AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 29 July 2017

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 58



Periuk belanga sudah dikemaskan semuanya.  Khemah sudah pun dibuka, kerusi meja sudah disusun, hanya menunggu waktu untuk diangkat naik lori sahaja.  Seman mengemas kawasan rumah, biar bersih seperti dahulu. Tidak mahu terlalu memikirkan apa yang telah berlaku.  Jika difikirkan boleh gila jadinya. Duit habis, majlis tidak jadi.  Orang perempuan meluahkannya dengan tangisan.  Dia? Takkan dia nak menangis juga.  Maruah diri dicalarkan dengan teruk sekali.  Setahunya, dia tidak pernah memusuhi sesiapa.  Semoga ALLAH memberinya kekuatan menghadapi ujian ini.  Ujian yang maha besar yang di hadapinya. 
            Melihat wajah Rose pun dia tidak sanggup. Kalau dia kecewa, pasti anaknya lebih lagi.  Orang kampung yang mengeji, mudah sahaja berkata.  Gadis buruk rupa, siapa yang nak dijadikan isteri.  Dia  ayah kepada Rose tentulah terasa.  Memang benar anaknya tidak lawa, buruk dan tidak cantik langsung, tetapi janganlah dihina dan dipermainkan sampai begini sekali.  Merobek maruah anaknya sehingga tidak mampu memandang rumput di tanah, kerana terlalu malu.
            Isterinya pula? Dia tahu, Hanum cuba berlagak kuat.  Menangis sendiri, menghadap dinding di waktu malam.  Hiba hatinya mendengar rintihan isterinya.  Hancur hatinya mendengar butir bicara Hanum.  Bukan isterinya sahaja yang kecewa, dia juga begitu.  Apa daya mereka untuk mengubah takdir ALLAH SWT.  Usai mengemas, Seman duduk di pangkin, sambil mengambil angin.  Malas nak ke mana-mana. Pasti ada yang bertanya akan kisah semalam. Biarlah menjadi mimpi ngeri yang singgah seketika dalam hidup keluarganya.
            “Pak cik,”  tegur Haikal yang baharu sahaja tiba.
            “Haikal!” Seman memandang wajah anak muda itu. Kenapa bukan Haikal yang menyunting dan menjadikan Rose sebagai isteri.  Lelaki dari bandar itu sanggup menipu anaknya. 
            “Rose ada pak cik?” tanya Haikal penuh hormat.
            “Adalah agaknya.  Katanya, esok dia nak balik KL, pak cik larang… dia tak nak dengar,”  luah Seman. 
            “Pak cik banyak-banyakkan bersabar ya?” pujuk Haikal.
            “Insya-ALLAH, pak cik tak apa-apa.  Pak cik risaukan Rose tu.”
            “Insya-ALLAH pak cik, saya yakin Rose juga kuat! Dia seorang yang tabah!”  Haikal yakin.  Hal itu akan berlalu pergi.  Rose akan bangkit dan kuat kembali. Kehidupan harus diteruskan biar apapun berlaku.
            “Pergilah tengok  Rose tu, berkurung saja dalam bilik sejak balik dari KL semalam,” suruh Seman.
            “Rose ke KL?”  Haikal mengerut dahi. Pasti mencari kakak Joe, Maznah.  Dia mengeluh dalam hati.
            “Saya pergi tengok Rose dulu, minta izinnya ya pakcik?”  kata Haikal perlahan.    
            “Pergilah, Zaiton pun ada,” ujar Seman.  Dia termenung kembali.   Duit boleh dicari, tetapi maruah dan harga diri keluarganya tidak akan kembali.  Diperkatakan orang sehingga ke mati.  Dikenang  selama-lamanya.     
            Haikal mendekati pintu utama yang terbuka luas.  Dia memberi salam.  Salam disambut oleh Hanum yang bengkak matanya.  Tahulah Haikal, Mak Hanum menangis sepanjang malam.  Emaknya juga begitu. Asyik berdecih dan mengeluh sejak kejadian tempohari.  Asyik risaukan Mak Hanum dan Rose. 
            “Maaf mak cik, Rose ada?” tanya Haikal lembut dan penuh hormat
            “Ada kat dalam tu, Haikal masuklah dulu, nanti mak cik panggilkan,” pelawa Hanum.  Dia menapak ke bilik Rose yang terkunci rapat.  Hiba hatinya memikirkan nasib anak gadisnya itu.
            “Rose! Rose… keluar nak, Haikal datang ni.” Sambil tangannya mengetuk daun pintu bilik Rose.  Bunyi barang dialihkan jelas kedengaran.  Apa pula yang dipunggah oleh anak gadisnya itu.
            “Ton! Ton!” Panggil Hanum.
            “Ya mak cik!  Kejap lagi kami keluar,”   sahut Zaiton.
            “Keluar cepat ya, jangan biar Haikal tunggu lama pula,” perintah Hanum.
            “Baik mak cik!”  jawab Zaiton.
