AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 29 April 2017

Hitam-hitam Si Tampuk Manggis- Bab 49 - Asmah Hashim



Mak Limah mencekak pinggang.  Dia tidak dapat menahan kesabaran lagi.  Anaknya nak dipermainkan. Mana boleh diam.  Ini sudah lebih.  Ain pula masih dengan keegoannya.  Langsung tidak mahu cuba menghubungi Haikal.  Lelaki itu pula senyap, sunyi sepi tanpa berita.  Malam hari pun riuh dengan suara cengkerik.  Dia mendengus kasar.  Wajah bakal besannya dipandang kecil, besar, kecil besar sahaja.  Kalau ikut hati marah, mahu sahaja mereka bergusti.  Biar sama-sama tengok, siapa yang kuat.
            “Baliklah Kak Limah, malulah orang tengok,” pujuk Hanum. Tidak pasal-pasal jadi orang tengah. 
            “Aku takkan balik selagi masalah ni tak selesai!” kata Mak Limah masih bertegas.  Perkara ini melibatkan maruah anak gadisnya.  Masa depan anak gadisnya. Mana boleh ambil mudah.  Waktu suka, masuk meminang. Bila tidak suka tinggal macam itu sahaja.  Nasib baik maruah dan harga diri anaknya tidak disentuh, kalau tidak! Mahu dia tetak Haikal dengan parang.  Biar mati terus!
            “Kita tunggu Haikal balik, kita selesaikan baik-baik,” pujuk Seman pula.  Pening juga bila janda sama janda bergaduh ini. 
            “Bila dia nak balik?” jerkah Mak Limah.
            Hanum dan Seman memandang wajah Hajah Mona yang sudah duduk keletihan bertengkar dengan bakal besannya.  Nasib baik mereka lalu di hadapan rumah Hajah Mona. 
            “Kau minta tolong Rose, tanyakan mana Haikal?  Berhari-hari aku telefon, dia tak angkat,” pinta Hajah Mona terbatuk-batuk kecil.
            “Kenapa pula? Rose ada jumpa Haikal ke?” tanya Hanum kehairanan.  Kenapa anaknya pula yang dilibatkan? 
            “Entahlah, aku pun tak tahu Hanum, kau cuba tanyakan saja.”  Hajah Mona mengeluh. Dia sendiri tidak tahu harus berbuat apa. 
            “Bang!”  Hanum memandang wajah suaminya.
            “Abang telefon Rose sekarang!” Seman menjauhkan diri daripada para wanita yang masih dalam keadaan panas itu, bukan panas cuaca tetapi perasaan masing-masing.
            Seman menelefon Rose dan bertanyakan Haikal.
            Sebal, sebu, marah, geram, sakit  hati semuanya ada di hatinya.  Kerja sedang melambak, mahu atau tidak terpaksalah dia bergegas balik ke kampung.  Apa yang telah berlaku?  Kata-kata Rose tadi membuatkan  dia seram sejuk.  Betulkah Mak Limah menyerang emaknya?  Takkanlah sampai macam itu sekali?  Tidak bolehkah mereka berbincang elok-elok?
            Dua jam memandu akhirnya sampai juga ke kampung halamannya.  Di laman rumah tiada sesiapa.  Tenang dan damai seperti selalu. Kemas dan bersih.  Pokok-pokok bunga yang ditanam oleh emaknya membesar segar dan sihat.  Pohon yang berbunga, meriah mengeluarkan bunganya.  Pokok-pokok buah-buahan juga tumbuh subur.  Dia memarkirkan keretanya di hadapan pintu rumah.  Dia bergegas keluar.  Salam diberi dan terus melangkah masuk.  Pintu tidak berkunci.
            “Haikal!” sapa Hajah Mona yang baharu keluar dari bilik solat di dalam rumahnya.  Wajah Haikal ditatap seketika.  Dia mendekati.  Di tariknya telinga anak lelakinya itu.
            “Apa ni mak?  Malulah orang tengok!”  Haikal berusaha menolak jari-jemari emaknya yang masih di telinga.
