AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sunday, 5 November 2017

JALAN PULANG - BAB 35



Ruang yang dingin terasa hangat.  Fikiran yang berserabut terasa semakin kacau.  Kebimbangan terpancar di wajah mereka.  Di hadapan mata, minuman sudah terhidang sebaik sahaja mereka melabuhkan punggung di sofa yang empuk dan selesa. Bau harumah lavender menenuhi ruang, terasa segar dan nyaman. Tetapi tidak di hati para tetamu yang berada di ruang tamu itu.
            “Maaf jika kehadiran kami menganggu tuan dan puan,”  kata Haji Shauki setelah masing-masing membisu, seperti patah kata-kata.  Mulut seperti terkunci, hilang perkataan yang ingin dituturkan, takut dan berani sama banyak.  Serba salah turut menerja. 
            “Tak mengapa, saya Haji Latif, ini anak saya Taufik dan isteri saya Maimun.  Kenapa saudara bertiga seperti orang bersalah dan takut-takut?  Kami tak makan orang.  Jangan tengok rumah kami besar, maka kami juga besar diri, Insya-Allah tidak.  Rumah ini kurniaan Allah, bukan niat ingin menunjuk, sekadar menikmati rezeki kurniaan Ilahi,” cerita Haji Latif ramah. 
            Bertubuh sederhana besar, berkumis nipis dan berjanggut.  Berkaca mata, wajahnya bersih, kulitnya kuning langsat. Hidungnya mancung. Matanya jernih dan bersinar. Wajahnya seperti sentiasa tersenyum, tenang dan damai.
            Lelaki muda itu pula, berbaju Melayu dan berseluar slack. Rambutnya tersisir kemas.  Senyumannya manis, selayaknya seorang yang berwajah kacak seperti itu, saling tak tumpah wajah perempuan di sebelahnya. 
            Perempuan itu pula seperti kacukan Pakistan atau Arab.  Sopan dan manis senyumannya.  Berkaca mata juga, mungkin factor usia, tetapi tidaklah terlalu tua.  Zakuan meneliti seorang demi seorang ahli keluarga tersebut.
            Dalam rumah pula tergantuk pelbagai jenis gambar tulisan khat.  Bunga  ros merah segar menjadi penghias meja tepi dinding.  Di keempat-empat penjuru ruang tamu.
            “Kami adalah keluarga Zara, Zara Malek.”  Zakuan memperkenalkan diri.
            “Oh, keluarga Zara?  Kenapa datang ke mari?  Bukankah kami yang akan ke sana minggu depan?” soal Hajah Maimun dengan wajah kehairanan.
            “Maaf, melihat keadaan rumah tuan dan puan, dan kami ini hanya orang kampung, tentulah seperti burung pipit dan burung enggang sahaja,” kata Haji Shauki.  Dia mengeluh perlahan, semakin kuat rasa bimbang di hati.
            “Kenapa berkata begitu?  Saya sudah lama tahu asal usul Zara, bukan saya baru kenal dia, dia setiausaha saya.  Saya kenal hati budinya,”  ujar Taufik. 
            “Oh! Majikan Zara?”  Zakuan mengerut dahi. 
            “Ya…” jawab Taufik.
            “Tapi tuan dan puan tak kenal ayahnya, dan tak tahu asal usul ayahnya,” sampuk Malek, sudah bersedia untuk bercerita.  Ya, semoga Allah tidak menghampakan perasaan anak gadisnya.
            “Kenapa dengan ayahnya?  Ada masalah ke?”  tanya Haji Latif. 
            “Tuan, puan, anak… saya ayah Zara.  Saya bekas banduan,  bekas perompak dan perogol!” Malek berterus terang.  Dadanya sebak.  Hatinya sarat dengan penyesalan.
            Mereka bertiga tersentak.  Mereka beristighfar serentak.
            “Tujuan kami datang adalah untuk beritahu cerita yang sebenar. Kami tidak mahu tuan dan puan mengetahui kisahnya daripada penduduk kampung.  Anak buah saya waktu mudanya memanglah jahat, tetapi sudah pun menerima hukuman 25 tahun.  Baharu setahun dibebaskan.  Dia sudah banyak berubah.  Dia sudah kembali ke pangkal jalan.  Kehidupan yang lalu telah banyak mengajarnya untuk membantu orang lain pula agar tidak terjebak seperti dirinya.  Saya berharap sangat, janganlah tuan dan puan menilai cucu saudara saya itu kerana kesalahan ayahnya sewaktu muda dahulu.  Bukankah setiap manusia patut diberi peluang kedua?  Saya berharap keluarga ini diberi peluang kedua,”  cerita Haji Shauki.
            “Allah!”  ucap Haji Latif, dia menyandarkan tubuhnya di sofa berwarna kuning air itu.  Dia mengeluh perlahan, berfikir sejenak, memandang wajah anak dan isterinya.
            “Saya merayu, janganlah ditolak anak saya dan memandang hina dirinya kerana kesilapan saya,”  pinta Malek dengan wajah keruh.  Kalau boleh dia hendak melutut dan merayu agar keluarga itu tidak mengambil tindakan membatalkan niat mereka untuk meminang anaknya, Zara.
