Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 3 Oktober 2017

JIRAN SEPAKAT MEMBAWA BERKAT


2002, aku sekeluarga berpindah semula ke Selangor setelah suami diterima bekerja dengan syarikat IT. Hari pertama sampai, aku sudah menangis, takut memikirkan bagaimanalah jiran-jiran baruku nanti, ramahkah? Baikkah?Mesrakah? Adakah sama seperti jiran tetanggaku di Kedah?
Masuk sahaja ke kawasan perumahan yang akan menjadi tempat tinggal kami. Aku hanya mampu mengeluh, dari rumah teres, terpaksa menyewa rumah apartment kos sederhana.Tidak mengapalah, asalkan kami tinggal bersama-sama.


Kami menyewa di Apartment Permai Court Puchong, Selangor. Sebaik mengambil kunci rumah dari jiran baru di hadapan rumah, sampai setalam hidangan minuman petang. Aku dan suami saling memandang. Aku tidak berkenalan lagi dengan isteri jiranku itu, hidangan sudah sampai di muka pintu. Mereka orang Pahang. Baik budi bahasa.


Dalam tidak suka awalnya, akhirnya aku seronok tinggal di situ. Jiran tetanggaku besar hati mereka, datang dari pelbagai negeri di Malaysia.


Hubungan kami jadi akrab sejak suami jadi pengerusi surau dan buka kelas mengaji Al Quran untuk anak-anak jiran tetangga. Dari hanya jiran tetangga biasa, kami bagaikan keluarga. Anak-anak jiran takut bertembung dengan kami suami isteri, pasti kena tegur jika main panjat-panjat, bergaduh atau tak solat.


Jiran tetanggaku tak kisahpun, malah siap berpesan lagi, marah saja mereka jika buat nakal. Biarpun ada yang tidak bercampur, itu tidak menjadi masalah.



Hidup di bandar, keluarga di kampung atau tinggal jauh, jiran tetanggalah keluarga kita. Hubungan kami akrab sampai hari ini, kerana mereka ibu ayah yang besar hati, baik berbudi, anak-anak mereka membesar hadapan mata, semuanya jadi baik-baik belaka. Alhamdulillah.


Kami saling menjaga anak-anak kami, anak-anak jiran kami, terlihat hasilnya di hadapan mata, mereka berjaya dalam bidang masing-masing. Bermula anakku belajar di maahad tahfiz, ramai juga anak-anak jiranku menjejakkan kaki ke maahad-maahad tahfiz, malah ada yang sudah habis menghafal 30 juzuk dengan jayanya.


Bukan nak kata aku baik, tidak sama sekali. Tapi, lihatlah kesepakatan kami, saling membantu, saling mendidik, menegur biarpun hanya anak orang, kerana kami anggap mereka juga anak-anak kami.
Aku tetap ziarahi mereka bila ada kesempatan. Aku sayang mereka sama seperti keluargaku juga. Siapa kata tidak boleh? Yang penting, niat kita menegur kerana apa?


Jiran sepakat bawa berkat. Bawalah sikap hidup seperti di kampung. Anak jiran baik, baiklah anak kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan