Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sabtu, 7 Oktober 2017

ADUHAI ISTERI - KISAH 7



Hujung minggu yang mendamaikan.  Aku menarik nafas panjang, melepaskannya perlahan-lahan.  Hari ini bolehlah berehat sepanjang hari, itupun jika Liya tiada perancangan untuk ke mana-mana.  Badan terasa letih, otak penat bekerja enam hari seminggu.  Usai mandi, aku terus bersiap untuk turun bersarapan.
              Rambutku sisir kemas, t.shirt berleher bulat berwarna hitam tersarung ke tubuh, seluar track suit hitam juga menjadi pilihan.  Aku tersenyum sendiri melihat penampilan diri, macam perempuanlah pula.  Aku menapak perlahan untuk keluar dari bilik. Aduh!  Aku hampir tersadung, nasib baik tidak tersungkur.  Kakiku tersauk kain pelihat sendiri yang terletak di lantai.  Hish!  Tak perasan pula.  Tak guna punya kain, ‘makan’ tuan sendiri, detik hati kecilku sendiri.  Kubiarkan kain itu tetap di atas lantai. Baharu beberapa langkah…
            “Ya Allah!  Kenapa ini bang?  Liya baru sahaja mengemas bilik tau!”  Sergah  Liya sambil mengangkat kain pelikatku yang melengkar seperti ular kekenyangan.
            “Tengok ni, tuala  mandi main sepuk aje atas katil! Kan dah basah!”  sekali lagi suara Liya meledak, agar keras dan kasar.
            “Liya bukan nak suruh abang tolong kemas rumah, tolong lipat kain pelikat abang dan sangkut tuala di tempatnya saja dah cukup.  Liya bukan berkira soal kerja di rumah ini, tapi abang berilah kerjasama,” luah Liya, wajahnya mencuka. 
            Dia menggantikan kain cadar yang sudah lembap disebabkan kain tuala yang aku gunakan tadi, kusepuk atas katil. Aduhai!  Setiap hari aku lakukan perkara yang sama, sebelum ini aku tidak pernah dengar dia berleter. Seingat aku, setelah siap berpakaian, aku turun bersarapan dan terus ke tempat kerja.  Tidak sempat mendengar leteran Liya sewaktu melihat bilik  tidur kami bersepah.  Aku punya kerjalah itu.
            “Liya, datang bulan ya?”  tanyaku.
            Liya menjegilkan mata, dia mencekak pinggang.
            “Tunggu Liya datang bulan, baru nak berleter?  Kita berkahwin dah hampir dua tahun bang, selama ini Liya bersabar saja apa yang abang buat. Liya malas nak bising, lagipun Liya nak berleter pada siapa?  Abang dah pergi kerja.  Balik kerja tentu abang penat, tak sampai hati Liya nak tegur apa yang abang lakukan pagi-pagi.  Setiap hari, abang biarkan kain pelikat yang abang pakai di atas lantai, tuala pasti atas katil, hampir setiap hari Liya terpaksa ganti cadar kita yang basah dek tuala mandi abang,”  cerita Liya, dia duduk di katil sambil mengeluh perlahan. 
            Aku memandang wajahnya, jelas kelihatan wajah kepenatannya.   Rupanya selama ini dia pendamkan perasaannya akan tindakan aku yang tidak pandai mengemas. 
            “Selama kita berkawan, Liya tidak tahupun abang tak pandai mengemas rumah.  Macam mana agaknya ya, rumah bujang abang?  Bilik abang?”  Liya memandang wajahku penuh tanda tanya.
            Aduh! Kantoi! Aku memang pemalas hendak mengemas, baju-baju aku semuanya bergantung dalam almari, yang kotor aku sepak letak tepi sudut bilik, seminggu sekali baru aku basuh.   Bilikku selagi tidak kelihatan di mata kasarku butiran sampah, aku takkan sapu.  Kain tuala, sudah biasa kusepuk atas katil.  Sudah terbiasa.  Ingatkan ada isteri, tentulah Liya tidak kisah akan sikap buruk aku itu.  Bukankah dia ada untuk mengemas, rupanya…  Aku mengeluh perlahan.
            “Liya tidak minta abang buat semuanya, cukuplah jangan letak tuala atas katil lagi, kain pelikat abang itu, bukan susah nak lipat, abang boleh buat sambil-sambil.  Liya tak suka rumah bersepah, abang pun tak suka rumah bersepah, kan?”
            Memang aku tidak suka rumah bersepah, itu sebab aku berkahwin, ada orang uruskan rumah tanggaku.  Bukankah itu kerja dan tugas Liya?  Kenapa dia harus meleteri aku? 
            “Selama ini Liya tidak pernah kisah pun?”  soalku
            “Liya dah tak tahanlah, Liya berleter.  Abang pandai tegur Liya kalau rumah kita bersepah?  Tapi abang?” Liya mendengus kasar.
            Aku mendekati Liya, aku merenung wajah suramnya. 
            “Maafkan abang,”  ucapku.
            “Liya juga minta maaf, tak bermaksud yang sakitkan hati abang.  Liya suka bilik kita bersih, segar dan tidak berbau dengan tuala basah abang tu, Liya dah sediakan tempat sidai tuala, letaklah di situ.  Bukan susahpun, kan?”  kata Liya sambil tersenyum kembali.
            Cepat benar dia berubah ceria kembali.  Aku sering berfikir, kerja rumah sewajibnya seorang isteri yang lakukan.  Kalau aku letak atau campak apa sahaja di atas katil, bukankah Liya ada yang akan membersihkannya?  Rupanya, perbuatanku tidak disenangi Liya.
            “Lain kali abang takkan buat lagi,” janjiku sambil mengangkat tangan kananku.
            “Terima kasih bang,” ucap Liya.
            “Terima kasih kembali kerana menyempurnakan hidup abang,” kataku.
            Kami sama-sama tersenyum. 
            Dalam  sebuah rumah tangga, tidak hanya isteri atau suami sahaja yang menggerakkannya, masing-masing ada peranan yang perlu dijalankan.   Terutama soal kebersihan dan kekemasan di dalam rumah.  Suami tidak hanya berharap kepada isteri semata-mata, begitu juga isteri. Bersama-sama melakukannya, bersama-sama memastikan rumah bersih dan kemas. 
            Aku sendiri kena ubah sikap dan perangai ‘luar biasa’ aku itu.  Selepas ini, kenalah rajin-rajin lipat kain pelikat, masuk baju kotor dalam bakul yang disediakan, sangkut tuala di tempat yang sepatutnya.  Aku seharusnya memudahkan kerja Liya, bukan menambah beban tugas hariannya.  Memanglah nampak kecil sahaja perbuatanku itu, tetapi tidak begitu  pada pandangan Liya.   Hati seorang isteri, kenalah jaga juga. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan