AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 28 July 2017

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 57



Pagi-pagi lagi Rose mengajak Zaiton mencari Maznah dan Joe di Kuala Lumpur.  Larangan orang tuanya dipandang sepi. Maruahnya tercalar, harga dirinya dihina tidak mungkin dia berdiam diri.  Semalaman dia menangisi nasib diri, ejekan dan hinaan daripada jiran tetangga ditelan bulat-bulat dengan hati yang panas terluka.  Malu tidak terkata.  Ayah dan emak terkena tempiasnya.  Sampai hati mereka menipu keluarganya.  
            Kereta dipandu laju menuju terus ke Restoran Selera Melayu. Berkerut dahinya, restoran itu buka seperti biasa.  Bergetar jantungnya menahan marah yang tidak terucap dengan kata-kata.  Mahu sahaja dia mengamuk seperti mana Hang Jebat mengamuk di Melaka.  Biar mati semuanya. Kereta diparkirkan di hadapan restoran.  Dengan langkah yang berat dan hati yang sakit dia terus ke dapur. Kak Maznah sedang memasak.
            “Kak!” panggil Rose. Bibirnya terketar menahan marah. Wajah selamba Maznah membuatkan hatinya bertambah sakit.  Wanita itu didekati dengan mata berkaca.  Dia menahan nafas, menekan air matanya dari gugur membasahi pipinya.
            “Maafkan akak, tak terlangkah kaki akak untuk ke rumah Rose!” luah Maznah.  Sudip di tangan diletakkan. Dia  ke ruang hadapan, diikuti Rose dan Zaiton yang setia di sisi.
            “Pagi-pagi lagi akak sudah naik ke bilik untuk kejutkan Joe. Terkejut akak, sebab dia tak ada di dalam bilik.  Beg pakaianya juga tak ada. Pasportnya juga hilang bersama orangnya.  Akak nak buat apa? Akak telefon dia tak jawab.  Takkan akak nak ke rumah Rose dalam keadaan akak tidak tahu apa-apa.  Ahli keluarga yang datang juga terpaksa balik kerana pengantin lelakinya tak ada,” cerita Maznah tentang apa yang berlaku.  Dia hanya mampu menangis, memikirkan apa yang berlaku.  Apa yang terjadi dengan adiknya?  Kenapa dia menghilangkan diri di saat majlis perkahwinannya akan berlangsung.  Malu dia dengan Rose sekeluarga.  Tidak tahu nak diletak mana mukanya. Malu sangat-sangat.  Memang dia bersalah kerana tidak menghubungi keluarga Rose. Dia juga bersalah.
            Rose mendengarnya dengan hati yang nanar.  Joe permainkan dirinya? Tetapi kenapa? Apa dosa dan salahnya?  Berkali-kali dia menolak hubungan ini, tetapi lelaki itu yang memberi harapan.  Kenapa dia dipermainkan?  Kenapa? Soalnya bertalu-talu. Dia hanya inginkan jawapan.  Jawapan yang jujur didambakan.
            “Sampai hati Kak Maznah! Malu keluarga Rose tau tak!” tempelak Zaiton. Mahu sahaja dia ketuk kepala perempuan itu.  Senang sahaja tindakannya. Mendiamkan diri bukan menyelesaikan masalah. Malah menghancurkan impian seorang gadis dan keluarga gadis itu.
            “Maruah diri saya takkan kembali kak,” luah Rose dengan mata berkaca.  Tidak sanggup berada di situ. Kalau hilang kesabarannya,  ada yang masuk hospital nanti.  Biarlah dia mengalah, bukan kerana dia kalah, tetapi mencari kekuatan diri setelah dipermainkan dengan penuh hina sekali.
            “Maafkan akak Rose!” Hanya itu yang mampu diluahkan. Hatinya sendiri sakit. 
            “Maafkan akak pun, tidak akan dapat mengembalikan maruah keluarga  saya kak.  Saya berhenti kerja kak!    Kalau akak nak saya bayar gaji saya kerana berhenti tanpa notis, tolaklah gaji saya bulan ini.”  Hatinya benar-benar sakit.  Tergamak mereka mempermainkan harapan dan perasaan keluarganya.             
            “Rose, takkan sampai nak berhenti kerja?” soal Maznah.  Dia tidak mahu kehilangan pekerja sebagaik Rose.  Kenapalah adiknya sanggup buat begini?
            “Maafkan saya juga kak.”  Tidak mungkin dia bekerja di situ.  Kak Maznah adalah kakak kepada Joe.  Lelaki itu telah membunuh dirinya dalam senyap.  Menghancurkan keluarganya tanpa sedar.  Hey! Malu tahu! Maruah keluarganya dicampak ke lubang najis!
            “Rose…”  Kak Milah terus memeluk Rose dan menangis dalam pelukan gadis itu.
            “Kak Milah!”  Sayu hati Rose.
            “Sabar ya dik!” pujuk Kak Milah.  Dia sendiri sakit hati, apatah lagi keluarga Rose. Kalaulah dia di tempat keluarga gadis itu, mahu separuh gila jadinya.  Mereka semua sudah siap bersedia untuk bersamas-sama rombongan pengantin lelaki ke rumah Rose. Semuanya  terbatal kerana pengantin lelaki sudah  melarikan diri.
            “Insya-ALLAH kak, saya takut emak dan ayah saya tak kuat menghadapinya,” luah Rose. Air mata sudah merembas keluar. Mengalir laju membasahi pipinya. 
            Keadaan menjadi sepi dan sayu. Beberapa orang pekerja datang mendekati Rose dan memberi kata-kata sokongan. 
            Maznah terdiam seribu bahasa.  Hatinya sendiri hancur dengan sikap tidak bertanggungjawab adik kandungnya sendiri.  Kalaulah adiknya ada di hadapannya, mahu sahaja dia buat laporan polis kerana menipu.  Biar dirasakan hidup dalam penjara.  Dia beri bunga, adiknya balas dengan racun berbisa.  Bukan sahaja tidak sempat mengucap, malah mati terkejut.
            “Halalkan segala makan minum saya selama bekerja di sini. Jangan cari saya lagi kak.  Saya tak ada apa-apa hubungan lagi dengan restoran ini!” Bukan berniat ingin memutuskan silaturahim tetapi dia tidak mungkin mampu melangkahkan kaki di restoran itu lagi. Biarlah menjadi kenangan terpahit dalam hidupnya.  Setelah bersalaman dengan Kak Milah dan Maznah, Rose dan Zaiton berlalu dari situ.
            “Kita nak ke mana? Balik kampung?” soal Zaiton. Sebak dadanya, menikam jantung. Kalau salah perhitungan dia pula yang terlantar di rumah sakit.  Dasyat sungguh sikap manusia yang berhati syaitan dan iblis. Sewenang-wenangnya mempermainkan perasaan orang.  Cerita buruk pasti akan diperkatakan sehingga ke anak cucu.  Sampai mati mereka tidak akan lupa.  Akan terus dikenang dan dijadikan bahan cerita jika duduk-duduk sahaja.  Siang malam perkara itu akan jadi bahan cerita.  Yang malu pastikan keluarganya di kampung.  Joe dan keluarganya boleh lepas tangan.
            “Aku tak sampai hati tengok muka emak dan ayah aku, Ton!” Jiwanya terluka, sakitnya tu di sini. Menghenyak tangkai hati. 
            “Kau kena balik juga, kena terangkan pada mereka apa yang berlaku,” suruh Zaiton.  Hari minggu yang menyakitkan.
            “Sampai hati Joe, apa dosa aku padanya? Aku tak faham Ton!”  Jawapan yang hanya ada kepada lelaki itu.  Lelaki yang telah disandarkan harapan untuk membina dan menyulam bahagia. 
            Telefonnya berbunyi, tanda mesej masuk.  Dahinya berkerut.  Nombor telefon yang tidak dikenali. Siapakah gerangannya.  Adakah Joe?  Detik hati kecil Rose.  Telefon dibuka, mesej dibaca.  Bertambah parah luka di hatinya…
            ‘Padan mukakau! Kau ingat kau siapa?  Cantik sangat?  Perasanlah kalau ada lelaki yang sudi ambil kau jadi isteri! Puas hatiku. Dendam terbalas akhirnya.  Kau memang layak dilayan begini.  Malukan?  Joe tak pernah cintakan kau, kau saja yang perasan.  Dia hanya perlukan duit, aku bayar dia untuk malukan kau! Siapa aku? Kau carilah sendiri.  Joe takkan kembali mencari kau.  Sampai tualah kau tak kahwin.  Hebatkan permainan dan perancangan aku? Tak ada siapa yang sedar! Selamat meranalah ya!’ 
            Mesej itu segera ditutup.  Dia mengetap bibir, menahan rasa sakit di hati. Siapa yang mengupah Joe untuk memalu dan menjatuhkan  maruah dirinya?  Kenapa kejamnya sangat orang yang berbuat naya terhadapnya.  Dia menyandar di pintu kereta. Mencari kekuatan dalam diri.  Semua ini hanyalah satu permAinn?  Banyak duit empunya mesej, meminang dan memberinya hadiah.  Mahu sahaja dia meraung di situ. Apa yang harus dia khabarkan kepada kedua orang tuanya. Tidak mungkin dia memberitahu sebabnya. 
            “Kenapa Rose?” tanya Zaiton, bimbang.
            “Mesej ini memberikan jawapannya, Ton!”
            Telefon bimbit Rose bertukar tangan.  Dia membuka ruang mesej dan membacanya.  Terlopong mulutnya.  Jadi, benarlah semua ini satu permAinn.  Tetapi siapa?  Bukan mudah nak mencari empunya mesej. Nombor yang tercatit hanyalah nombor peribadi.  Kepada siapa mereka nak hubungi.  Sampainya hati manusia yang sanggup mempermainkan dan menjatuhkan maruah sebuah keluarga kerana dendam kesumat di hati.  Siapa pun dia, manusia berhati syaitan ini memang sudah keterlaluan.  Kalau dia tahu siapa yang melakukannya, dia tidak akan berdiam diri.  Kita saman sama dia! Detik hati kecil Zaiton.
            “Kita balik kampung ya?  Nanti susah hati pula keluarga kau!” ajak  Zaiton lembut.  Tidak tahan melihat tangisan sahabatnya itu.  Menangis tanpa suara, hanya air mata yang mengalir laju.  Menggigil tubuh   Rose. Bibirnya terketar-ketar menahan sendu.    
            “Biar aku yang memandu. Kau duduk di sebelah ya.  Rose! Jangan macam ni, kau kena kuat!” pujuk  Zaiton, hiba hatinya.  Dia turut menangis.
            “Ton, apa salah aku?” kata Rose dalam sendunya yang semakin berat dan sarat.


No comments:

Post a Comment