            “Tahu malu?  Mak di sini tak malu? Haikal biarkan anak orang tanpa khabar berita.  Apa Haikal buat ni? Dulu bukan main lagi, paksa mak masuk meminang, Sekarang kenapa buat macam ni?” leter Hajah Mona.  Siapa yang tidak geram.  Orang kampung sudah mengata.  Buruk nama diri sendiri juga.  Nak bertegas sekalipun, biarlah berbaloi. Ini tidak, menyusahkan lagi adalah.
            “Maafkan Haikal!” Hanya itu yang mampu meluncur keluar dari mulutnya. 
            “Mak dah penat Haikal, cuba bagi kata putus?  Jiran tetangga dah bertanya.  Tarikhnya Haikal sendiri yang tetapkan, tapi kenapa tangguhkan?”bebel Hajah Mona.
            “Haikal benar-benar minta maaf.  Haikal akan perbaiki keadaan. Mak jangan risau ya.”  Haikal sedar kerana sikap tergopoh-gopohnya dia telah bertindak melakukan sesuatu yang membuatkan emaknya dimalukan.    Ketegasannya tidak kena dengan tempat.  Dia salah membuat perhitungan.  Hati yang tercalar bukan mudah untuk ditenangkan.  Hati yang sakit bukan mudah untuk diubat.
            “Ain ada di rumah emaknya.  Pergilah pujuk dia. Jernihkan kembali hubungan Haikal dan dia. Mak tak nak Haikal dituduh tak bertanggungjawab,” luah Hajah Mona. 
            Haikal hanya mengangguk. Dia faham, semuanya ini salah dirinya sendiri.  Konon nak mendidik tetapi tidak kena cara dan gaya.  Akhirnya memakan dirinya sendiri.  Berkeras dan berkasar tidak mengubah keadaan. Malah merumitkan lagi.  Hati dan perasaan tunangnya pasti terluka.  Mampukah dia memujuk dan menjernihkan keadaan.
            Usai berbincang dengan emaknya. Haikal terus ke rumah Ain.  Dia berharap tunangnya itu tidak menyimpan dendam terhadapnya.  Dia masih sayangkan Ain, itu yang pasti, Cuma… sikap degil gadis itu membuatkan hatinya sakit.
            Langkah diatur penuh lambat. Bimbang diserang oleh bakal mertuanya yang terkenal dengan garangnya.  Mahu kena belakang kayu beluti.  Dia membaca doa-doa pendek yang dia tahu untuk menangkis perasaan marah  bakal mertuanya itu.  Jangan main-mainlah, tidak pasal-pasal kena ganyang nanti.
            “Hah! Terhendap-hendap macam pencuri?  Apa hal kau datang?” sergah Mak Limah garang.  Dia mencebik.  Haikal dihampiri yang sudah sedia menunggu di muka pintu.
            “Nak jumpa Ain, Mak Limah,” beritahu Haikal dengan mengharap.
            “Kau kena selesaikan dulu masalah kau dengan aku.”          
            “Masalah apa pula Mak Limah?”  Haikal mendengus kasar. Masak dia kali ini.  Apa pula orang tua ini nak lakukan dengannya.  Kalau kena sembelih, terima sahajakah? Uhuh… dia tidak mahu mati begitu.
            “Kau ni sebenarnya, nak kahwin dengan anak Mak Limah atau tidak?” tanya Mak Limah sambil kedua tangannya di pinggang.
            “Erk… tentulah nak!” jawab Haikal ikhlas. Kalau tidak, takkanlah dia meminang Ain.
            “Habis tu, kenapa kau tinggalkan dia?” tengking Mak Limah.
            “Ala, gaduh-gaduh sayang saja Mak Limah.”  Haikal menyengih.
            “Gaduh-gaduh sayang?  Telefon tidak, ajak jumpa tak nak, itu gaduh-gaduh sayang?” tempelak Mak Limah. Tidak faham dengan perangai anak muda zaman ini. Egonya tinggi.
