AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 21 July 2017

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 55



Pagi sabtu, Rose sudah pun berada di kampung bersama Zaiton. Bilik pengantinnya dihias indah.  Siap dengan kelambunya.  Haikal juga turut membantu, membanting tulang.  Jiran tetangga, jiran sekampung ramai yang datang membantu. Riuh rendah di kawasan rumahnya.  Khemah sudah dipasang. Pelamin sudah didirikan.  Bukan nak bersanding sangat, sekadar menyediakan tempat untuk mengabadikan hari-hari yang bahagia buat pasangan pengantin.
            Lembu sudah dilapah. Ayam sudah dicuci, sedang digoreng untuk dijadikan lauk esok tengahari.  Dia hanya membantu di atas rumah.  Mengemas dan menyusun apa yang patut. Bersama Zaiton yang riuh rendah mulutnya.  Senyuman bahagia terukir di bibir emaknya.  Senyuman gembira terukir di bibir ayahnya.  Hatinya berbunga riang.  Ucapan tahniah diterima tidak putus-putus, baik daripada kawan dan lawan.  Mak Limah tetap datang juga, semua orang sudah tahu perangainya.  Mulutnya tetap becok berkata-kata. Meluahkan apa sahaja yang terbuku di hatinya. Biarah dia berkata-kata, kerana dia ada mulut. 
            Hajah Mona, emak Haikal tidak menang tangan, macam dia pula nak menerima menantu. Minggu hadapan di rumahnya pula.  Kesibukan berganda.    Kuih-muih beraneka jenis menjadi santapan bagi mereka yang datang bergotong royong.  Semuanya ehsan daripada jiran tetangga. Saudara jauh dan dekat sudah pun bertamu.  Rumah jadi riuh rendah dengan suara anak-anak mereka. Bermain, berlari, itulah perangai budak-budak adanya.
            Penat seharian membantu, dia benar-benar terasa letih. Ingin merehatkan diri terasa malu pula.  Zaiton sudah pun berdengkur di dalam bilik usai solat zohor tadi.  Esok hari paling penting dalam hidupnya.  Paling bahagia dalam hidupnya. Paling bererti dalam hidupnya.  Rose memerhatikan orang kampung yang sibuk bekerja di laman rumah.  Saling bergurau senda, saling berkenalan bagi yang tidak berapa mengenali. Saling  bercerita tentang anak-anak dan keluarga sendiri.  Segalanya bagaikan satu keluarga, satu suara.  Seronok rasanya.  Terhibur jiwanya.  Tenang hatinya.  Segalanya berjalan lancar.
            Malam itu diadakan majlis kesyukuran dan tahlil untuk mereka yang telah tiada.  Masakan kampung menjadi pilihan.  Masak lemak nangka dengan perut lembu, sambal belacan. Ikan cencaru sumbat dan sayur kangkung goreng belacan.  Pemanis mulut, buah tembikai, kuih-muih sedekah jiran tetangga.  Orang masjid menjadi tetamu istimewa.  Alunan Yassin dan doa kedengaran memenuhi setiap ruang rumah itu.  Teras tenang dan mendamaikan.
            Usai majlis tahlil selesai.  Zaiton mula sibuk memakaikan inai di jarinya.  Beberapa orang sepupunya turut sama membantu.  Inai tumbuk pula itu.  Emak tidak suka dia pakai inai yang telah siap dijual, tidak cantik katanya.  Rose akur.  Tidak mahu emak berkecil hati dalam keadaan sibuk begini.  Ikutkan sahaja kehendak mereka. Janganlah sampai mereka menyuruhnya terjun sungai, sudahlah.
            Hampir pukul 11.00 malam baharulah jiran dekat dan jauh pulang ke rumah masing-masing.  Yang tinggal hanyalah adik beradik sebelah ayah dan emaknya memenuhi ruang tamu dan bilik yang ada.  Dia dan Zaiton akan tidur di biliknya yang sudah dihias cantik, bukan tidur atas tilam tetapi di atas lantai berlapikkan tikar.  Jadilah, untuk melelapkan mata sahaja.
            “Ya ALLAH, aku pula yang berdebar-debar! Yang nak kahwin tu kau?”  kata Zaiton sambil menepek inai yang sudah siap ditumbuk halus.
            “Kalau kau berdebar, aku pula rasa jantung aku ni nak keluar aje.  Seram sejuk tubuhku macam nak demam,” terang Rose pula. Dia memerhatikan sahaja jari jemari Zaiton menepek inai di jarinya satu persatu.
            “Alhamdulillah, akhirnya Rose.” Mata Zaiton berkaca.  Janganlah dia menangis esok.  Melihat sahabatnya bahagia, dia turut berasa bahagia.
            “Ton… kau jangan tinggalkan aku tau. Walaupun aku dah kahwin, tapi kau tetap kawan aku,” ucap Rose.
            “Aku takut, kau yang tinggalkan aku. Maklumlah dapat suami kacak, bergaji besar. Berpangkat besar.  Aku juga yang ketinggalan,”  luah Zaiton.  Dia menyeka air mata dengan lengannya.  Terasa hiba menghimpit diri, sayu hatinya.
            “Yalahkan… buat apa cari kau, aku dah ada teman sebilik,” gurau Rose. Senyuman terukir.  Wajahnya ceria. Jiwanya  tenang.
            “Hah! Dah mulalah tu!”  Zaiton mencubit lengan Rose.
            “Kau ni, aku gurau sajalah!”  Rose mencebik.
            “Gembiranya aku rasa, sampai makan pun tak kenyang.  Laparlah!”  kata Zaiton, dia menyengih.
            “Tadi bukan kau makan dengan aku?  Takkan dah lapar balik?”  tegur Rose.
            “Masak lemak nangka dengan perut lembut tu, sedaplah. Nanti kau teman aku makan nasi lagi ya.  Kau nak makan, tak boleh… kau tengok saja aku makan!” Zaiton menjongketkan keningnya.
            “Dah tengah malam ni sahabat, esoklah makan,” larang Rose. 
            “Kau tidur sebelah akukan? Kalau kau dengar perut aku menyanyi beraneka irama, kau jangan marah ya, aku tak bertanggungjawab,”  tekan Zaiton.
            “Teruk punya kawan, kalau kau nak makan… kau suaplah aku sekali.  Bila lagi aku nak bermanja dengan kau.” Giliran Rose mengusik Zaiton.
            “Hah?  Suapkan?  Dengan sudu boleh, tangan, tidak!’ sambil mengangkat tangannya.
            “Laa… kalau nak suap dengan sudu, baik aku suruh adik aku saja.  Sesekali nak bermanja dengan kau, bolehlah, bolehlah,” rayu Rose.
            “Dah siap pakai inainya.  Jom kita pergi makan!” kata Zaiton, dia bingkas bangun sambil membetulkan pinggannya yang terasa lenguh.
            “Tolonglah angkat aku!” jerit Rose. 
            “Apalah punya teruk!”  Zaiton mengangkat Rose berdiri.  Mereka berjalan ke dapur.  Masih ada Hanum dan Seman sedang berbual dengan beberapa orang saudara mara.
            “Hah, nak apa Ton, Rose?” tanya Hanum, ingatkan kedua gadis itu sudah melelapkan mata.
            “Nak cari makan, nak cari makan,” kata Zaiton. Dia menyengih.
            “Laa… lapar lagi ke?” tanya Hanum.
            “Kenyang sangat ni mak, itu sebab cari makan,” tambah Zaiton.
            “Tentulah lapar mak,” sambung Zaiton.  Dia menyelongkar periuk nasi. 
            “Orang lain yang mengelabah, orang lain yang makan banyak mak,”  ejek Rose.  Zaiton memang panggil emaknya dengan panggilan emak juga.  Biar hubungan itu lebih mesra.  Begitu juga dengan ayahnya. 
            “Makanlah.” Hanum menggelengkan kepala.
            Nasi sudah diisi ke dalam pinggan.  Semangkuk masak lemak cili api nangka muda, ikan goreng, sambal belacan sahaja menjadi pilihan Zaiton.  Dia mengajak Rose makan di pangking luar rumah sambil menikmati angin malam.
            “Jangan ketawa kuat-kuat sangat. Kang keluar langsuir sebab terkejut!’ usik Hanum, dia ketawa perlahan.  Mereka yang berada di dapur turut ketawa mendengar usikan Hanum,
            “Apalah mak ni! Doakanlah kami didatangi Putera Raja yang turun dari kayangan ke? Ini langsuir?” Zaiton menggeleng laju.  Maatanya melilau memandang sekeliling.   Gelap di sana sini.
            “Meh, Rose.  Aku suap kau makan.” Kuah dituang ke dalam nasi. Ikan goreng dicubit diletak di tepi nasi. Doa dibaca. Dia terus menyuapkan nasi itu ke mulut Rose yang sudah sedia terbuka.
            “Lepas ini tak ada peluanglah aku nak memanjakan dan bermanja dengan kau, kan Rose,” kata Zaiton, tangannya pantas menyuap nasi ke mulutnya dan mulut Rose.
            “Ala… macamlah kau tu manja sangat dengan aku.”
            “Sunyilah hidup aku lepas ni,” luah Zaiton.  Dia benar-benar sedih. Kehilangan seorang teman dan sahabat yang baik tentulah membuatkan hatinya sedih.
            “Kau ni Ton, macamlah aku nak pergi mana-mana.  Kau boleh datang jumpa aku di  restoran Kak Maznah. Kita masih boleh berjumpalah! Jangan mengada-ngada sangat!” tegur Rose.
            “Takkan sama, kita tak boleh lagi keluar bersama, makan bersama.  Aku tak dapatkan rasa masakan air tangan kau yang dah semakin sedap  tu,”  ujar Zaiton.  Muka sedih tetapi mulutnya masih lagi mengunyah nasi dan gulai nangka yang sudah tinggal sedikir sahaja lagi.
            “Kau ni, janganlah cakap macam tu, sedih aku tau!”
            “Malam ni saja aku dapat duduk berdua-duaan dengan kau. Lepas ni mesti ada lakikau.” 
            “Ton, macam yang aku cakapkan dulu.  Kau tetap kawan aku dunia dan akhirat.  Aku sesekali takkan lupakan kau.  Sesekali kita keluarkan berdua, boleh saja. Kau jangan bimbang ya.  Aku nak kahwin sajalah oi! Bukan nak ke mana-mana!” Rose menampar peha Zaiton yang sudah mula menangis.  Sedih sangatlah agaknya.  Ya ALLAH, macam budak kecil sahaja.   Puas dia memujuk Zaiton, sudah selesai makan baru hati sahabatnya itu tenang.

No comments:

Post a Comment