Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 14 Julai 2017

TRAVELOG UMRAH - BAH. 10



Pihak pengurusan Andalusia membawa para Jemaah melakukan umrah selang sehari.  Hari Sabtu adalah hari bebas untuk para Jemaah melakukan aktiviti masing-masing. Jika ingin membeli-belah atau melawat kawasan persekitaran masjid dibenarkan, jangan lupa bawa kad pengenalan diri, usah bawa duit yang banyak, berhati-hati dengan barangan atau beg yang dibawa.  Biarpun kawasan itu adalah kawasan suci, tetapi hati manusia yang berada di dalamnya tidak semuanya suci bersih.  Adajuga tukang copet dan penyeluk saku.   Usah tunjukkan kita bawa banyak duit, hendak buka beg duit itu hati hatilah.  Pendek  kata, berhati-hatilah di mana sahaja.
            “Bang, takkan nak duduk dalam hotel aje, jomlah keluar ke mana-mana, kita ambil teksi,” kata saya sambil memandang wajah suami yang sedang leka melayan telefon bimbitnya. 
            “Nak ke mana?” tanyanya kembali.
            “Ke mana sahaja, asalkan keluar dari bilik hotel ini,” kata saya lagi.
            “Kakak nak ikut tak?” tanya suami kepada anak perempuan kami.
            Dia menggeleng laju. 
            “Hish! Takkan nak duduk berkurung sehari suntuk kak?” ujar saya. 
            “Sakit kakilah mak! Mak dengan abah ajelah yang pergi, kakak tak nak ikut,” jawabnya.
            “Jomlah, kita ajelah yang pergi,” ujar suami saya, dia sudah pun bersiap dengan jubah dan beg kecil yang berisi kad pengenalan diri, duit dan telefon serta buku panduan haji dan umrah.
            Kami terus turun ke lobi, hari masil awal, baru jam 8.00 pagi.
            “Ait! Nak ke mana ni?” sapa Kak Lina dan suaminya Baxtiar.
            “Nak jalan-jalan ke Tanaimlah kut,” kata suami.
            Saya memandang wajah suami, Tanaim, buat apa? Detik hati kecil saya.
            “Boleh kami ikut?” tanya Kak Lina dengan wajah manis manjanya.
            “Jomlah!” kata saya. Maka terjadilah cerita, kami terus keluar dari hotel dan mencari teksi yang boleh membawa kami ke Bandar Tanaim, semalam sudah pergi, hari ini pergi lagi.  Apa yang hendak dicari, kami belum pasti, ingat hati hendak meninjau-ninjau bandar kecil itu. Manalah tahu ada sesuatu yang menarik di hati. 
            Setelah berkira harga sewaan sebuah teksi pergi dan balik dari Mekah ke Tanaim, kami terus melangkah masuk dan bergerak  menuju ke Bandar Tanaim.  Sampai di masjid kelmarin, tempat kami bersolat dan berniat ihram.  Teksi berhenti betul-betul di hadapan masjid. Kami terus keluar dan berjalan mengikut kaki.  Allahu Akbar! Hendak ke mana?  Pandang kiri, pandang kanan, sebuah pekan kecil. Ada pejabat seperti TNBlah agaknya, jalan ke hadapan sedikit, ada sebuah hospital, tidak pula pasti sama ada hospital swasta atau kerajaan.  Sebelum hujung masjid, ada jejantas  untuk menyeberang ke sebelah sana bandar kecil itu.  Kebanyakkan kedainya masih tutup, mungkin masih awal.  Terkebil-kebil kami di kawasan itu, tidak tahu hendak ke mana.  Saya terasa ingin ketawa sahaja di dalam hati, memandai hendak berjalan-jalan, ingat  bandar di Tanah  Arab ini seperti bandar Bangi ke Puchong agaknya. Aduhai!  Berlagak pandai, kan pelik jadinya.  Agaknya pemandu teksi itu sendiri kehairanan melihat kami yang hendak ke Bandar Tanaim. 
            Akhirnya kami mengambil keputusan mendapatkan semula teksi yang kami naiki tadi, kebetulan pemandu teksi itu masih lagi menunggu di hadapan masjid, agaknya dia sendiri tahu, kami pasti akan berpatah semula.
            “Kita nak ke mana ni?” tanya saya kepada suami.
            “Kita naik teksi dulu,” kata suami.
            “Boleh bawa kami ke mall!” dalam BIlah.  Pemandu teksi berbangsa Pakistan itu boleh bercakap BI sedikit-sedikit. BM bolehlah juga tapi kurang faham, Bahasa Arab dia fasihlah, masalahnya kami tidak pandailah. 
            Apa ke jadahnya nak ke Mall?  Ikutkan sahaja, memang sengaja hendak buang masa.  Akhirnya pemandu teksi itu membawa kami ke sebuah kawasan bandar yang dipenuhi bangunan pasaraya. Orang tidak ramai, kawasan yang agak lengang. Mungkin orang Arab tidak membeli belah di siang hari. Hanya orang Malaysia seperti kami ini yang gila pergi ke pusat membeli belah mereka jauh  beberapa kilometer dari Bandar Mekah. 
            Pemandu teksi itu menurunkan kami di sebuah pusat membeli belah yang dikatakan murah barang-barang di situ. Dia akan datang mengambil kami semula sejam selepas kami berjalan-jalan di kawasan tersebut.  Dia juga menitipkan kami nombor telefonnya.  Kenderaan bertali arus, bas, teksi dan kenderaan awam.  Apa yang pasti, tiada pemandu wanita, usah berkira-kira nak jadi pemandu uber atau grab di Mekah jika kita berjantina perempuan.
            Terlupa pula nama pusat membeli belah pertama yang kami melangkah masuk.  Sebaik kami melangkah, terlihat pakaian kanak-kanak yang beraneka fesyen, jenama usah cerita ya. Tiadalah kiki lala, Baby kiko dan sebagainya seperti di negara kita.  Namun, fesyennya masih cantik dan menarik.  Harganya?  10 riyal, 20 riyal sepasang atau sehelai.  Kau rasa? Mahal tak?  Pakaian wanita pula ada pelbagai jenis juga, moden sungguh, rasanya saya takkan pakailah.  Pakaian dalam wanita pula tersusun di dalam tempat yang bertutup sedikit.  Bukan tergedang luas di tengah-tengah pasaraya seperti di tempat kita.  Kalau hendak memilih pun tidaklah malu sangat.  Pekerja wanita?  Tidak kelihatanlah!  Para petugas pusat membeli belah itu adalah LELAKI.
            Memandangkan tiada yang menarik di pusat membeli belah itu, kami menyeberang jalan menuju ke pusat membeli belah yang sebuah lagi. Bukan hendak membeli sangat pun, sengaja cari pasal nak tahu keadaan di sebuah pusat membeli belah di tanah suci Mekah.  Saya berasa hendak ketawa sahaja melihat gelagat diri sendiri. Teruk bebenarlah.
            Aryan Mall, sebuah pusat membeli belah setingkat yang agak luas dan banyak barangan di dalamnya.  Ada jual jubah lelaki, kain shawl dan barangan rumah serta perhiasan diri.    Di pintu masuk terlihat pekerja-pekerja pusat membeli belah itu duduk menghadap ke dalam pasaraya.  Saya ingatkan mereka adalah penjual kedai komputer atau telefon bimbit seperti di Malaysia, rupanya juruwang, lelaki semuanya.  Okay, nampaknya tidak ramai perempuan yang bekerja di negara Arab ini. 
            Jubah lelaki, pelbagai jenis, jenama dan paling terkenal di Malaysia adalah Haramain.  Harga sehelai dari 20 riyal sehingga 90 riyal yang paling mahal.  20 riyal untuk sehelai jubah Haramain, di Malaysia harganya beratus ringgit!  Kalian rasa?  Begitu juga dengan barangan dapur atau apa sahaja yang terjual, murahlah!  Kami beli sehelai jubah Haraimain untuk anak buah suami yang belajar di Maahad Tahfiz, sudah lama dia minta untuk kami belikan, di Malaysia paling murah pun 70 atau 80 ringgit Malaysia. 
            Belek sana, belek sini, hanya beli dua helai jubah dewasa dan sehelai jubah kanak-kanak lelaki  yang berharga  10 riyal.  Hampir setengah jam berada di dalam pusat membeli belah itu, kami terus menelefon kembali pemandu teksi itu. Hampir lima belas minit menunggu barulah dia muncul. Seperti biasa, kami akan berbual-bual dengan pemandu teksi tersebut. Suami  bertanyakan harga minyak di tanah Arab itu, lebih kurang 1 riyal lebih untuk satu liter,  jika banyak isi, harganya semakin murah.  Bolehlah, negara yang menghasilkan minyak, kalau mahal, tak payahlah ada telaga minyak di situ, kan? 
            Kak Lina dan suaminya, hanya mengikut kerja gila kami.  Apa nak dikata, terjumpa dengan kami, kan?  Sudah terlajak, ikutkan sahaja.  Aduhai! Terima kasih kawan!
            Pengalaman yang menarik bagi saya, berasalah juga melawat kawasan luar dari tanah Mekah, lihat sendiri aktiviti harian rakyat Arab Saudi yang rata-rata kurang melepak di pasaraya jika tidak benar-benar ada keperluan atau mungkin mereka lebih suka membeli belah di waktu malam.  Tidak serabut dengan orang ramai yang berpusu-pusu membeli belah.  Siang hari adalah waktu yang aman untuk membeli belah di pusat membeli belah di luar Kota Mekah.  Usah ikutlah ya.  Tapi, kalau hendak berasa pengalaman sendiri sudi-sudikanlah.  Jangan pergi sendiri! Bawalah kawan beberapa orang bersama demi keselamatan sendiri.  Usah memandai-mandi hendak kendiri.  Orang Arab itu pun pelik agaknya lihat kami, dua orang wanita yang sibuk memilih dan membeli di siang hari.  Kalau di Kota Mekah adalah perkara biasa, memang ramai Jemaah wanita akan keluar membeli belah untuk dibawa pulang ke tanah air masing-masing. Punyalah jauh berjalan, rupanya di Zam Zam Tower dan Hotel Hilton ada pusat membeli belah di dalamnya.
            Sebelum zohor kami sampai kembali ke Hotel, pemandu teksi tidak mengambil tambang lebihan, rupanya pergi balik dari Kota Mekah ke Tanaim adalah 25 riyal, singgah di kawasan mall tadi, dia tidak kenakan caj tambahan. Namun, kami tetap hulurkan 10 riyal sebagai balasan atas kebaikannya.  Kami naik kembali ke bilik dan bersiap untuk solat zohor pula.  Hari Sabtu berlalu dengan penuh kenangan.  Sebelum asar kami bertolak ke masjid kembali. Selepas Isyak barulah balik ke hotel.  Esok awal pagi sebelum subuh balik semula ke masjid.  Berjalan ulang alik antara masjid dan hotel, tujuh hari berturut-turut, sedikit pun tidak mengurungkan berat badanku. Uh! Ironinya.  Ahad usai sarapan, kami akan buat umrah kali ketiga pula, kali ini ke bandar yang jauh sedikit dari Kota Mekah. Ke mana?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan