Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 28 Julai 2017

PROSES PENCIPTAAN CERPEN - NISAH HARON DAN MAWAR SHAFIE

Penulis : Mawar Safei, Nisah Haji Haron

ISBN : 9789834606626

Cetakan : 2017

Kulit Nipis : 348 Halaman

Buku yang ditulis oleh dua penulis mampan Malaysia yang terkenal dengan hasil tulisan yang mampu membuai rasa pembaca.  Kepada para penulis yang baharu berjinak-jinak ingin menjadi penulis, boleh dapatkan buku ini di pasaran, atau beli secara online dengan DBP. Niaga.



TRAVELOG JOHOR - 5


























Galeri Seni, sudah bertukar tempat dari bangunan asal ke dalam kawasan Yayasan Warisan Johor.
Sebut tentang warisan dan budaya, saya suka pendekatan Negeri Johor mengekalkan budayanya, terutama tarian. Tarian zapin masih diperkenalkan di sekolah-sekolah, masih dipelajari. Satu usaha yang bagus agar anak-anak generasi hari ini tahu budaya, seni dan muzik negeri kelahiran mereka.
Erk... ada ajar tarian zapin tak?
Tentu orang Johor juga tidak tahu, di Yayasan Warisan Johor sudah ada unit TENUNAN. Boleh lihat sendiri cara kain ditenun, cara mengurai benang sehingga menjadi sehelai samping. Guna tangan sepenuhnya.
Menurut Puan Jamilah, pengurus bahagian ini, Baginda Sultan Johor yang memberi cadangan agar Negari Johor kembalikan kembali hasil seni ini yang sudah lama dilupakan.
Sehelai samping yang berukuran dua meter setengah mengambil masa dua minggu setengah untuk disiapkan.
Orang-orang Johor, bolehlah datang ke mari. Promosikan tempat sendiri kepada rakan-rakan jauh dan dekat. Mari kita jadi agen pelancong kepada negeri sendiri. Perkenalkanlah warisan budaya kita agar tidak ditelan dek zaman.
Di kawasan Yayasan Warisan Johor ada banyak unit, selain Galeri Seni, Tenunan, ada juga perpustakaan warisan sejarah Negeri Johor.

TRAVELOG JOHOR - 4





Kawasan menjual steamboat, tauhu bakar, mee ayam, bakso, dan macam-macam lagi, nama jalan? Bandar Baru Uda, dekat dengan Mydin Johor Bahru. Ramai yang berniaga, boleh pilih, hendak bungkus atau makan di sini.
Pandai saja mencarinya, janji rajin bertanya.
Kami beli bungkus, makan di homestay, pemiliknya sudah masak mee goreng untuk anak-anak. Alhamdulillah.

TRAVELOG JOHOR - 3






Alhamdulillah bertemu dengan insan-insan yang baik budi. Layan kami seperti sudah lama kenal. Jazakallahu khairan kathira Kak Ani dan suami, hanya Allah sahaja yang akan membalasnya.
Stualang Laut, Bazar Karat, Plaza Angsana... ikut sahajalah labu. Nasib baik pemilik homestay pemandu teksi, terpaksalah jalani sesi wawancara, kalau tidak tak tahu nak ke mana di bandar Johor ini.
Cantiknya kawasan di Stulang Laut, ada kedai bebas cukai, ada tempat anak-anak main air dan bersantai. Lalu Istana Pasir Pelangi, lalu hadapan tempat keluarga di Raja main sukan berkuda, polo semestinya. Untuk orang Johor yang tidak tahu nak berjalan-jalan di Johor. Kami sudah sampai, anda bila lagi? 


Di Stulang Laut, berhampiran kawasan Istana, tempat keluarga di Raja bersantai, lalu lalang sahaja kereta peronda polis mengiringi keluarga di Raja. Daulat Tuanku!
Wah! Sultan naik kereta Lamborghini, buka tingkap, nampaklah wajah Baginda. Erk... Sultan Johor suka pusing-pusing bandar ya? Bagusnya, hari-hari rakyat boleh lambai melambai dengan Baginda Sultan. Hati-hati meletakkan kenderaan, silap haribulan di angkat oleh penguatkuasa. Banyak tempat makan, aneka pilihan. Bolehlah bersantai bersama keluarga. 


TRAVELOG JOHOR - 2

Destinasi pertama dalam perjalanan ke Johor, Majalah 3 punya penangan. Kedai pun tak buka lagi. Pelanggan pertama, tak apalah, tunggu pun tunggulah. Dari jauh kami datang ;)
Pemilik kedai belanja anak-anak minum cendol, jazakallahu khairan kathira, semoga bertambah murah rezeki beliau dan keluarga, diberi kebahagiaan dunia dan akhirat, aamiin.
Kampung Pulau, Labu, Negeri Sembilan. Guna waze. Insya Allah jumpa.

TRAVELOG JOHOR - 1


Sudah lama tidak bawa anak-anak yatim jagaan kami berjalan-jalan atau bercuti.  Kali ini suami mencadangkan bawa anak-anak ke Johor Bahru.  Kami bukan biasa dengan tempat-tempat di Johor.  Johor Bahru atau Johor Darul Takzim, ada 11 daerah.  Dari satu daerah ke satu daerah jauhnya boleh tahan.  Kalau setakat dua tiga hari bercuti, mungkin tidak akan mampu melawat ke semua daerah yang ada. 
    Kami bercadang bercuti di Pusat Bandar Johor Bahru. Kawasan  yang saling berdekatan, seperti Skudai, Pontian dan Muar.  Banyak juga tempat-tempat menarik yang boleh dilawati.  Ada saya sertakan beberapa gambar yang sempat saya ambil sepanjang percutian kami.
   

TEMPAT MAKAN MENARIK DI KEDAH DARUL AMAN

Kalau ke Kedah, banyak tempat menarik untuk dilawati, terutama pulaunya yang cantik, mana lagi kalau bukan Langkawi. Biarpun saya bukan anak jati atau anak kelahiran Kedah, lapan tahun tinggal di negari Jelapang Padi itu membuatkan saya tahu beberapa tempat menarik di negeri itu, paling menarik adalah tempat-tempat makannya. Setiap negeri ada tempat makan yang menarik dan menjadi tarikan pelancong. Biarpun kita bukan kaki makan, tetapi kita adalah pemandu pelancong yang tidak bertauliah.
Perkongsian seorang teman tentang tempat-tempat makan menarik di Kedah memang menerujakan. Hebat sungguh.Terbaik bagi saya, semoga bermanfaat buat semua teman-teman FB yang ingin bercuti ke Alor Setar.
Boleh waze atau google sahaja, maka akan sampai ke destinasinya. Ada di antara tempat-tempat yang tersenarai pernah saya kunjungi dan menikmati kelazatan masakannya. Antaranya:
ALOR SETAR - Kat Kedah memang banyak tempat makan best. Kalau mai Loqstaq tapi tak pulun masakan orang Kedah mana boleh. Tapi nak pi tang mana? Banyak orang cakap kedai ni sedap, kedai tu sedap. Tak payah pening kepala, ni ada senarai tempat makan merecik sekitar Loqstaq!
1 Restoran Pumpong (sebelah KMC)
2 Restoran Pokok Pisang (Jalan Suka Menanti JPJ)
3 Restoran 7-Kawah (sekolah Gunong)
4 Warung Itik (trafic light Jalan Gangsa / OCBC)
5 Sham Roti Dol (Petronas Gunung)
6 Restoran Gulai Kpg (sebelah Sham Roti Dol)
7 Nasi Kandar Ali (bertentangan Masjid Pantai Johor)
8 Restoran Mikamal (Taman Tunku Bendahara Anak Bukit)
9 Apom Balik, Pulut Sambal, Pulut Inti .... Pasar Opposite Flat Spg Kuala
10 Mee Sup (bertentangan Hotel Sentosa Jalan Putra)
11 Mee sup & ABC (belakang Balai Polis Simpang Empat)
12 Cucoq Udang (Hotel Holiday Villa)
13 Nasi Lemak 3000 bungkus(pagi Petronas Tg Bendahara, malam bertentangan Bangunan UMNO Lama)
14 Gulai Ikan Temenung Kuala Kedah
15 Laksa Teluk Kecai
16 Restoran Anjong Kola
17 Gulai Temenung Panas (Seberang kota)
18 Kelasi Cafe (sebelah Masjid Abdul Rahman Putra, Jalan Kuala Kedah)
19 Bang Li Ikan Bakar (Jalan Batas Paip)
20 Laksa special (depan Marina Harbour)
21 Ed Cafe (Jalan Sultanah)
22 Restoran tepi Menara Zakat
23 Restoran Masakan Kg Tok Jamat
24 Gemilang Cafe (Jalan Hutan Kampung)
25 Mee Udang Berasap (Jalan Bukit Pinang)
26 Koay Teow Iman (Jalan Sultanah Sambungan Mergong)
27 Cendoi Buah (depan Pacific Star Parade)
28 Mat Cucuq Udang (Medan selera PKNK dan pasar malam Jalan Putra)
29 Warung Klasik Peknga Alor Janggus
30 Mee Abbas (simpang Batas Paip)
31 Nasi Kandar Cahaya (simpang Batas Paip)
32 Mak Jah Gulai Temenung (simpang Batas Paip)
33 DBoat Jerot (Jalan Batas Paip)
34 Koay Teow Kerang Pokok Besar (simpang tiga Padang Hang)
35 Capati Kuah Kamin (Jalan Datuk Kumbar)
36 Burger Alor Rela (Jalan Pendang)
37 Roti Celaru (dekat teknik highway)
38 Nasi Lemak Zamzam (bertentangan Menara Zakat)
39 Laksa Ikan Sekoq (Jalan Gangsa)
40 Naan Cheese Singgah Rasa Café (Jalan Tandop)
41 Nasi Arab Albaraqah (Spring's Leaf Kanchut)
42 HLM Authentic Boat Noodle (tingkat 1 LITC Mergong)
43 Daging Bakar Harimau Menangis Warug Selera Penang (Jalan Kubang Rotan)
44 Rabak Café (dekat Tesco Mergong)
45 Gerai Awi Pulut (belakang Bank Rakyat)
46 Bite Café (Pekan Melayu sebelah Masjid Zahir)
47 Abang Nasi Tomato (Jalan Putra, Depan CIMB & Maybank)
48 Apam Lenggang Stesyen Bas Lama
49 Nasi Kandar Yasmeen
50 Le Medina Patisserrie (Wisma Koperasi Jalan Stadium)

