AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Monday, 13 November 2017

JALAN PULANG - BAB 41



Zakuan membetulkan cermin mata hitamnya.  Dia memberhentikan keretanya tidak jauh dari rumah banglo tersebut.  Ya, dia menunggu Ayu, gadis  yang sudah dianggap seperti adiknya.  Dia ingin mengajak Ayu keluar makan dan berbual-bual dengan gadis tersebut.  Wajah gadis itu reduh, matanya tidak bermaya, seperti menyimpan penderitaan dalam dirinya.  Adakah gadis itu menderita?
            Zakuan menunggu dengan sabar.  Dia pasti, Ayu akan keluar rumah pada waktu itu. Setiap hari selepas asar, mungkin membeli sesuatu untuk mama dan neneknya.  Sebaik sahaja kereta Ayu dipandu keluar, Zakuan akan segera keluar dari keretanya.
            “Awak lagi?” Ayu mengeluh.
            “Saya nak belanja awak minum teh tarik di tempat hari itu.  Boleh, kan?” pelawa Zakuan.
            Ayu mengeluh.    Apa pula pemuda itu inginkan daripadanya?  Kelmarin ayah pemuda itu, hari ini pemuda itu pula.  Apa agenda mereka? Ingin memujuk dirinya?      
            “Saya kena ambil barang untuk nenek dan mama saya, nanti lewat pula,”  kata Ayu menolak dengan baik.
            “Esok awak keluar awal sikit, boleh kita keluar minum,”  kata Zakuan tidak putus asa.
            “Tak apalah, saya ikut awak.  Tapi awak jangan datang selalu, kalau nenek dan mama saya tahu, teruk saya kena marah,” adu Ayu.  Dia terus memandu keretanya meninggalkan Zakuan.
            Zakuan kembali ke keretanya dan terus memandu.
            Wajah tenang gadis itu ditatap agak lama, ada juga iras-iras ayahnya.  Zakuan mengeluh.  Kalaulah ayahnya tidak mengikut hawa nafsu  sudah tentu Ayu tidak akan lahir di dunia.  Ibunya tahu tentang Ayu tetapi tidak tahu ayah dan dirinya sudah bertemu dengan gadis itu.
            “Ayu, saya nak awak terima saya sebagai abang awak, biarpun kita tiada hubungan apa-apa, saya tetap anggap awak adik saya,” terang Zakuan dengan wajah ceria.
            Ayu mengerut dahi. Dipandang wajah Zakuan tidak berkedip, hatinya berbisik, ‘betulkah pemuda ini?’ 
            “Kita tak pernah kenal pun.  Kenapa awak anggap saya sebagai adik?  Saya sudah cukup bahagia dengan keluarga saya sekarang ini, saya tidak mahu apa-apa perhubungan lain,”  jawab Ayu tenang.
            “Waktu muda, ayah memang tidak bertanggungjawab.  Ibu saya cukup terseksa hidup dengannya.  Cemuhan masyarakat sekampun, saudara mara cukup memeritkan. Ibu tetap tabah membesarkan saya dan adik saya, Zara. Dia sebaya awak.  Nanti saya bawa dia datang jumpa awak.  Bolehlah Ayu berkawan dengan adik saya itu,”  cadang Zakuan.
            “Kenapa awak baik dengan saya?  Nak saya maafkan ayah awak?”  Ayu cuak.
            “Itu salah satunya.  Saya nak awak terima kami seperti keluarga awak, Ayu,” jelas Zakuan.
            “Saya sudah ada keluarga,” jawab Ayu tenang.
            “Keluarga yang tidak menyayangi awak?”  Zakuan meneka.
            Ayu tersentak, berubah wajahnya. Pucat lesi. Adakah Zakuan tahu akan keadaan dirinya?
            “Ayu tidak pernah bersekolah?”  soal Zakuan.
            Ayu menggeleng perlahan.  Dia menunduk, nasib baik dia tidak buta huruf, di zaman serba canggih ini, masih ada manusia yang buta huruf?  Jika ada, sudah tentu dialah orangnya.
            “Ayu nak bersekolah?  Nanti Abang Wan masukkan ke sekolah persendirian untuk orang dewasa,” cadang Zakuan.
            Ayu mengamati wajah Zakuan.  Pemuda itu baik orangnya dan bersopan santun pula itu.
            “Awak ingat saya boleh keluar sesuka hati?” 
            “Kenapa? Mereka tidak benarkan?”  Zakuan kehairanan.
