AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Monday, 1 May 2017

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 51 - ASMAH HASHIM



Haikal merenung wajah Rose.  Akalnya ligat berfikir.   Rose akan dipinang orang?  Gembirakah dia?  Risaukah dia? Berita yang disampaikan Rose sebentar tadi membuatkan lidahnya kelu untuk berkata.  Sememangnya dia terkejut.  Tidak menyangka sama sekali, ada juga orang yang suka dengan sahabatnya.  Baguslah jika lelaki yang bakal menjadi suami Rose menerima  sahabatnya itu seadanya. 
            “Kau tak nak ucap tahniah kat aku ke? Kenapa diam saja, kau tak suka?” 
            “Hah?”  Haikal tersenyum. Jauh pula dia mengelamun. 
            “Kau cakap apa tadi?”  tanya Haikal semula.
            “Aku tanya, kau tak nak ucapkan tahniah kat aku ke?”  soal Rose sekali lagi.
            “Tahniah Rose, aku tumpang gembira.  Tak sangka kita akan berkahwin dalam tahun ini juga.” Haikal menyengih. Hubungannya dengan Ain sudah pulih sediakala.  Dia tidak akan memaksa bakal isterinya berbaik dengan Rose. Biarlah masa yang menentukannya.
            “Terima kasih Haikal.”  Rose memandang ke arah lain.  Restoran Selera Melayu lengang ketika itu.  Selepas asar baharu akan ada pelanggan semula.
            “Aku harap kau akan bahagia dengan si dia.  Bila kau nak kenalkan aku dengan lelaki tu?” 
            “Selalunya waktu begini dia akan datang.  Kenapa hari ni tak datang pula,”  jelas Rose.
            “Tak apalah, nanti aku akan kenal juga.”  Haikal menghabiskan air minumnya.  Dia tersenyum gembira.  Akhirnya sampai juga jodoh sahabatnya itu.  Tidak sangka ada juga lelaki yang baik dan sudi mengambil sahabatnya itu sebagai isteri.  Memang hebat lelaki itu.  Tidak sabar untuk dia mengenali lelaki yang berhati  mulia itu.
            “Kau pula, bila majlis langsungnya?”  Rose  sempat mengamit pelayan restoran untuk mengambil pesanan pelanggan yang baharu sahaja melangkah masuk.
            “Awal bulan 12, kau jangan lupa pula, sebulan saja lagi,”   jawab Haikal.  Majlis yang telah ditetapkan tarikhnya sewaktu dia dan Ain bertunang lagi.  Segala persiapan sudah pun bermula. Pakaian juga sudah ditempah. Kursus perkahwinan sudah dihadiri. Pendek kata, banyak urusan untuk majlis pernikahannya sudah  selesai. Hanya menunggu harinya sahaja.  Emaknya dan bakal mertua tidak lagi membebel dengannya.  Lega sikitlah hatinya dan kepala pun tidak berserabut.
            “Alhamdulillah…  semoga kau dan Ain berbahagia sehingga ke Jannah,” ucap  Rose, dia tumpang gembira mendengarnya.  Kebahagian Haikal, kebahagian dia juga.  Dia sayangkan Haikal tetapi tiada rasa cinta untuk lelaki yang sudah dianggap sebagai keluarga sendiri.  Mungkin kerana dia berasa kekurang diri menyebabkan hatinya langsung tidak terbuka untuk lelaki itu. 
            “Assalamualaikum…!” sapa Joe yang baru sahaja sampai.  Dia mengerut dahi melihat Rose duduk dengan seorang lelaki yang amat dikenali.  Rakan sekolejnya waktu di luar Negara.
            Rose dan Haikal menjawab salam serentak.
            “Joe!”
            “Haikal?” 
            Mereka saling berpelukan. 
            Rose kehairanan, kedua lelaki itu saling mengenali? 
            “Hey, duduklah…” pelawa  Haikal.  Riang benar hatinya dapat bertemu semula dengan rakan sekuliahnya. 
            “Bila kau pulang ke tanah air?” tanya Haikal, matanya tidak lepas daripada memandang wajah Joe yang semakin kacak dan kemas penampilannya. 
            “Sudah beberapa bulan, kau pula buat apa kat sini?”  soal Joe pula.  Dia mengerling ke arah Rose yang memerhati dia dan Haikal.
