Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Khamis, 24 Ogos 2017

ULASAN BUKAN SERPIHAN MUTIARA

Bukan Serpihan Mutiara
Ramlah Rashid Novelis
Dewan Bahasa Pustaka
2017
382 muka surat
****bintang.
Beliau seorang penulis buku popular dan juga penulis skrip drama. Buku ini bukan buku pertama beliau dengan DBP. Karya yang bertema kekeluargaan, Islamik dan bermotivasi, itu pandangan saya sebagai pembaca.

Saya juga pernah baca karya beliau sebelum ini, garapan bahasa yang digarap sama sahaja, tiada beza antara karya popular dan karya sastera. Itulah kekuatan Puan penulis yang bijak melakar ayat dan tidak membosankan, jika benar kata orang, karya sastera membosankan.
Karya ini mengisahkan tentang keluarga Tok Wira dan Wan Habibah yang membesarkan sepasang cucu. Adam, cucu kandungnya, dibesar dan dididik dengan ilmu agama sehingga berjaya menjadi seorang doktor pakar jiwa. Dhuha, cucu angkat yang ditinggalkan oleh kedua orang tua, dijaga dengan penuh kasih dan sayang, diberi pendidikan agama dan pelajaran sehingga berjaya menjadi jururawat.
Adam, berasa tersisih daripada Nawawi, ayah kandungnya, anak sulong Tok Wira setelah bernikah lain. Namun, tiada dendam di hati, kasih seorang anak tetap tersemat di hati.
Tok Wira telah membeli sebidang tanah dan dijadikan sebuah maahad tahfiz yatim, memenuhi cita-cita cucu angkatnya Dhuha, yang ingin menebar bakti menjaga anak-anak malang seperti dirinya.
Adam yang belajar di luar negara selama tujuh tahun, akhirnya pulang ke tanah air dan terus pulang ke rumah Tok Wira, ini mengundang kekecewaan di hati Nawawi, terasa seperti disisihkan oleh anak sendiri.
Konflik jiwa berlaku antara Tok Wira, Nawawi dan Adam. Tok Wira berasakan Nawawi sudah melupakan dirinya sebagai seorang ayah, perasaan yang sama dirasakan oleh Nawawi.
Ditambah dengan sikap isteri baharu Nawawi yang tidak suka pulang bertemu keluarga suaminya itu.
Adam dan Dhuha menyimpan perasaan antara satu sama lain, kerana didikan agama dan membataskan pergaulan seperti yang dituntut dalam agama, tiada siapa berani menyatakan hasrat hati.
Tok Wira bukan sahaja guru agama tetapi juga mampu mengubati mereka yang ketagihan dadah. Adam dan Dhuha punya matlamat yang sama, ingin membantu Tok Wira di tempat perubatan milik datuk mereka itu.
Nawawi punya keinginan melihat anaknya Adam menjadi seorang pakar bedah jantung dan bekerja dengan sebuah hospital swasta milik bapa saudara isterinya, tetapi ditolak oleh Adam dengan baik. Nawawi benar-benar kecewa. Lantas Nawawi menuduh ayahnya sendiri, Tok Wira telah meracun fikiran Adam sehingga tidak mendengar nasehatnya.

Adam pula dalam dilema apabila Eirin anak saudara ibu tirinya masuk meminang. Sedangkan hati Adam untuk Dhuha, namun tidak dilafazkan kepada adik angkatnya itu.
Seorang sudah sempurna akhlaknya, yang seorang lagi minta dibimbing mencari reda Ilahi.
Apa yang berlaku? Bolehkah Adam menerima kehadiran Eirin yang serba kekurangan akhlaknya, malah mempunyai seorang anak luar nikah atau Dhuha yang serba sempurna sebagai calon isteri?

Bagaimana pula hubungan Adam, Nawawi dan Tok Wira, adakah akan kembali bercantum?
Salimah tidak suka kepada keluarga mertuanya yang dianggap kuno dan ketinggalan zaman, mahukah Salimah menerima mereka dan menyayangi anak tirinya?
Mampukah cinta Adam terhadap Dhuha terbalas?
Setiap persoalan ada di dalam buku ini. Penulis juga buat penyelidikan dan mendapatkan maklumat tentang maahad tahfiz yatim terlebih dahulu sebelum menulis kisah ini.
Tahniah buat penulis, semoga terus berkarya.