            “Banyak kisah hidup saya awak tak tahu, tak perlulah saya nak bercerita.  Biarlah menjadi rahsia peribadi saya,”  ujar Ayu dengan wajah yang keruh.  Tiada siapa faham akan penderitan batinnya. 
            “Saya sedia mendengarnya,” jawab Zakuan.
            Ayu memandang wajah Zakuan dan tersenyum.
            Zakuan terkedu mendengar semua cerita yang keluar dari mulut gadis manis itu.  Ya, Allah! Penderitaan yang ditanggungnya terlalu berat, namun Ayu tabah menghadapinya.  Tidak pernah Zakuan terfikir, gadis itu akan dipandang hina oleh keluarganya sendiri. Zakuan fikirkan, Ayu diterima baik oleh keluarganya sekarang, sebab dia dijaga dan dibesarkan oleh keluarga itu biarpun kehadirannya tidak diredhai.
            “Tapi Ayu masih sudi tinggal dengan mereka?”
            “Ke mana lagi saya nak pergi?  Celik mata saja, saya hanya kenal mereka.  Biarpun begitu, mereka tidak buang saya. Mereka masih sudi menjaga  dan membesarkan saya. Itu sudah cukup baik buat saya.  Saya tidak akan minta apa-apa lagi daripada Allah selain kasih sayang mereka,”  Ayu menunduk dan air matanya mula mengalir keluar.
            “Awak sudi maafkan ayah?” Zakuan menebak.
            Ayu mengesat air matanya. 
            “Kalau saya tidak maafkan pak cik itupun, apa yang saya dapat? Kalau saya berdendam pun, saya tetap begini, tak untung dan tak rugi.” 
            “Ayah hanya inginkan kemaafaan daripada Ayu. Ayu, dia dah tua, entah esok, entah lusa, dia akan meninggalkan dunia ini.  Ayu tentu tahukan, orang yang berdosa dengan orang lain, dosanya akan dibawa bersama?” 
            “Jadi?” Ayu resah. 
            “Maafkan ayah, saya sekeluarga akan jadi keluarga Ayu.  Kita akan jadi keluarga,”  kata Zakuan gembira.
            “Mahukah masyarakat menerima saya?  Biarpun usia saya sudah menjangkau suku abad, sehingga sekarang tiada siapa yang sudi mengambil saya sebagai isteri.  Adakah saya akan bersendirian sehingga ke akhir hayat saya?” 
            “Nasib kita sama, biarpun berlainan cara.  Adik saya Zara baharu sahaja bertunang, keluarga tunangnya sudi menerima  adik saya seadannya. Ayah telah  pergi bertemu keluarga tunang Zara, dan berterus terang.  Mereka terbuka menerima adik saya.  Awak juga, saya pasti akan ada jodoh untuk awak.  Saya juga berdoa, akan sampai jodoh saya.”  Zakuan tersenyum sendiri.  Ada cerita yang baru didengarinya, Tok Su Haji Shauki sedang sibuk mencarikan pasangan untuk dirinya.  Dia pula akan carikan pasangan untuk Ayu dengan lelaki yang sesuai dan menerima Ayu seadanya.
            “Ayu, saya tahu sukar untuk awak menerima ayah dalam hidup Ayu, tapi bukalah hatimu dik. Ayah sudahpun menerima hukumannya.  25 tahun dipenjarakan.  Sudah cukup penderitaan yang ditanggungnya.  Kemaafaan yang terlafaz akan buat hidup Ayu lebih tenang.  Begitu juga nenek dan mama Ayu, jika mereka memaafkan ayah, kehidupan mereka akan tenang kembali,”  pujuk Zakuan.
            “Sudah sejam saya di sini, nanti risau pula mereka,”  Ayu bingkas bangun.
            “Nanti kita keluar lagi ya?  Kalau awak setuju untuk masuk sekolah, beritahu saja.”
            Ayu memandang wajah Zakuan, jelas terpancar kejujuran pemuda itu.  ‘Ayah’  lelaki tua itu dipanggil ayah.  Pemuda itu sudi menerima dirinya sebagai ‘adik’?  Mampukah dia? Mahukah dia?  Persoalan yang dia boleh jawab, jika hatinya dibuka seluas-luasnya.
            Ayu mengangguk perlahan dan berlalu. 
            Zakuan memerhatikan sahaja langkah Ayu berlalu meninggalkannya.  Dalam hati, dia berharap, Ayu mahu memaafkan ayahnya.  Itulah harapannya. 

No comments:

Post a Comment