Jumaat, 14 Julai 2017

TRAVELOG UMRAH - BAH. 10



Pihak pengurusan Andalusia membawa para Jemaah melakukan umrah selang sehari.  Hari Sabtu adalah hari bebas untuk para Jemaah melakukan aktiviti masing-masing. Jika ingin membeli-belah atau melawat kawasan persekitaran masjid dibenarkan, jangan lupa bawa kad pengenalan diri, usah bawa duit yang banyak, berhati-hati dengan barangan atau beg yang dibawa.  Biarpun kawasan itu adalah kawasan suci, tetapi hati manusia yang berada di dalamnya tidak semuanya suci bersih.  Adajuga tukang copet dan penyeluk saku.   Usah tunjukkan kita bawa banyak duit, hendak buka beg duit itu hati hatilah.  Pendek  kata, berhati-hatilah di mana sahaja.
            “Bang, takkan nak duduk dalam hotel aje, jomlah keluar ke mana-mana, kita ambil teksi,” kata saya sambil memandang wajah suami yang sedang leka melayan telefon bimbitnya. 
            “Nak ke mana?” tanyanya kembali.
            “Ke mana sahaja, asalkan keluar dari bilik hotel ini,” kata saya lagi.
            “Kakak nak ikut tak?” tanya suami kepada anak perempuan kami.
            Dia menggeleng laju. 
            “Hish! Takkan nak duduk berkurung sehari suntuk kak?” ujar saya. 
            “Sakit kakilah mak! Mak dengan abah ajelah yang pergi, kakak tak nak ikut,” jawabnya.
            “Jomlah, kita ajelah yang pergi,” ujar suami saya, dia sudah pun bersiap dengan jubah dan beg kecil yang berisi kad pengenalan diri, duit dan telefon serta buku panduan haji dan umrah.
            Kami terus turun ke lobi, hari masil awal, baru jam 8.00 pagi.
            “Ait! Nak ke mana ni?” sapa Kak Lina dan suaminya Baxtiar.
            “Nak jalan-jalan ke Tanaimlah kut,” kata suami.
            Saya memandang wajah suami, Tanaim, buat apa? Detik hati kecil saya.
            “Boleh kami ikut?” tanya Kak Lina dengan wajah manis manjanya.
            “Jomlah!” kata saya. Maka terjadilah cerita, kami terus keluar dari hotel dan mencari teksi yang boleh membawa kami ke Bandar Tanaim, semalam sudah pergi, hari ini pergi lagi.  Apa yang hendak dicari, kami belum pasti, ingat hati hendak meninjau-ninjau bandar kecil itu. Manalah tahu ada sesuatu yang menarik di hati. 
            Setelah berkira harga sewaan sebuah teksi pergi dan balik dari Mekah ke Tanaim, kami terus melangkah masuk dan bergerak  menuju ke Bandar Tanaim.  Sampai di masjid kelmarin, tempat kami bersolat dan berniat ihram.  Teksi berhenti betul-betul di hadapan masjid. Kami terus keluar dan berjalan mengikut kaki.  Allahu Akbar! Hendak ke mana?  Pandang kiri, pandang kanan, sebuah pekan kecil. Ada pejabat seperti TNBlah agaknya, jalan ke hadapan sedikit, ada sebuah hospital, tidak pula pasti sama ada hospital swasta atau kerajaan.  Sebelum hujung masjid, ada jejantas  untuk menyeberang ke sebelah sana bandar kecil itu.  Kebanyakkan kedainya masih tutup, mungkin masih awal.  Terkebil-kebil kami di kawasan itu, tidak tahu hendak ke mana.  Saya terasa ingin ketawa sahaja di dalam hati, memandai hendak berjalan-jalan, ingat  bandar di Tanah  Arab ini seperti bandar Bangi ke Puchong agaknya. Aduhai!  Berlagak pandai, kan pelik jadinya.  Agaknya pemandu teksi itu sendiri kehairanan melihat kami yang hendak ke Bandar Tanaim. 
