AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Thursday, 2 November 2017

KAMI TIDAK BERSALAH - BAB 22



Encik Ismail memandang wajah Lutfi tidak berkelip.  Ikut kata hati yang sedang marah, anak itu sudah dibawa ke balai polis.  Sudahlah anak perempuan melahirkan anak, anak lelakinya pula jadi kaki pukul.  Masalah bertimpa-timpa.  Semakin dipandang wajah Lutfi semakin kecil di matanya. 
            “Kenapalah bodoh sangat, Lut?”  marah Encik Ismail.  Lutfi menunduk.
            “Budak tu tak nak bertanggungjawab, ayah,”  kata Lutfi.
            “Kalau tak nak bertanggungjawab sekalipun, takkan sampai nak bunuh dia?  Kalau dia mati macam mana?”  lengking Encik Ismail. Puan Sara gelisah di atas sofa yang empuk.  Terasa keras di punggungnya. 
            “Dia hina Effa, ayah.”
            “Hina sekalipun, tak membenarkan Lut ambil tindakan sendiri.  Ini semua kerja yang sia-sia.  Kalau keluarganya buat laporan polis, Lutfi akan dihukum,”  Encik Ismail kesal dengan apa yang terjadi.  Anak-anak sudah pandai membelakangkan mereka sebagai orang tua. 
            “Nasib baik budak itu tak mati.  Dengar kata dia dah mula sedar,”  sampuk Puan Sara.
            “Maafkan Lut ayah, mama,”  Lutfi mengeluh. 
 Siti Effa tidak berani memandang wajah abangnya.  Dia yang bersalah.  Sepatutnya hanya dia seorang yang menanggung semuanya ini.  Nama baik dan maruah keluarganya terheret sama.  Malu tidak terkata. 
            “Kita kena jumpa keluarga Saiful Bakri.  Kita kena selesaikan hal Effa dengan anak mereka.  Begitu juga hal Lut.  Saya harap mereka tidak memanjangkan perkara ini.”  Encik Ismail menyandar di sofa.  Cuba menenangkan diri sendiri.
            “Apa salah mama dan ayah?  Kenapa kalian sanggup buat perkara yang boleh menjatuhkan maruah kami?  Tidak cukupkan apa yang kami  sediakan untuk kamu berdua?” Puan Sara masih tidak berpuas hati.  Lain yang diajar, lain pula yang dilakukan oleh anak-anak.  Lebih senang cakap seperti tidak makan diajar.  Pening memikirkan hal anak-anak.  Baharu dua orang.  Kalau ramai entah bagaimana agaknya.  Puan Sara memicit kepalanya yang mula terasa sakit.
            Wajah YB Bakri riang semula.  Saiful   Bakri sudah semakin pulih.  Sudah  mula membuka mata, walaupun masih belum mampu bercakap sepenuhnya. Itu sudah cukup melegakan hatinya.  Puan Balqis juga sudah tersenyum semula.  Setiap masa setia di sisi anak bujangnya itu.  Begitu melimpah ruah kasih sayang mereka berdua kepada Saiful Bakri.
            “Pihak sekolah dah dapat ke budak yang terlibat memukul anak kita ni?”  tanya Puan Balqis.  YB Bakri memandang wajah isterinya sambil menggelengkan kepala.
            “Abang tak telefon pun pihak sekolah.  Insya-ALLAH ingat pagi esok abang nak ke sekolah.  Hendak juga tahu perkembangannya.”  Wajah pucat Saiful Bakri ditatap lama.  Hiba hatinya.  Nasib baik umur anaknya masih panjang. 
            “Qis nak sangat tengok budak yang pukul anak kita ini dihukum.  Melampau sangat.  Bagaikan hendak membunuh je.  Apalah manusia  sekarang ini, sikit-sikit pukul, bunuh.  Macam sudah tidak ada  sifat belas ehsan di dalam hati mereka.  Semua ikut rasa marah dan sakit hati sahaja. 
            “Abang pun macam tu, Qis.  Tapi untuk apa jika budak itu ditangkap?  Anak kita tetap macam ini juga.”  YB Bakri mengeluh.  Ikut rasa hati marahnya memanglah, mahu sahaja dia melaporkan kepada polis.  Biarlah polis yang melakukan siasatan.  Namun memikirkan masa hadapan  mereka yang memukul anaknya itu, dia batalkan niatnya.  Biar pihak sekolah yang membuat siasatan dan menyelesaikan masalah itu.  Itupun jika anaknya tidak apa-apa.  Kalau anaknya meninggal, lain pula tindakan yang akan diambilnya.
            “Qis pun terfikir macam itu.  Budak-budak ni ambil tindakan tidak fikirkan masa hadapan sendiri.  Kalau sudah ditangkap, jadi kes polis, ditahan di penjara.  Habislah masa hadapan mereka.  Itupun kalau tidak dihukum gantung.”  Puan Balqis mengeluh.
            “Entahlah, tak tahu nak salahkan siapa?  Diri sendiri atau kedua orang tua mereka.”  YB Bakri mengerling sekali pada wajah anaknya.  Mata terbuka.  Memandang ke arahnya seperti hendak memberitahu sesuatu.  YB Bakri mendekati anak bujangnya yang terlantar di atas katil,  masih lemah.  Doktor telah pun membuka bantuan alat pernafasan yang dipasang sebelum ini.  Mata Saiful Bakri mengikut langkah ayahnya.  Ingin memberitahu sesuatu tetapi mulutnya bagaikan lemah tidak mampu dibuka.  Hanya matanya sahaja yang mampu berbicara.
            Puan Sara, Encik Ismail, Lutfi dan Siti Effa melangkah masuk ke perkarangan hospital.  Mereka terus ke wad tempat Saiful Bakri dirawat.  Langkah diatur laju. Biar cepat sampai, biar selesai segala masalah.  Itulah harapan kedua suami isteri itu.  Keadaan Siti Effa yang masih dalam pantang juga merisaukan Puan Sara.  Selepas ini mereka hendak melihat bayi yang dilahirkan oleh Siti Effa.  Pihak hospital juga sudah dimaklumkan akan kehadiran mereka oleh pihak sekolah. Nasib baik pihak sekolah dan pihak hospital memberi kerjasama yang baik kepada mereka.  Perkara itu tidak akan dilaporkan kepada pihak polis.  Mereka tidak mahu memalukan individu terbabit dan juga pihak sekolah.  Lagi pun bayi itu selamat dan keluarga bayi tersebut mahu bertanggungjawab.
            Kehadiran keluarga itu  benar-benar memeranjatkan YB Bakri dan Puan Balqis.  Mata mereka saling  berpandangan. Wajah masing-masing serius.  Saiful Bakri menitiskan air mata sebaik sahaja melihat wajah Siti Effa dan Lutfi.  Puan Sara terkejut melihat keadaan Saiful Bakri.  Apa lagi yang mampu dia katakan.  Keadaan sudah berlaku.  Kerana perbuatan anak lelakinya, anak orang lain terlantar di hospital.  Untung tidak terjadi perkara yang tidak diingini. 
            Siti Effa hanya memandang  wajah Saiful Bakri sekali imbas sahaja.  Hatinya masih sakit lantaran  penolakan Saiful Bakri terhadap diri dan bayinya.  Baginya pelajar itu terlalu angkuh dan sombong.  Mementingkan diri sendiri.  Sama-sama suka, bila sudah terjadi  perkara di luar  perancangan mereka.  Salah diri sendiri.  Tidak guna menyalahkan orang lain.  Kalaulah dia tidak mengikut hawa nafsu perkara ini pasti tidak akan berlaku.  Sudah tentu sekarang ini dia sedang bergelak ketawa dengan kawan-kawan di sekolah.  Tentu sekarang ini dia sedang mentelaah pelajaran sambil mendengar guru-gurunya mengajar.  Rasa mahu sahaja dia menjerit dan memaki diri sendiri.  Betapa bodohnya dia.
            Lutfi  melihat wajah Saiful Bakri.  Padan muka dia.  Lain kali dia beringat kalau nak rosakkan anak dara orang.  Jangan hendak main jamah  sahaja tanpa memikirkan kesannya.  Inilah padahnya.   Agaknya pelajar itu ingat keluarga dia akan mendiamkan diri sahaja?  Tidak mungkin! Ini melibatkan maruah keluarganya.  Masa hadapan adiknya.  Tidak pasal-pasal ada anak diusia yang muda.  Untung keluarganya ingin bertanggungjawab.  Bagaimana kalau bayi itu dibuang  atau meninggal?  Siapa yang akan dipertanggungjawabkan?  Sudah tentulah adiknya.  Pelajar lelaki itu akan lepas tangan sahaja.  Terlepas dan bebas.  Biarpun tindakannya salah, itulah balasan bagi orang yang kejam seperti Saiful Bakri.
            “Saya  Ismail, ini isteri saya Sara, anak saya Siti Effa dan Lutfi,”  Encik Ismail memperkenalkan diri dan keluarganya.
            “YB Bakri dan ini isteri saya, Balqis.  Itu anak saya Saiful,”  YB Bakri juga memperkenalkan ahli keluarganya.
            “Boleh kita bercakap sebentar?”  pinta Encik Ismail.  YB Bakri memandang wajah isterinya.  Mereka melangkah ke ruangan yang dikhaskan untuk pelawat.  Di situ lebih  selesa untuk berbincang.  Mereka duduk sofa saling memandang antara satu sama lain. 
            “Apa halnya?  Macam penting sahaja?”  YB Bakri tersenyum. 
            “Begini, YB,”  Encik Ismail memulakan bicara.   Menceritakan apa yang terjadi dan berlaku.  Dari mula Siti Effa mengenali Saiful Bakri sehinggalah anak gadisnya itu melahirkan anak.  Siapa yang memukul Saiful Bakri juga terbongkar.  Terkejut YB Bakri dan  Puan Balqis.  Terdiam mereka seketika.  Tidak tahu hendak berkata apa-apa.  Tidak pernah terlintas di hati mereka, anak bujang mereka sanggup melakukan perkara  terkutuk itu.  Sanggup melakukan zina sehingga  ada anak hasil hubungan haram itu.  Dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengarinya.  Kalau tidak memikirkan keadaan Saiful Bakri yang sakit dan masih lemah tentu dia sudah memaksa anaknya itu bercakap perkara yang benar.
            “Tak mungkin?”  Puan Balqis menggelengkan kepala. 
            “Saya pun tidak mahu  menuduh tanpa bukti Puan Balqis,  kita boleh buat ujian DNA untuk membuktikan bahawa bayi itu adalah milik Saiful.”  Encik Ismail memandang wajah kedua suami isteri itu silih berganti.  Siapalah yang hendak percaya, jika di hadapan orang tua, anak itu pijak semut pun tak mati.
            “Di mana bayi itu?”  tanya YB Bakri.
            “Ada di hospital ini.”  Sampuk Puan Sara. Siti  Effa hanya menunduk.  Tidak mahu masuk campur perbincangan orang tuanya dengan orang tua Saiful Bakri.
            “Saya juga ingin memohon maaf bagi pihak anak lelaki saya kerana memukul Saiful sehingga koma.  Saya harap YB dan puan sekeluarga faham kenapa anak lelaki yang bertindak begitu.  Siapa yang tidak marah jika  lelaki yang merosakkan  adiknya tidak mahu bertanggungjawab.  Ini melibatkan maruah dan harga diri kami YB, puan,”  Encik Ismail menunduk seketika.  Dia sebak.  Dia benar-benar malu dengan apa yang terjadi.  Tebal mukanya menghadap orang tua Saiful Bakri.
            “Untung anak saya tidak mati, kalau tidak,”  YB Bakri menjeling tajam ke arah Lutfi yang juga menunduk memandang kaki sendiri. 
            “Maafkanlah khilaf anak saya.  Lagi pun anak tuan selamat.  Keadaannya pun semakin pulih.  Masalahnya anak gadisnya lebih parah lagi.
            “Saya nak anak YB bertanggungjawab terhadap anak gadis saya,  kita selesaikan dengan baik.  Bayi itu kami akan bela.  Biar bagaimanapun, bayi itu tetap cucu kita.  Anak kepada anak-anak kita.”  Kata Encik Ismail.  YB Bakri terdiam.  Malunya.  Apa kata musuh politiknya nanti?  Di mana dia hendak letak muka. 
            “Kalau YB merasa malu?  Kami juga malu, maruah anak gadis kami sudah tercemar.”  Puan Sara mengerling. 
            “Ya ALLAH, saya tak mampu nak kata apa-apa.  Sukar untuk saya percaya?” Puan Balqis menekup mulutnya.   Kotak fikiranya kosong. 
            “Kami tidak minta apa-apa YB, puan.  Tolonglah, kita sama-sama bertanggunjawab atas apa yang berlaku.  Saya tidak mahu memaksa, tetapi saya pinta YB fikirkanlah perkara ini.  Saya tahu mereka masih muda tapi nak buat macam mana?  Kalau YB tak nak bela bayi itupun tak apalah.  Kami akan bela bayi itu.   Kalau orang bercakap pun, apa daya kita.  Nasi sudah menjadi bubur.  Bangkai gajah bukan boleh tutup, lama-lama terbau juga busuknya.
            “Nak minta mereka berkahwin ke?”  YB Bakri mengerutkan dahi.
            “Kami belum fikir sehingga ke situ, kami cuma mahu  keluarga YB sama-sama bertanggungjawab.  Saiful juga harus bertanggungjawab.”  Harap Encik Ismail.  YB Bakri mengeluh kesal.
            “Tak apalah, nanti saya akan fikirkan hal itu dengan isteri saya.  Maaf daripada saya.  Saya tak sangka anak saya akan terlanjur  sehingga  melahirkan anak,”  YB Bakri menunduk.  Malu dan marah bercampur baur. 
            “Anak kita bang?”  Puan Balqis meraup wajahnya sendiri.  Pening kepala dan sakit hati.  Apa kata jiran tetangga?  Apa kata kawan-kawan, kenalan dan saudara-mara.  Semua ini adalah beban.  Beban yang memalukan.  Suaminya seorang ahli politik, anak pula mencemar maruah diri dan keluarga.  Nanti senang-senang sahaja mereka buat cerita dan provokasi untuk menjatuhkan suaminya.    
            “Kita nak buat macam mana Qis?  Apa pun kita buat ujian DNA, untuk pengesahan.”  Cadang YB Bakri.
            “Semoga Saiful cepat sembuh.  Kita sudah cuba mendidik anak kita dengan cara terbaik, tapi apa boleh buat?  Semua ini ujian untuk kita YB.  Saya sendiri terkejut mendengar perkhabaran ini.  Hancur hati saya, tapi apa boleh kita buat.  Budak-budak ini bukan hendak mendengar nasihat kita.  Ikut nafsu dan kata-kata sendiri.  Bertindak tidak menggunakan akal.  Kononnya, ikut peredaran zaman.  Zaman apa? Saya sendiri tidak faham, apa yang ada dalam fikiran mereka?”  keluh Encik Ismail.
            “YB, puan…  saya memohon maaf.  Saya tahu salah saya kerana bertindak mengikut nafsu.  Maafkan saya kerana telah memukul Saiful.”  Lutfi meletakkan tangan di dada kanannya dan sedikit menunduk.
            “Lain kali sebelum bertindak, fikirkanlah sejenak atas tindakan kita itu, ya.  Saya boleh maafkan awak, tapi mahukah awak berjanji dengan saya  tidak akan melakukan perbuatan ini lagi?  Nasib baik anak saya tidak mati, kalau tidak tentu awak akan ke tali gantung.”  Kata YB Bakri.  Lutfi  mengangguk dan mengaku kesilapan diri sendiri.  Waktu memukul Saiful langsung tidak terlintas di hatinya bahawa tindakannya itu merbahayakan dirinya dan juga orang yang dipukul.  Malah keluarga mereka juga  terbabit sama. 
            Hasil perbincangan, mereka bersetuju untuk sama-sama membela bayi tersebut, itupun setelah membuat ujian DNA.  Siti Effa dan Saiful Bakri akan dikahwinkan setelah mereka menamatkan pelajaran.  Encik Ismail menarik nafas lega.  Semoga apa yang berlaku memberi pengajaran kepada anak-anaknya.  Semoga Saiful Bakri juga insaf dan tidak mengulanginya lagi.  Lelaki dilahirkan untuk menjadi pelindung wanita atau kaum perempuan bukan merosakkan mereka. 
            YB Bakri juga menarik nafas lega.  Tahulah dia kenapa anaknya dipukul sehingga koma.  Inilah balasannya bagi orang yang hanya tahu mengikut nafsu.  Balasan sudah diterima oleh anaknya atas khilaf sendiri.   Semoga anaknya insaf dan bertaubat atas dosa-dosanya.  Pintu taubat terbuka luas.
            Puan Sara dan Puan Balqis saling berpelukan.  Hanya air mata yang berbicara.  Apa yang ada di dalam hati mereka hanya ALLAH jua yang tahu.   Biar hati mereka kecewa dan hancur kerana anak-anak tetapi tidaklah sampai membenci darah daging sendiri.  Kalaulah anak-anak tahu perasaan hati  mereka.  Bukan kekayaan yang dipinta daripada anak-anak untuk membalas jasa mereka, cukuplah menjadi seorang anak yang baik, dengar kata orang tua, tidak melakukan perkara yang mungkar sehingga mengundang murka ALLAH SWT.  Perjalanan hidup manusia bukan sahaja di dunia malah ada kehidupan lain yang menunggu selepas meninggal nanti.  Dunia  yang kekal abadi. 

No comments:

Post a Comment