AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Monday, 3 July 2017

TRAVELOG UMRAH - BAH. 8



            14 Syaaban, kami bercadang untuk beriktikaf di masjid sempena malam Nisfu Syaaban.  Ya Allah! Tiada ucapan yang mampu saya  luahkan ketika dan saat itu, buat pertama kali kami berada di tanah suci Mekah di Masjidil Haram pada hari dan malam Nisfu Syaaban, malam yang dikatakan para Malaikat membawa lembaran amalan  setiap manusia naik ke langit setelah tempoh setahun berlalu dan diganti dengan lembaran amalan yang baharu.  Malam yang penuh berkat dan rahmat serta makfirah daripada Allah swt.  Kami melangkah ke dalam masjid, setelah solat asar berjemaah, kami masuk ke bahagian kawasan saie untuk berehat sementara menunggu waktu maghrib. Sambil itu mata memerhatikan para jemaah yang sedang  bersaie. Seperti biasa, kekaguman membalut diri.  Kuatnya semangat para jemaah yang datang dari pelbagai negara, bangsa dan kaum. 

            Sementara menunggu, kami banyak menghabiskan masa dengan mengaji dan berzikir.  Hampir waktu maghrib barulah kami masuk semula ke dalam kawasan masjid, tempat yang biasa saya dan anak duduk beriktikaf adalah tempat yang berhampiran dengan kawasan multazam atau belakang Makam Ibrahim, ada tempat solat wanita di bahagian belakang.  Saya mengintai-ngintai kawasan tersebut.  Kelihatan seperti penuh, mata terus mencari, Alhamdulillah, ada ruang yang muat untuk saya dan anak.  Saya terus melangkah masuk ke kawasan tersebut.  Anak gadis saya mengikut sahaja dari belakang.

             Kami terus melabuhkan punggung di kawasan tersebut.  Sementara azan berkumandang, sempat lagi rasanya membaca Yassin tiga kali.  Usai membaca doa dan Yassin sehingga selesai, mataku meliar lagi, memerhati. Masya-Allah! Lautan manusia lagi. Semakin ramai Jemaah memenuhi ruang di dalam Masjidil Haram.  Para petugas masjid sudah mula menjerit-jerit menghalau Jemaah yang duduk di bahagian yang tidak sepatutnya, ada yang dihalau, ada juga yang berdegil, malah melawan.  Ragam manusia, kalau tidak sabar, kita juga akan terbabit sama.

            Malam itu, kami bersolat di hadapan Kaabah dengan penuh tawaduk, merendah diri, terasa kerdil diri ini, air mata mengalir setiap kali doa dititipkan.   Bersyukur, memohon ampun, semoga diterima segala ibadah, tidak mudah lupa diri, tidak bongkak dan sombong ketika berjalan di muka bumi ini.  Semoga Allah swt memberi yang terbaik buat diri dan keluarga saya.  Barisan Jemaah yang  tidak henti-henti beribadat, ada yang mengaji, solat sunat bersambung-sambung,  berdoa dan mengaji selagi mampu dan berdaya.  Ada yang berdoa dengan cucuran air mata, mungkin juga doanya sama dengan saya dan Jemaah yang lain, memohon keampunan dan diterima segala amalan.

            Berada di tanah suci, tiada niat lain, selain ingin beribadat sepuas-puasnya, seolah-olah kita akan mati keesokkan harinya, itulah yang kita rasa.  Ya, bukan mudah untuk selalu berada dan beribadat di hadapan Kaabah, rukuk dan sujud hanya kepada Allah swt.  Tempat yang banyak pahala, tempat yang penuh rahmat dan keberkatan, setiap doa akan dimakbul dan amalan digandakan.  Bukan semua orang mampu berada di sini, bukan  kerana wang ringgit yang banyak, bukan juga kerana harta melimpah ruah maka kita mampu menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah.  Hanya mereka yang dijemput oleh Allah swt sahajalah yang mampu sampai.


            Kata orang, ketika berada di tanah suci, usahlah merepek yang bukan-bukan. Katanya lagi, setiap apa yang keluar dari mulut kita mahupun yang baik atau yang buruk, akan termakbul.  Jika berasa marah, eloklah segera beristighfar, jika tidak sabar, memohonlah kekuatan daripada Allah swt.  Kena banyak bersabar dengan kerenah manusia, kena bersabar kerana kepenatan melakukan ibadat umrah.  Hati kena kuat, jiwa kena bersemangat, sebaiknya berdoalah sejak di tanah air lagi, ingin melakukan ibadat sepenuhnya, dan segala urusan dipermudahkan Allah swt.  Allahkan Maha Mendengar, dan tidak mustahil segala urusan ibadat kita akan menjadi mudah.  Itulah yang saya alami.  Alhamdulillah, segala ibadat wajib mahupun sunat mampu kami lakukan sebaik mungkin.  Biarpun fizikal tidak sekuat mana, hati kena ada semangat.  Habis waktu Isyak, barulah kami pulang ke hotel semula. Puas rasanya, terpenuhi segala impian.  


            Esok, adalah hari Jumaat, kami akan melakukan umrah buat kali kedua dan akan solat Jumaat di Masjidil Haram.  Subhana-Allah, tidak tergambar dengan kata-kata, peluang dan ruang yang ada, tidak akan kami sia-siakan.  Usah difikirkan lautan manusia, besar atau kecil, bersesak atau berhimpit, raikan sahaja. Kerana, masjid itu tidak akan sunyi daripada kehadiran manusia yang pelbagai bangsa dan ragam.    Sama-samalah kita berkongsi ruang dan tempat untuk beribadat. Jika kita ingin meraih syurga Ilahi, keampunan dan kasih sayangnya, begitu juga dengan orang lain.  Pada 15 Syaaban, hari Jumaat pula itu, kami melakukan ibadat yang amat besar dan bererti buat kami, umrah.  Alhamdulillah, Allah telah memilih hari dan bulan yang baik buat kami untuk beribadat kepadaNYA, semoga kami mampu istiqamah sehingga pulang ke tanah air nanti, aamiin.

No comments:

Post a Comment