            “Saya sudah beberapa kali berjumpa Zara, baik budaknya, bersopan santun dan berakhlak murni.  Saya suka kejujurannya.  Saya suka dia sebab dia pandai memasak dan ringan tulang.  Biarpun saya tahu, dia bukanlah datang dari keluarga yang senang.  Sebenarnya, dia telah memberitahu saya asal usul keluarganya sebelum saya buat keputusan untuk masuk meminangnya,”  kata  Hajah Maimun.
            “Mama dah tahu?” Taufik memandang wajah mamanya kehairanan.
            “Kami ada berbual.  Zara ingin sebuah hubungan yang telus dan jujur.  Dia berani beritahu mama yang ayahnya bekas banduan dan baru sahaja dibebaskan.  Sekarang, katanya ayahnya ada di kampung, dan dia tidak pernah berjumpa ayahnya, bukan kerana malu tetapi larangan ibunya.  Pada mulanya mama terkejut.  Dia minta mama buat keputusan terbaik untuk Taufik dan bakal cucu mama nanti.  Dia tidak mahu keluarga kita tahu dari mulut orang lain dan kita berasa malu dengannya,” cerita Hajah Maimun lanjut.
            Malek terkedu.  Bekas isterinya memang pandai mendidik anak. Allah! Dia sahaja yang tidak tahu menghargai insan tersebut.
            Haji Shauki juga terkejut.
            Zakuan terdiam, kenapa Zara tidak memberitahunya?  Adakah Zara sengaja agar mereka bertiga bertemu dengan keluarga Haji Latif dan melihat sendiri kemurniaan hati keluarga yang kaya raya ini? 
            “Zara sudah beritahu Mun?”  Haji Latif memandang wajah isterinya.
            “Ya bang.  Itu sebab saya tetap juga nak pergi meminangnya.  Kejujurannya telah menambat hati saya.  Dia tidak kisah pun jika saya menolak dia menjadi menantu kita.  Dia faham katanya.  Dia terima dengan hati terbuka.”  Hajah Maimun mengangguk perlahan.
            “Saya sayangkan Zara bukan kerana keluarganya, tetapi kerana dirinya sendiri,”  kata Taufik penuh yakin.
            Malek, Zakuan dan Haji Shauki terdiam seketika. 
            “Maafkan saya kerana pernah menjadi manusia jahat dalam hidup ini,”  kata Malek. Dia menunduk malu, malu pada Allah, malu pada diri sendiri dan malu pada orang lain.
            “Allah itu Maha Pengampun En. Malek.  Siapa kita untuk menghukum orang lain.  Zara akan tetap menjadi keluarga kami,  kami terima dia seadanya.”  Haji Latif tersenyum.
            “Terima kasih tuan, puan, Nak Taufik kerana menerima anak saudara saya seadanya.” Haji Shauki sendiri sedih dalam gembira.  Terharu pun ada.
            “Terima kasih pak cik, mak cik dan Taufik,”  kata Zakuan pula.
            “Jadi, rombongan kami akan bertolak awal pagi pada tarikh yang telah ditetapkan. Dengar kata ibu Zakuan pandai masak Ikan keli salai masak lemak, boleh suruh ibu masakkan?”  Hajah Maimun tersenyum bahagia.
            “Boleh mak cik. Nanti saya beritahu ibu.”  Zakuan tersenyum bahagia.
            “En. Malek, saya juga dengar banyak kebaikan yang telah encik lakukan untuk kampung encik dari mulut Zara sendiri.  Bukan dia tidak ambil tahu apa yang encik lakukan, dia sentiasa mengikuti perkembangan encik daripada kawan-kawan sekampungnya.  Dalam diam, dia bangga dengan encik.  Encik bertuah dapat anak seperti Zara.”  Hajah Maimun terus bercerita.  Banyak perkara dia berkongsi dengan Zara.  Melihat cara Zara bercerita tentang ayahnya, terserlah kebanggaan itu.
            Malek terus menangis di situ juga.  Dia kalah dengan kata-kata Hajah Maimun sebentar tadi.  Anak-anaknya telah menerima dirinya seadanya.  Mereka amat hebat!  Allah! Tidak layak dia menjadi seorang ayah.
            Haji Shauki mengusap belakang Malek dan cuba menenangkannya.
            “Saya ingat dia bencikan saya dan tidak sudi bertemu saya.”  Malek mengesat air matanya.  Suasana sayu menyelubungi rumah itu.
            “Encik Malek sememangnya bertuah,”  ujar Haji Latif. 
            “Kerana kemurniaan hatinyalah yang telah menambat hati kami sekeluarga.  Dia rajin membantu saya di rumah ini jika saya perlukan pembantu peribadi menguruskan kerja-kerja persatuan saya, tidak pernah dia mengeluh biarpun telah seharian bekerja di pejabat membantu anak lelaki saya,”  cerita Hajah Maimunah lagi. 
            “Kami inginkan menantu yang tahu menghormati keluarga kami dan orang tuanya, dan semua ciri itu ada pada Zara,”  sambung Haji Latif pula.
            Ketiga-tiga tetamu tadi menarik nafas lega.  Dirasakan pertemuan itu akan berakhir dengan kekecewaan, tetapi adalah sebaliknya.  Sesungguhnya Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hambaNYA.

No comments:

Post a Comment