AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 15 July 2017

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 53

Masa dan waktu yang terluang terasa amat sedikit.  Hujung minggu banyak perkara terpaksa diuruskan. Hari bekerja juga begitu.  Ke hulu, ke hilir  menguruskan urusan untuk majlis perkahwinannya.  Joe sesekali membantu.  Dia sudah sibuk dengan urusan kerjanya.  Di restoran juga begitu.  Rose semakin bersemangat membantu.  Dia juga belajar memasak daripada Kak Milah dan Maznah, bakal kakak iparnya.  Persediaan untuk menjadi isteri yang baik.  Perlu pandai menawan perut suami, itu juga pesan emaknya.  Semakin teruja dan seronoklah dia belajar memasak.  Sudah pasti Zaiton menjadi mangsa untuk merasa air tangannya.
            Setiap minggu dia terpaksa pulang ke kampung, membantu emak menguruskan apa yang perlu.  Barang-barang hantaran semuanya sudah dibeli dan dibawa pulang ke kampung untuk digubah. Emak pandai juga mengubah barang hantaran. Jimat duit mengupah orang untuk menyiapkan bekas hantaran itu nanti.  Tinggal seminggu dua sahaja lagi.  Semakin penat dan meletihkan.  Pakaian beli yang sudah siap sahaja, tidak sempat nak membeli kain atau mencari orang menjahitnya.  Sekarang ini banyak di pasaran pakaian pengantin, yang penting duitnya.     Joe tidak lokek mengeluarkan belanja.  Cenderhati untuk tetamu yang hadir tidak juga dilupakan.  Hanya beli beg kertas dan isi makanan atau minuman kotak sahaja. Tidak sempat nak buat yang canggih-manggih.
            Lembu sudah ditempah.  Ayam sudah dipesan.  Khemah dan kerusi juga begitu. Pelamin juga telah dipesan melalui mak andam yang akan menghias dirinya nanti.  Perabut dalam biliknya ditukar baharu. Kopak jugalah duit simpanannya.  Beli yang biasa sahaja, tidak mungkinlah dia bawa set bilik di kampung pindah ke Kuala Lumpur.  Asalkan ada, tidaklah nanti bakal suami tidur di lantai.
            Ayah dan emak yang paling gembira.  Wajahnya mereka ceria sewaktu bercerita.   Orang kampung akan bergotong royong untuk memasak lauk-pauk bagi dihidangkan kepada para tetamu yang datang.    Macam-macam resepi dan menu yang keluar.  Jangan berlebihan, pesan Rose kepada emaknya.  Dia tidak mahu makanan banyak dan tidak habis dihidangkan.  Biarlah berpadanan dengan jemputan yang dipanggil.
            Zaiton juga membantu.  Dia tidak lokek memberi cadangan. Malah turut sama menyibukkan diri.  Rose benar-benar berasa teruja.  Takut pun pada.   Kursus perkahwinan yang dihadiri juga mengundang pertanyaan orang.  Nampak macam pelik agaknya dia bergandingan dengan Joe.  Alahai… bagaimana mereka nak menjalani hidup bersama.  Semoga ALLAH SWT memberi yang terbaik buatnya.
            Hujung minggu itu dia memohon cuti daripada Maznah.  Banyak urusan di kampung yang ingin dibantu.  Walaupun ramai yang membantu emak, dia juga tidak boleh lepas tangan.  Zaiton turut sama pulang ke kampungnya.  
            Malam yang nyaman, sejuk dan menyegarkan. Angin sawah yang bertiup memang menyegarkan.  Ditemani bintang malam yang berkilauan di langit yang gelap itu.  Rose duduk di pangkin berhampiran sungai di hadapan rumah.    Nyanyian cengkerik benar-benar menghiburkan sama seperti hatinya ketika itu. Berlagu riang, menyanyikan lagu gembira.
            Zaiton tetap setia di sisi, menemani.  Dia melintukkan kepala di bahu Rose. 
            “Sedihlah aku, lepas ni tinggal sorang,” luahnya.
            “Kau carilah penyewa baru,” cadang Rose.
            “Takkan sama dengan kau,”  kata Zaiton lagi.
            “Yalah… mana nak sama, aku ALLAH jadikan seorang saja.  Kau pun macam tu, kalau kau kahwin pun, aku takkan dapat kawan macam kau,”  ujar Rose.
            “Kau bahagia Rose?” tanya Zaiton.
            “Tentulah.”  Rose tersenyum. 
