AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 19 July 2017

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 54



Petang yang dingin, bumi yang indah ini di basahi hujan lebat tanpa henti sejak beberapa jam.  Rose menunggu kehadiran Joe di anjung restoran.  Gelisah menanti orang tersayang. Bimbang takut berlaku perkara yang tidak diingini di jalan.  Hanya doa dipanjatkan.  Kak Maznah berkali-kali menegur kenapa adiknya tidak sampai lagi.  Jangan fikir yang bukan-bukan, detik hati kecil Rose.
            Sebuah kenderaan Nissan Ex-trail berhenti di hadapan restoran.  Terpacul keluar seorang pemuda yang lengkap berbaju kemeja berwarna biru muda, berseluar slack hitam. Rambutnya tersisir rapi mendekati Rose dengan senyuman manis dan sudah pasti basah. 
            “Maaflah, hujan lebat sangat.  Terpaksa saya bawa kereta perlahan,”  terang Joe.
            “Tak apa… jomlah kita gerak terus, awak pun dah basah.” Rose memandang wajah tunangnya yang kacak dan sememangnya kacak.  Bukan hanya dipandangan matanya.  Sememangnya lelaki itu terlalu kacak untuknya.  Adakah dia seorang gadis yang bertuah. Atas kelayakan apa ALLAH anugerahkan hadiah istimewa ini?    Ketika bersama Joe kadangkala terasa diri ini terlalu kerdil jika nak dibandingkan dengan dirinya yang serba sempurna.  Ditambah dengan mata-mata yang celik dan memandang dengan penuh kehairanan.  Terutama jika yang memandang itu adalah gadis-gadis yang mulus kulitnya, cantik wajahnya.
            Dia tidak mampu membuang rasa rendah diri.  Itulah hakikatnya yang tidak mampu dibuang jauh-jauh.  Nampaknya dia harus belajar sesuatu. Belajar menghargai diri sendiri. Menerima pandangan jelik orang lain dengan pandangan positif, mereka memandang kerana mereka diberi penglihatan untuk melihat apa sahaja.  Mereka bercakap?  Kerana mereka ada mulut untuk berkata apa sahaja.  Kenapa dia harus risau dan berasa hati?
            Hari ini mereka terpaksa ke butik pengantin untuk mencuba pakaian yang telah mereka sewa dan tempah untuk majlis pernikahan dan dua majlis  kenduri. Pakaian yang dipilih sendiri oleh Joe untuknya bagi hari bersejarah mereka itu. Hari ini juga mereka akan ke kedai emas untuk  membeli cincin pernikahan mereka.  Disuruh menggunakan cincin pertunangan sahaja, Joe tidak mahu. Dia ingi membeli yang baharu.  Rose tidak mahu menolak, nanti kecil pula hati Joe.
            “Awak tak rasa seronok ke?” Joe memandu  perlahan  dalam hujan yang sedang mengila membasahi setiap inci perut bumi.
            “Seronok?  Gembira tu adalah,” luah Rose. Siapa yang tidak gembira ketika hari berbahagia semakin menghampiri.  Berkahwin pula dengan lelaki yang telah mencuri hatinya.
            “Sejak saya kenal awak, belum pernah saya pegang tangan awak. Tak sabar rasanya nak menyentuh tangan awak yang lembut itu.”  Joe menyengih.
            “Biarlah kita begini, sehinggalah ijab dan kabul berlangsung, dan ketika itulah awak berhak ke atas saya,” terang Rose.  Dia tidak mahu hubungan yang ada dicampur adukkan dengan perkara maksiat yang sememangnya di larang oleh agama dan adab orang Melayu.  Biarlah bersentuhan setelah mereka ada ikatan yang sah, direstui keluarga dan sudah tentu diberkati ALLAH SWT.  Bukan menunjuk alimnya dia, tetapi mempertahankan maruah dan harga diri kerana kemuliaan seorang perempuan ketika dia tahu menjaga maruah dan harga dirinya daripada sentuhan lelaki yang bukan mahramnya. Kolotkah dia? 
            Biarlah dipandang kolot oleh segelintir manusia tetapi tidak di sisi ALLAH SWT. Keluar berdua ini pun sudah dikira tidak elok dalam agama.  Sepatutnya dia mengajak seseorang untuk menemaninya.  Kebetulan hari bekerja.  Zaiton sudah tentulah ada urusannya sendiri.  Mahu atau tidak, dia kenalah pandai-pandai menguruskan dirinya sendiri dan Joe tidak sewenang-wenangnya mengambil kesempatan biarpun mereka sekarang sudah bertunang.
            “Saya hormati pendirian awak.  Semoga awak akan didik anak kita juga begitu ya?” Joe tersenyum, tidak berasa hati.  Setiap orang ada pandangan dan prinsipnya tersendiri.  Selagi tidak mengganggu-gugat hubungan mereka, dia akan menghormati cara pendekatan Rose  dalam kehidupan beragama. 
            Amboi! Belum apa-apa sudah sebut pasal anak, detik hati kecil Rose sambil tersenyum sendiri.  Ya, dia akan cuba mendidik bakal anak-anaknya nanti dengan ajaran agama dan kehidupan yang penuh dengan akhlak dan adab mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh agama.  Itu janjinya.
            Pakaian pengantin potongan kebaya  berwarna biru laut, bersulam labuci disarungkan ke badan.  Diteliti melalui cermin besar yang berada di hadapan matanya.  Terasa buruk sangat dirinya.  Warna itu langsung tidak kontras dengan warna kulitnya gelap.  Rasa tidak masuk dan sesuai dengan dirinya.    Dia gelisah.
            “Nak tukar warna ke cik?”  tanya pembantu butik pengantin itu.
            “Ada warna yang sesuai dengan warna kulit saya tak?” pinta Rose.
            “Apa kata kita cuba warna krim, mungkin sesuai dengan cik,”  cadang pembantu itu lagi.
            “Bolehlah…”  Rose menerima cadangan itu.
            Kebaya labuh yang dibuat daripada kain lace berwarna krim, bersulam manik dan labuci dicuba pula.  Kali ini terasa sesuai sedikit jika dibandingkan dengan warna biru laut yang sedikit garang itu.
            “Macam mana?” Joe bertanya setelah dia mencuba beberapa helai pakaian pengantin untuk lelaki.
            “Kita tukar warna ini ya?” pinta Rose.
            “Kenapa? Warna biru tadi tak sesuai dengan awak?” soal Joe.
            “Tak sesuai dengan saya,”  terang Rose.
            Akhirnya kata putus di ambil.  Untuk majlis pernikahan, Rose akan memakai baju kurung moden berwarna putih.  Untuk majlis kenduri di rumah Rose, warna krim akan digunakan. Untuk majlis sebelah lelaki pula warna perang menjadi pilihan. 
            Setelah membayar harga pakaian yang akan mereka sewa.  Rose dibawa ke kedai emas yang berhampiran dengan butik tersebut.  Seutas  rantai tangan dipilih bagi mengantikan cincin.  Puas Rose menolak.  
            Joe berkeras.  Tidak rugi membelinya.  Itu akan jadi hak Rose juga dan gadis itu adalah bakal isterinya. Tiada sebab atau perkataan membazir. 
             Rose akur.  Bertegang urat di waktu begini adalah tidak sesuai. Jika Joe berasa dia mampu membeli dan menyediakan segalanya, dia tidak akan membantah. Tetapi janganlah sampai membazir. Banyak keperluan mereka setelah berumah tangga nanti.
            Usai segala urusan, Joe menghantarnya  pulang.  Tinggal beberapa hari sahaja lagi hari bersejarah untuknya dan Joe.  Hari bahagia untuk mereka menyulam cinta.  Menambah rasa sayang dan kasih. Membina keluarga bahagia.  Terasa berdebar-debar di hati ketika memikirkan saat-saat untuk bergelar isteri.  Tidak pernah terduga dia akan naik pelamin dalam usia yang masih muda.  Tidak cantik di pandangan orang, tetapi cantik di pandangan lelaki yang bakal menjadi suaminya itu sudah cukup bererti buatnya. 
            Cuti juga sudah diambil, sekurang-kurangnya seminggu.  Nasib baik pembantu juruwang seorang lagi itu sudi menggantikannya.  Kalau tidak teruklah juga Kak Maznah. Dia akan turut sibuk menguruskan majlis perkahwinan Joe nanti.  Rose juga sudah berkenalan dengan adik-beradik Kak Maznah yang lain.  Mereka redha dengan pilihan adik mereka.  Tiada bantahan dan larangan. Cuma, ada yang terkejut melihat dirinya.    Setelah berbual dan bermesra, mereka sudah boleh menerima kehadirannya, seadanya. Itu sudah cukup buat permulaan.    Dia akan pulang sehari sebelum majlis akad nikah berlangsung.  Akad nikah diadakan di hari yang sama kenduri berlangsung.  Di rumahnya, dengan dilihat dan bersaksikan tetamu yang hadir. 
            Getar dadahnya, laju jantungnya berdegup.  Keterujaan, gembira dan bahagia bercampur baur di hati. Makan pun tidak lalu, tidur pula tidak lena. Mandi basahlah. Bukan dia bercinta tetapi risau dengan majlis perkahwinan sendiri.
            Zaiton juga sudah mengambil cuti beberapa hari, bagi meraikan majlis perkahwinannya. Dia juga menjemput bekas majikannya yang lama serta kenalan yang mengenali dirinya.  Ada yang tidak percaya, dia bakal mendirikan rumah tangga.  Sesiapa pun tidak akan percaya gadis hitam legam ini akan mendirikan rumah tangga dengan lelaki yang tidak kurang kacaknya.  Rasa juga bangga dalam diri.   Biarlah mereka berkata, sudah penat akan berhenti juga.  Malam itu dia menyulam mimpi, membayangkan hari bahagianya bersama Joe, kekasih hati.  Pergi semua duka lara, yang menanti hanyalah bahagia.

No comments:

Post a Comment