            Hanum kembali ke dapur.  Banyak kerja yang masih tidak siap. Perlu bersihkan segera, tidak sanggup melihat bekas-bekas kenduri kelmarin.  Buat sakit hati dan sakit jiwa sahaja.
            Rose dan Zaiton keluar serentak.  Haikal yang menunggu di ruang tamu dipandang sekali imbas.  Pelamin sudah  dikemas sejak kelmarin lagi.  Dirobohkan dengan paksa oleh ayahnya.
            “Rose!” Haikal bingkas bangun, berdiri bagaikan memberi hormat kepada orang-orang besar sahaja.
            “Duduklah!” suruh Rose dan duduk di sofa bersebelahan Haikal.  Mata mereka saling bertembung.  Rose menunduk seketika.
            “Saya buat air dulu, awak duduklah berbual dengan Rose, ya Haikal!” Zaiton tidak mahu mengganggu kedua sahabat itu berbicara.   Dia menghilang ke dapur.
            “Awak okey?” tanya Haikal.
            Rose tersenyum nipis.  Dalam hati hanya ALLAH jua yang tahu.
            “Awak tahu kenapa Joe buat macam ni?” tanya Haikal.
            “Entahlah, tapi saya ada terima satu mesej. Tak tahu siapa. Macam nak balas dendam dengan saya saja,” cerita Rose.  Mesej itu masih disimpan. Dia ingin tahu sangat siapa punya angkara, sehingga sanggup memalukan keluarganya seperti ini. Joe juga tidak lagi menghubunginya.  Hilang tanpa dijejak.
            “Boleh saya tengok?”  pinta Haikal.  Telefon bimbit Rose bertukar tangan.  Haikal membaca isi kandungan mesej yang diterima.  Dahinya berkerut.  Dia memandang wajah Rose yang lesu itu.
            “Awak tak tahu siapa pengirimnya?” tanya Haikal.
            “Tak!” sepatah sahaja jawapan Rose.
            “Saya harap awak kuat dan tabah hadapi ujian ini,” nasihat Haikal. Apa lagi yang mampu dia lakukan? Kalau dia tahu siapa yang sanggup berbuat begini, sudah tentu dia tidak akan duduk diam sahaja.  Orang yang melakukan perbuatan ini, harus dihukum.  Mesej itu di pandang beberapa kali. Di baca beberapa kali.  Hatinya terdetik sesuatu. Tidak mungkin? Takkanlah? Persoalan bermain dibenaknya. Baik dia siasat sebelum buat pelbagai kemungkinan.  Meneka, dan berteka-teki sendiri tidak akan selesai.
            “Terima kasih kerana memberi saya sokongan dan dokongan.” Senyuman terukir tetap kosong dan hambar.
            “Kita kahwin!” terpacul ayat itu keluar daripada mulut Haikal.  Wajah lelaki itu serius.
            Rose mengerut dahi.  Dia terkesima.  Wajah Haikal dipandang lama.  Mencari kejujuran dan keikhlasan di wajah itu. Rose tersenyum sumbing.
            “Perkahwinan berlaku atas rasa tanggungjawab dan rasa kasih antara dua hati.  Hati saya dan hati awak tidak akan bersatu.  Kita hanya layak jadi sahabat saja, tidak lebih daripada itu.  Jangan awak ucapkan ketika simpati menebal dalam hati. Saya takut setelah kita berumah tangga timbul sejuta kekesalan yang membuatkan hidup kita jauh lebih parah daripada sekarang.  Awak hanya ada rasa simpati pada saya, awak sayangkan saya hanya sebagai sahabat, begitu juga saya. Tidak perlulah awak berkorban hanya nak membahagiakan saya.  Cukuplah saya dijatuhkan, cukuplah hati saya  dirobek sekali.  Cukuplah dengan apa yang berlaku.  Jangan awak  jadi orang kedua yang menghancurkan hati ini, Haikal.  Saya tidak minta disimpati.  Jadilah sahabat saya dalam erti kata sebenar, bukan pak sanggup yang sanggup berbuat apa sahaja demi seorang sahabat.  Pengorbanan awak  akan jadi sia-sia,” kata Rose panjang lebar.
            Haikal terdiam. Semalaman dia memikirkan hal tersebut. Memang dia simpati dengan nasib Rose.  Dia tahu,  gadis itu tidak akan terima cadangannya itu.  Dia mengeluh sendiri.
            “Maafkan saya!’ ucap Haikal. 
            “Terima kasih kerana berdiri di belakang saya. Menjadi tulang belakang agar saya tak tumbang!” ujar Rose.  Dia tersenyum lagi.
            “Saya tahu, awak kuat!”
            “Kekuatan seorang perempuan, setakat mana sahaja?  Kalau saya  tak kuat, siapa yang akan bantu saya?”
            “Awak tak tahu Joe ke mana?”
            “Kalau saya  tahu, senanglah cerita.”
            “Memang tak guna!” Haikal mengenggam penumbuk.  Kalaulah lelaki itu ada di hadapannya…
            “Memukul orang pun tak selesaikan masalah saya.” Rose sekali lagi tersenyum.

No comments:

Post a Comment