            Akhirnya kami mengambil keputusan mendapatkan semula teksi yang kami naiki tadi, kebetulan pemandu teksi itu masih lagi menunggu di hadapan masjid, agaknya dia sendiri tahu, kami pasti akan berpatah semula.
            “Kita nak ke mana ni?” tanya saya kepada suami.
            “Kita naik teksi dulu,” kata suami.
            “Boleh bawa kami ke mall!” dalam BIlah.  Pemandu teksi berbangsa Pakistan itu boleh bercakap BI sedikit-sedikit. BM bolehlah juga tapi kurang faham, Bahasa Arab dia fasihlah, masalahnya kami tidak pandailah. 
            Apa ke jadahnya nak ke Mall?  Ikutkan sahaja, memang sengaja hendak buang masa.  Akhirnya pemandu teksi itu membawa kami ke sebuah kawasan bandar yang dipenuhi bangunan pasaraya. Orang tidak ramai, kawasan yang agak lengang. Mungkin orang Arab tidak membeli belah di siang hari. Hanya orang Malaysia seperti kami ini yang gila pergi ke pusat membeli belah mereka jauh  beberapa kilometer dari Bandar Mekah. 
            Pemandu teksi itu menurunkan kami di sebuah pusat membeli belah yang dikatakan murah barang-barang di situ. Dia akan datang mengambil kami semula sejam selepas kami berjalan-jalan di kawasan tersebut.  Dia juga menitipkan kami nombor telefonnya.  Kenderaan bertali arus, bas, teksi dan kenderaan awam.  Apa yang pasti, tiada pemandu wanita, usah berkira-kira nak jadi pemandu uber atau grab di Mekah jika kita berjantina perempuan.
            Terlupa pula nama pusat membeli belah pertama yang kami melangkah masuk.  Sebaik kami melangkah, terlihat pakaian kanak-kanak yang beraneka fesyen, jenama usah cerita ya. Tiadalah kiki lala, Baby kiko dan sebagainya seperti di negara kita.  Namun, fesyennya masih cantik dan menarik.  Harganya?  10 riyal, 20 riyal sepasang atau sehelai.  Kau rasa? Mahal tak?  Pakaian wanita pula ada pelbagai jenis juga, moden sungguh, rasanya saya takkan pakailah.  Pakaian dalam wanita pula tersusun di dalam tempat yang bertutup sedikit.  Bukan tergedang luas di tengah-tengah pasaraya seperti di tempat kita.  Kalau hendak memilih pun tidaklah malu sangat.  Pekerja wanita?  Tidak kelihatanlah!  Para petugas pusat membeli belah itu adalah LELAKI.
            Memandangkan tiada yang menarik di pusat membeli belah itu, kami menyeberang jalan menuju ke pusat membeli belah yang sebuah lagi. Bukan hendak membeli sangat pun, sengaja cari pasal nak tahu keadaan di sebuah pusat membeli belah di tanah suci Mekah.  Saya berasa hendak ketawa sahaja melihat gelagat diri sendiri. Teruk bebenarlah.
            Aryan Mall, sebuah pusat membeli belah setingkat yang agak luas dan banyak barangan di dalamnya.  Ada jual jubah lelaki, kain shawl dan barangan rumah serta perhiasan diri.    Di pintu masuk terlihat pekerja-pekerja pusat membeli belah itu duduk menghadap ke dalam pasaraya.  Saya ingatkan mereka adalah penjual kedai komputer atau telefon bimbit seperti di Malaysia, rupanya juruwang, lelaki semuanya.  Okay, nampaknya tidak ramai perempuan yang bekerja di negara Arab ini. 
            Jubah lelaki, pelbagai jenis, jenama dan paling terkenal di Malaysia adalah Haramain.  Harga sehelai dari 20 riyal sehingga 90 riyal yang paling mahal.  20 riyal untuk sehelai jubah Haramain, di Malaysia harganya beratus ringgit!  Kalian rasa?  Begitu juga dengan barangan dapur atau apa sahaja yang terjual, murahlah!  Kami beli sehelai jubah Haraimain untuk anak buah suami yang belajar di Maahad Tahfiz, sudah lama dia minta untuk kami belikan, di Malaysia paling murah pun 70 atau 80 ringgit Malaysia. 
            Belek sana, belek sini, hanya beli dua helai jubah dewasa dan sehelai jubah kanak-kanak lelaki  yang berharga  10 riyal.  Hampir setengah jam berada di dalam pusat membeli belah itu, kami terus menelefon kembali pemandu teksi itu. Hampir lima belas minit menunggu barulah dia muncul. Seperti biasa, kami akan berbual-bual dengan pemandu teksi tersebut. Suami  bertanyakan harga minyak di tanah Arab itu, lebih kurang 1 riyal lebih untuk satu liter,  jika banyak isi, harganya semakin murah.  Bolehlah, negara yang menghasilkan minyak, kalau mahal, tak payahlah ada telaga minyak di situ, kan? 
            Kak Lina dan suaminya, hanya mengikut kerja gila kami.  Apa nak dikata, terjumpa dengan kami, kan?  Sudah terlajak, ikutkan sahaja.  Aduhai! Terima kasih kawan!
            Pengalaman yang menarik bagi saya, berasalah juga melawat kawasan luar dari tanah Mekah, lihat sendiri aktiviti harian rakyat Arab Saudi yang rata-rata kurang melepak di pasaraya jika tidak benar-benar ada keperluan atau mungkin mereka lebih suka membeli belah di waktu malam.  Tidak serabut dengan orang ramai yang berpusu-pusu membeli belah.  Siang hari adalah waktu yang aman untuk membeli belah di pusat membeli belah di luar Kota Mekah.  Usah ikutlah ya.  Tapi, kalau hendak berasa pengalaman sendiri sudi-sudikanlah.  Jangan pergi sendiri! Bawalah kawan beberapa orang bersama demi keselamatan sendiri.  Usah memandai-mandi hendak kendiri.  Orang Arab itu pun pelik agaknya lihat kami, dua orang wanita yang sibuk memilih dan membeli di siang hari.  Kalau di Kota Mekah adalah perkara biasa, memang ramai Jemaah wanita akan keluar membeli belah untuk dibawa pulang ke tanah air masing-masing. Punyalah jauh berjalan, rupanya di Zam Zam Tower dan Hotel Hilton ada pusat membeli belah di dalamnya.
            Sebelum zohor kami sampai kembali ke Hotel, pemandu teksi tidak mengambil tambang lebihan, rupanya pergi balik dari Kota Mekah ke Tanaim adalah 25 riyal, singgah di kawasan mall tadi, dia tidak kenakan caj tambahan. Namun, kami tetap hulurkan 10 riyal sebagai balasan atas kebaikannya.  Kami naik kembali ke bilik dan bersiap untuk solat zohor pula.  Hari Sabtu berlalu dengan penuh kenangan.  Sebelum asar kami bertolak ke masjid kembali. Selepas Isyak barulah balik ke hotel.  Esok awal pagi sebelum subuh balik semula ke masjid.  Berjalan ulang alik antara masjid dan hotel, tujuh hari berturut-turut, sedikit pun tidak mengurungkan berat badanku. Uh! Ironinya.  Ahad usai sarapan, kami akan buat umrah kali ketiga pula, kali ini ke bandar yang jauh sedikit dari Kota Mekah. Ke mana?

Selasa, 4 Julai 2017

TRAVELOG UMRAH - BAH. 9




            Jumaat pagi,  Sebaik bangun tidur, kami terus mandi sunat ihram kerana hari ini kami akan melakukan umrah sekali lagi dan berihram, nanti tidaklah terkejar-kejar. Usai solat subuh berjemaah di surau hotel, kami turun bersarapan. Seperti biasa menunya tetap sedap ditekak, terutama roti bakarnya.  Sambil menyapa Jemaah sekumpulan, kami menikmati juadah dengan berbual-bual tentang diri masing-masing dan keluarga.  Kak Haslina atau Lina berasal dari Alor Gajah Melaka, mengerjakan umrah bersama suami dan ibu tirinya.  Ibu tiri?  Pada mulanya saya terkejut juga, baiknya hati, menghadiahkan pakej umrah buat ibu tirinya sempena hari lahir kelahiran wanita itu. 

            Sudah dasar penulis, tidak korek cerita, takkan sah. Sudah seperti wartawan tidak bertauliah.  Setiap orang yang kita temui, pasti ada cerita yang tersembunyi, ada yang sudi berkongsi cerita, ada yang tidak.  Kak Lina kehilangan ibu sejak lahir, tetapi arwah ayahnya berkahwin semula setelah dia berusia lima tahun.  Wanita yang dibawa bersama mengerjakan umrahlah yang menjaga dia dan adik beradiknya yang lain.  Katanya, dia bertuah dikurniakan seorang ibu tiri yang terlalu baik. Tidak pernah menyakitkan hati adik beradiknya, menjaga adik beradiknya seperti anak sendiri,  tidak pernah pilih kasih, memenuhi segala keperluan mereka dengan sempurna, saya melihat lelehan air matanya sewaktu bercerita, Allahu Akbar! Susah juga jika hati ada taman, saya pula turut menangis bersama-sama, terharu sebenarnya.  Bertuah Kak Lina dikurniakan seorang insan yang penyayang.  Entah bilalah dapat    bertemu dengan mereka lagi.

            Jam 7.30 pagi, kami diminta berkumpul di lobi hotel, kerana hari ini kami akan ke Tanaim, untuk buat umrah kali kedua.  Kepala ligat berfikir, entah bagaimana pulalah keadaan kota Tanaim yang menjadi miqat bagi mereka yang telah pun berada di tanah haram.  Jauhnya hanya tujuh kilometer dari Bandar Mekah.  Kami ke sana dengan menaiki bas yang telah disewa khas.  Sebut pasal bas, seawal jam 7.00 pagi, kita akan lihat deretan bas menenuhi jalan di sepanjang laluan hotel-hotel yang terdapat di Masjidil Haram.

            Jemaah lelaki sudah siap berihram, Jemaah wanita hanya bertelekung dan berseluar panjang, berstokin.  Sepanjang  perjalanan tidak kira ke mana dan hendak ke mana, perbanyakkanlah berselawat dan berzikir.  Sebaik sampai di Tanaim, usah berkata apa-apa. Hanya sebuah bandar kecil yang menjadi tumpuan para Jemaah haji dan umrah hanya untuk Miqat sahaja. Tidak kelihatan banyak kenderaan di hadapan masjid, mungkin masil awal lagi dan kebetulan adalah hari cuti umum buat penduduk Mekah.  

            Setelah diberi penerangan oleh Ustaz Hisyam, kami melangkah masuk untuk solat tahiyatul Masjid, Dhuha dan Sunat ihram, setelah selesai, kami menaiki bas semula untuk kembali ke Mekah. Ustaz Hisyam mula membaca doa naik kenderaan dan juga niat umrah, maka terikatlah kami semua dengan 13 hukum dan syarat ketika berihram. Allah! Di pagi yang cerah, hari Jumaaat, penghulu segala hari, Nisfu Syaaban pula itu, kami diberi kesempatan beribadat, mengerjakan umrah.  Syukur, Alhamdulillah.

            Sambil itu sempat lagi Ustaz Hisyam menunjukkan Jabal Nur di situ terdapatnya Gua Hira’, tempat di mana Rasulullah saw berkalwat dan menerima Wahyu kenabian Baginda.  Jabal Nur cukup curam, ketinggiannya 281 meter, dengan ketinggian sepanjang  pendakian sekitar 645 meter, cukup tinggi, namun menurut Ustaz Hisyam, ada kenderaan menuju ke puncak. Mula-mula menaiki bas, kemudian sebuah kenderaan lain atau pacuan empat roda akan membawa Jemaah menuju hampir dengan puncak Jabal Nur, selebihnya mendaki anak tangga. Kena bayar tambahan 25 riyal seorang.  Saya mengajak suami turut serta, dia menolak, takut tak mampu mendaki, sedangkan hari ini sudah pasti akan berhabis tenaga untuk mengerjakan umrah.  Saya akur, takkan nak pergi juga, sedangkan mereka bertolak pukul 10.30 malam.  

            Bas yang membawa kami terus melalui terowong menuju ke kawasan Masjidil Haram di bahagian bawah, ada eskeletor menuju betul-betul di dataran Masjidil Haram.  Wah! Dekat juga, boleh naik teksilah kalau hendak ke masjid bagi mereka yang tidak mampu berjalan kaki. Namun, memikirkan kawasan di hadapan barisan hotel sering sangat mengalami kesesakan, rasanya berjalan kaki lebih cepat daripada menaiki kenderaan.

            Sebenarnya, kaki saya masih sakit, tumit masih  berdenyut, tapi semangat!  Semangat kena kuat. Ini kerja fizikal, saya tidak berhenti-henti berdoa, agar Allah sempurnakan ibadah umrah saya buat kali kedua ini, biar sakit, biar rebah, saya akan bertahan selagi mampu.  Bukan mudah hendak dijemput Allah mengunjungi Kaabah dan Tanah suci ini. Saya bukan orang berada, datang ke mari pun dengan ehsan orang. Memikirkan sebab-sebab itu, kami terus bersemangat, berdoa, dan yakin Allah itu Maha Mendengar doa hamba-hambaNYA.

            Kami sampai di Masjidil Haram, Jam 9.00 pagi, namun cahaya matahari sudah begitu memeritkan.  Benarlah, biarpun cuaca membahang panas di Kota Suci ini, namun kepanasannya tidaklah sampai meletihkan atau membuatkan peluh kita berbau tengit.  Masih mampu bertahan untuk meneruskan  ibadah.  Seperti biasa, kami akan memasuki pintu 88 ataupun 89, mudah untuk kami pulang ke hotel nanti.

            Sampai sahaja di hadapan pintu masjid, niat iktikaf, masuk kasut dalam beg plastik atau beg yang dibawa sendiri, hendak tinggalkan di rak kasut pun boleh, hendak bawa bersama pun boleh, asalkan tiada najis dan kekotoran yang dibawa.  Seperti biasa, minum air zam zam sebelum memulakan ibadah umrah.  Allah! Melihat Kaabah di hadapan mata, biar berpuluh kali melihatnya, tidak akan terbit rasa jemu di hati.  Terasa tenang, damai dan tiada perkataan yang mampu diungkapkan. Kami turun di tangga yang sama, berhampiran dengan Rukun Yamani, berjalan sehingga nampak lampu hijau dan bahu berada di sebelah Kaabah, sebelum sampai  di hadapan Hajar Aswad, niat tawaf dibaca dan bermulalah ibadah tawaf sepanjang tujuh pusingan sehingga selesai, bacalah doa yang kita tahu, mintalah apa sahaja, biarpun dipandu oleh Ustaz Hisyam. Kali ini terasa mudahlah pula, terasa senanglah pula. Tidaklah saya terkejar-kejar Ustaz Hisyam, saya berdoa apa yang saya tahu, minta apa sahaja, selain meminta Allah beri kekuatan kepada saya untuk melakukan ibadah umrah sehingga selesai.  Peluh mula membasahi tubuh, sesekali menyapu peluh yang membasahi muka.  Jalan tidak pandang kiri kanan, kadang-kadang baju saya ditarik oleh suami dan anak kerana berjalan tidak masuk dalam kumpulan.  Allah! Ikut kakilah.  

            Bagi mereka yang melakukan tawaf di hadapan Kaabah, akan terasa sekejap sahaja, kerana pusingannya tidaklah sejauh berada di tingkat satu bagi mereka yang menggunakan kerusi roda.  Tujuh pusingan selesai dengan jayanya, saya mengucap syukur, kami terus berjalan sehingga sampai di hadapan Makam Ibrahim, terus berjalan dan mencari tempat untuk solat sunat tawaf.  Ketika bertawaf wajib, usahlah memandai hendak pegang Makam Ibrahim, Hajar Aswad atau pun Kain Kaabah, takut-takut terkena minyak wangi yang disapu padanya, batal pula tawaf kita itu.  Kalau teringin sangat nak sentuh Hajar Aswad, Makam Ibrahim, Kelambu Kaabah, atau solat di Hijir Ismail, lakukanlah sewaktu buat tawaf sunat, ketika itu tiada ikatan apa-apa.

            Usai solat sunat tawaf, berdoa, minum air zam zam, kami ke tempat saie pula, kali ini naik ke tingkat satu, agak berbukit sedikit dan boleh pijak bukit yang sebenar.  Baik, kami ikut sahaja, ingin berasa pengalaman yang berbeza pula kali ini. Allahu! Sekali lagi, saya tetap berdoa agar diberi kekuatan.  Tujuh pusingan, satu pusingan, satu kilometer  perjalanan antara Bukit Safa dan Marwah.  Menghadap kiblat, berdoa dan meneruskan perjalanan sambil membaca doa yang terdapat di dalam buku panduan umrah dan haji.  Jangan bimbang, tetap sama, boleh berdoa ikut keperluan kita sendiri. Tidak terikat harus atau wajib ikut doa yang dibaca oleh mutawif.  Kali ini sudah bijak sedikit, kami tidak ikut langkah Ustaz Hisyam, tapi kasihan juga, sampai di puncak bukit, baik di Bukit Safa atau Marwah, beliau akan tunggu semua Jemaahnya berkumpul.  Pandai-pandailah melangkah.  Penat juga bersaie di tingkat satu ini, memang berbukit pun, orang tualah katakan.  Aku memaut lengan suami.  Tak mengapa, saie tidak memerlukan kita ada wuduk.  Pandai-pandailah, agar tidak sampai terbatal wuduk.

            Tujuh pusingan selesai dengan jayanya.  Alhamdulillah. Sakit kaki semakin terasa, semakin berdenyut.  Allah! Sabarlah hati. Namun kali ini agak istimewa, kita boleh pijak batuan kerikil yang sebenar, bukan tal.  Berkilat batunya, keras dan boleh tahanlah tajamnya, kami bertahlul, menyelesaikan kerja umrah kami. 

             Alahai, Ramainya manusia, maklumlah hari Jumaat, baru pukul 11.30 pagi, orang sudah memenuhi ruang di dalam masjid sehinggalah di kaki Bukit Marwah bersedia untuk solat Jumaat.  Kami tidak akan keluar dari kawasan Masjidil Haram, melihat lautan manusia, fahamilah kami bahawa di dalam kawasan masjid dan di hadapan Kaabah sudah dipenuhi manusia.  Bahagian jalan hendak masuk ke dalam kawasan Kaabah sudah pun ditutup.  Tiada pilihan, terpaksalah duduk di kawasan saie yang ketika itu sudah pun dipenuhi oleh para Jemaah pelbagai bangsa dan warna kulit.

            Kelihatan para petugas masjid sedang mengais keluar kasut-kasut atau selipar yang diletakkan di atas para bangunan masjid.  Dimasukkan terus ke dalam plastik sampah hitam, jangan ingat kasut teman-teman kena curi, kalau ketika keluar masjid tidak kelihatan lagi selipar masing-masing, jangan salah letak dan tidak letak di tempat yang sepatutnya, alamat dibuang oleh para petugas masjid.

            Usai solat Jumaat, kami tidak lagi bersama Jemaah dan Ustaz Hisyam, kali ini keluar dari kawasan, ikut suami, kami keluar di pintu yang lain,  terus menuju ke dataran belakang Masjidil Haram. Alamak! Nak lalu mana ini?  Kelihatan lori kecil membawa jenazah-jenazah yang disolatkan tadi menuju ke perkuburan, diiikuti barisan manusia di belakangnya.  

            Orang begitu ramai, kami hilang punca, saya menyuruh suami masuk semula ke kawasan saie tadi, dia menolak, kami ikut Jemaah lain melalui pintu Al Arqam, belum sempat masuk, kami ditolak keluar.  Fuh!  Kami tidak tunggu lagi, terus bergerak meninggalkan kawasan tersebut, menuju ke bahagian eskelitor menuju ke tingkat bawah bahagian saei.  Hanya jalan itu yang saya yakin akan membawa kami menuju ke pintu 89.  Memang benar, syukur, akhirnya bertemu jalan keluar.  Luas tahu Masjidil Haram, banyak pintu, banyak lorong,  kena pastikan betul-betul, kalau tidak sesatlah.  Alhamdulillah, Allah izinkan kami menyelesaikan ibadah umrah buat kali kedua dengan jayanya.

            Akhirnya kami selamat keluar dari kawasan masjid dan terus pulang ke hotel.  Badan letih dan lesu, tekak haus, air zam zam menjadi pilihan untuk menyegarkan diri.   Sampai di  hotel terus ke tempat makan untuk makan tengahari.  Hari itu, kami rehat sepuas-puasnya.  Esok, aktiviti bebas.  Tidak ke mana-mana, pandai-pandailah sendiri.  

            Malam itu, kami mencuba makanan India/Pakistan di salah sebuah restoran yang terdapat  berhampiran hotel.  Kami pesan nasi sebekas, roti dan ayam panggang.  Ayamnya sedap, nasinya banyak, dan roti minta dua, dibagi lima, siapa nak habiskan?  Ingat perut orang Arabkah? Akhirnya makanan yang berbaki kami bawa balik ke hotel dan beri kepada petugas hotel tersebut.  Jangan membazir.  Nasi sebekas boleh makan empat orang.  Kalau nak makan, kongsi-kongsikan dengan kawan.  Takkan terhabis makan seorang.  Apapun kenalah cuba, pengalaman yang menarik dan puas hati.

Ibadah yang kita lakukan kerana Allah, maka jangan berhenti berdoa dan meminta agar dipermudahkan.