AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 17 November 2017

JALAN PULANG - TAMAT



            Riuh rendah suara pelajar yang mengikut Kem Ibadat yang dianjurkan oleh Persatuan Belia dengan kerjasama pihak Masjid Kampung Seberang.  Ramai anak-anak Kampung Seberang yang berumur dari 7 tahun – 17 tahun.  Mereka dibahagikan kepada tiga kumpulan.  Malek telah menjemput mereka yang layak membimbing anak-anak itu.  Program selama tiga hari dua malam berjalan lancar.  Pelbagai aktivit diadakan, mereka diajar bersolat cara Rasulullah saw.  Diajar juga mengaji dan menghafal ayat-ayat lazim yang mudah.
            Ada juga program bersukan dan riadah serta kesenian Islam.   Majlis dirasmikan oleh Yang Berhormat kawasan Parlimen di situ.  Turut diadakan jualan hasil-hasil pertanian dan kraf tangan yang dibuat oleh penduduk kampung. Ramai yang mengambil bahagian.  Terasa meriah program yang diadakan.
            Malek tersenyum sendiri melihat kerjasama penduduk Kampung Seberang. Beramai-ramai turun padang, memasak dan menyediakan makanan untuk anak-anak mereka yang menjadi peserta Kem Ibadat itu.  AJK yang dilantik juga menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik.  Tidak ada yang culas atau curi tulang. Masing-masing menjalankan tugas mereka dengan baik. 
            Zakuan turut membantu.  Sibuk dia ke sana ke sini menguruskan keperluan peserta.  Malek tidak mahu, habis kem, habislah segala yang mereka pelajari sewaktu mengikuti kursus.  AJK  program akan memastikan anak-anak yang terlibat akan terus menghadirkan diri ke masjid untuk solat berjemaah. 
            Kelas mengaji al Quran juga akan diadakan untuk anak-anak yang masih tidak tahu membaca al-Quran.  Usai solat isyak, Pak Su Haji Shauki dengan dibantu seorang ustaz dan ustazah akan bertadarus dengan anak-anak yang bersolat berjemaah di masjid.  Biarpun hanya sekali sehari, sudah bermanfaat, daripada mereka tidak membaca langsung al Quran di rumah. Idea ini datang daripada Hassan, salah seorang AJK  persatuan.   Semua AJK Masjid Kampung Seberang bersetuju, mereka juga akan tumpang mengaji bersama. 
            Malek duduk beberapa meter dari kawasan Masjid Kampung Seberang.  Dia memerhati dari kejauhan.  Biarpun dia berjaya mengatur pelbagai program dan semua program yang dirancang berjaya bukan kerana dia pandai, tetapi kerana kerjasama penduduk Kampung Seberang yang ingin berubah ke arah yang lebih baik.  Ditambah dengan Pak Su Haji Shauki seorang yang sangat ambil berat, bertanggungjawab, jujur dan ikhlas dengan tugas yang tersandang  di bahunya.  Ketegasan dan ketokohan pak su membuatkan penduduk kampung amat menghormatinya.  Kealiman pak su juga, maka orang kampung tidak pernah mempersoalkan tindakan atau arahan yang diberi oleh pak su.
            Tepat pukul 7.00 malam, anak-anak yang ibu ayah mereka bekerja kilang dan tidak ada di rumah akan dikerahkan ke masjid atau menghadiri kelas tusyen yang diadakan di dewan orang ramai.  Penduduk Kampung Seberang berjumlah 2000 orang termasuk golongan muda dan kanak-kanak. Data mereka semua sudah Malek kumpulkan sejak awal lagi, mudah untuk dia merancang dan menjalankan aktiviti di kampung itu. Setakat ini semuanya berjalan dengan lancar.  Kalau ada kerjasama, tiada perasaan iri hati, tiada kemarukan politik dan masing-masing berlumba hendak menjadi pemimpin dan pentingkan diri sendiri, tentu tidak sukar merancang perkara yang baik.
            Masalah orang lain sudah selesai.  Masalah sendiri tidak juga ditemui jalan keluar.   Masalahnya sekarang adalah empat wanita yang masih menjadi musuh tradisinya.  Berkali-kali dia hadir ke rumah mereka, memohon maaf, merayu, menyembah dan menyerah.  Namun, kedegilan  mereka begitu tinggi.  Sukar untuk mereka memaafkannya.  Adakah dia perlu mengalah?  Dia sudah berusaha memohon maaf, jika mereka masih berkeras.  Dia tidak boleh dan mampu berbuat apa-apa.  Hanya kepada Allah swt dia berserah.
            Ayu, gadis itu?  Dia akan cuba mendekati gadis itu, biarpun bukanlah anak sah tarafnya tetapi gadis itu tidak berdosa.  Dia yang berdosa.  Biarlah dia memberi kasih sayang yang seadanya kepada gadis tersebut.  Biarpun dia tidak disukai.  Ya, dia benar-benar sudah berubah.  Apa yang telah dia lakukan dahulu, adalah satu kesilapan.  Satu dosa yang tidak terampun oleh manusia yang telah dianiayanya.  Tidur malamnya diganggu dengan mimpi-mimpi ngeri.  Siang hari, hatinya diulit kekesalan yang tidak terucap. 
            Jalan pulang yang dicari sudah ditemui, tetapi masih panjang liku-liku dan lorong yang terpaksa dilalui.  Dia perlu kuat semangat. Perlu kental hati melawan perasaan kecewa sendiri.  Tidak boleh putus asa dengan rahmat Allah swt.  Pintu taubat masih terbuka selagi nyawa dikandung badan.  Semoga Allah menerima segala kebaikan yang dibuatnya kini.  Semoga Allah menerima taubat nasuhahnya.  Apa yang penting, masyarakat kampungnya masih sudi menerima kehadirannya. Masih mahu menghormatinya setelah apa yang telah dilakukan sebelum ini.
            Ya, Allah terimalah perjalanan pulangku ini, doa Malek dalam hati.

No comments:

Post a Comment