AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 29 April 2017

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 50 - ASMAH HASHIM



Hubungan Joe dan Rose semakin mesra.  Dalam hati mula ada taman yang berbunga kembang, mekar dan subuh, mewangi dan segar baunya.  Rose tidak dapat menolak kebaikan dan keikhlasan yang ditunjukkan oleh Joe.  Lelaki itu pandai memujuk dan mendekati perasaannya.  Selama ini hatinya diikat teguh agar tiada perasaan atau jatuh hati dengan mana-mana lelaki, kerana dia tahu kehadiran mereka di sisinya hanya kerana simpati, tidak lebih dari itu. Mungkin juga Joe juga begitu.  Rose juga menarik nafas lega kerana Haikal dan Ain sudah berbaik semula. Kad undangan perkahwinan mereka juga sudah berada di tangannya.  Dia hanya mampu mendoakan kebahagian mereka berdua. Jika ditakdirkan hubungannya dengan Ain tidak akan baik sampai bila-bila, dia tidak akan meminta lebih daripada Haikal.  Sebagai sahabat, dia hanya ingn melihat Haikal bahagia.
            “Kita dah berkawan, dua bulan lebih.  Saya rasa bahagia sangat,” luah Joe. Dia merenung wajah polos Rose.  Biarpun mereka sudah mesra tetapi gadis di hadapannya itu masih  malu-malu.  Masih menjaga adab sopan sebagai gadis Melayu dan beragama Islam.  Tidak mengambil kesempatan terhadap dirinya.
            “Terima kasih kerana sudi berkawan dengan saya,” ucap Rose.  Dia menunduk, tidak sanggup bertikam pandangan dengan lelaki itu.
            “Saya yang sepatutnya ucapkan terima kasih.”  Joe menyengih.
            “Tak kisahlah!” 
            “Saya dah bincang dengan Kak Maznah.  Saya nak meminang awak,” kata Joe serius.
            “Meminang saya? Awak biar betul?  Janganlah serius sangat.”  Terlopong mulutnya. Terjojol matanya.  Kalau semua anggota itu tidak melekat di tubuh sudah pasti bertaburan di tanah akibat terlalu terkejut.
            “Betullah! Janganlah terkejut sangat.  Biasalah kalau lelaki dan perempuan berkawan.  Akhirnya akan diusahakan  sampai ke jinjang pelamin pula,” jawab Joe.
            Rose menyandar di kerusi. Makanan yang terhidang terasa tidak enak lagi.  Tidak tahu nak berkata apa?  Memang dia terkejuta, terkesima entah Ter-  apa lagi.    Adakah lelaki di hadapannya sedar apa yang dituturkan?  Berkawan, mungkin  mereka boleh, tetapi sampai berumahtangga, dia bagaikan tidak yakin dengan kata-kata lelaki itu.  Mahukah  Joe beristerikan  gadis hitam sepertinya? 
            “Awak jangan main-main, ini libatkan maruah dan harga diri saya tau.” Rose kurang yakin.
            “Awak tak yakin dengan saya?” soal Joe dengan pandangan penuh mengharap.
            “Bukan tak yakin, tapi…” Apa yang harus dia katakan?  Benarkah?  Inikah takdir untuknya? Adakah Joe memang jodohnya?  Seram sejuk memikirkan perjalanan rumah tangganya nanti. Mahukan Joe menerima dirinya, seadanya. 
            “Rose, kita sama-sama bina mahligai bahagia kita ya?” Joe memandang tepat ke dalam anak mata Rose yang keperangan itu.  Pandangan mereka bersatu.
            Bergetar jantung Rose.  Adakah dia bermimpi? Lelaki sekacak Joe nak mengambilnya sebagai isteri?  Ya ALLAH, jangan Kau uji diri hambaMu ini dengan ujian yang tidak mampu dihadapi, doa Rose di dalam hati.  Bibirnya bergetar, menahan sebak di hati. 
            “Rose? Awak okey ke?” Joe berkerut dahi memandang wajah pucat Rose.  Takkan sampai begitu sekali reaksi gadis itu bila diajak berkahwin.  Memang terujalah itu.
            “Sss… say… saya okey.” Tergagap-gagap dia menuturkannya.  Apa yang harus dia lakukan, menangis, ketawa atau menjerit?  Mengelabah perasaannya.  Tidak tahu harus berbuat apa.  Layakkah dia yang hitam dan tidak cantik itu bergandingan dengan Joe yang kacak, kulit kuning langsat dan bergaya orangnya.  Rasa tidak sesuai sahaja.  Terasa diri ini kerdil ketika berada di samping lelaki itu.
            “Hujung minggu ini saya suruh Kak Maznah pi meminang awak.  Kita pergi beli cincin dulu,” kata Joe perlahan.
            “Hah? Cepatnya?”  sekali lagi jantungnya bergetar laju.
            “Lagi cepat, lagi bagus.  Tak sabar nak jadi suami awak,” luah Joe bahagia.
            “Hah?” Rasa jantungnya sudah luruh ke kaki.  Lelaki ini benar-benar menerujakan. Tindakannya agresif semuanya.  Boleh pitam kalau asyik teruja dan terkejut.
            “Ikut suka awaklah, nanti saya bagi tahu keluarga saya.  Tidaklah mereka terkejut melihat Kak Maznah datang.”  Rose mengeluh berat.  Seronok ada bimbang pun ada.
            “Terima kasih sayang,” kata Joe sambil melakarkan senyuman  nipis buat Rose yang bakal menjadi teman hidupnya. 
***
            “Hah? Apa? Biar betul? Tak sangka? Aku memang tak sangka? Tak percaya?”  kata Zaiton apabila disampaikan berita oleh Rose yang Joe nak meminangnya.
            “Kau jangan main-main soal nikah kahwin ni Rose, betul ke? Dia tak tipukan?” soal Zaiton lagi.  Dia pula cemas mendengarnya.  Betulkah lelaki itu benar-benar cinta dengan sahabatnya itu. Lelaki itu terlalu kacak untuk Rose.
            Rose terdiam seketika.  Bukan mudah untuk menilai hati manusia.  Tidak mungkin Joe akan menipunya dalam soal nikah kahwin.  Apatah lagi melibatkan kedua-dua belah keluarga, yang akan meminang pula adalah majikannya, kakak Joe, Kak Maznah.  Orang yang amat dikenali dan baik budi pekerti.  Bolehkah dia tidak percaya?
            “Rose!” Zaiton menolak tubuh Rose yang termenung jauh.    Risau memikirkan hal tersebut. Kalaulah lelaki itu ikhlas tidak mengapa.  Bagaimana jika sebaliknya. 
            “Kau tak suka aku kahwin ke Ton?”  Rose memandang wajah Zaiton, sahabat dunia dan akhirat.
            “Mana boleh tak suka. Tentulah aku suka, tapi…”  Zaiton mengeluh.  Lelaki itu terlalu kacak untuk sahabatnya itu.  Benarkah lelaki itu benar-benar suka dengan Rose yang hitam metalik itu.  Cabulnya mulut dia.  Kalau Rose dengar bisik hati kecilnya, tentulah  bertambah kecil hati sahabatnya itu.
            “Apa tapinya Ton? Kau tak percaya ada lelaki kacak suka dengan aku?” Rose mengeluh.
            “Rose, kau taukan, aku sayang sangat dengan kau.  Kau dah macam adik aku sendiri tau.  Walaupun hakikatnya kita sebaya.  Aku tak nak tengok kau kecewa!” ujar Zaiton. Itulah yang ada di dalam hatinya.  Semoga kebimbangannya tidak berasas. Hanya mainan perasaan yang tidak akan mengubah apa-apa.  Apa yang diharapkan agar sahabatnya itu benar-benar berjumpa dengan kebahagiaan.
            “Kau doakan kebahagian aku ya Ton? Bukan hanya lima waktu tau, tapi setiap masa, boleh tak?”  Rose memeluk Zaiton erat.  Sayu dan pilu perasaannya.  Kalaulah benar Joe adalah jodohnya, dia akan terima dengan hati yang terbuka.  Biarlah keadaan dan masa yang menentukan kehidupan rumah tangganya sampai ke mana.  Bukan mendoakan yang tidak baik, tetapi sediakan payung sebelum hujan.
            “Sudah semestinya Rose, kau pun doakanlah untuk aku, supaya cepat dapat jodoh,”   Zaiton menyengih. 
            “Kau pun gatal nak kahwin?” usik Rose.
            “Kau ingat, kau sorang saja nak berlaki? Aku tak payah?” sergah Zaiton.
            “Gatal juga sahabat aku ni ya.” Rose mengenyit mata. 
            “Ala… biasalah  kan…”  Zaiton menyengih.
            “Semoga kebahagian milik kita bersama, aamin…” doa mereka serentak.

No comments:

Post a Comment