Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Ahad, 12 November 2017

JALAN PULANG - BAB 40



            Malek menunggu di pintu pagar rumah banglo tersebut,  sekali lagi.  Ya, dia perlukan kemaafan mereka.  Dia inginkan pengampunan mereka. Biarlah dia dihalau berkali-kali pun, dipukul dan dihina.  Dia tidak akan gentar. Dia lebih takutkan hukuman Allah yang bakal menantinya di akhirat nanti.  Malek perlu bersihkan dirinya jika tidak sia-sialah taubatnya.  Dosanya dengan Allah, mungkin akan terampun, bagaimana dengan dosanya dengan seluruh keluarga Maheran? Allahu Akbar!
            “Pak cik!”  Ayu memberhentikan keretanya di hadapan Malek.  Dia menggeleng kekesalan. Lelaki itu tidak pernah putus asa dan serik juga. Sudah berkali-kali datang dan dihalau keluar oleh neneknya, tapi masih datang lagi.
            “Ayu! Pak cik nak jumpa  nenek dan mama Ayu, bolehkan?”  rayu Malek.
            “Hish! Mereka tak nak maafkan pak ciklah!”  Ayu serba salah.
            “Pak cik rayu Ayu, izinkan pak cik masuk,” pinta Malek.     
            “Pak cik jangan degil, lupakan kami.  Pergilah balik!”  arah Ayu.  Dia membunyikan hon perlahan. 
            Malek bergerak ke tepi.  Matanya terkebil-kebil memandang kereta yang dipandu Ayu masuk ke perkarangan laman rumah banglo itu.   Dengan melangkah laju, Malek masuk ke perkarangan rumah banglo itu.  Dia tidak akan pernah berputus asa, Allah sedang menguji hatinya dan hati mereka.  Biar betapa sukar sekalipun, dia tidak akan menyerah.  Hanya kemaafan yang dipinta. 
            “Pak cik!” Ayu mengetap bibir.  Degil benar orang tua ini. 
            “Izinkan pak cik masuk untuk bertemu nenek dan mama Ayu!”  kata Malek agak keras. 
            “Mereka tak nak bertemu pak ciklah!”  Ayu mendengus kasar.  Geram pula hatinya. 
            “Kalau mereka tidak mahu memaafkan pak cik? Bagaimana dengan Ayu?  Mahukah Ayu memaafkan pak cik?” Malek memandang wajah manis gadis yang berjubah dan bertudung separa dada itu.  Jubah hitam sedondon dengan tudungnya juga berwarna hitam.  Matahari memancar terik, bayu bertiup tenang. 
            Ayu terdiam seketika, berfikir sejenak.  Apa yang harus dia katakan?  Ayu mengeluh perlahan.  Dia memandang  kiri dan kanan, serba salah.  Wajah muram Malek ditatap seketika. Melihat fizikal Malek, tidaklah terlalu tua. Tetapi, bolehkah dia memaafkan lelaki itu?  Hatinya kosong, tiada rasa. 
            “Hoi!” jerit seorang wanita  dari dalam rumah.  Pintu utama terbuka luas.  Wanita tua berkerusi roda memandang tajam ke arah Malek.
            Malek menunduk hormat.
            “Kenapa kau datang lagi? Tak reti bahasa ke?” jerkah wanita  berkerusi roda itu.
            “Puan, saya hanya ingin memohon ampun dan maaf! Tolonglah maaf dan ampunkan saya!”  pinta Malek dengan wajah sugulnya.            Malek terus  melutut, sudah tiada lagi perasaan malu. 
            “Kau ingat mudah untuk aku maafkan kau?!”  soal wanita itu lagi.
            “Saya tahu, saya bersalah!  Biarlah saya tebus kesalahan saya itu, saya rela berkhidmat untuk puan, jadi hamba abdi puan,” kata Malek dengan wajah duka.
            “Gila!  Kau nak aku tengok muka kau setiap hari?  Kau nak anak aku jadi gila  balik?” 
