AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 8 April 2017

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 46 - ASMAH HASHIM



Hujung minggu dihabiskan bersama sahabatnya, Zaiton.  Terlalu sibuk bekerja di restoran itu sehingga waktu dia bersama sahabatnya itu semakin berkurangan.  Nasib baiklah Zaiton bukan seorang kaki merajuk.  Kalau tidak jenuhlah dia hendak memujuk.  Hari minggu  itu, dia memohon cuti daripada majikannya.  Seminggu bekerja, boleh patah liuk tulang belulangnya.  Bekerja di restoran bukan hanya menggunakan jari dan  lidah, semua anggota tubuh bekerja. 
            Pagi itu dia bercadang hendak memasak nasi lemak sahaja, berlaukkan ayam goreng dan sambal ikan bilis, cukuplah buat mengalas perut sementara menunggu waktu makan tengahari.  Zaiton masih di biliknya.  Rose sudah sibuk mengemas dan membersihkan rumah yang berabuk, bukan bersepah.  Siapalah yang nak menyepahkan rumah itu.  Masing-masing keluar rumah seawal pagi, Zaiton pulang hampir senja.  Dia pula kadang-kala di tengah malam baru sampai rumah. Inilah punca rezeki mereka.  Jangan mengeluh.  Rezeki sudah diberi.  Bersyukurlah dengan nikmatnya.
            “Kau masak nasi lemak ke?” tanya Zaiton yang baharu keluar dari biliknya.
            “Ha ah? Kenapa?” soal Rose.
            “Aku baru nak ajak kau keluar.  Jomlah kita enjoy sehari suntuk hari ni! Malaslah nak duduk rumah,” ajak Zaiton.
            “Habis tu, nasi aku dah masak, sambal dan ayam juga dah siap?”   Rose menggaru kepala.
            “Tak apalah, kita makan  nasi lemak tu, untuk tengahari, petang dan malam, kita makan di luarlah,”  cadang Zaiton.
            “Amboi! Nak ke mana?” 
            “Ala pusing-pusing KL, duit minyak sama-sama bayar.”  Zaiton menyengih. Hari ini dia nak membeli-belah, makan-makan dan tengok wayang.  Berbulan-bulan tidak keluar, sejak Rose bekerja di restoran itu. Duit pun jimat. Sahabatnya asyik bawa balik lauk yang berbaki di restoran. Esok pagi-pagi dia panaskan untuk sarapan.  Janji masih elok dan boleh dijamah lagi. Jangan membazir.  Hidup di Kuala Lumpur kena pandai dan bijak, jikalau tidak, gaji ribuan pun tidak cukup. 
            “Okeylah.  Jom sarapan dulu, lepas tu kita  jalan-jalan cari makan!’  kata  Rose riang sambil bernyanyi.
            “Sesekali kau cutikan?”  Zaiton ketawa riang.  Dia dan Rose bagaikan senasib.  Tiada lelaki yang mendekati.  Kalau Rose, dia boleh fahamlah.  Tetapi dirinya juga bagaikan menjauh sahaja jodohnya. Uhuh… janganlah jadi andartu, tidak relalah.    Entah apa yang tidak kena dengan dirinya?  Nak kata tidak bergaya, hey… ini setiausahalah.  Nak kata, tidak cantik, tengok muka, sama tahu dengan wajah pelakon Tasya Shila.  Cuma Tasya Shila nampak cantik sangat sebab solekkannya.  Dia bersoleklah juga, tetapi nipis dan bersederhana. Kalau dia bersolek tebal, mati terkejut semua staf di Milinium Holding  tengok muka dia.  Di manakah silapnya?    Nantilah cari jawapannya.  Agak-agaknya penulis tidak  tahu nak padankan dengan siapa, maklumlah, inikan kisah si Rose yang cantik manis itu.  Sabar sahajalah. Akan sampai jodohnya.
            “Kau berangan lagi ke?” Rose menampar belakang  Zaiton. Nasi sudah diisi ke dalam pinggan, tetapi sahabatnya itu masih mengelamun.
            “Hah?” tanya Zaiton terpinga-pinga.
            “Makanlah!’ suruh Rose garang. 
            “Kau ni, bukan sahaja hitam tetapi garang, aku takut tak ada siapa yang nak,” gurau Zaiton. 
            “Hitam jangan sebut, sensitif.”  Rose mencebik.
            Mereka mula menikmati sarapan pagi yang sedap.  Rose sudah semakin pandai memasak. Tidak sia-sia bekerja di kedai makan.  Berbaloi-baloi! 