            “Aku harap Joe akan jadi suami yang terbaik buat kau,”  ucap Zaiton, gembira.
            “Kau pun cepat-cepatlah cari teman hidup,”   suruh Rose.
            “Siapalah nak kat aku ni?”  luah Zaiton, entah kenapa tidak ada lelaki yang berani dekat dengannya. Buruk sangatkah dia? Atau… cantik sangat.
            “Kau cantiklah kalau nak dibandingkan dengan aku. Pasti ada orang nak,”puji Rose.  Sememangnya   Zaiton seorang gadis yang cantik, kulit kuning langsat.  Betubuh langsing, tinggi lampai. Sudah tentulah cantikkan.  Kalau nak dibandingkan dirinya, macam langit dan bumilah.  Mungkin jodohnya sudah sampai dahulu.  Rezekinya.  Lantas dia mengucapkan syukur.
            “Kau bertuah tau, Rose.”  Zaiton menegakkan lehernya.  Dia menyandar di pokok manga yang tumbuh tinggi.
            “Kenapa pula?” 
            “Yalah, ada juga lelaki kacak nakkan kau.”
            “Alhamdulillah…”
            “Tinggal seminggu lagi ni.  Seram sejuk pula aku rasakan.”
            “Aku yang nak kahwin, kenapa kau yang seram sejuk?”
            “Aku bimbangkan kau, takut lari malam pertama!” Pecah gelak Zaiton.
            “Mulalah nak otak kuning!” Rose menampar lengan Zaiton.
            “Tak sabar nak tengok kau naik pelamin. Jangan lupa aku pengapit kau tau.”  Zaiton tersenyum lagi. Bahagia yang dirasakan benar-benar ikhlas untuk sahabatnya itu.
            “Mana boleh lupa. Tanpa kautak bermaknalah majlis aku nanti.”
            “Yalah kan, akukan orang penting,”  Zaiton ketawa.
            “Hoi! Anak dara berdua, nak duduk sampai pukul berapa kat luar tu?  Langsuir dengar kau orang ketawa pun lari tau!’ laung Hanum dari pintu rumah.
            “Langsuir? Kampung kau ada langsuir ke?”  Zaiton memandang ke atas pokok dan sekeliling rumah Rose.
            “Langsuir  kepala hitam adalah, kutu rayau,’  ujar Rose sambil menyengih.
            “Mak kau cakap macam betul saja ada langsuir, malam-malam buta ni.  Seramlah aku!”  Zaiton mendekatkan tubuhnya hampir dengan Rose.
            “Jangan nak takut sangatlah! Aku belum pernah jumpa lagi, kalau pun ada.” 
            “Hah?  Adalah ya?”  Zaiton memegang lengan Rose.
            “Ton!  Rose! Masuklah!” panggil Hanum sekali lagi. Degil betullah budak berdua ini.  Berembun di tengah malam, tak pasal-pasal demam nanti.
            “Jomlah, masuk. Nanti mak aku cakap, hantu raya, hantu bungkus, toyol,semuanya keluar.” Rose sudah gelak besar.
            “Kalau hantu raya datang ambil kau orang, mak tak nak bantu.  Toyol pun dah mula nak merayap tu.  Kalau hantu bungkus tayang rupa dia kat depan kau orang, jangan panggil mak, ya,” bebel Hanum.
            “Hah?”  Zaiton ketawa kuat.
            “Kan aku dah cakap!” Rose turut ketawa besar.  Itulah cara emaknya menyuruh adik-adik balik jika bermain sampai waktu senja.  Kalau tidak ditakutkan macam itu, jangan  harap mereka nak berhenti bermain. 
            “Dasyat sungguh mak kaukan, tahu waktu hantu-hantu tu keluar.” Zaiton menekup mulut menahan ketawa.
            “Jangan tak tahu, mak aku membesar dengan mereka,” gurau Rose.
            “Memang hebatlah! Nanti kau kawan dengan mereka sama. Kalau Joe buat tak baik, kau panggil saja hantu-hantu tu membantu!”  usik Zaiton.
            “Kau ingat, aku bomoh hantu ke apa?”  jerkah Rose.  Dia menolak tubuh Zaiton yang masih lagi bergelak ketawa.
            “Ketawalah.  Nanti langsuir ingat kawan dia, mak tak tahu!” usik Hanum sambil berlalu dari muka pintu bila terlihat kelibat kedua anak gadis itu mendekati pintu.
            “Hish, mak ni..”  Rose mencebik. Itu sudah keterlaluan.   Dia memandang kiri dan kanan.  Ada atau tidak, tetap takutlah. 
            Mereka melangkah masuk ke dalam rumah. Pintu ditutup rapat.  Sudah sampai waktu untuk melelapkan mata.  Esok ada kerja yang menanti.

No comments:

Post a Comment