AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Monday, 10 April 2017

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS- BAB 47 - ASMAH HASHIM



Zaiton memandang wajah Rose tidak berkelip.  Seharian berjalan memanglah seronok, keletihan yang dialami pun boleh tahan juga.  Teringatkan gelagat  Joe yang kelakar dan selamba orangnya buat dia tersenyum sendiri. 
            “Kau kenapa? Tengok aku macam nak telan?”  Rose menampar lengan Zaiton.
            “Aku nampak Joe tu macam suka kat kau saja? Kau tu yang jual mahal,”  kata Zaiton penuh yakin.
            “Mulalah nak buat dialog klise, dalam novel bolehlah.  Ini dunia nyata.  Cuba kau cermin diri aku ni? Apa yang kau nampak?” 
            “Novel? Bukan kita dalam dunia novel ke?  Kisah kita sedang ditulis ni,”  jelas Zaiton sambil menyengih.
            “Mulalah tu buat ayat poyo dia!” sergah Rose.  Bantal kecil di tangan dihempuk ke muka Zaiton.    Menjerit Zaiton dibuatnya.
            “Betullah aku cakap, berbalik kepada si Joe tu, memang dia suka kau, bercerita tentang cermin. Kalau aku cermin diri kau, tentulah nampak kau.”  Fikir Zaiton.
            “Hah! Tengok kulit aku dan kulit dia? Sepadan tak?  Tengok muka dia dan muka aku?  Sesuai tak?  Kalau tak secocok, jangan mimpilah.  Hanya orang buta warna dan buta matanya saja yang akan pilih aku tau!”  Bukan niat merendah diri tetapi itulah hakikatnya.
            “Kau ni merendah diri sangatlah!” Zaiton tidak setuju.  Rose memanglah tidak putih kulitnya, tetapi putih hatinya.  Jujur, ikhlas dan tidak hipokrit seperti sesetengah orang yang cukup cantik di pandangan mata.
            “Oi cik kak, waktu aku bekerja di Milinium dulu tu, Jaga Bangla kat tingkat bawah tu pun tak ingin nak  pikat aku, inikanlah lelaki sekacak Joe, macam ada yang tidak kena saja.  Baru beberapa hari jumpa aku, terus nak berkenalan, terus nak jadi sahabat, tak pelik ke?”  bebel Rose. 
            “Itulah kau, terlalu negatif sangat.  Cuba positif sikit.  Jangan pandang orang dengan pandangan syak wasangka.  Mana tahu, dia bukan jenis menilai paras rupa, tetapi memandang budi  bahasa,”  kata Zaiton penuh yakin.
            “Entahlah, hati aku tak selesa. Itu saja yang boleh aku cakapkan,”luah Rose.  Bukan sombong atau ego diri.  Perasaannya yang tidak enak melihat tingkahlaku Joe seperti orang terdesak.  Kalau perempuan tentulah faham, manalah tahu nak cari pak sanggup, buruk, tua atau muda main sebat sahaja. Ini lelaki, takkan terdesak cari isteri kerana nak warisi harta pusaka, syarat utama kena cari isteri yang tidak lawa seperti dirinya.  Logik tak? Fikir Rose sendiri.
            “Rose, jodoh pertemuan, ajal maut semua itu ketentuan ILAHI. Manalah tahu Joe adalah jodoh kau.  Kau tak boleh tolak semudah itu.  Cubalah berkawan dengan dia, kenal hati budi dia, lepas tu baru buat keputusan,” nasihat Zaiton.
            “Kejap, kejap, orang yang nasihat aku ni, dah berpunya ke?  Aku tak nak langkah bendul. Kau tu tua beberapa bulan daripada aku.  Tak baik tau kahwin dulu sebelum kakak,”  usik Rose.
            “Hah?  Banyaklah kau punya langkah bendul!  Orang cakap betul-betul, dia buat lawak tak lawak tu.” Zaiton menarik hidung Rose yang sedikit pencek itu. 
            “Betullah.  Nanti marah mak aku, kalau aku kahwin dulu daripada kau.  Mak aku pesan, biarlah Ton kahwin dulu, baru aku kahwin,” tipu Rose.
            “Ooo… mak cakap macam tu ya?  Meh, aku nak telefon mak tanyakan.” Telefon diambil, mula mendial nombor telefon emak Rose.
            “Kau buat apa tu,” sergah Rose dengan muka cemberut.
            “Tadikan kau suruh aku telefon mak kau!”
            “Mulalah tu nak mengadu, tak malu!”  Rose menjelirkan lidah.
            “Rose, cubalah berkawan dengan Joe tu, mana tau itu jodoh kau,” pujuk Zaiton, dia bukannya apa, kalau sudah ada orang berkenan dengan sahabatnya itu kenapalah tidak mencuba. Ketentuan ILAHI tiada siapa yang tahu.
            “Kau dah jadi jurucakap dia ke?”  Rose mengerling.
            “Bukan jurucakap  dia, tetapi penasihat peribadi kau.”
            “Nantilah aku fikirkan.” Matanya tepat ke arah peti televisyen yang menayangkan cerita menarik yang satu pun dia tidak faham.  Mana tidaknya, matanya sahaja yang melihat, tetapi fikirannya berlegar ke tempat lain.
            “Minggu depan kita balik kampung nak?”  ajak Zaiton. Rindu pula dengan masakan emak Rose yang enak di tekaknya itu. 
            “Minggu ni aku dah cuti, minggu depan mana boleh Ton. Kena bagi peluang kat orang lain pulalah.  Tak adillah.  Kau pun tahu restoran tu buka tujuh hari seminggu.”
            “Yalah… nanti kita balik juga ya, tak kiralah bila.”
            “Yalah Ton, aku pun tahu, kau tu mana ada emak dan ayah.  Aku faham sangat-sangat.”
            “Tahu tak apa, itu sebab aku sayang sangat dengan kau Rose.  Kau sedih, aku turut sedih, kau gembira, aku turut gembira.” 
            “Aku juga sayang kat kau Ton, hanya kau sajalah yang faham aku.  Susah senang dengan aku.  Jangan tinggal aku tau. Manalah tahu kita jadi andartu berdua.”  Rose ketawa deras. 
            “Uhuh… hoi! Doa tu… tak baik kau!” jerkah Zaiton.
            “Tak sanggup aku!” sambungnya lagi. 
            Rose menyengih.  Dia pun tidak sanggup, cakap mulut bolehlah . Tidak kisah jadi andartu, hakikatnya hanya ALLAH yang tahu. Naluri manusia biasa, inginkan belaian, cinta dan kasih sayang. Ingin berkeluarga, punya anak dan suami.  Persoalan yang sering dan kadangkala singgah di sanubari, siapakah lelaki malang yang sanggup mengambil diri ini menjadi isteri? Bukan merendah diri, tetapi belajarlah mengenal diri.  Jangan mengejar bintang di langit sedangkan rumput di tanah tidak pasti mampu dipijak atau tidak.
            Langit malam tetap suram dipandangan mata.  Kalau sudah gelap apa yang nak nampaknya?  Rose melihat kulitnya pula.  Semoga ada hikmah tersembunyi yang mampu di mengertikan sebagai manusia yang lemah dan jahil ini.  Semoga ALLAH SWT memberinya kekuatan untuk bertahan selagi nyawa dikandung badan.  Tahan daripada penghinaan dan sindiran.  Menangis keluar darah sekalipun, kulitnya tidak akan cerah.  Biarlah, sudah takdir ILAHI. Mungkin kalau kulit dia cantik dan mulus, dia akan jadi manusia yang bangga diri, sombong dan ego. Maklumlah cantikkan?  Itulah andaiannya terhadap diri sendiri.  Kalau dia sendiri tidak belajar menilai siapa dirinya, takkanlah nak tunggu sampai orang tegur baharu nak sedar. 
            “Esok kau kerja ya?”
            “Soalan apa tu?”  Rose menoleh.  Zaiton sudah nak terlena, padanlah keluar ayat  tidak ada makna.
            “Pergilah tidur, aku mana larat angkat kau masuk bilik.  Siram dengan air bolehlah.” Rose ketawa.
            “Kau tak nak tidur lagi ke?”  Zaiton terpisat-pisat bangun berdiri.
            “Kejap lagilah, tak mengantuk pun. Aku nak tonton rancangan yang menarik di televisyen.”
            “Okeylah… aku tidur dulu ya.”  Zaiton bergerak masuk ke dalam biliknya.
            Rose beralih menonton televisyen kembali.   Haikal?  Mana lelaki itu menghilang,  Sejak mereka keluar bersama, tidak lagi menelefon atau datang ke restoran.  Apa pula masalahnya kali ini?  Kena rantai dengan minah sengal itu agaknya.  Selepas diserang oleh  Ain, gadis itu pun tidak kelihatan lagi.  Hairan, hairan.  Ke mana pula mereka pergi?  Jangan saling berbunuhan sudahlah, Rose tersenyum sendiri, apalah yang ada dalam fikirannya, asyik nak bunuh orang sahaja. Uhuh… minta dijauhkan.    Dia bingkas bangun dan mematikan suis televisyen.  Dia belum solat isyak lagi.  Kena berdoa banyak-banyak agar dapat jodoh segera.  Semoga ALLAH SWT mengirimkan bidadara syurga untuknya, aamin…

No comments:

Post a Comment