            “Hei!” jerkah Maheran yang tiba-tiba terpacul di sebelah ibunya.
            “Maheran tolong maafkan saya, ampunkanlah saya. Biarlah saya mati dengan tenang,”  pinta Malek, tidak berputus asa. Sambil itu dia berzikir dan berdoa, agar Allah lembutkan hati-hati ketiga-tiga wanita itu.
            “Berambuslah!  Aku tak sanggup tengok muka kau!” jerit Maheran.  Dia menarik-narik tudungnya.
            “Pak cik, pergilah balik! Mama saya belum sehat betul lagi tu.  Nanti datang gilanya,”  pinta Ayu yang masih  berdiri di sebelah Malek.  Kasihan juga dia melihat keadaan Malek yang tidak pernah putus asa meminta kemaafaan daripada keluarganya.
            “Berambus! Berambuslah!!” jerit pula wanita tua itu.  Mukanya merah padam, matanya dijegilkan.  Hidungnya kembang kempis menahan kemarahan.
            Maheran membaling Malek dengan kayu yang ada di tangannya.  Entah dari mana datangnya kayu tersebut.  Hampir sahaja mengena kepala Malek.
            “Pak cik, baliklah!  Sebelum pak cik tercedera,” suruh Ayu.
            “Ayu, tolonglah maafkan pak cik!” rayu Malek lagi.
            “Pak cik, baliklah! Pergilah!”    halau Ayu.
            “Kau nak mati ya? Nanti kau!”  Maheran menghilang ke dalam, datang semula dengan pisau di tangannya.
            Ayu ketakutan. Mamanya boleh dan mampu berbuat apa sahaja jika tidak sedar dan kemarahan menguasai dirinya.
            “Pak cik! Saya rayu! Pergilah!”  Ayu menolak Malek pergi dari kawasan rumah itu.
            Maheran sudah mula melangkah turun ke laman rumah.
            Malek yang melihat Maheran menerpa ke arahnya dengan pisau di tangan segera angkat kaki dan berlalu pergi.
            “Kalau kau datang lagi, aku tetak dengan parang!” jerit Maheran.
            “Mama!” panggil Ayu cuba menenangkan mamanya.
            “Siapa mama kau? Kau jangan perasan aku akan terima kau sampai bila-bila!” kata Maheran lalu masuk semula ke dalam rumah.
            Ayu hanya menunduk. Itulah sikap wanita yang pernah melahirkannya itu.  Tidak mahu menerima kehadirannya, rasa benci tetap menebal.  Ayu menahan gelora sedih di hati.  Sampai bila mamanya hendak berdendam dan tidak mahu menerima dirinya?    Dia tidak pernah minta dilahirkan, sudah ditakdirkan dia lahir juga dari rahim wanita itu, biarpun dibenci,  namun rasa kasih tetap terlahir juga di hatinya.
            “Hah!  Kau pun nak ikut lelaki tu?” tempik wanita tua itu pula.
            Ayu memandang wajah neneknya seketika.  Terlihat jelingan tajam wanita itu. Ya, wanita itu terpaksa menjaganya.  Hatinya menangis sayu. Kehidupan yang dirahsiakan daripada orang lain.  Kehidupan yang perit terpaksa ditanggung sendiri.  Hanya kepada Allah dia berserah.  Biarpun neneknya garang, tapi masih sudi mengajarnya membaca, menulis dan mengaji.  Itu sudah cukup untuknya.  Dia jug tidak bersekolah.  Masanya dihabiskan di rumah. Disuruh belajar memandu, untuk memenuhi keperluan kedua wanita itu. 
            Di rumah itu, dia memasak, mengemas dan menyediakan semua keperluan wanita dua beranak itu.  Dia tidak akan mengeluh. Tidak sesekali mengeluh.Ya, terimalah kehidupan yang telah dianugerahkan padanya dengan hati yang terbuka. Redha!
            “Hah! Apa lagi?” kata wanita tua itu lagi.
            Ayu berlari masuk dan menutup pintu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan