AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Thursday, 16 November 2017

JALAN PULANG - BAB 43



            Hajah  Som mencuka, kerusi rodanya ditolak mengeliling ruang tamu. Sudah hampir tiga jam Ayu keluar.  Tidak pernah lewat seperti hari ini, ke mana pula menyinggah?  Keresahan terpancar di wajahnya. Kedutan di muka semakin kelihatan.  Faktor kematangan usia yang tidak boleh dielakkan. Tua tetap tua.
            “Tak balik lagi budak tu mama?”  tanya Maheran.  Dia juga gelisah. 
            “Entah ke mana dia pergi? Entah-entah dah lari!” kata Hajah Som dengan muka kelat.
            “Biarlah dia lari, semakin lama dia berada di depan mata saya, semakin sakit hati,”  kata Maheran, jelas terlihat kebenciannya terhadap Ayu.
            Hajah Som menjeling.
            “Kalau dia tak ada, siapa nak  uruskan rumah ini?”  tempelak Hajah Som.  Cermin matanya dibetulkan. 
            “Cari ajelah pembantu rumah,”  suruh Maheran.
            “Cakap senang ya Maheran? Kita mana ada duit?  Harap ehsan saudara mara saja, harta peninggalan arwah ayah kau bukan banyak mana, kau nak suruh kita mati kelaparan?”  Hajah Som mendengus.
            “Budak tu pun bukan mendatangkan hasil! Menghabiskan duit kita adalah,”  kata Maheran, dia duduk memeluk lutut di atas sofa. Matanya membulat menentang mata Hajah Som.
            “Memang dia tak mendatangkan hasil, tapi dia boleh buat kerja rumah! Boleh mandikan mama, boleh memasak, tak perlu bergaji.”  Hajah Som membuka pintu luar dan menjengahkan kepalanya.  Kereta miliknya tidak kelihatan, menandakan Ayu masih belum pulang.
            “Ke mana pula budak ni pergi?”  Marah Hajah Som.
            “Kenapa mama nak bela dia lagi?” Maheran  mencuit hati mamanya.
            “Kerana kau tak nak jadi ibu yang bertanggungjawab!”  jawab Hajah Som marah. 
            “Mama tahukan dia anak apa?”  Maheran mendengus garang.
            “Habis tu?  Kau ingat aku suka sangat dengan dia?  Takkan aku nak buang dia? Kau nak suruh aku jadi kejam macam kau?” bengkeng Hajah Som.
            “Orang yang  buat Maheranlah yang kejam!” marah Maheran, seketika itu jugalah wajah lelaki yang datang ke rumahnya beberapa hari yang lalu menyinggah di mata. Kerana lelaki itulah hidupnya musnah! Minta kemaafaan!?  Jangan harap! Detik hati kecil Maheran.
            “Sudah! Lupakan!” jerkah Hajah Som.
            Maheran terdiam.  Suara mamanya tidak pernah rendah sejak dia melahirkan Ayu, mama sering marah-marah, baran tidak kena masanya.  Anginnya selalu tidak baik, sehinggalah mamanya diserang angina ahmar.  Lumpuh separuh badan, terpaksa berkerusi roda sehingga ke hari ini. 
            Bunyi enjin kereta dimatikan membuatkan Hajah Som membuka pintu rumah seluas-luasnya.  Kelibat Ayu yang melangkah masuk ke dalam rumah membuatkan hatinya lega.  Takut juga dia, jika Ayu tinggalkan rumah.  Tiada siapa yang boleh diharapkan menguruskan dirinya.  Maheran?  Uruskan diri sendiri pun tidak mampu, sesekali datang gilanya, mengamuk satu rumah.      
            “Kenapa lambat? Kau tanam sayur ke?” tempelak Hajah Som dengan wajah kecut. Membuntang matanya memandang Ayu yang melangkah masuk ke dalam rumah dalam keadaan tergesa-gesa. 
            Ayu tergamam, pucat lesi wajahnya.  Gara-gara bersembang dengan Zakuan sehingga tidak sedar dia sudah terlewat.
            “Maaf nenek,”  ucap Ayu.
            “Pergi menggatal ke?  Kau nak jadi macam aku dulu! Dapat anak macam kau pula!” lengking suara Maheran.  Dia mencekak pinggang, memandang Ayu dengan muka yang garang.
            “Maaf mama,”  sekali lagi Ayu melafazkan ucapan maaf.  Memang dia bersalah.
            “Mama?  Siapa mama kau?”  tempik Maheran, sakit telinganya apabila mendengar Ayu memanggilnya ‘mama’.  Dia tidak suka gadis itu.  Biarpun lahir dari rahimnya, tetapi dia tidak pernah redha kehadiran Ayu dalam hidupnya.  Anak samseng! Bukan anak dia! Detik hati kecil Maheran.
            Ayu terus membawa barang-barang yang dibeli ke  ruang dapur.  Terketar-ketar dia menyimpang semua barangan tersebut ke dalam ruang almari yang disediakan. Neneknya, Hajah Som tidak suka barangan dapur yang bersepah.  Perlu disusun dengan betul dan ikut  label yang telah ditetapkan oleh neneknya.
            “Kau ke mana? aku tanya kau tak jawab lagi?”  soal Hajah Som yang sudah pun berada di ruang dapur.  Kerusi rodanya boleh digerakkan sendiri.
            “Tak ada ke mana-mana nenek, jalan sesak.  Ada… ada kemalangan tadi,”  dalih Ayu. Takkan dia hendak beritahu dia bertemu Zakuan, tentu akan bertambah kemarahan mereka. 
            “Kau jangan nak belajar menipu pula? Kalau aku dapat tahu bukan sebab kemalangan jalan raya kau lambat balik, nahas kau!” ugut Hajah Som.
            Ayu menunduk.  Inilah kehidupannya di rumah itu.  Menjadi tempat kemarahan mereka berdua.  Ya, inilah rumahnya.  Dia perlu banyak bersabar.  Ah!  tidak usah mengeluh.  Dia masih ada Allah swt di sisinya. 
            “Menung lagi!” jerkah Maheran.
            Ayu tersentak.  Sejak mamanya balik dari rumah sakit jiwa, begitulah keadaannya, asyik marah dan mengamuk.  Entah bila hendak pulih.  Sukar benar mereka hendak membuang sejarah hitam yang membelenggu hidup mereka selama berpuluh tahun.  Sepatutnya dia yang harus lebih marah dan kecewa.  Dia tiada sesiapa, sebatang kara. Tiada siapa yang suka,  ke mana sahaja menjadi kebencian orang.  Siapa dirinya sering menjadi sebutan.  Ah! sakit hatinya hanya Allah yang tahu.

No comments:

Post a Comment