AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 3 May 2017

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS- BAB 52 - ASMAH HASHIM



Seman dan Hanum tersenyum bahagia ketika cincin bertahta berlian tersarung di jari manis anak gadis mereka.  Air mata Hanum gugur juga.  Tidak tertahan rasanya melihat anak gadisnya yang hitam itu ada juga yang sudi menyuntingnya.  Bukan menghina anak sendiri, tetapi itulah hakikatnya.
            Ramai jiran tetangga datang meraikan hari yang penuh bersejarah bagi keluarga  Rose.  Haikal juga pulang untuk meraikan saat yang penuh bermakna itu.  Kicauan burung serindit bernyanyi riang meraikan majlis pertunangan tersebut.  Hantaran sembilan dulang berbalas sebelas.  Duit mas kahwin dan hantara tidak ditetapkan oleh keluarga Rose, terserah kepada pihak lelaki.  Ada yang sudi mengambil Rose sebagai isteri pun sudah bermakna buat mereka. 
            “Entah-entah lelaki tu buta agaknya?”  kata Mak Limah yang turut berada di majlis itu.
            “Apa Mak Limah cakap macam tu, kita doakan yang baik-baik saja buat Rose.  Dia anak kampung ni, macam anak kita juga kak,”  kata salah seorang tetamu yang turut hadir bersama di majlis itu. 
            Mak Limah mencebik.  Para tetamu wanita yang berada di ruang tamu hanya menggelengkan kepala. 
            “Tengoklah, berapa hari rumah tangga dia nak bahagia.” Mak Limah menjeling tajam ke arah Rose yang duduk bersimpuh di atas singahsana yang dibuat khas untuknya.  Maznah sedang mengucup  pipi bakal adik iparnya itu.  Mereka berpelukan. Meluat pula dia melihatnya.
            “Kenapalah akak cakap macam tu Kak Limah?” tegur Hajah Mona yang duduk berhampiran bakal besannya.  Dia mengeluh kesal. Sikap bakal besannya itu tidak pernah mahu berubah. Mulut nak berkicau sahaja, macam burung.  Kalau boleh ditampal plaster, mahu sahaja dia melakukannya.
            “Budak hitam legam macam tu, siapa nak buat bini?” soal Mak Limah.  Riuh suaranya hampir didengari oleh tetamu yang hadir. Serentak mereka memandang ke arah Mak Limah.
            “Syyy…” Haikal meletak jari ke bibirnya.  Dia mengerling bakak mertuanya.  Dia menggeleng kesal.  Kalaulah Ain macam itu setelah tua, mahu sahaja dia kurung di dalam rumah, tidak payah bergaul dengan orang.  Hanya tahu bawa mulut dan menceceh sahaja.
            Hanum menarik nafas lega apabila tetamu sudah pulang ke rumah masing-masing. Majlis pertunangan sudah selesai. Tinggallah jiran-jiran yang rapat dan adik beradik sahaja.  Tiba masa untuk kemas mengemas pula.  Rose sudah masuk ke bilik menyalin pakaian.  Haikal pula membantu membasuh periuk belanga.  Hajah Mona membungkus lauk pauk yang masih berbaki untuk diberi kepada jiran tetangga yang datang membantu.  Mak Limah awal lagi sudah pulang.  Lebih baik begitu, kalau tidak sakit telinga dan sakit hati.
            “Alhamdulillah Hanum, aku tumpang lega,” luah Hajah Mona, wajah sahabatnya itu dipandang lama.  Ada air jernih di mata Hanum.  Air mata gembira agaknya.
            “Yalah Mona, selesai mereka bernikah nanti, barulah aku boleh tarik nafas lega.”  Hanum mengesat  air mata yang masih berbaki.  Sebak dadanya memandang wajah gembira Rose sewaktu menghantar tetamu sebelah lelaki pulang.
            “Kita doakan yang baik-baik saja Hanum. Nampaknya tahun ini, kita dapat menantulah ya?”  Hajah Mona tersenyum.  Sekurang-kurangnya Hanum tidak ada besan. Kalau setakat kakak pihak lelaki, nampaknya baik orangnya.  Tidaklah seperti bakal besannya.  Mulut macam murai kena cabut ekor.  Mulut tidak mahu  berhenti bercakap.  Nampak apa sahaja, semuanya nak ditegur.  Pantang nampak lain atau pelik sikit, pasti menjadi teguran mulutnya itu. 
            “Yalah Mona.  Kau pun janganlah sibuk buat persiapan sampai tak tidur,” pesan Hanum.  Tahu benar sikap sahabat dan jiran sekampungnya itu. Rajin sangat.  Semuanya nak dibuat sendiri. Bukan tidak boleh upah orang buat bunga telur atau apa sahaja cenderahati untuk majlis perkahwinan anak tunggalnya itu.  Tetapi masih nak buat sendiri. 
            “Yalah, kau pun sama.  Jangan cakap dengan aku saja.  Nampaknya anak kau kahwin dulu.  Hujung bulan 11 inikan?”   Hajah Mona meneliti tarikh yang telah ditetapkan oleh pihak lelaki tadi.
            “Ha ah… cepat betul.  Sempat ke tidak aku buat persiapan?”
            “Nanti aku tolonglah kau!”  Hajah Mona tersenyum. Masing-masing melalui pengalaman pertama buat kenduri kahwin, sebelum ini bantu jiran sekampung, sekarang mereka bakal lalui sendiri. Sudah mula mencongak, lembu, ayam dan kerbau.  Khemah, kerusi dan jemputan. Banyak kerjanya.  Bukanlah nak buat besar dan gah macam artis-artis atau orang berada di Malaysia ini, cukuplah ala kadar sahaja mengikut kemampuan.  Tidak perlu bermewah-mewah.  Kalau sampai berhutang, diri sendiri juga yang susah.
            “Tahniah…” ucap Haikal dengan mata bersinar. Gembira buat sahabatnya itu.
            “Terima kasih Haikal,” balas Rose, tangan kirinya masih lagi memegang cincin pertunangannya.  Hatinya berbunga riang.  Hanya senyuman terukir di bibirnya. Tidak terucap dengan kata-kata kegembiraan di hati dan jiwanya.  Inilah yang dinanti-nantikan selama ini, ada lelaki yang sudi menyunting dirinya.  Zaiton pula tidak di sisi kerana terpaksa pulang ke kampung, kakak sulongnya jatuh sakit. 
            “Aku doakan kau bahagia dengan Joe.  Dia lelaki yang baik juga.  Tak sangka kau dan dia akan bersatu.” Haikal menunduk.  Dia memandang kakinya sendiri, seketika. 
            “Nampaknya aku kahwin dulu daripada kau.”
            “Yalah, kalau kita buat sekali, kan bagus?”
            “Kau nak suruh Ain lari keluar waktu bersanding?”  Rose tersenyum.
            “Takkan kut?” 
            “Jangan cari pasal.  Kau ikut tarikh yang telah kau tetapkan.  Kad pun dah edar.  Aku dengan tarikh yang telah ditetapkan.  Lusa dah nak pergi tempah.”  Cepatnya. Rasa tidak bernafas nak buat persiapan perkahwinannya nanti.   Zaiton sudah berjanji akan membantu.
            “Kau gembira? Kau sayangkan Joe?” tanya Haikal.  Dia mencuri pandang wajah Rose yang memandang tenang air sungai yang mengalir lesu itu.
            “Gembira.  Sayang.  Kenapa? Kau tak yakin?” 
            “Bukan begitu, kau tak pernah jatuh cinta, itu yang aku tanya.”
            “Kasih dan sayang boleh dipupuk setelah ijab dan kabul terlafaz, Haikal.”
            “Ya… aku tahu.”  Haikal mendengus kasar.
            “Kau kenapa?   Mengeluh aje?” soal   Rose kehairanan.  Nak kata tidak suka, dialah orang paling gembira.
            “Entahlah! Aku sendiri tak tahu. Aku bimbangkan kau,”luah Haikal. 
            “Kerana kau bukan gadis biasa, cantik dan menawan, maka semua orang bimbangkan aku? Begitu?  Apakah aku tidak layak merasai belaian kasih seorang lelaki?  Apakah aku tidak layak hidup berkeluarga?” soal Rose. Kebimbangan biarlah berasas. Bukan hanya dipermainkan oleh perasaan sendiri yang takut tidak bertempat.
            “Apakah aku hanya layak mendapatkan suami yang sama kulitnya dengan diriku? Begitu maksud kau?” Rose merenung jauh ke dalam mata Haikal.
            “Aku tak maksudkan macam tu,” nafi Haikal. 
            “Takkan aku nak kahwin dengan anak Mutusamy hanya kerana kulitku yang hitam ini atau lelaki Afrika yang dirasakan layak untukku?” Rose mengeluh berat.
            “Taklah sampai macam itu sekal.” Haikal menyengih.
            “Berilah aku peluang untuk berasa bahagia.  Dicintai dan mencintai. Kau sebagai sahabat, doakan sajalah kebahagian aku, bolehkan?”  Rose tersenyum.
            “Insya-ALLAH…”  Haikal menarik nafas lega.  Dia yakin Joe pasti boleh membahagiakan sahabatnya itu.  Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar.  Diharap majlis perkahwinan mereka juga akan berjalan lancar seperti yang telah dirancang.

No comments:

Post a Comment