AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sunday, 30 July 2017

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 59



Haikal mengetap bibir. Menunggu dengan sabar kehadiran tunangnya. Perhitungan perlu dibuat.  Dia tidak akan mendiamkan diri. Perkara ini biar jelas dan telus.  Ain perlu berjawab dengannya hari ini.  Dia tidak akan berkompromi lagi.  Hatinya sudah menanar sejak kelmarin, usai melihat mesej yang diterima oleh Rose.  Semoga  tekaannya salah.  
            “Hai sayang!” sapa Ain dengan wajah penuh ceria.  Dia duduk di sebelah Haikal. 
            “Lamanya kita tak jumpa, awak rindu saya?” tanya Ain dengan matanya yang redup menikam wajah Haikal, kekasih hatinya.
            “Rindulah juga, kenapa tak datang ke majlis perkahwinan Rose? Saya tunggu juga awak,”  tanya Haikal.  Wajah tunangnya itu masih menjadi santapan matanya.
            “Malaslah! Erk… bukan dia tak jadi kahwin ke? Tunangnya tidak datang ke majlis. Itulah yang saya dengar daripada emak,”  luah Ain.  Dia mencebik. Padan muka! Detik hati kecilnya.
            “Mesej ni.” Haikal menunjukkan mesej yang dia ambil daripada telefon bimbit Rose.
            Ain terdiam seketika.  Wajahnya terasa disimbah minyak panas.  Kenapa Haikal ada mesej tersebut?  Dia cuba berlagak biasa.
            “Baik awak cakap, awak terlibat dalam hal ini, kan? Soal Haikal, marah benar dia.
            “Hish… tak  baik main tuduh-tuduh! Awak ingat saya sejahat itu ke?”  Ain menafikannya.
            “Kalau bukan awak, siapa lagi?  Musuh utama Rose adalah awak! saya tak hairan jika awak sangup berbuat apa sahaja demi membalas dendam!’ tuduh Haikal, tidak mahu berkompromi. 
            “Kerana saya musuh  budak hitam tu, jadi awak tuduh sayalah ya?”  bentak Ain kurang selesa dengan tuduhan Haikal.
            “Kalau bukan awak siapa lagi?  Awak boleh tipu sesiapa saja. Tapi awak tak boleh tipu saya!” kata Haikal tegas. 
            “Kenapa perempuan hitam itu penting sangat dalam hidup awak?  Kalau awak suka sangat dengan dia, kahwinlah dengan dia!” marah Ain.
            “Dia sahabat saya! Awak faham tak?”
            “Sahabat ke kekasih?” marah Ain.
            “Apa awak cakapkan ni” tengking Haikal.  Suaranya masih diperlahankan kerana tidak mahu mengganggu pelanggan yang lain. 
            “Ini semua awak punya pasal! Kalau awak tak permainkan saya hari tu, saya takkan permainkan kawan awak  tu!”
            “Ain!” Haikal urut dada.  Memang benarlah tekaannya.  Ain terlibat dalam hal ini.
            “Sampai hati awak! awak musnahkan maruah dan harga diri keluarganya!  Bukan Rose sahaja yang   mendapat malu, seluruh keluarga dia, tau tak!”
            “Apa saya peduli! Janji hati saya puas!” Ain mencebik.
            “Awak memang syaita, iblis!”  marah Haikal. Dia bingkas bangun dan berdiri kaku di hadapan Ain.  Bibirnya bergetar menahan marah.
            “Hoi!  Sedap mulut awak saja kata  saya syaitan!”  Ain mencekak pinggang.
            Satu tamparan singgah di muka Ain… DAN!
            “Awak! awak!” panggil Ain beberapa kali. Jauhnya tunangnya itu mengelamun.
            “Ain?”  Haikal memandang kiri dan kanan. Jauh sungguh dia mengelamun tadi.  Hish.. apalah yang ada dalam fikirannya ketika itu.  Tidak mungkin Ain tergamak buat begitu kepada Rose, biar benci sekalipun terhadap sahabat baiknya itu setinggi Gunung Kinabalu.
            “Awak kenapa? Mimpi ke?” tanya Ain dan terus duduk di sebelah Haikal yang masih seperti orang bingung.
            “Tak ada apa, pesanlah minuman,” suruh Haikal.
            “Macam mana majlis perkahwinan sahabat baik awak tu?  Meriah?” soal Ain.  Dia merenung wajah Haikal yang pucat lesi.
            “Apa?”  Haikal masih bingung memikirkan kejadian tadi.  Jauh sangat dia mengelamun.  Macam dalam mimpi pula.  Masih terasa panas tangannya menampar pipi gebu Ain.
            “Saya tanya, meriah tak perkahwinan sahabat baik awak tu?  Bertuahlah dapat berkahwin dengan  lelaki kacak.” Ain mencebik.
            “Tak payah buat muka macam tu,” kata Haikal kurang senang.
            “Laa… nak tanya pun tak boleh?  Saya sengaja tak balik, awak bukan tak tahu, saya tak suka, tetap tak suka,” terang Ain. Dia mengeluh berat.  Susah benar dia nak menerima kehadiran gadis hitam itu dalam hidupnya. 
            “Nak tanya buat apa?  Supaya senang awak ketawakan dia? Begitu?”  kata Haikal sedikit tegang.  Entah kenapa kemarahan menguasai diri. 
            “Yang awak marah saya kenapa?  Saya tanya saja, nak jawab, saya dengar. Tak nak, tak apa, saya tak paksa!”  Ain naik angin. Dia tanya elok-elok pun kena marah.  Apa hal?  Apa masalah?  Bukan dia yang cari pasal!  Angin juga hatinya.
            “Maaf…”  Haikal mengendurkan suaranya.  Dia menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan-lahan bagi menenangkan diri. Kemarahan yang wujud bukan waktunya.  Memarahi orang yang salah, juga salah.  Dia mendengus kasar.
            “Awak demam ke? Sakit?  Muka awak pucat saja.”  Ain merasa dahi Haikal, tidak panas. 
            “Apa lagi yang belum dibeli ya?  Majlis kita minggu depan, awak nak balik dengan saya, atau kita balik sendiri-sendiri.”  Air minuman yang sudah berada di hadapannya di sedut sehingga tinggal separuh.  Haikal mencuri pandang wajah tunangnya yang semakin hari semakin cantik.  Bertuahlah mana-mana lelaki yang dapat memiliki gadis itu.  Dia adalah lelaki yang bertuah, tetapi malangnya emak mertuanya suka ambil tahu hal orang lain.  Kisah Rose tidak jadi berkahwin dijajakan ke satu kampung.  Malu keluarga Rose.  Tidak tahulah bagaimana mereka berhadapan dengan penduduk kampung yang  suka bercerita kisah orang lain. Hanya segelintir sahaja yang simpati dan tidak mengutuk sama.
            “Semua sudah siap. Tunggu awak bersalam dengan tok kadi saja lagi.” Ain mengenyit mata.  Tidak sabar nak bergelar isteri kepada lelaki yang telah sekian lama mengisi ruang hatinya.
            “Sahabat awak datang juga ke majlis perkahwinan kita?” tanya Ain.  Kalau boleh dia tidak mahu gadis itu datang.  Buat semak dan menyemakkan majlis sahaja. Janganlah gadis itu datang.  Dia tidak akan sudi merainya. 
            “Tentulah dia datang, tapi kenduri di sebelah saya.  Sayakan sahabat dia, takkan dia tak datang?”   Haikal  tahu Ain tidak suka.  Tidak mungkin dia menghalang kehadiran Rose. Cuma, dia tidak pasti sama ada sahabatnya itu akan datang atau tidak.  Apatah lagi setelah kejadian hari itu.  Tentulah Rose tidak mahu bersua muka dengan penduduk kampung yang rata-rata akan hadir di majilis perkahwinannya nanti.  Kasihan Rose.
            “Eee… tak suka!” keluh Ain dengan muka cemberut.
            “Suka atau tak, Rose tetap tetamu saya, awak faham,”  kata Haikal tegas.  Dia tidak akan berkompromi dalam soal ini.  Ain tidak boleh dibiarkan membenci   Rose selama-lamanya. 
            “Ikut suka awaklah. Di majlis saya, tak mungkin saya jemput dia,”  luah Ain.
            “Kenduri di rumah awak, ikut suka awaklah.”    Haikal memandang ke arah lain. Malas nak bertekak dengan manusia yang keras hati itu.  Harap rupa sahaja cantik, tapi hati  tetap  tidak  mahu suci bersih.
            “Saya nak tengok juga suami dia, tentu kacakkan?”  Ain mengangkat kening.        
            Haikal mendiamkan diri. Tidak mahu bercerita.  Dia pasti Ain sudah tahu cerita dan perkara sebenar. Tidak mungkin Mak Limah tidak ceritakan  tentang hal Rose yang tidak jadi kahwin itu. Sudah gaharu cendana pula, malas nak memikirkan masalah orang perempuan ini. 
            “Awak!  suami Ain kacakkan?”  soal Ain keras.  Dia mengetap gigi. Haikal layan tak layan sahaja.
            “Kenapa awak nak tahu?  Kacak atau tidak, tak ada kena mengena dengan awak.  Awak bukan kawan dia, jadi… tak perlulah tahu.” Haikal tersenyum lebar. 
            “Sombong!” Ain memeluk tubuh.   Dia menjeling tajam. Kalau pasal Rose,, tunangnya itu pasti akan marah-marah. Baik tidak usah sebut atau bercerita. Datang berjumpa nak suka-suka dan berbincang tentang masa hadapan, tetapi lain pula jadinya.  Buat muncul mood tidak baik sahaja.
            Haikal mendengus kasar.  Wajah Ain yang keruh menjadi renungan matanya.  Kalaulah Ain dan Rose berbaik-baik, hatinya juga yang gembira.

No comments:

Post a Comment