***

            Hampir petang baharu mereka menjamah makan tengahari.    Restoran Secret  Recipe di Alamanda menjadi pilihan.  Teringin berjalan  di Putrajaya.  Banyak tempat boleh dilawati.  Masjid yang menarik ada dua buah.  Tasek buatan merentang bandar serba moden itu.  Jambatan beraneka bentuk.  Rugilah sesiapa yang tidak datang menjengah.  Tempat makan jangan cerita, banyak di Alamanda. 
            “Tengok, kalau sudah jodoh, di mana saja pasti berjumpa,” tegur seorang lelaki yang duduk di belakang Rose.
            Zaiton memandang wajah lelaki yang duduk mengadapnya. 
            “Awak tegur siapa? Saya ke?” tanya Zaiton, kehairanan.  Memanglah hairan, ayat yang keluar Kalau Sudah Jodoh, macam rancangan Datuk Kazim Elias pula.    Wahai si kacak, siapakah gerangan?  Detik hati kecil Zaiton sambil melakarkan senyuman. Mungkin jodohnya.  Siapa tahu?
            “Erk… saya cakap dengan kawan awak tu.”  Sambil menunjuk ke arah Rose yang tidak pangku kepala.
            “Rose?”  Terkejut.
            “Hai Rose,” sapa lelaki itu mesra.
            “Kau kenal ke?’tanya Zaiton.
            “Siapa?” Rose menolek ke arah meja sebelah.  Terjojol matanya memandang.  Mana pula datang manusia spesis ini?  Kenapalah terjumpa dengan lelaki ini?
            “Assalamualaikum,” kata Joe memberi salam.
            “Wa’alaikumsalam,” jawab Rose dan Zaiton serentak.
            Apalah lelaki ini buat di sini?  Soalan yang tidak sepatutnya ditanya.  Inikan kawasan awam, ikut suka dialah nak berada di mana. Bukan kawasan persendirian pun.  Rose mengeluh sendiri. 
            “Siapa mamat kacak bergaya, ala-ala Eizlan Yusuf ni,  Rose?” tanya Zaiton, amat berminat ingin tahun   Hey, kacak tau, mana-mana perempuan pun pasti tergoda dan terpikat,  Senyumannya sahaja sudah mengetar sukma apatah lagi bila bersuara.  Mampu menggoncang jiwa.  Bukan gempa bumi tau, bebel Zaiton sambil melemparkan senyuman manis manja.  Ala-ala menggoda.
            “Jangan nak mengedik, okey!” tegur Rose.  Nampak sangat terdesak, sedangkan usia belum pun sampai 24 tahun.  Sabarlah, kalau sehingga 26 tahun masih tidak berpunya, baharulah pasang iklan mencari jodoh.  Rose menjegilkan mata.
            “Boleh saya duduk di sini?” tanya Joe penuh hormat.
            “Bahasa dia!” Zaiton tersenyum sambil menutup mulut.
            “Syyy…”  Rose tersenyum.
            “Duduklah Joe, tak ada siapa melarang.” 
            “Awak berdua nak ke mana? Boleh ikut sekali tak? Saya nak lawat kawasan Putrajaya.  Cantik dan menarik.  Jalan sorang-sorang tak menariklah,” luah Joe.
            “Lawat kawasan?  Awak baharu jadi wakil rakyat ke kawasan ni ke?”  tanya Zaiton dengan muka selamba.
            “Wakil rakyat?” Joe diam seketika. Salahkah kata-katanya tadi?
            “Kalau sudah lawat kawasan, yang lawat kawasan hanya wakil rakyat, JKK Kampung dan Ketua Kampung,” ulas Rose.
            “Ops! Salah lagi.” Pecah gelak Joe.
            “Katalah nak melancung,” ujar Zaiton sambil tersenyum nipis.
            “Boleh tak awak berdua temankan saya?  Saya bukan tahu sangat kawasan persekitaran Putrajaya ni,”  pinta Joe dengan pandangan penuh mengharap.
