingatkan masih berada di luar Negara, rupanya sudah berada di Negara sendiri.
            “Joe dari mana?  Pagi tadi tak nampak pun?”  Maznah memandang wajah adik bongsunya dengan pandangan kehairanan.  Baharu sahaja balik ke Malaysia, sudah ada urusan sendiri.
            “Jumpa kawan sekolah kak, kenapa semua berkumpul di kaunter juruwang ni? Ada apa-apa yang hilang ke?” tanya Joe dengan rasa cuak.
            Maznah menceritakan apa yang berlaku.  Dari kes mahkamah sehinggalah penangkapan lelaki yang cuba membuat onar di restorannya itu. 
            “Ya ALLAH, manusia macam itu masih wujud lagi ya?”  Joe menggeleng kesal.
            “Selagi bernyawa Joe,”  keluh Maznah.  Dia menarik nafas lega, bekas suaminya tidak akan menuntut apa-apa. Kalau lelaki itu bertindak gila, dia juga boleh melakukan perkara yang sama.  Malaysia ada undang-undang, jangan lupa.
            Mereka kembali melakukan tugas seperti biasa.  Tidak menang tangan para petugas restoran itu melayan pelanggan yang tidak henti-henti keluar masuk.  Perkhidmatan semakin baik, kebersihan semakin terjaga.  Keuntungan pula berlipat ganda.  Makanan pula dipastikan sentiasa sedap.  Kalau sedap, orang akan datang lagi.  Biar keuntungan kecil tetapi pelanggan gembira dan pasti menyampaikankannya kepada kenalan mereka pula.  Promosi dari mulut ke mulut adalah promosi terbaik.
            Joe datang menyelit di tepi Rose yang sedang berehat setelah datang awal pagi tadi.   Dia menyengih dan duduk di sebelah gadis itu.  Sekuntum mawar merah diserahkan kepada gadis itu tanpa sebarang kata.
            “Untuk saya?” tanya Rose kehairanan.  Apa mimpi lelaki ini, tiba-tiba bagi bunga?   Berkerut-kerut dahinya.  Sejak kerja di restoran ini, asyik berkerut sahaja dahinya.  Tidak pasal-pasal kena pergi spa pula. Membazir, membazir.  Rose tersenyum dalam hati.
            “Yalah, takkan untuk Kak Milah pula?”  komen  Joe.
            “Terima kasihlah, walaupun  tak tahu kenapa awak beri bunga kat saya?”bunga itu bertukar tangan.
            “Tanda persahabatan antara kita, mana tahu kalau boleh pergi jauh?”  Joe mengangkat kening.
            Rose mengerut dahi lagi. Macam gatallah pula.
            “Sahabat?  Jauh lagi tu, kita kawanlah dulu, baharu kenal terus nak jadi sahabat?  Pelik sikitlah. Tak sesuai rasanya.  Seorang sahabat mengenali hati budi sahabatnya,”   luah Rose.  Senang-senang sahaja nak mengaku sahabat.  Baharu kenal sehari dua.  Mudahnya.
            “Tak boleh ke?”  Joe kehairanan. Pelik pula dirasakannya. Rambutnya yang terurus rapi dibetulkan dengan jari.  Nampak jelas kekemasannya.  Biar papa asal bergaya, detik hati kecil Joe. Dia masih memandang wajah Rose tidak berkelip. 
            “Biarlah kita berkawan dulu ya?”  kata Rose. Nasi di dalam pinggan segera dihabiskan.  Ingin rasanya tidur sebentar. Tetapi anak jantan siapa entah ini, sibuk pula mengacau.  Habislah waktu rehatnya.
            “Saya nak ajak awak keluar tengok wayang, nak tak?”  pelawa Joe dengan pandangan penuh mengharap.
            Tengok wayang?  Susahlah, pertama kali dia keluar tengok wayang dengan Haikal.  Itu pun puas juga sahabatnya itu memujuk. Ini, nak keluar dengan lelaki yang baharu dia kenali, tidak kiralah jika adik Kak Maznah sekalipun, yang baik kakaknya, adiknya belum tentu.  Terkulat-kulat Rose nak memberi jawapan.