            “Berselisih pendapat, biasalah.  Kita bukannya sama, masing-masing ada pendapat sendiri, tapi sampai nak putus, tak nak kahwin, apa ceritanya?  Nak malukan kami ke?”
            “Taklah sampai macam tu Mak Limah,” nafi Haikal. Tidaklah sampai berniat nak memalukan sesiapa. Kalau Mak Limah dan Ain duduk diam-diam dan tidak buat kecoh, pasti hal tersebut tidak berlaku dan tiada siapa yang malu. Ini tidak, satu kampung dijajakan cerita.  Jadi, siapa yang memalukan siapa?
            “Awak datang nak apa? Pergilah cari si hitam tu!” jerkah Ain yang terpacul di muka pintu dengan mula sebal dan berserabut.
            “Kenapa salahkah Rose pula? Dia tak ada kena mengena dengan hal kita,” bantah Haikal.
            “Tak ada kena mengena? Syarat yang awak buat tu untuk apa? Untuk siapa?” jerkah Ain geram.
            “Maaflah, silap saya.  Saya tarik balik syarat tu.”  Haikal tersenyum.
            “Dah terlambat!” rajuk Ain.  Senang-senang suruh dan paksa lepas tu senang-senang sahaja Tarik balik.  Dia yang berendam air mata sehingga basah kuyup, entah ada lagi air mata entah tidak, siapa  nak ganti?  Jelingnanya tajam menikam mata Haikal.
            “Jangan macam tu, penat-penat saya datang dari jauh nak pujuk awak!’  Haikal mendengus kasar.  Merajuklah pula.
            “Awak dah susahkan saya, awak tak hubungi saya, panggilan saya awak tak jawab. Datang sini, senang-senang saja minta saya maafkan awak?” tempelak Ain geram. Lelaki memang mudah sahaja permainkan perasaan orang perempuan.  Tidak fikirkan langsung perasaannnya yang terluka.
            “Kalau awak merajuk, awak juga yang rugi.  Kalau saya pergi dari sini, dan saya ajak Rose kahwin, agak-agak… awak suka tak?” usik Haikal.
            “Hah? Apa? Awak nak kahwin dengan Rose?  Awak jangan nak malukan saya!” marah Ain geram.
            “Ikut suka awaklah! Saya malas nak layan orang rajuk merajuk ni!”  Haikal mula melangkah mendekati keretanya.
            “Ain!” jerkah Mak Limah.  Apalah budak-budak ini, merajuklah, marahlah. 
            “Hish…”  Ain mencebik.  Dia mengikut langkah Haikal.  Orang lelaki! Bencinya! Jeritnya dalam hati.
            “Haikal!”  panggilnya.
            Haikal menoleh.
            “Kenapa?” tanya Haikal.
            “Maafkan saya juga.” Akhirnya Ain mengalah. Daripada kehilangan Haikal ke tangan   dudak hitam itu, biarlah dia mengalah dahulu.
            “Macam tulah… merajuk lama-lama rugi tau,”  gurau Haikal.
            “Banyak awak punya rugi!”  Ain menjeling.
            “Jom jalan ke bandar Tanjung Karang atau kita ke Kuala Selangor.  Giant ke?  Tesco ke? Atau makan Soto Pasir Penambang,” ajak Haikal.
            “Uhuh…”  Ain memandang ke arah lain.
            “Tak nak sudah, saya ajak Rose ikut.” Haikal membuka pintu kereta.
            “Yalah, tunggu saya siap!”  Ain menghentak kaki ke lantai.
            Haikal menyengih.  Gadis cantik, buat apa pun cantik, walaupun merajuk.  Nasib baik hati masih sayang, detik hati kecilnya. Matanya menyorot langkah  Ain sehingga menghilang ke dalam rumah. Keluar semula beberapa minit kemudian dengan berbaju kurung.  Hai, sopan sangatlah pula hari ini.    Haikal tersenyum. Orang perempuan bukan susah nak dipujuk.  Senyuman semakin melebar di dalam hatinya. Biarlah hatinya sahaja yang berlagu riang. 

No comments:

Post a Comment