            “Lawat sahabat aku waktu sekolah dahulu, Rose, jiran sekampung aku.” Haikal memperkenalkan Rose kepada Joe.
            Joe dan Rose ketawa nipis.
            “Kenapa? Kau dan Rose saling kenal ya?” Haikal memandang wajah mereka silih berganti.
            “Joe ni, adik kepada majikan aku,” jawab Rose dengan mata bersinar.
            “Bakal suami Rose,” sambung Joe selamba.
            “Hah?”  Haikal sedikit terkejut.  Joe bakal suami Rose? Sekali lagi dia terdiam dan terkedu mendengarnya.
            “Biar betul?” Haikal masih lagi tidak percaya.  Sukar juga nak menerimanya.
            “Kenapa, tak percaya?”  tanya Joe dengan muka masih lagi selamba.
            “Bukan tak percaya, tapi tak sangka.” Senyuman Haikal hambar dan tidak bergula.  Kurang manis dan langsung tidak menarik hati. 
            “Kau kenapa Haikal?” Rose mengerut dahi.
            Joe menyengih.  Matanya tajam menikam wajah kenalan lamanya itu.
            “Semoga kau benar-benar dapat membahagiakan Rose, Joe.  Dia sahabat aku sejak kecil.  Aku tidak mahu hatinya dihancurkan,” pesan Haikal serius. 
            “Kau macam tak suka saja?”  Joe menyandar di kerusi. Pandangannya panas memandang Haikal yang kelihatan serba salah.
            “Hish… mana boleh tak suka.  Rose dapat seorang lelaki yang baik, kacak dan berpelajaran.  Bukan mudah dapat lelaki sebaik kau untuk dijadikan seorang suami,” puji Haikal jujur.  Setahunya Joe memang seorang lelaki yang baik dan sopan selama mereka belajar bersama.
            “Alhamdulillah…”Joe menarik nafas lega.
            Rose tersenyum panjang.
            “Tak sangka  betul ya?”  Haikal menepuk bahu Joe.  Mereka saling berbalas senyuman. 
            “Kenapa?  Kau hairan, aku pilih Rose sebagai teman hidup?” 
            “Taklah, tak sangka kita akan jadi jiran sekampung.” Haikal ketawa.
            “Yalah, kan.  Minggu depan  kakak aku akan masuk meminang si manis ni.  Kau hadirlah sama,” ajak  Joe.
            “Alhamdulillah… terima kasih Joe. Kau memberi harapan kepada sahabat  aku ni.”
            “Dia telah memberi sinar kepada hidup aku yang kosong ini,”  puji Joe, matanya tidak henti-henti memandang wajah Rose yang malu-malu itu.
            “Jangan puji saya sangat. Kang kembang tubuh badan saya, jenuh awak nak bela nanti,” gurau Rose.
            “Tak apa, kakak saya yang bagi awak makan,”  usik Joe.
            Serentak mereka ketawa.  Mereka bertukar cerita, kisah dahulu kala menjadi halwa telinga.  Sembang lama tidak terasa kerana terlalu gembira.    Hubungan terjalin, biarlah kekal abadi.  Kekal di hati, kekal di sanubari. Kekal selamanya sehingga ke syurga.
            Pelanggan mula ramai mengisi ruang restoran yang ada.  Rose mula melangkah membantu mana yang perlu.  Jika Maznah tiada, dialah mengambil alih menjaga pengurusan restoran.  Haikal dan Joe menyambung cerita.  Dia tidak mahu mengganggu bicara mereka.
            “Aku harap kau tak kecewakan Rose, Joe!” pesan Haikal sekali lagi.  Wajahnya muram dan suram.  Bimbang bertahta di hati, tanpa di pinta.
            “Kau jangan bimbanglah.  Takkan kau tak kenal aku? Takkan aku nak buat macam tu,” nafi Joe.  Dia menunduk seketika.  Memandang kembali wajah kenalannya itu.  Dia melakaran senyuman.
            “Dia sahabat aku Joe.  Aku tak nak tengok dia kecewa, aku tak sanggup tengok hatinya hancur,” luah Haikal.  Biarpun dia tahu, Rose seorang yang kuat semangat, tetapi sekuat-kuat Rose, dia tetap seorang perempuan yang lembut hatinya.
            “Haikal, berapa kali aku nak ulang.  Kau jangan bimbang.  Aku akan jaga dia dengan baik,”  janji Joe. 
            Haikal mengangguk tanda faham.  Dia juga berharap begitu.

No comments:

Post a Comment