            “Erk… bolehkan Rose?” Zaiton memandang Rose sambil menyengih.
            Hish… mana boleh?  Nak  mengedik tidak bolehlah nanti.  Ada lelaki seekor sudah cukup merimaskan. Apalah Zaiton ini? Kata nak jalan berdua-duaan sahaja, ini sudah bertiga.  Tidak suka! Tidak suka! Jerit Rose dalam hati.
            “Rose!” Zaiton mencubit pipi Rose yang sedang mengelamun sendiri. Padahal mereka sudah bertiga.
            “Sakitlah!” jerit Rose, terkejut.
            “Berangan ya?”  Zaiton mengerling sahabatnya itu. 
            “Mana ada?”  nafi Rose.  Muka sudah kelat.  Nampak sangat tidak suka dengan kehadiran pemuda itu.
            “Bolehlah saya ikut awak berdua?’ rayu Joe.
            Rose memandang wajah Joe, apalah punya jantan di hadapannya.  Pelancung asing di luar Negara, berjalan seluruh Malaysia hanya berpandukan  peta sekeping sahaja, semua ceruk rantau mereka masuk. Lelaki yang berada di hadapannya, sudahlah dilahirkan di Malaysia, membesar di Malaysia. Tidak tahu jalan sendiri?  Memang mengada-ngadalah.
            “Tak boleh pergi sendiri ke?  Kami nak jalan berdua sajalah,”  terang Rose tanpa berselindung. Tidak selesa rasanya ada lelaki di samping mereka berdua.
            “Rose?”  Zaiton terkejut.  Apa punya berterus-teranglah?  Berlapikkan sikit.  Mulut laser sahabatnya itu masih tidak berkurang rupanya.  Anti kaum Adamkah?
            “Ala… dia lelaki, kita perempuan. Mana boleh jalan seiringan,”  ujar Rose. “Harap awak faham ya?”  Rose memandang wajah Joe yang terkejut atau buat-buat terkejut. Lantak kaulah! Kata Rose dalam hati.
            “Amboi! Awak ni Rose, janganlah macam tu, saya nak berkawan saja dengan awak, janganlah tolak mentah-mentah.” Sedih pula hatinya.  Mana ada perempuan yang berani menolak ajakkannya.  Macam klise sahajakan. Biasalah, lelaki kacak.  Berbaris menunggu tahu, kalau tidak percaya, tanya lelaki kacak di luar sana. Kalau mereka tidak diminati pasti ada yang tidak kena. 
            “Hari ini, saya nak keluar berdua dengan rakan saya ni. Banyak perkara kami nak bincangkan tentang hal perempuan. Kalau awak ada, susahlah kami nak berbual perkara yang lebih peribadi,” terang Rose, harap lelaki itu mengerti.
            “Rose? Tak baiklah, biarlah dia ikut kita.  Ramai sikit,”  sampuk Zaiton.  Kenapalah sahabatnya tiba-tiba tidak mesra alam?  Hairan sungguh.  Sejak tidak jadi setiausaha ini perangai sahabatnya itu banyak berubah.  Cuma lebih ceria dari biasa.  Hari ini poyolah sangat.
            “Tengok, kawan awak ni saja yang baik dan ramah.  Awak tu sombong sangatlah.;” Joe menyengih.
            Rose memeluk tubuh dan bersandar di kerusi.  Dia memandang wajah Joe dan Zaiton silih berganti.  Kenapalah ada makhluk yang ganjil di dunia ini?  Dia mendengus kasar.
            “Jomlah kita ke Taman Botani dulu, lepas tu kita naik cruise,” cadang Zaiton riang.
            “Cantik!”  Joe teruja.  Ada juga yang sudi temankan dia.
            Zaiton berbual mesra bagaikan sudah lama kenal antara satu sama lain.  Rose sesekali menyampuk.  Bukan sombong, cuma dia hanya berhati-hati menjaga diri sendiri.  Tidak mahu hatinya terluka menyambut huluran tangan lelaki itu.  Dia sedar siapa dirinya.

No comments:

Post a Comment