AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sunday, 26 November 2017

IKATAN KASIH - BAB 40



Suasana damai di kawasan banglo milik abangnya, tidak mencuit hati sukanya. Malah berserabut dengan masalah yang menimpa. Cerita daripada mulut kakak ipar dan anak buahnya tentang siapa abangnya, membuatkan akalnya yang sihat sedikit terganggu. Sukar juga dia hendak percaya. 
            Gelisah menunggu di dalam bilik, dia keluar  ke anjung rumah. Penat berdiri, dia duduk. Penat berfikir, dia cuba melelapkan mata. Tidak mampu tidur, dia ke dapur, menyelongkar apa yang ada.  Tekaknya sahaja berasa  haus, tapi perutnya langsung tidak terasa lapar.
             Bunyi pintu rumah dibuka membuatkan hatinya bertambah berdebar. Tidak tahu bagaimana hendak berhadapan dengan abangnya itu. Derapan tapak kaki melangkah, mendekatinya membuatkan dia semakin tidak keruan. Duduk lurus, terasa sengetnya.  Duduk tenang terasa mengelabahnya.
            “Kau ke mana tadi?” tanya Zaheer tanpa memberi salam. Dia duduk  menghadap Zaki. Dia tersenyum sendiri.
            “Kau baca suratkhabar ke? Sejak bila pandai baca terbalik ni?”  Zaheer menolak suratkhabar yang dipegang oleh Zaki. 
            “Eerk… belajar baca terbalik, mana tahu semakin cepat membaca nanti,” jelas Zaki dengan muka yang sengaja diselambakan.  Sedangkan dalam hati berbunga gelabah.
            “Kau ke mana dua hari ni?  Jarang aku tengok kau ada di rumah?” Zaheer mencari jawapan daripada wajah selamba adiknya itu. 
            “Tak ke mana-mana, jalan-jalan di KL saja. Kenapa?” Zaki cuba berlagak biasa. Enggan abangnya tahu, dia mengetahui semua kegiatan abangnya selama ini. Zaki menunduk, menyembunyikan rasa sedih yang sedang menari-nari di hati. Pelbagai rasa sedang berkecamuk dalam jiwa. 
            “Betul kau tak jumpa sesiapa?” Zaheer terus mendesak.
            “Betullah bang, kenapa?” Zaki mengerutkan dahi.  Seperti abangnya mengesyaki sesuatu.
            “Tak adalah, tadi aku nampak kereta kau di Rumah Ikatan Kasih, kau kenal siapa kat situ?” Terus kepada pokok asal bicara. Tidak mahu berkias bahasa, takut ada yang tidak faham pula.
            “Rumah apa tu? Apa tu?” Zaki kerutkan dahi. Masih cuba berdalih.
            “Jangan buat muka sebal kau! Kau ingat aku tak tahu, kau jumpa kakak ipar kau, kan?” Wajah Zaheer bertukar serius. Memandang tajam ke arah Zaki yang masih cuba berlagak biasa, seperti tiada apa-apa yang berlaku. “Tak payahlah buat muka naïf  kau tu. Aku nampak sendiri kau di sana. Nak mengelak apanya?” Zaheer menyandarkan tubuhnya.  Tajam renungan matanya menikam mata Zaki.
            “Kenapa dengan abang ni? Emosi tak tentu pasal?” Zaki menukar tajuk. Malas hendak berbalah dengan abangnya itu. Nanti berpanjangan pula jalan cerita yang tidak sepatutnya  berlaku. 
            “Baru putus tunang,” sampuk Joe yang baharu melangkah mendekati mereka berdua.
            “Putus tunang? Bila abang bertunang? Kenapa Zaki tak tahu?” Nada bertukar irama. Yang tadi biarlah dilupakan.  
            “Buat apa beritahu kau? Itu urusan peribadi aku.” Zaheer menjeling  ke arah Joe yang menyengih memandangnya.
            “Bagaimana dengan Kak Naz? Bukankah dia masih isteri abang?  Dia nak ke bermadu?” soal Zaki.
            “Lelaki boleh berkahwin lebih daripada satu, apa masalahnya?”
            “Bagi lelaki yang bertanggungjawab dan tahu tujuannya berkahwin untuk apa, bukan kerana nafsu atau mempergunakan isteri untuk kepentingan diri sendiri,” sindir  Zaki.
            “Kau sindir aku?” tempelak Zaheer.
            “Bukan menyindir bang. Itulah yang ditetapkan dalam agama kita. Tanggungjawab seorang suami tu besar. Bukan saja memberi makan dan minum, pakaian dan tempat tinggal malah lebih daripada itu. Membawa isteri dan anak-anak ke jalan yang diredai ALLAH SWT dan menjauhkan mereka dari seksaan api neraka,”  nasihat Zaki.
            “Tak payak nak ajar aku. Aku lebih dulu makan garam daripada kau!”
            “Kalau makan garam saja pun tak ada gunanya bang. Tapi hidup jauh dari landasan yang sebenar,” ujar Zaki. 
            “Amboi! Sedap mulut kau bercakap!Aku rasa kau dah boleh balik. Tak ada apa lagi yang tinggal untuk kau di sini.  Lagipun tak guna kau mencari lelaki yang kau tikam dahulu. Kalau kau masih nak hidup bebas seperti sekarang. Aku takut kau dicekup polis.  Berambus dari sini!”
            “Saya cari Kak Naz dan Zara. Nak sangat saya jumpa mereka,” kata Zaki.
            “Untuk apa kau nak jumpa mereka? Nak cungkil rahsia aku?” tuduh Zaheer.
            “Rahsia apa pula? Apa abang cakapkan ni?”
            “Buat-buat tak fahamlah pula, Zaki. Kau nak main teka-teki dengan aku ke?”
            “Teka-teki apa pula?”
            “Joe! Cuba kau cakap dengan adik aku ni, nak main sembunyi-sembunyilah pula!” jerit Zaheer.
            “Ala, bos! Kenapa jerit? Saya ada kat belakang ni!” Joe pula menjerit.
            “Aku dan kau nampak Zaki tadi di Rumah Ikatan Kasih, kan?” tanya Zaheer, inginkan kepastian Joe.
            Joe memandang wajah kedua-dua beradik itu silih berganti. Jujur atau bohong? Mana yang baik? Detik hati kecilnya. Siapa yang ingin ditolongnya. Bos atau Adik Bos?
            “Joe! Apa hal tercangak-cangak tu?” jerkah Zaheer. Kenapalah dia dikelilingi orang-orang yang hilang akal?.
            “Errk… tak pastilah bos!” jawab Joe. 
            “Tadi kau sendiri yang tunjukkan kereta Proton Perdana tu, kan?”
            “Ya ke?”  Joe menyengih.
            “Abang letih sangat agaknya. Sampai semua orang abang ingat saya,” pujuk Zaki. Matanya memandang Joe yang tersenyum memandangnya. 
            “Kau nak main-mainkan aku ya?” marah Zaheer. Terbang kesabarannya melayan kerenah kedua-dua manusia yang sedang mempermainkan dirinya.
            “Mana ada bos!” Joe mengangkat kedua belah tangannya.  Tanda menyerah.
            “Abang tak makan lagi kut, itu yang berserabut?” Zaki melipat akhbar di tangan dan merenung wajah kelat Zaheer.
            “Sebut pasal makan, betullah, Adik Bos.  Memang kami tak makan lagi!” Joe mengusap perutnya yang kempis itu.
            “Nak pesan apa-apa ke?” tanya Zaki.
            “Pizza, McDonald pun boleh. KFC lagi boleh, malaslah nak keluar,” cadang Joe.
            “Boleh, nanti abang telefon, semua pun boleh,” jawab Zaki dengan wajah yang manis.
            “Baiknya Adik Bos ni!” puji Joe.
            Zaheer mencebik. Manusia hadapannya itu dipandang dengan hati yang bernanah. Sengaja hendak mempermainkannya. Dia gesit bangun dan memanjat tangga. Daripada duduk melayan mereka berdua, lebih baik dia merehatkan diri.
            ***
            Kaca mata dinaikkan agar selesa. Baju t -denim yang tersarung di tubuh dibetulkan. Duduknya sedikit canggung apabila enam mata memandangnya seperti daging rusa bakar yang sudah siap untuk dijamah. Panggilan daripada kakak iparnya malam tadi membuatkan dia keluar dari rumah awal pagi. Abangnya pun masih belum bangun tidur. 
“Zaki pernah kerja di sebuah pasar mini, kan?” Akhirnya Rabeta bersuara. 
            “Pernah kak, waktu tu umur saya 17 tahun.” Jujur dan ikhlas menjawabnya.
            “Ingat rumah nombor  86, Jalan Setiakawan?”  Rabeta mencuri pandang. Dadanya sudah mula sebak.  Rumah yang menjadi kenangan buatnya sekeluarga.  
            Zaki terdiam, merenung, berfikir, kemudian menunduk, mendongak semula.
