AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 3 November 2017

KAMI TIDAK BERSALAH - BAB 23 ( TERAKHIR)



Surat yang diterima daripada Siti Effa dilipat kemas dan disimpan ke dalam laci.  Cikgu Azmira mengeluh.  Benarkan cinta itu buta atau pun mereka yang bercinta itu buta sehingga tidak tahu membezakan buruk dan baik?  Jawapan hanya  ada pada mereka yang bercinta.  Bagi Cikgu Azmira, tidak salah bercinta tetapi biarlah di atas landasan yang betul.  Dalam Islam tiada cinta sebelum perkahwinan atau ijab dan kabul.  Tiada hubungan lelaki dan perempuan tanpa ikatan yang sah.  Namun kerana  mengikut peredaran zaman percampuran lelaki dan perempuan tiada sekatan lagi.  Semuanya atas tiket kebebasan. 
            Kebebasan jika betul caranya tidak salah, tetapi kebebasan mengikut hawa nafsu  itulah yang salah.   Seperti kes Siti Effa dan Saiful Bakri.  Kesannya bukan kepada mereka berdua tetapi keluarga juga terpalit dengan dosa-dosa mereka.  Syukurlah  kedua keluarga mahu bertanggungjawab.  Tidak seperti kes yang sering terpapar di dada akhbar apabila gadis yang terlanjur takut dengan tindakan keluarga  mereka maka jalan singkat akan diambil, anak itu akan dibuang atau dibunuh.  Sudahlah melakukan dosa zina, selepas itu sanggup jadi pembunuh pula. 
            Sudah puas di dada akhbar menyiarkan kisah seperti itu.  Namun masih juga berlaku kes pembuangan anak dan hubungan intim sebelum nikah.  Bila manusia tidak kenal Tuhannya, perasaan takut dengan apa yang dilakukan sedikit pun tiada.  Jika perasaan hormat dan sayangkan keluarga tidak ada dalam diri, maka berlakukan hubungan terlarang.  Perasaan malu sudah hilang, diri lebih rela tunduk dan patuh pada hawa nafsu yang menjolok mereka untuk melakukannya.  Apabila sudah berbadan dua, takut diketahui orang dan keluarga, maka berlakulah pembuangan bayi atau pengguguran.  Sah-sah yang menerima kesan paling parah adalah kaum hawa.  Jika lelaki tersebut mahu bertanggungjawab, tidak mengapa.  Jika tidak kaum hawa akan menanggung malu dan maruah diri yang tercalar sehingga ke akhir hayat mereka. Cikgu Azmira mengeluh.  Dia menyusun fail-fail mengenai kes yang sedang dia siasat.  Dia bingkas bangun.  Fail-fail tadi dipeluk erat.  Pintu bilik kaunseling dikunci dan dia terus ke bilik mesyuarat.
            Bilik mesyuarat sudah dipenuhi oleh guru-guru Sekolan Menengah Kebangsaan Bentan Jaya.  Masing-masing membawa laporan tentang sekolah dan aktiviti mereka samada persatuan atau kelab.  Begitu juga laporan tentang perkembangan para pelajar.  Cikgu Azmira meneliti seketika failnya.  Semuanya sudah lengkap.  Misinya sudah terpenuhi.  Dia tersenyum bangga.  Bukan bangga kepada dirinya sendiri tetapi bangga kerana kesnya selesai atas bantuan anak-anak muridnya sendiri.
            “Hari ini adalah hari terakhir Cikgu Azmira berada bersama kita.   Sebagai pengetua sekolah ini, saya mengucapkan jutaan terima kasih atas kerjasama cikgu sepanjang menjadi pendidik di sini.  Semoga cikgu berjaya dalam apa jua bidang yang cikgu ceburi.”  Cikgu Rahman memulakan mesyuarat dengan memberi pengumuman tentang pemberhentian Cikgu Azmira mengajar di sekolah itu.  Semua guru-guru terkejut.  Mereka mula bercakap sesama sendiri.
            “Beri perhatian, kes yang sedang kita hadapi juga sudah selesai dengan jayanya.  Saiful Bakri juga sudah semakin sembuh.  YB Bakri juga telah memohon maaf atas kekasarannya tempohari.  Malah dia berbangga atas usaha kita yang bersungguh-sungguh menyelesaikan kes anaknya.” Sambung Cikgu Rahman lagi.  Guru-guru tersenyum bangga malah ada yang mengucapkan syukur kepada ALLAH.
            “Cikgu Azmira ada apa-apa yang cikgu nak katakan?” Cikgu Rahman memandang guru muda itu.  Cikgu Azmira menunduk. 
            “Saya ucapkan terima kasih kepada pihak sekolah kerana telah memberi sepenuh kepercayaan kepada saya untuk duduk sebagai tenaga pengajar dan juga guru kaunseling di sekolah ini.  Semoga saya akan kembali ke sekolah ini, satu hari nanti.  Ini ada cadangan saya.  Saya memohon jasa baik pihak sekolah untuk melantik Johan sebagai ketua pelajar.  Saya tahu pelajar ini ada masa hadapan yang cerah, malah dia mampu menjalankan tugasnya sebagai ketua pelajar.  Faiz dan Khairul dilantik menjadi pengawas.”  Cikgu Azmira memandang wajah guru-guru yang berada di dalam bilik tersebut.  Ada yang mengangguk, tidak kurang juga yang menggelengkan kepala, bagaikan tidak setuju.
            “Cikgu dah hilang akal ke?”  tanya Cikgu Jefri.  Dia kurang setuju.  Atas alasan apa pelajar yang sering melanggar disiplin sekolah ingin dilantik menjadi ketua pelajar?  Bagaikan tidak masuk akal.
            “Saya ada sebab-sebab saya sendiri, cikgu.  Pelajar seperti Johan adalah calon yang paling sesuai sebab komitmen dia mencegah maksiat dan disiplin pelajar di sekolah ini.  Kita cuba dahulu selama tiga bulan.  Tengok perkembangannya.  Kalau sesuai dan dia mampu menjalankan tugas dengan baik, tidak salah kita mencuba.  Kalau sebaliknya, kita boleh lucutkan jawatannya.  Kita beri mereka peluang untuk membuktikan kebolehan mereka, bagaimana?”  Cikgu Azmira menikam tajam ke mata Cikgu Jefri.
            “Saya tidak mahu berkata apa-apa.  Terserah pada pihak pentadbiran,”  kata Cikgu Jefri sambil memusing-musingkan pen di jarinya.  
            “Bagaimana cikgu-cikgu yang lain?”  tanya Cikgu Azmira.  Matanya masih lagi memandang ke arah mereka. 
            “Kalau  dia calon yang sesuai, kenapa kita tidak cuba dulu.  Lagi pun tidak rugi apa-apapun.  Mana tahu dia lebih bagus?”  kata salah seorang guru yang turut berada di dalam bilik tersebut. 
            “Okey, siapa setuju sila angkat tangan,”  kata Cikgu Rahman.  Undian secara demokrasi seperti itu lebih baik.  Bukan paksaan.  Ramai yang mengangkat tangan. 
            “Siapa yang tidak bersetuju,”  Cikgu Rahman menunggu reaksi mereka.  Tiada siapa yang mengangkat tangan.
            “Berkecuali.”  Cikgu Rahman  memandang ke arah Cikgu Jefri.
            “Saya berkecuali, cikgu,”  kata Cikgu Jefri.  Cikgu Azmira mengeluh.  Degil sungguh guru yang seorang ini.  Mana boleh membenci pelajar sendiri.  Nanti mereka tidak hormat pula.
            “Berilah pelajar itu peluang, cikgu,”  kata Cikgu Azmira.  Cikgu Jefri mencebik.  Cikgu Azmira menjeling.  Sombonglah pula. 
            “Kalau macam itu, satu surat perlantikan akan dibuat.  Kita akan lantik Johan sebagai ketua pelajar dan kedua kawan-kawannya dilantik sebagai pengawas.  Saya harap Cikgu Jefri boleh ambil tindakan tersebut dan buat laporan  susulan nanti.”   Arah Cikgu Rahman.  Cikgu Jefri terdiam tidak terkata apa-apa.    Begitu juga guru-guru yang lain.  Walaupun kurang bersetuju, namun mereka akur. 

            Nur Diana menyandar di sofa sambil membaca majalah wanita keluaran  syarikat Karangkraf.  Leka membaca sehinggga ada yang  melangkah masuk pun dia tidak sedar.  Dia membelek dari satu muka surat ke satu muka surat.  Membaca dengan penuh minat.  Rumah teres dua tingkat itu dihias indah dan cantik.  Gambar seorang gadis berpakaian  uniform seorang anggota polis menghiasi dinding rumah.
            “Amboi, lekanya membaca?  Ayah masuk pun tak perasan?”  sapa seorang lelaki sambil duduk menghadap anak gadisnya.  Majalah diletakkan di atas meja kopi.  Nur Diana tersenyum manis.
            “Ayah, bukan tak perasan.  Buat-buat tak perasan,”  gelak Nur Diana
            “Bekas anak-anak murid kamu kirim salam.  Rindu sangat  mereka dengan kamu.  Sesekali kalau tak bertugas tu pergilah jengah.  Kalau setakat nak bagi kaunseling waktu cuti, ayah rasa tak salahkan?”  Cikgu Rahman merenung wajah anak gadisnya yang semakin meningkat dewasa, matang dan berkaliber.  Sesuai dengan jawapannya sebagai seorang pegawai polis di cawangan khas.  Sengaja dimasukkan bekerja di sekolah untuk memantau kegiatan gangster yang semakin menjadi-jadi dan kejadian buli yang tidak putus-putus.  Alhamdulillah segalanya sudah terkawal.  Pelajar yang nakal sudah mampu dijinakkan.
            “Sebulan dua ni sibuk sikitlah ayah.  Kena pergi ke sekolah lain pula.  Insya-ALLAH ada ruang dan masa pasti Mira singgah sekolah ayah tu.  Macam mana dengan Johan dan kawan-kawannya?  Dapatkah mereka menjalankan tanggungjawab mereka?  Cikgu Jefri pula, bagaimana?  Makin bencikah dia kepada Johan?”   Nur Diana ingin mengetahui perkembangan bekas pelajar-pelajarnya.  Dalam hati dia sentiasa berdoa agar mereka terus berjaya di dunia mahu pun akhirat.  Mereka bakal pemimpin masa hadapan.   Pemimpin yang ada semakin berumur dan generasi muda yang ada bakal menggantikan mereka.  Jika generasi muda yang ada ini terkontang-kanting hidupnya bagaimana mungkin mereka mampu menjadi  pemimpin yang baik, jujur dan bertanggungjawab.
            “Terima kasih ayah ucapkan kerana menjernihkan keadaan di sekolah ayah.  Tidak sia-sia idea Dian.  Kehadiran Dian sekurang-kurangnya  banyak perkara dapat diselesaikan.  Saiful Bakri pun dah sedar.  Siti Effa sudah kembali ke  sekolah.  Johan, Khairul dan Faiz mampu menjaga ketenteraman sekolah dengan baik.  Kejadian buli juga sudah  berkurangan.  Kes pelajar ponteng sekolah juga sudah tiada.  Kalau ada pun hanya satu dua kes sahaja.  Semuanya diuruskan dengan baik oleh Johan dan pengawas-pengawas yang lain.  Alhamdulillah.  Guru-guru pun semakin ceria bekerja kerana anak-anak murid memberi kerjasama yang baik sewaktu dalam kelas.”  Cerita Cikgu Rahman panjang lebar.  Nur Diana mendengar dengan penuh minat.  Dalam hati dia berbangga kerana  anggapannya terhadap Johan adalah benar.  Pelajar itu seorang pelajar yang baik.  Cuma keadaan telah mengubah dirinya menjadi sebaliknya.
            “Semoga anak-anak murid ayah akan berjaya di dunia dan akhirat.”  Doa Nur Diana.
            “Amin…  itulah harapan kami dan harapan orang tua mereka juga Dian.   Ibu dan ayah mana nak tengok anak mereka jadi samseng, gagal dalam pelajaran,  Tak ada? Semua ibu bapa hendak anak-anak mereka berjaya di dunia mahu pun akhirat.  Begitu juga harapan ayah sebagai orang tua.  Sebut pasal anak-anak.  Ayah teringin nak tengok anak ayah naik pelamin, takkan tak ada seorang pun anggota polis di luar sana minat dengan anak ayah ni?” sempat pula mengusik anak gadisnya.  Nur Diana mencebik.
            “Ayah mulalah tu.  Dian masih muda, ayah.  Biarlah dulu.  Sampai serunya, kahwin juga anak ayah ni,”  Nur Diana menyengih.  Cikgu Rahman menggelengkan kepala.  Degil, kalau sebut soal kahwin ada sahaja alasannya. Semoga anaknya juga berjaya menjalan tugas sebagai seorang anggota polis yang baik, jujur dan bertanggungjawab.
            Cikgu Rahman tersenyum lega.  Segala masalah selesai dengan baik.  Bayi yang dilahirkan oleh Siti Effa pun sudah diambil oleh keluarga Siti Effa untuk dijaga.  Keluarga Saiful Bakri juga menerima kehadiran bayi tersebut dengan baik.  Hubungan kedua keluarga juga semakin baik.  Malah semakin rapat lantaran kehadiran bayi itu.  Saiful Bakri sudah insaf dan menerima Siti Effa serta anaknya.  Lutfi pula tidak disabitkan apa-apa kesalahan.  YB Bakri tidak mahu memanjangkan perkara tersebut.    Untuk menanam minat belajar di kalangan pelajar yang malas dan sering ponteng kelas, mereka di asingkan daripada pelajar lain.  Mereka diberi kaunseling dan  kesedaran serta motivasi agar mereka sedar betapa pentingnya pelajaran untuk masa depan mereka.   Syukur kepada ILAHI segala masalah  sudah berlalu pergi.  Lembaran baharu pula dibuka untuk melihat anak-anak muridnya berjaya.
           

No comments:

Post a Comment