Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 6 November 2017

JALAN PULANG - BAB 36



Kokokan ayam di awal pagi sering  membangkitkan manusia yang patuh akan suruhan Allah swt.  Bau haruman nasi lemak yang sedang dimasak mengusik hidung sesiapa sahaja yang sedang lena tidurnya. 
            Zakuan sudah bersiap untuk ke masjid. Dia menjengah ke dapur dan mendekati Salmah yang sedang menyiapkan sarapan.  Ibunya rajin memasak, biarpun hanya tinggal mereka bertiga. Sudah terbiasa sejak muda, makanan yang dimasak lebih akan diberikan kepada jiran sebelah menyebelah.
            “Boleh Wan bungkus sedikit untuk orang sana?” tanya Zakuan dengan wajah ceria.
            Salmah menjeling tajam.
            “Ibu masak banyak, nak beri kat jiran tetangga jugakan?  Dalam satu kampung, kira berjiranlah juga,”  usik Zakuan.  Dia terus mengambil bekas dan mengisi nasi lemak bersama sambal tumis, ayam goreng dan telur mata kerbau. 
            Salmah membiarkan saja.  Jika dilarang, panjang pula leteran Zakuan nanti.  Susah nak ditegur anak lelakinya itu jika melibatkan bekas suaminya.  Zara sudah pun balik ke bandar setelah memberitahu akan kehadiran keluarga Haji Latif untuk meminangnya. 
            “Bagaimana dengan pertemuan malam tadi?  Tentu mereka tolak adik Wan mentah-mentah!”  Salmah menjeling lagi.
            “Wan pergi masjid dulu, nanti malam Wan cerita dengan mak ya?”  Zakuan terus berlalu untuk berjemaah solat subuh di masjid.  Sambil itu bolehlah dia berikan nasi lemak ini kepada ayahnya nanti.
            “Wan!”  Salmah menggeleng.  Dia susah hati di rumah, anaknya itu boleh buat tidak tahu.  Entah apa keputusan yang telah mereka terima.  Dia tahu, bekas suaminya pun turut bertemu keluarga Haji Latif.  Tentu mereka telah dihalau. Tapi, melihat reaksi Zakuan tidak pula seperti dalam keadaan bersedih?  Salmah tidak keruan. Dia tidak sabar ingin tahu cerita  dari mulut Zakuan.  Tentu anaknya itu terus ke tempat kerja kalau sudah membawa kereta ke masjid.  Aduhai! Terpaksalah dia menunggu dengan sabar.
            Makan malam sudah terhidang.  Selalunya Zakuan makan sebelum solat maghrib berjemaah di surau.  Salmah tidak sabar ingin mengetahui apa yang berlaku di rumah bakal besannya itu, jadikah mereka datang untuk meminang Zara, anaknya?
            Zakuan pula seperti sengaja melambat-lambatkan untuk bercerita.  Buat hatinya panas sahaja. Mereka setujukah?  Sudikah mereka menerima Zara, anak bekas banduan, anak perompak dan perogol?  Menyebutnya sahaja buat hatinya sakit, pedih dan perit.  Terasa seperti hendak membunuh orang sahaja. 
            Marahnya kepada bekas suami tidak pernah terpadam, bagaikan obor yang sentiasa menyala. Makin difikir, makin sakit hatinya.  Bukan mudah untuk dia melenyapkan kenangan lalu yang telah menghancurkan hidupnya.  Biarpun kini, bekas suaminya sudah berubah, tetapi hatinya masih tidak  boleh menerima kehadiran lelaki itu apatah lagi ungkapan maaf.  Ah! berat mulutnya untuk melafazkan perkataan ajaib itu.
            “Ibu! Jauh mengelamun?”  tegur Zakuan yang sudah siap mandi dan bersiap hendak ke masjid.  Sebelum ke masjid dan duduk di sana sehingga Isyak, dia makan malam dahulu, tidaklah perutnya lapar.  Malam ini pula ada majlis ilmu. Ada ustaz jemputan yang akan beri ceramah, hampir setiap hari majlis ilmu di adakan untuk penduduk kampung.  Tok su wajibkan kehadiran penduduk kampung yang tidak ada keuzuran.
            “Tunggu Wan, sampai nak tertidur ibu,”  gurau Salmah.  Dia memandang wajah Zakuan.  Entah bilalah anak lelakinya itu akan bertemu jodoh.
            “Ibu tak nak ikut ke masjid?  Boleh dengar kuliah hari ini,” ajak Zakuan.
            “Tak naklah!”  Salmah mengeluh, dia tidak mahu bertembung dengan bekas suaminya.  Melihat bayang pun dia tidak mahu, inikan memandang dan berdepan. 
            “Sampai bila nak marah dengan ayah?  Kita duduk sekampung, sesekali bertembung juga, takkan ibu nak berkurung dalam rumah?”  kata Zakuan.  Nasi disenduk masuk ke dalam pinggang.  Lauk asam pedas ikan  pari diceduk ke dalam pinggang.  Dijamah dengan penuh selera.  Masakan ibunya paling sedang di dunia.
            “Macam mana perjumpaan Wan dengan keluarga sebelah lelaki?  Mereka tolak  Zara ke?”  Salmah tidak sabar mengetahui cerita sebenar. 
            “Wan pergi bawa tok su dan ayah sekali,”  kata Zakuan.  Dia tidak memberitahu ibuanya kedua orang tua yang amat dihormatinya turut bersama mengikutnya ke pertemuan tersebut.
            “Apa?  Wan dah gila ke?  Wan memang nak bunuh ibu ya?”  Salmah bingkas bangun.  Dia mencekak pinggang.  Matanya tajam menikam mata Zakuan.
            Mereka saling berpandangan.
            “Ibu! Bertenanglah, jangan tahu nak marah saja,”  pujuk Zakuan.  Dia menarik tangan ibunya untuk duduk semula.
            Salmah menarik tangannya. 
            “Ibu nak dengar cerita Wan ke tidak?”  soal Zakuan.  Tidak mahu melayan rajuk ibunya.
            Salmah mendengus kasar.  Dia duduk semula.
            Zakuan menghabiskan nasi di pinggan. Wajah keruh ibunya dipandang seketika lalu melakarkan senyuman.
            Suara cengkerik saling bersahutan. Angin malam menyapa perlahan.  Rembulan bersinar terang, mengurangkan kegelapan malam.  Salmah mengeluh perlahan.  Usai solat isyak dia bersantai di luar rumah, ambil angin sementara menunggu matanya mengantuk.  Kata-kata Zakuan bermain-main di fikirannya.  Betulkah keluarga sebelah lelaki tidak kisah?  Siapa nama lelaki itu?  Talib?  Eh, bukan! Taufik.  Ya,  keluarga Taufik…   seperti tidak percaya sahaja, ada orang sebaik keluarga Taufik yang sudi mengambil anak perempuannya sebagai menantu.
            Rupanya Taufik adalah majikan Zara.  Kehadiran  bekas suaminya, Malek dan Haji Shauki memang tidak diduga.  Sanggup bekas suaminya mencemar diri sendiri, demi anak gadisnya.  Salmah mengeluh. Cerita Zakuan membuatkan dia berfikir seketika.  Kejam sangatkah dia terhadap bekas suaminya itu.  Banyak cerita yang didengarinya tentang bekas suaminya itu.
             Bersungguh-sungguh lelaki itu bekerja membantu dan membangunkan kampung itu.  Sering dipuji, anak-anak penduduk kampung ini juga tidak berani melepak sebarangan Tidak pasal-pasal disumbat ke dalam lokap.  Memang sengaja  Haji Shauki bekerja dengan pihak polis untuk menangkap anak-anak penduduk kampung yang ponteng sekolah dan melepak tanpa tujuan. 
            Ah! dia masih  belum mampu, hatinya masih tidak terbuka untuk  memaafkan lelaki itu.  Biarlah masa yang menentukan.  Apa yang penting, Zara akan berkahwin juga.  Rupanya keluarga Taufik bukan orang biasa-biasa.  Kalau ikut darjat bagaikan tidak layak, tapi sudah jodoh Zara. Salmah mengucapkan syukur kepada Ilahi kerana menemukan Zara dengan keluarga yang baik-baik. Salmah tersenyum sendiri.  Minggu depan sibuklah dia menguruskan masjlis pertunangan anak gadisnya. Terima kasih Allah, bisik hati kecilnya. Dan malam pun terasa indah di hati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan