AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 12 April 2017

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 48 - ASMAH HASHIM



Sejambak bunga di atas meja, mengamit kehadirannya.  Mahu tersembul biji mata, kalau tidak melekat di tempatnya.  Siapalah punya gerangan memberi bunga tanpa dipinta.  Baiknya hati, banyaknya duit dia.  Rose mendekati meja kerjanya.  Rakan setugas yang lain sudah senyum manja.  Majikan di dapur asyik menjengahkan kepala.  Ada senyuman bermakna di bibir  mongel majikannya.  Dirinya pula, berjuta persoalan yang sedang bermain difikiran.  Beg tangan dimasukkan ke dalam laci. Terus duduk memandang bunga yang tidak pandai berkata-kata tetapi pastinya bernyawa.  Nama pun bunga hidup.
            “Kak, pagi-pagi dah dapat bunga,”  kata Amirul budak dari Kelantan yang rajin bekerja dan tidak lokek tenaga. 
            “Siapa bagi? Akak rasa kedai bunga pun tak buka lagi, orang yang hantar bunga ni kutip kat mana agak-agak Mirul?”  soal Rose.
            “Ada ke kutip?  Belilah kak, bunga rose besar-besar pula tu! Hish… apalah akak ni.”  Amirul menggeleng laju sambil menyengih.  Dia menyambung kerjanya semula.
            Rose merenung jambangan bunga itu tidak berkedip. Selama dia hidup inilah pertama kali dia menerima jambangan bunga ros yang besar dan cantik ini.  Siapakah orang yang memberinya? 
            “Bukan main lagi adik akak ni, pagi-pagi ada kiriman bunga,” tegur Kak Milah yang baru keluar dari dapur.  Wajahnya berpeluh, mungkin baru lepas siap memasak.
            “Entah siapa yang bagi kak, tak ada nama pengirim pun,” jelas Rose.
            “Peminat kut,”  kata Kak Milah dan berdiri dikaunter juruwang.
            “Atau silap hantar,” teka Rose.
            “Takkanlah…”  Kak Milah mengerut dahi.  Dia turut membelek dan mencium bunga tersebut.  Seumur hidup belum pernah diberi sekuntum bunga pun. Romantik betul orang yang memberi bunga itu, desis hati kecilnya.
            “Amboi, amboi, pakat-pakat tengok bunga semua ya?” tegur Maznah. Urusan di dapur sudah selesai.  Bolehlah rehat sebentar. 
            “Sesekali tengok jambangan bunga hidup Maz, terujalah juga.” Luah Kak Milah.
            “Rose punya ya?”  tanya Maznah, wajah manis Rose dipandang.  Mereka saling tersenyum.
            “Kalau ikut nama tu, memanglah kak, tapi nama pengirim tak ada,” luah Rose. Siapakah gerangannya yang sudi menghabiskan duit membeli bunga untuknya.  Kalau  nak bagi sangat, belilah yang boleh ditanam, dalam pasu, letak di anjung apartmentnya pasti cantik. Ini sehari dua sahaja bertahan, selepas itu layu, buat apa? Kan membazir namanya.
            “Tak kisahlah, yang penting ada orang suka kat Rose tu,”  usik Maznah.
            “Suka kat saya? Nampak sangat orang tu buta warna atau memang buta,”  gurau Rose.
            “Hish… janganlah merendah diri sangat dik oi! Hitam-hitam kau, hati kau baik.  Ada orang putih melepak, cantik macam ratu cantik pun, kalau perangai macam hantu, buat apa?” leter Kak Milah.  Ada orang cantik paras rupa, tetapi budi bahasa tiada.
            “Yalah kak, nanti saya tinggi diri baru Kak Milah tau.”  Rose ketawa.
            Pengirim bunga itu masih lagi menjadi teka-teki.  Biarkanlah dulu, bunga itu bukan boleh lari pun.  Dia kembali mengeluarkan buku akaun restoran itu.    Dia mula mencatit jumlah perbelanjaan hari ini mengikut bil-bil belian yang diserahkan oleh Maznah kepadanya.  Berhenti mencatit bila ada orang datang membayar harga makanan dan minuman.
            “Assalamualaikum,” sapa Joe yang baharu tiba.  Dia tersenyum sambil matanya melirik  jambangan bunga yang terletak di atas meja kaunter juruwang.
            “Wa’alaikumsalam,” jawab Rose.  Lelaki ini lagi?  Jangan lupa, ini kedai kakak lelaki itu.
            “Dah makan, jom temankan saya makan?” ajak Joe, mukanya selamba sahaja menuturkannya.
            “Mana boleh, kan saya sedang bertugas. Kalau awak nak makan, pergilah makan.  Kakak awak pun ada kat belakang tu,”  suruh Rose. Mengada-ngada pula.  Siap nak berteman bagai.
            “Rose, kenapa awak nak jual mahal sangat? Saya memang suka kawan dengan awak dan ingin berkawan dengan awak.  Janganlah keras hati sangat.  Saya bukan nak permainkan awak,” jelas Joe. 
            “Saya bukan keras hati atau jual mahal, tapi saya rasa tak sedap hati, macam awak nak main-mainkan saya saja,”  terang Rose.  Adakah dia terlalu negatif dengan orang hanya kerana keadaan fizikal dirinya?  Dia sendiri bingung memikirkannya.  Lelaki itu terlalu kacak untuk dirinya. Biarpun Haikal kacak tetapi lelaki itu sudah lama dikenali.  Lagipun tiada apa antara dia dan Haikal.  Jadi, dia tidak pernah ambil peduli pun.
            “Tak baik awak bersangka buruk dengan saya, saya okeylah. Jujur dan ikhlas nak berkawan dengan awak.”  Joe meyakinkan gadis itu. Susah benar nak menembak  hati gadis itu.  Banyak sangat negatifnya. 
            “Okeylah, kita cuba kenal perlahan-lahan.  Jangan tergesa-gesa sampai awak nak jadikan saya tunang awak.” Akhirnya kata putus diambil.  Rose terpaksa mengalah.  Lelaki itu bagaikan tidak mahu mengalah.
            “Terima kasih Rose. Saya tidak akan sia-siakan peluang ni.  Awak pasti gembira kawan dengan saya. Pasti!” kata Joe penuh yakin.
            Rose menjungkit bahu, biarlah masa yang menentukan.
            Petang itu dia dikunjungi Haikal dengan wajah sebal.  Apa pula yang berlaku? Kena serang dengan Ain atau ada masalah kerja.  Dia baharu sahaja selesai menutup jualan di bahagian pagi.  Bermula pukul 7.00 pagi sehingga 3.00 petang.  Catitan jualan baharu akan dibuat bermula pukul 3.00 petang sehingga pukul 1.00 pagi.  Itulah rutin setiap hari.  Dia sudah ada pembantu juruwang baharu.  Jadi ringan sikitkan tugasnya dan boleh balik awal sikit. 
            “Lama tak datang?” sapa Rose dan membawa bersama tea ais kegemaran Haikal.
            “Sibuk sikit, awak apa khabar?” balas Haikal, tiada senyuman di bibirnya. 
            “Saya nak putuskan pertunangan saya dengan Ain!” kata Haikal lancar dan tidak tersangkut-sangkut.
            “Hah?” Rose menekup tangan ke mulutnya, terkejut.  Bukankah  sehari sebelum pertunangan mereka, bukan main lagi cakap cinta, sayang dan semuanyalah.  Tidak terucap oleh Rose. Kenapa pula nak putus tunang, sedangkan majlis perkahwinan mereka semakin dekat dengan tarikh yang telah ditetapkan.
            “Jangan buat terkejut pula? Awak bukan tak tahu perangai Ain  macam mana? Tak tahan saya!”  Haikal mengeluh keras.  Tea ais disedut menggunakan straw sehingga tinggal separuh. 
            “Tak baik awak buat dia macam tu, kita dah lama kenal, kita sekampung. Malu mak dia tau, dan malu juga mak awak.  Jangan buat perangai macam budak-budak,”  nasihat Rose.
            “Memang mak dia pun hari-hari malukan keluarga saya.  Mak saya dah tak tahan,”  cerita Haikal.
            “Salah awak juga, bagi syarat entah apa-apa!” marah Rose. 
            “Saya cuma nak dia berbaik dengan awak, susah sangat ke?”
            “Memang susah! Awak kena bagi dia peluang lama sikit, begitu juga dengan saya, tak sewenang-wenangnya saya boleh berbaik dengan dia, awak takkan faham Haikal.”  Rose mengeluh keras.  Haikal tidak akan faham.  Hubungan sesama manusia yang sudah lama bermusuh, bukan boleh hanya baik dalam tempoh sehari,  perlukan masa juga.  Biarlah masa menentukan.  Jangan ada paksaan. 
            “Saya nak dia jadi manusia berhati bersih, suci,”  jelas Haikal keinginan hatinya, impiannya.
            “Kahwini dia, lepas itu awak bentuk dan didiklah dia.  Jangan lepaskan tanggungjawab awak hanya kerana masalah yang awak cipta sendiri.”  Sebagai sahabat itulah tanggungjawabnya, bukan jadi batu api memisahkan dua insan yang pernah jatuh cinta  dan mungkin masih lagi punya perasaan sesama sendiri. Keegoan membuatkan mereka jadi keras hati dan tidak mengaku kesalahan sendiri. Masing-masing tidak mahu mengalah.
            “Rose, kenapa awak baik sangat?”  Haikal memandang wajah polos itu. 
            “Saya biasa saja Haikal. Kita manusia, tidak sempurna, awak ada kekurangan dan kelebihan begitu juga saya dan Ain.  Kita punya pilihan, nak jadi baik atau jahat.  Terpulang kepada diri sendiri,”  jelas Rose.  Dia bukannya baik sangat. Ada masa dia akan mengamuk, marah orang, tengking orang lain.  Itu lumrah jika hati sudah sakitlah. 
            “Saya sendiri tak tahu nak buat apa?” keluh Haikal.
            “Jumpalah dengan Ain, ajak berbincang baik-baik.  Minta maaf, mudahkan?” 
            “Terima kasih,”  ucap Haikal.  Lega hatinya, tenang fikirannya. 
            “Tak ada masalah.  Kitakan sahabat.” Rose tersenyum.
            “Awak memang sahabat sejati!’ puji Haikal.  Entah kenapa tiada perasaan terhadap gadis itu.  Biarpun mereka lama berkawan tetapi hanya mampu sebagai kawan dan sahabat, dia sayangkan Rose, tipulah kalau tidak sayang.  Tetapi menjadikan gadis itu sebagai pasangan hidupnya, terlalu jauh jangkauannya.  Mungkin Rose juga begitu. Lagipun mereka tidak pernah berbincang soal hati masing-masing.
            “Saya hanya menjalankan tanggungjawab saja.  Baliklah ke kampung, selesaikan urusan perkahwinan awak. Jangan lupa jemput saya.” 
            “Awak bila lagi?” Haikal menelan air liur sendiri.  Soalan perangkap yang akan memalukan Rose.
            “Biarlah masa yang menentukannya,” jawapan jujur daripada Rose.

No comments:

Post a Comment