            “Hish… tak manislah rasanya, kitakan baru…”
            “Kitakan baru kenal?”  sambung Joe, sebal sendiri.  Susah pula nak mengayat gadis di hadapannya ini. Banyak pula pantang larang. Kalau di luar Negara, ajak sahaja, pasti mahu.  Erk… lupalah, ini gadis Melayu. Adab ketimuran jangan dilupa.  Islam juga melarang berdua-duaan dengan lelaki yang bukan muhrim.Tengok wayang bukan berdua-duaan.  Ramai oranglah.  Lupa agaknya.  Sudah berapa lama tidak menonton wayang di Malaysia?  Joe tersenyum sendiri.
            “Saya nak masuk kerja baliklah.  Awak nak makan atau minum apa-apa?” tanya Rose, tidak mahu mengecilkan hati lelaki itu.  Zaman sekarang ini, manusia pelbagai ramai.  Ngeri membaca berita di dada akhbar atau menonton di kaca televisyen.  Sanggup membunuh hanya kerana cintanya ditolak. Uhuh… tidak sangguplah mati kena bunuh.  Biarlah mati dengan sebab yang baik-baik sahaja. 
            “Jomlah keluar dengan saya? Kita makan-makan ke?” ajak Joe sambil mengedik manja. 
            Rose buat muka poyo, senyum tidak, serius pun tidak.  Tidak tahu reaksi wajah yang bagaimana berlaku.  Benci pula dia dengan lelaki yang macam sotong hanya bertulang belakang itu.
            “Eeh… awak ni lelaki ke atau spesis lain?  Geli pula saya tengok?”  kena sedas tembakan tepat.  Kalau nak mengayat pun jadilah lelaki sejati, tak ada romantiknya tergedik-gedik dan terlentok-lentok.  Apa ke halnya?
            “Hah?” Apa punya spesis gadis yang berada di hadapannya.  Sedap sahaja menegurnya.  Kalaulah dia tidak sabar, sudah tentu angkat kaki tinggalkan gadis hitam itu sendiri.
            “Ops! Ingatkan orang di Malaysia suka lelaki yang memujuk rayu dan romantik,”  ulas Joe, tebal seinci mukanya kena tumbukan padu sebentar tadi.  Kalau mesin gun sudah mati katak dia di sini.
            “Awak silap  baca buku agaknya?  Negara sendiri pun tak kenal?  Peliknya?”  omel Rose.  Jadi mulut laser pula dia petang itu.  Ini semua gara-gara lembik lutut lelaki di hadapannya itulah.  Kelmarin biasa sahaja.  Apa sudah jadi?
            “Mungkinlah!’  Joe cuba ketawa.  Hambarnya.  Masih terasa tebal pipinya. 
            “Maaflah jika saya menyingung perasaan awak.  Tak sukalah lelaki mengedik.  Saya suka lelaki normal tingkahlakunya,” terang Rose. 
            Joe menyengih. Normal? Dia tidak normalkah?  Manalah gadis hitam ini letak mata?  Punyalah kacak di hadapan mata.  Wajah persis Eizlan Yusuf, senyuman menawan kalbu. Berapa ramai gadis di luar Negara sana, melutut, merayu minta jadi teman lelaki, semuanya ditolak dengan alasan,  nak cari orang Melayu sebagai isteri.  Joe membetulkan kedudukan kolar  t-shirtnya.  Terasa sudah lari kedudukannya.  Memandang wajah gadis itu membuatkan hatinya rasa terkoyak yang amat sangat.  Laser juga mulut gadis ini?  Baiklah dia jadi dirinya sendiri.  Kalau tidak mahu kena tembak dengan M16 pula.  Boleh berkecai maruah diri. Tidak mengapa, masih punya waktu dan masa.  Wahai gadis hitam, tengoklah dan nantikanlah, disaat kau merayu cintaku, bisik hati kecil Joe dan senyuman manis terlaKar di bibirnya. 

No comments:

Post a Comment