AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 29 November 2017

IKATAN KASIH - BAB 41



Zaheer sudah berkira-kira untuk membuat pelaburan besar. Kali ini pasti berbaloi. Masih terfikir sama ada hendak membawa Joe bersama dengannya atau tidak. Semakin hari semakin mengecil ruang lingkup bisnesnya. Zaki menghilangkan diri pagi-pagi lagi. Sudah berambus agaknya. Lagi baik! Zaki yang dulu bukan lagi Zaki yang sekarang. Lembik dan penagih tegar. Malah semakin bijak berbicara.
            “Jauh mengelamun bos!” Joe meletakkan akhbar yang dibelinya di atas meja kopi. Dia duduk santai di hadapan Zaheer.
            “Kau ni tak reti ke nak bagi salam?” tegur Zaheer. Sebenarnya dia yang terkejut. Lelaki itu muncul secara tiba-tiba. Macam pencuri pula, bunyi daun pintu terbuka pun tidak kedengaran, atau dia terlalu jauh mengelamun.
            “Aik! Bila pula bertukar jadi ustaz?” usik Joe sambik menyengih menampakan barisan giginya yang putih bersih.
            “Jangan nak perli. Sekurang-kurangnya ketuk pintu ke? Kalau aku ada sakit jantung, dah lama kojol!”  Zaheer mencebik. 
            Joe mengekek-ngekek ketawa. Entah apa yang menggelikan hatinya. Zaheer menggeleng-geleng. Sudah hilang akal agaknya orang kepercayaannya itu.
            “Dah, jangan nak buat lawak kat sini!” tegur Zaheer, sakit pula hatinya mendengar gelak ketawa lelaki itu. Langsung tak nampak seperti samseng.  Macam pelawak murahan adalah.
            “Bos tengok juga ke rancangan Raja Lawak tu?” Semakin galak Joe ketawa. 
            “Kau ni aku ingat dah sewellah. Jom keluarlah.” arah Zaheer.
 Malas dia melayan ulah Joe yang sering hilang keseriusannya dalam bekerja. Asyik hendak melawak  sahaja. Ikutkan hati, mahu saja diganti lain. Namun, dapatkah dicari pembantu sesetia Joe? Beberapa kerat orang kepercayaannya yang ada telahpun berpaling tadah apabila perniagaannya asyik diganggu pihak berkuasa. Dia tidak salahkan mereka kerana mereka mempunyai tekak yang perlu disuap.
            “Nak ke mana pula ni bos?” Joe melangkah keluar. Matanya masih memandang wajah Zaheer yang serius sepanjang masa. Sesuailah, nama pun ketua samseng. 
            “Ke kolej Jasmina.” Laju langkah Zaheer menuju ke kereta. 
            “Alahai, orang tak suka, tak payah kejarlah, bos!” Joe menggeleng kesal.
            “Mana boleh? Ini melibatkan maruah aku!” jerkah Zaheer, terasa kecil hati dengan kata-kata Joe.  Tidak mahu menyokong, tetapi jangan membantah.
            “Yalah… yalah…” Joe melangkah laju. Dia masuk ke dalam kereta. Enjin terus dihidupkan. Kunci kereta tidak pernah ditanggalkan kalau diparkir di kawasan rumah itu.
            Zaheer hanya membisu, melayan perasaan sendiri.
            Joe hanya mendengar lagu-lagu yang dimainkan di corong radio.  Kalau dia membebel lagi, pasti mengamuk Zaheer nanti.
            Mereka menunggu dengan sabar di tepi jalan.  Kereta Jasmina kelihatan di tempat letak kereta. Menandakan kehadirannya juga. Zaheer mencebik.  Kau tidak tahu siapa aku, Jasmina! Zaheer membangunkan dendam.
            Joe sudah buat muka bosan. Perempuan, perempuan, perempuan! jeritnya dalam hati.  Macamlah dalam dunia ini tiada perempuan lain.  Ramai dan bersepah di luar sana. Cari sahajalah bohsia yang berjejeran di sana-sini, kenapalah hendak diganggu yang baik-baik. Yang jahat memang sudah sedia jahat. Yang baik pula hendak dijadikan mangsa.  Memang tidak patut.
            “Parkir depan kereta dia!”
            “Baik bos!” Joe akur walaupun hatinya membantah. Kerja menyapu angin. Merayu kepada orang yang tidak sudi, bukankah itu kerja yang sia-sia. 
            Kereta diparkirkan berhampiran kereta Jasmina. Mereka menunggu dengan sabar.  Kebosanan mula menghimpit hati Joe. Perlahan-lahan matanya dipejamkan. Penat menunggu, sudah sejam berada di situ.
            “Bos! Aku nak cari air. Kau nak apa-apa ke?  Hauslah duduk menunggu tengah panas ni!” Joe menoleh. Mata Zaheer tidak berkelip memandang kereta Jasmina. Manalah boleh kereta tu bergerak tanpa pemandu!
            “Pergilah!” halau Zaheer. Geram betullah dengan sikap acuh tak acuh Joe sejak akhir-akhir ini.  Jangan-jangan Joe pun hendak melompat ke geng lain juga. Dia mengetap bibir. Bukan semua orang boleh susah bersama dengannya. Mereka hanya menunggu kapalnya karam sahaja. 
            Joe melangkah keluar. Dia menuju ke kantin yang terletak berhampiran tidak jauh dari situ.  Sambil menunggu air yang dipesan, teh ais banyak aisnya. Dia benar-benar dahaga. Dia menghantar mesej kepada seseorang. Kemudian dipadamkan mesej dan nombor itu. Dia kembali ke kereta sambil bersiul-siul.   
            Alamak!  Dia berlari laju. 
            “Kenapa Jas putuskan pertunangan kita?” jerkah Zaheer. 
            “Bos! Malulah! Kita kan samseng!” kata Joe sedikit berbisik.
            Zaheer menjegilkan mata. Di tangan Joe ada sebungkus teh ais. Dia mengeluh.
            “Jangan ganggu Jas, boleh tak? Buat malu saja. Nanti semua kawan Jas ingat Jas bergaduh dengan bapa Jas!” Jasmina mencebik. Menyampah pula dia melihat wajah marah Zaheer. 
            “Kau tak kenal aku siapa! Kau tunggulah!” ugut Zaheer.
            “Kau ingat negara ini tak ada undang-undang? Kau fikir aku takut?” bantah Jasmina.
            Joe yang memerhati, terlopong melihatnya.  Memang anak si Rabeta, berani dan tegas. Fuh!  Nasib baik tidak menjadi dengan Zaheer, kalau tidak pasti majikannya itu mencipta seorang lagi Nazatul dan Rabeta. Habislah dunia kemaksiatan, gumam Joe dalam hati.
            Zaheer menahan geram. Gadis itu terlalu berani mencabarnya. Berubah 360 darjah. Jasmina yang berada di hadapannya bukan lagi Jasmina yang manja dan sopan orangnya.
Siren kereta polis membuatkan mereka bertiga menoleh. Mata-mata yang memandang pertengkaran mereka, tidak dihiraukan.
            “Bos! Polis!” jerit Joe. Dia masuk ke dalam perut kereta. Enjin memang dibiarkan  hidup. 
            “Bos! Masuk!” jerit Joe lagi sekali. Pintu telah terbuka luas.
            “Kau tunggu Jasmina!” ugut Zaheer. Dia berlari masuk ke dalam kereta. Matanya membuntang memandang Jasmina yang menjeling tajam ke arahnya. Ada rasa benci dalam pandangan itu. Sudah tiada lagi kasih sayang seperti dahulu.  Memang jelas gadis itu telah membencinya.
            “Fuh! Nyarislah bos! Kalau tidak tidur lokap kita malam ni!” Joe menarik nafas lega.
            “Macam mana polis boleh ada pula di dalam kawasan ini?”  tanya Zaheer.
            “Bos tanya aku? Manalah aku tahu!” Joe memandu laju meninggalkan kawasan kolej itu. Dia mencuri pandang wajah tegang Zaheer dengan kemarahan dari ekor matanya. Jaga kata-kata, jaga kata-kata, bisik hati kecilnya lagi. Kereta meluncur laju. Kedua-dua mereka membisu seribu bahasa.
***
            Jasmina menarik nafas lega. Terpacul keluar dari perut kereta peronda itu bakal ayah tirinya. Dia melemparkan senyuman. Mereka saling berpandangan. Kacak juga bakal ayah tirinya itu, bertuah mamanya. Dia tumpang bangga dan bahagia.  ‘Semoga hubungan mereka kekal hingga ke syurga,’ doanya dalam hati.
            “Jas tak apa-apa?” Fakhrul kebimbangan. 
            “Alhamdulillah, pak cik. Pak cik tiba cepat,”  jawab Jasmina.
            “Yalah. Lain kali hati-hati. Zaheer tu licik orangnya,” pesan  Fakhrul.  Dia tidak mahu tirinya diapa-apakan oleh lelaki durjana itu. 
            “Zaheer nak apa?” tanya Fakhrul. Matanya masih melekat pada wajah Jasmina.
            “Marahlah sebab Jas putuskan pertunangan kami. Dia tak boleh terima hakikat tu, pak cik,” adu Jasmina.
            “Jas kena jaga diri, berhati-hati ketika berseorangan. Pak cik takut dia upah orang tangkap Jas pula nanti. Dia sanggup buat apa saja sebab dendam. Ingat pesan mama juga,” nasihat Fakhrul. 
Galau Zaheer bukan kerana meroyankan cinta Jasmina. Tiada istilah cinta untuk pencandu dunia seperti Zaheer. Galaunya kerana memikirkan wang yang terbang akibat kehilangan Jasmina. Gadis itu sudah dibida dengan harga yang tinggi oleh si mata keranjang, pelanggannya.
            “Jom, pak cik temankan Jas balik, nak ke mana? Ke rumah atau ke tempat mama?” 
            “Balik rumah teruslah  pak cik, penat sangat hari ni, lagipun banyak kerja rumah ni,” jawab Jasmina jujur.
****
Ramadan yang sedang duduk menikmati minuman petang terkejut melihat kepulangan Jasmina  ke rumah diiringi oleh kereta peronda polis. Ramadan bingkas bangun, turun menuruni anak tangga. Dia mendekati kereta Jasmina yang telah pun berada di dalam garaj. Kereta peronda polis pula diparkirkan di luar pintu  pagar. Seorang anggota polis berpakaian seragam melangkah keluar.
            “Kenapa dengan anak saya, tuan?” tanya Ramadan.  Bimbang mengusik tangkai hatinya.
            “Dia tak apa-apa, tapi bekas tunangnya mengganggu dia. Saya bimbang jika lelaki itu akan bertindak lebih agresif lagi. Kami akan cuba melindungi  Jasmina sebaik mungkin,” jelas Fakhrul.
            “Ayah, ini Inspektor Fakhrul.”
            “Rasanya kita pernah berjumpa, tapi saya tak ingat di mana?” Ramadan mengamati wajah itu.  Wajah yang pernah dilihat tetapi tidak tahu di mana.
            “Pak cik ni datang dengan mama, waktu majlis pertunangan angah.” Jasmina mengingatkan.
            “Oo… kawan Rabeta?” Riak wajah meluat terpancar di air muka Ramadan.
            “Bukan kawan, bakal suami. Insya-ALLAH, tidak lama lagi.”  Fakhrul tersenyum.
            “Awak tak takut ke dikata orang di luar sana? Kawan-kawan awak, orang sekeliling. Ada banyak lagi perempuan baik. Kenapa pilih dia?” 
            “Ayah!” Jasmina kurang senang mendengar pertanyaan ayahnya itu. Tergamak ayahnya.
            “Saya tahu siapa bakal isteri saya. Saya tahu bezakan intan dan kaca. Kalau Encik Ramadan  tidak suka, saya tak paksa. Okeylah, Jas, pak cik balik dulu, jangan lupa segala pesanan Puan Rabeta. Jaga diri baik-baik, di luar sana ramai penjahat!” Fakhrul meminta diri.
            “Maafkan ayah, ya pak cik!” rayu Jasmina. Kecewa dengan sikap ayahnya. Pilihan adalah milik peribadi.  Tidak perlu dipersoalkan. 
            “Pak cik balik dulu… ada apa-apa masalah, telefon pak cik terus. Ini nombornya.” Kad bertukar tangan. Jasmina menyimpannya ke dalam beg. Dia menunggu di depan pintu pagar hingga kereta peronda  itu berlalu pergi.
            “Angah masih melawat mama? Masih jumpa dengan mama?” marah Ramadan, terasa dirinya dicabar oleh anak-anak.
            “Ayah! Angah penat, angah nak rehat. Masalah lain kita selesaikan kemudian. Kenapalah ayah tidak mahu menjadi manusia berhati mulia? Memaafkkan orang lain apatah lagi orang itu pernah menjadi isteri ayah, mama kepada anak-anak ayah.”  Jasmina benar-benar kecewa dengan sikap ayahnya itu.
            “Jangan nak mengajar ayah!” keras nada suara Ramadan.
            “Abang!” Aida yang memerhati sejak tadi, bersuara. Geram juga hatinya dengan sikap degil suaminya. Samalah dengan mertuanya. Sengaja melayan api dendam yang sepatutnya boleh dipadam.  Sengaja terus mereka sengketa yang  tentu tiada gunanya.  Malah menambah sakit di jiwa.
            “Masuk angah!” arah Aida. 
            “Awak jangan nak menangkan anak awak tu!” marah Ramadan.
            “Angah letih bang. Baru balik dari kelas. Berpada-padalah. Nak marah pun tunggulah dia berehat,” nasihat Aida.
            Ramadan mencebik. Dia kembali ke anjung rumah. Pintu pagar ditutup. Kata-kata Fakhrul tadi terkesan juga di hatinya. Benarkah Zaheer masih mengganggu anaknya itu. Dia mula bimbang Bagaimana hendak menghalang Jasmina dari keluar rumah. Rambut yang telah ditumbuhi uban ditolak ke belakang.  .
            Aida hanya mampu mengeluh. Ramadan dan Rabeta sudah lama mengenali antara satu sama lain, sejak di bangku sekolah rendah hinggalah mereka berumah tangga.  Tidak mungkin sedikit pun rasa simpati tiada di hati suaminya?            Fikiran Ramadan masih berkecamuk. Jasmina di dalam bahaya. Balik rumah pun sampai diiring polis. Dia mengeluh  lagi.
Sepatutnya lelaki itu boleh menerima hakikat, jodoh antaranya dan Jasmina tiada. Bukannya muda lagi untuk menyimpan dendam kesumat. Tidak mungkin lelaki itu tidak boleh menerima takdir  yang telah ditentukan. Pelik sungguh perangai orang tua seperti Zaheer. Dia mendengus. Matanya merenung jauh ke laman rumah.

No comments:

Post a Comment