Ahad, 20 Ogos 2017

ULASAN PENENUN CINTA

1) PENENUN CINTA
DBP
Ibnu Ahmad Al-Kurauwi
325 muka surat
*****bintang
DONE

#sayasukabukuini
"Tuhan, andai rezeki yang tidak terhabiskan ini dibebankan dengan dosa, maka ampunkanlah dosaku. Bukan menolak rezeki-Mu atau kufur akan segala nikmat-Mu. Aku bimbang andai rezeki yang tidak terhabiskan ini boleh memberi mudarat kepada tubuhku. Sehingga mendatangkan penyakit yang menghalang upayaku untuk beribadat kepada-Mu."
Doa yang menyentuh hati saya sebagai seorang pembaca. Karya Allahyarham Ustaz Azman bin Hj. Ahmad benar-benar mengusik jiwa.
Karya yang memenangi Sayembara Menulis Novel Citra Malaysi. Sebuah karya belahan jiwa seorang imam tua yang koma dalam mencari erti sebuah cinta, baik kepada diri sendiri, keluarga, alam, Nabi Muhamad saw dan Allah swt.
Bagai membaca sebuah cerpen dari satu bab ke satu bab mempunyai kisahnya tersendiri, gaya bahasa yang puitis, benar-benar membuai rasa, mengusik hati dan jiwa. Ada ilmu dunia dan akhirat di dalamnya. Doa-doa yang mampu kita guna pakai untuk diri sendiri.
Arwah telah meninggalkan sebuah karya yang bermanfaat buat para pembaca budiman. Arwah Ustaz Azman juga bukan calan-calang penulis, anak kelahiran Kuala Kurau ini juga adalah anak Felda. Memiliki Ijazah Sarjana Muda Bahasa dan Kesusateraan Arab, biarpun mendapat pendidikan agama, arwah juga amat meminati dunia penulisan, jawatan terakhir arwah adalah Perancang Bahasa di Bahagian Akademi DBP.
Karya yang patut dibeli biarpun penuh dengan naratif, namun naratifnya hidup dan menyentuh hati.

ULASAN THE LOS WORLD

2) The Lost World
Helmi Effendy
Buku Prima
721 muka surat
*** bintang.

Saya sebenarkan tidak suka cerita ala-ala Jurassic Park. Terpengaruh beli buku ini apabila ada yang kata jalan ceritanya menarik.
Kisah bermula apabila kapal terbang yang dinaiki oleh sekumpulan pelajar dari Universiti Dr.Mahathir terhempas di sebuah pulau yang tidak tahu kedudukannya di mana, bermulalah explore para pelajar tersebut untuk menyelamatkan diri.
Saya akui, bukan mudah membayangkan situasi dalam bentuk penulisan berbanding digital atau layar elektronik. Penulis terpaksa membayangkan latar tempat, aksi watak-watak yang terlibat. Syabas buat penulis kerana menyajikan cerita yang sering kita lihat difilem atau didramakan oleh negara barat.
Kelemahan karya ini adalah 'punch line' ceritanya yang agak perlahan, seolah-olah penulis hendak paparkan semua perkara dalam satu buku. Karya ini akan jadi seperti realiti jika tidak dimasukkan binatang2 pra sejarah. Tetapi kerana ingin disesuaikan dengan tajuk, biarpun saya kurang suka dengan tajuk BI kerana buku ini adalah novel Melayu. Tapi tidak mengapa, atas dasar mengikut 'trend' maka saya raikan sahaja tajuknya.
Cerita ini lebih menarik jika kapal terbang itu terhempas dan mereka yang selamat berusaha mencari jalan keluar untuk selamatkan diri, bertemu dengan orang asli, orang makan orang, binatang buas, atau berlaku pergolakan sesama mereka. Abaikan idea kurang bernas saya itu.
Apapun tahniah buat penulis yang sering cuba menyajikan kelainan dalam karya-karya beliau. Semoga beliau mencari idea yang lebih asli di masa hadapan.

ULASAN CINTA HARI-HARI RUSUHAN

3) CINTA HARI-HARI RUSUHAN
Faisal Tehrani
Dubook Prees
279 Muka surat
****bintang

