AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 18 November 2017

ANAK TERBIAR

Anak terbiar?



Masa ini, Jam 11.00 malam, anak-anak lelaki dan perempuan masih berpeleseran di luar rumah. Emak ayah tidak bimbang, tidak kisah, dan beranggapan anak-anak melepak dengan kawan-kawan mereka. Terbuka sangatkah kita hari ini, atau sudah tidak kisah lagi? Penat sangatkah kita?  Letih sangatkah? Sibuk sangatkah, atau sibuk main telefon?  Berasa selesa anak-anak tidak menganggu aktiviti malam kita. Kita nak berehat, kita nak meregangkan tubuh badan.  Banyak urusan kita sehingga kita biarkan sahaja anak-anak kita di luar sehingga lewat malam.

Tidak terfikirkan kita, jika anak-anak yang sebaya atau lebih tua ini, masih muda, masih mencari keseronokkan, masih tidak dapat membezakan baik dan buruk, akan ajar anak-anak kita buat perkara yang bukan-bukan seperti merokok, menagih dadah, menghidu gam? Hey! Tanamlah rasa cemburu sedikit terhadap anak-anak kita! Jangan terbuka sangat, pandang-pandang, lihat-lihat, tengok-tengok, hati-hati, biar berperasaan negatif terhadap anak-anak selain berasa positif sahaja.

Anak-anak kita ini,di hadapan kita pijak semut pun tak mati, di belakang kita, banyak projek mereka. Kasihanilah mereka, bimbinglah, didiklah. Jangan dibiarkan mereka mencari arah sendiri, jangan dibiar mereka mencari jalan sendiri. Perhatikan siapa kawan mereka. Selidiki mereka berkumpul itu selalunya buat apa? Jangan lepas tangan, jangan ambil mudah. Jika sekali terjebak dalam jenayah, selamanya anak-anak kita akan merana, terutama dadah, mencuri, merompak, kongsi gelap. Allah! fikir-fikirkanlah!

Denda bagi mereka yang mengabaikan anak-anak di bawah jagaan ibu ayah:

20 tahun penjara,
RM50 ribu denda akan dikenakan.

Agaknya sudah terasa lama bebas di dunia luar dan terasa nak duduk dalam penjara, boleh makan percuma dan ditanggung selama 20 tahun. Terasa banyak duit? Bolehlah sedekah 50k kepada mahkamah. Dipersilakan.


Dahulu, ibu ayah kita akan bimbang jika hampir masuk waktu maghrib tidak pulang ke rumah. Malam hari tiada siapa pun dibenarkan keluar rumah kecuali pergi kelas mengaji al-Quran. Jika masih tidak pulang ke rumah, mulalah emak atau ayah akan mencari. Bimbangnya mereka.  Kita akan dicari sehingga ditemui. 
 
 Sampai di rumah.  Siaplah!  rotan sudah tersedia menunggu dibalik pintu.  Jadi jahatkah kita?  Burukkah perangai kita setelah diajar dengan penuh berhati-hati oleh kedua orang tua kita?  Tidak berjayakah kita?  Jadi samsengkah kita apabila tidak keluar malam? 

Bukankah kita jadi baik dan bagus atas didikan ibu ayah kita yang tidak berpelajaran? Bukankah kita jadi terbaik seperti hari ini kerana tunjukajar mereka, ketegasan mereka, kegarangan mereka.

Fikir-fikirkanlah demi masa depan generasi akan datang.  Anak-anak kita adalah pewaris negara ini.  Pewaris masa hadapan.  Isikan waktu mereka dengan aktiviti berfaedah. Belailah mereka, sayangilah mereka, didiklah mereka. 

Jangan jauhkan mereka daripada kita. Jangan dibiarkan mereka memilih jalan hidup sendiri tanpa dibimbing, tanpa ditegur apa yang betul dan tidak betul, apa yang benar dan tidak benar, apa yang baik atau tidak baik.  Hey! Mereka darah daging kitalah!  Tolonglah! 

Lihatlah generasi hari ini, ramai tidak beradab, ramai tidak berakhlak.  Berani melawan guru, orang tua dan sesiapa sahaja.  Seawal umur sembilan tahun sudah menagih, sudah pandai menonton filem lucah.  Sudah pandai merompak dan mencuri.  Sudah pandai memukul dan menjadi samseng. Aduhai! anak-anak kitakah itu?

Generasi apakah yang sedang kita didik?  Generasi jenis apakah yang sedang kita lahirkan?  Ya Allah!  Wahai teman-teman semua, marilah kita memainkan peranan bersama-sama  jaga anak-anak bangsa kita ini.  Tegurlah mereka jika melihat mereka buat perkara yang tidak diingini, susah sangat panggilkan sahaja polis apabila melihat ramai yang duduk bersantai di tengah-tengah malam.  Halau mereka balik rumah. 

Ketua kampung, ketua masyakarat, penduduk persekitaran, jiran tetangga semua memainkan peranan pasti segalanya berjalan dengan baik.  Lihatlah anak-anak generasi hari ini, mereka seperti tiada arah, tiada pedoman.

Beruntung anak-anak yang punya ibu ayah prihatin, penyayang dan pengasih. 

#beritatv3


No comments:

Post a Comment