            “Rasanya saya baru saja pergi ke rumah itu. Kenapa kak?” Zaki masih kabur. Apa sebenarnya yang ingin dikatakan oleh Rabeta, sahabat kakak iparnya itu.
            “Itu rumah lama akak, Zaki,” jawab Rabeta tenang, namun ada riak duka di wajahnya.
            “Rumah akak? Jadi… akak isterinya Encik Ramadan?”  teka Zaki.
            “Ya dik.” Dadanya sebak, menahan rasa duka  yang datang menemani.
            “Ya ALLAH!” Nazatul menekup mulutnya. Terkejut mendengarnya. Jika benar rumah tersebut adalah rumah Rabeta, itu bermakna, orang yang mencederakan suami sahabatnya adalah adik iparnya sendiri? Dia mengeluh kesal. 
            “Pak su!” Zara terkunci kata-kata. Fahamlah kedudukan cerita. 
            Zaki mengeluh kesal. Orang yang dicari tidak ditemui, mangsa keadaan pula yang berada di hadapan mata. Kisah Rabeta telah diceritakan Nazatul kepadanya. 
            “Maaf dan ampunkan saya kak, kerana saya akak terima musibah.” Hanya ucapan itu yang keluar dari bibirnya. Apa lagi  yang mampu dia lakukan.
            “Akak hilang segala-galanya, Zaki. Hilang anak-anak, hilang keluarga dan suami! Kecewa hati akak, sebab tiada siapa yang percaya!” luah Rabeta. Matanya berkaca-kaca, menahan sendu dalam hati.
            “Kalau akak nak hukum saya, nak serahkan saya kepada pihak polis, saya sanggup kak. Asalkan nama akak bersih semula,” tawar Zaki.
            “Kalau ikutkan hati akak yang marah ni, geram dan kecewa, kau takkan akak biarkan bebas, Zaki! Kau layak dihukum! Kau hampir bunuh orang!”  Rabeta mendengus kasar. 
            “Tak tahu apa yang harus saya katakan, kak.  Saya mintak ampun dan maaf.” Zaki menunduk malu.  Kerakusan dan kealpaan diri sewaktu remaja dahulu merosakkan kehidupan sebuah keluarga.
            “Eta, akak tak salahkan kau, jika kau marahkan Zaki, ingin dia dihukum. Akak reda, dik.” Nazatul sendiri kebuntuan. Duka yang dalam telah dialami oleh sahabatnya itu. Mana mungkin memaafkan manusia yang telah menghancurkan kehidupannya sekeluarga.  Terpisah dengan anak dan suami, keluarga pula terus membuang.
            “Ya mak cik. Kami tidak akan menghalang, jika mak cik nak laporkan kepada polis. Kalau ia dapat bersihkan nama mak cik dan dapat kembalikan keluarga mak cik.” Zara memeluk lengan  Rabeta yang sudah dianggap seperti ibunya sendiri.
            “Eta!” Nazatul memandang wajah Rabeta yang masih menunduk, terhenjut-henjut bahunya.  Terasa pilu hatinya mendengar rintihan sahabatnya itu. 
            “Kak, saya tak salahkan akak. Saya rela menerima apa saja hukuman daripada akak. Akak boleh buat laporan. Saya dah bersedia menerima  sebarang hukuman. Jika dengan cara ini ALLAH SWT akan ampunkan segala dosa-dosa ketika saya jahil.” 
Zaki meraup wajah dengan kedua belah tangan. Menunggu dengan sabar hukuman yang bakal diterimanya nanti. Apa sahaja yang dilakukan oleh Rabeta nanti, akan diterima dengan hati yang terbuka.  ALLAH SWT tahu apa yang terbaik buatnya.
            “Semua menuding jari kepada akak, sedangkan akak tak lakukan jenayah itu. Akak tidak akan sesekali mencederakan orang yang akak sayang, tapi itulah takdir yang ditentukan ALLAH kepada akak.  Biar pahit, sakit, hidup akak hancur, Zaki.” Rabeta menutup mulutnya. “Tiada apa yang tinggal. Akak menjadi yatim piatu sedangkan kedua orang tua akak masih bernyawa. Dalam hati suami dan anak-anak cuma ada rasa sakit, benci dan menyampah pada  akak!” luah Rabeta, menghamburkan segala yang dirasa selama ini.
Perasaannya, jiwanya, hatinya semua hancur lebur setelah hukuman dibacakan. Dia berasakan kesakitan itu hingga ke tulang hitam.  Bukan sahaja nanar dan darah, malah  terasa jantungnya dirobek, ditarik kasar, dihumban ke dalam kandang harimau.
            “Kak!” Hati Zaki jatuh sayu, betapa berat tanggungan yang terpaksa disandang oleh Rabeta atas kerakusannya dahulu. Dia hanya layak dihukum mati, mungkin dengan itu terhapus segala dosa-dosanya yang lalu.
            “Eta, sabarlah! Akak faham perasaan kau!” pujuk Nazatul. Air matanya merembes keluar. Tidak tahan melihat tangisan Rabeta yang mendayu-dayu. Zara mengusap belakang Rabeta. Biarlah Rabeta menangis, melepaskan bebanan di hati. 
            “Maafkan Zaki, kak. Ampunkan Zaki!” rayu Zaki, air mata keinsafan mengalir keluar. 
            “Zaki, dalam hidup ini, ALLAH sentiasa memberi peluang kedua kepada hamba-hamba-NYA.  Akak telah menjalani hukuman yang sepatutnya Zaki lalui. Mungkin semuanya ada hikmah yang tersembunyi yang akak tidak tahu, apakah ia.  Hari ini, akak lihat sendiri hikmah itu.” Rabeta mengesat air mata.
“Betul kata kau, Eta,” sampuk Nazatul.
Tanpa mempedulikan kata-kata Nazatul, Rabeta menyambung, “Akak berpeluang menjadi manusia yang berani, kuat dan sanggup menghadapi apa saja, demi membantu orang lain. Akak boleh hukum kau! Adukan kau kepada pihak polis. Biarkan kau terhukum, biar kau rasa, apa yang akak rasa.  Biar kau alami, apa yang telah akak alami!” Wajah Zaki dipandangnya tepat. “Tapi, untuk apa? Untuk puaskan hati akak, untuk membersihkan nama akak?”
“Saya reda, kak…” Zaki akur.
“Zaki…akak tak akan laporkan kau kepada polis. Perkara yang sudah berlalu, biarlah berlalu.  Cuma, akak nak Zaki buat sesuatu.”
“Apa dia, kak?” Zaki mendongak. Bersedia.
“Jumpa dengan kedua-dua orang tua akak.  Ceritakan hal sebenar. Tentang suami akak. Biarlah dia. Akak tak mahu kau pula yang terhukum. Akak reda dengan apa yang telah berlaku.” Rabeta berjeda. “Akak ampun dan maafkan kau, dik!” Air matanya berjujuran mengalir. Sebak mengamuk dalam hati. Memaafkan kesalahan orang lain adalah perkara terindah dalam hidup manusia.
            “Eta?” Nazatul melongo. 
            “Mak cik!” Zara memeluk Rabeta. Terharu dengan pengorbanan Rabeta. Kalaulah dia berada di tempat Rabeta, belum tentu dia mampu memaafkan. Begitu mulia hati Rabeta.
            “Kak!” Zaki duduk antara dua sujud di hadapan Rabeta. Kalaulah Rabeta lelaki, sudah tentu tubuh itu diraihnya ke dalam pelukan. Hiba menggasak dalam hati. Terharu dan tidak mampu berkata apa-apa. Kemaafan yang diterima benar-benar membahagiakan hatinya.
            “Terima kasih kak. Tak tahu Zaki nak cakap apa. Terima kasih banyak-banyak. Akak telah memberi saya kehidupan  baharu.”  Zaki mengesat air matanya yang tumpah.  Bukan sahaja bersedih malah gembira. Orang yang telah dianiayainya sanggup mengampun dan memaafkan dirinya.
            “Zaki, akak tumpang gembira kau sanggup datang dari jauh semata-mata nak meminta maaf dan mengaku kesalahan sendiri. Tidak semua orang sanggup lakukan. Bagi akak itu sudah cukup membuktikan ketulusan hatimu, dik. Terima kasih atas segalanya, biarpun pedih, tetap ada manisnya dik.”
Senyuman terukir di bibirnya. Terasa lapang dadanya. Terasa segar akal fikirannya. Tidak lagi memikirkan hal  tersebut yang mengganggu tidurnya.  Segalanya sudah selesai dan berakhir dengan baik.
            “Bila akak nak saya jumpa orang tua akak? Bila-bila masa sahaja, kak. Saya sudah bersedia sepenuhnya.” Zaki menarik nafas lega.
Segala-galanya sudah selesai dengan baik.  Dia tidak bertemu Ramadan tetapi bertemu dengan bekas isteri dia, sudah cukup baginya. Segala masalahnya telah selesai dengan baik. Dia mampu beribadat dengan tenang.


2 comments:

  1. Salam singgah dan follow sini :)

    btw jom join GA saya

    http://www.akuseorangtraveler.com/2017/11/give-away-hadiah-misteri-dari-astraveler.html

    ReplyDelete