Karya penulis hebat ini, tidak boleh dipertikaikan, selain gaya bahasa yang menarik dan selesa dibaca. Biarpun diselitkan persoalan cinta namun, karya beliau tidak boleh tidak pasti akan dimasukkan unsur politik.
Kisah bermula seawal usia remaja, sekumpulan pelajar universiti pada tahun 70-an yang menempah semangat untuk memperjuangkan nasib orang-orang kampung yang miskin dan dipinggirkan nasibnya.
Memang tidak dinafikan pada tahun.70-an jiwa anak-anak muda ini untuk berjuang menegakkan keadilan adalah jujur dan ikhlas.
Basri bersama rakan-rakannya termasuk Tengku Valizah sama-sama belajar di universiti yang sama, bergerak dalam satu gerakan anak-anak muda yang berjiwa rakyat tidak henti-henti melakukan demontrasi, dalam sibuk mencipta rusuhan rupanya hati mereka turut merusuh untuk saling cinta mencintai.
Pada awalnya percintaan mereka direstui oleh kedua orang tua Tengku Valizah, namun kepulangan sepupu Tengku Valizah telah mengubah segalanya. Harta dan pangkat serta kedudukan menjadi jamahan bonda Tengku Valizah. Raja Hisyamudin dalam diam ingin memiliki adik sepupunya itu, tapi dia tahu Tengku Valizah tidak menyukainya.
Basri pula masih meneruskan agendanya dalam memperjuangkan nasib rakyat yang miskin dan tidak terbela sehingga nyaris di tangkap. Dia dapat melarikan diri keluar negara. Percintaannya dengan Tengku Valizah juga terputus apabila Tengku Valizah terpaksa berkahwin dengan Raja Hisyamudin atas sebab-sebab yang tidak boleh dielakkan.
Penyesalan yang tidak kunjung padam atas perbuatan sendiri menjadi nanah di hati Raja Hisyamudin juga bonda Tengku Valizah.
Kehilangan Basri membuatkan Tengku Valizah menjadi orang kurang siuman.
Basri yang berhijrah langsung tidak terfikir untuk kembali ke tanah air sehinggalah bertemu Basariah, gadis Melayu yang ditemui dan hampir membuka pintu hatinya untuk jatuh cinta lagi.
Basariah dalam diam mencintai Basri, lelaki yang setua Bondanya, kerana sebuah dairi, cinta itu hanya disimpan di dalam hati yang paling dalam.
Mampukah cinta Basri dan Tengku Valizah bersatu? Mampukah Tengku Valizah pulih kembali dan melupakan kisah semalam?
Nak tahu? Dapatkan karya ini.

ULASAN PINJAMKAN DIA SEBENTAR -

4) Pinjamkan Dia Sebentar
Antologi Cerpen
Editor: Mohamad Kholid Hamzah
Dewan Bahasa Dan Pustaka.
327 muka surat
*****bintang.

Apabila membaca sesuatu buku pasti ada cerita atau ilmu yang terpahat di hati. Membaca bukanlah sesuatu yang sia-sia, tidak kira apapun jenis bahan bacaan.

Saya tergerak membeli buku ini apabila diberitahu akan keistimewaannya. Mungkin sesuatu yang lain yang pernah saya baca.

Melihat tajuk sahaja pelbagai perkara bermain di hati. Karya antologi cerpen yang ditulis oleh penulis berlainan dengan kisah yang berlainan mengikut pengalaman sendiri.

Selama ini kita hanya tahu tentang anak-anak cacat seperti sindrom down, tetapi kita jarang diperdengarkan tentang cerita kisah anak-anak yang menghidapi penyalit Palsi Serebrum. Penyakit yang berkaitan dengan saraf di otak.

Apa yang mampu saya katakan ketika membaca dari satu kisah ke satu kisah, meneliti pengalaman ibu ayah yang mempunyai anak-anak syurga ini cukup menyentuh hati. Ketabahan dan kesabaran mereka amatlah saya kagumi. Sesungguhnya Allah akan menguji hamba-hambaNya mengikut kemampuan masing-masing.

Dalam buku ini juga bukan hanya sekadar sebuah cerita, tetapi juga satu pengalaman yang boleh menjadi satu perkongsian kepada ibu ayah di luar sana yang dianugerahkan dengan anak istimewa ini.

Berat mata yang memandang, berat lagilah bahu yang memikul. Bukan hanya terpaksa berkorban masa dan tenaga malah terpaksa berkorban duit ringgit juga. Untuk mengubati penyakit Palsi Serebrum ini bukan sedikit kos yang diperlukan apatah lagi kos setiap rawatan yang dilakukan adalah mahal.

Turut dikongsikan jenis-jenis rawatan yang perlu dilakukan mengikut kemampuan pesakit itu sendiri mampu menerimanya. Rupanya setiap rawatan yang dilakukan pasti mengundang rasa sakit kepada anak-anak ini. Mereka hanya mampu menahannya dengan jeritan dan tangisan.

Buku yang benar-benar menyentuh hati seorang ibu. Jika mereka mampu bersyukur dengan pemberian Ilahi malah ada yang turut diuji dengan kehilangan insan tersayang ini, kita seharusnya lebih-lebih lagi diberi kurniaan yang sempurna.

Negara kita masih kekurangan kemudahan pendidikan dan rawatan untuk anak-anak istimewa ini, semoga satu hari nanti peluang dan ruang untuk anak-anak ini belajar di sekolah yang sesuai ada buat mereka.

Karya yang sewajarnya dijadikan bahan bacaan di rumah. Ambil tahu biarpun tiada ahli keluarga kita menerima nasib seperti mereka.