AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 29 December 2017

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGA - BAB 61



Di bawah sepohon pokok yang besar, di tepi jalan besar  menuju masuk ke sebuah taman perumahan yang besar, pelbagai jenis rumah ada di situ.  Banglo, semi-d, teres dua tingkat dan apartment.  Dari kejauhan sekaki payung besar, terbuka luas, tiga meja memanjang bersusun lauk-pauk beraneka jenis.  Satu pelas penuh nasi lemak dan satu pelas penuh nasi putih berdiri teguh di atas kerusi kayu.  Kuih-muih beraneka jenis bersusun kemas dan bersih.  Bertutup rapi semua makanan yang nak dijual.  Seorang gadis berapron, bertudung, berseluar panjang sedang asyik dan ramah melayan para pelanggannya. Dilayan dengan sabar, biarpun berbagai kerenah. 
            Kain tuala ‘selamat pagi’ kemas di lehernya. Buat mengelap peluh yang menitis disirami cahaya matahari pagi.  Tubuhnya yang kecil tidak menghalangnya untuk pantas dan kuat bekerja.  Kulitnya yang hitam manis tidak menghalangnya berdiri menghadapi kepanasan matahari yang memancar terik.
            Seorang demi seorang, pelanggan datang dan pergi.  Senyuman tidak pernah lekang di bibirnya.  Disapa, dilayan, ditegur dengan ramah sekali.  Bertolak ansur jika pelanggan yang datang tidak membawa duit yang  cukup.  Sikapnya begitu disenangi. Kehadirannya memudahkan para penduduk untuk menjamu selera.    Sesekali berhenti meneguk air kosong yang dibawa bersama, bagi menghilangkan rasa haus di tekaknya.
            “Dik, tepung talam gandum ada lagi tak?” sapa seorang lelaki yang berkopiah, berkain pelikat dan berbaju Melayu, memandang barisan lauk-pauk yang tinggal sedikit.  Bekas-bekas plastik sudah bersusun kemas diletakkan di meja yang telah siap berkemas. 
            “Maaflah encik, dah habis.  Dah tengahari, selalunya dalam pukul 9.00 pagi lagi, kuih-muih dah habis,” jelas Rose, senyuman masih terlakar kemas. Dahinya berkerut.  Baharu pukul 11.30 pagi, takkan sudah nak ke masjid?  Atau baharu balik dari masjid?  Persoalan yang tidak perlu ditanya kepada dirinya sendiri.
            “Selalunya saya beli  awal, hari ini ada jiran saya yang meninggal, jadi sibuk menguruskan apa yang perlu, sampai terlupa nak datang beli kuih talam tu.  Boleh tak, esok simpankan untuk saya dalam RM2.00.  Emak saya suka sangat, katanya sedap dan lembut,”  puji lelaki itu.
            “Ooo…  terima kasih.  Tak apa, esok saya simpankan untuk encik. Erk… untuk emak encik. Hari ini maaflah sangat-sangat ya,” ujar Rose.  Matanya masih lagi memandang wajah lelaki itu.  Bersih, dan kemas penampilannya.  Macam orang besar-besar.  Siapa pun lelaki itu tiada kena mengena dengannya, hanya pelanggan yang sudi menjamah dan membayar air tangannya.
            “Kalau begitu, bagi ayam sambal tu tiga ketul,”  pinta lelaki itu.
            “Buat makan tengahari ke encik?” tanya Rose mesra.
            “Emak saya suka sangat.  Berselera dia makan nasi, kalau makan ayam sambal ni, saya beli lebih untuk lauk tengahari dan malam nanti.” Mesra lelaki itu bercerita. 
            “Hah?  Sedap sangat ke masakan saya?  Saya rasa biasa saja. Taklah sedap sangat,” kata Rose merendah diri.
            “Mungkin sesuai dengan tekak emak saya,” jawab lelaki itu sambil tersenyum.
            “Ini ayamnya encik.  Terima kasih ya.” Duit bertukar tangan.
                “Esok jangan lupa simpankan kuih talam tu ya?”  pesan lelaki itu sebelum melangkah pergi.
            Rose memerhatikan sahaja.  Kereta Toyota-Hilux  yang dinaiki lelaki itu meluncur perlahan meninggalkan tapak tempat dia berniaga.  Dia menarik nafas puas kerana ada juga pelanggan yang kemaruk dengan masakannya.  Senyuman terukir di bibirnya.
            “Kak, nasi lauk ayam sambal tiga bungkus,” minta seorang pelajar lelaki yang berbaju sekolah.  Nak ke sekolah atau baharu balik.
            “Nak ke sekolah atau nak balik rumah?” tanya Rose sambil membungkus pesanan pelajar itu.
            “Nak ke sekolahlah kak…” jawab pelajar lelaki itu.
                “Beli banyak-banyak ni, siapa makan?  Sendiri makan ke?”  Rose memerhati tubuh pelajar itu.  Tidaklah besar mana, takkan kuat makan?
            “Agak-agaklah kak… kawan-kawan pesan lepas merasa nasi yang saya beli  kelmarin,”  jelas pelajar itu. 
            “Wah! Promosi yang baik ni dik!  Beli dua, percuma satu, akak belanja.  Nanti promosi lagi kat cikgu dan kawan-kawan pula.  Akak nak cepat kaya, nak jadi jutawan!” gurau Rose, tetapi tentang satu bungkus percuma itu tidaklah dia bergurau.
            “WOW! Jimat duit saya hari ni, terima kasih kak.  Boleh saja kak. Nanti saya promosikan lagi masakan akak yang sedap sehingga menjilat jari ni ya,”  kata pelajar lelaki itu riang.  Tiga bungkus nasi putih berlauk sambal ayam dan duit RM10.00 bertukar tangan.  Sebungkus nasi putih ayam goreng hanya RM3.00 sebungkus.  Rose memulangkan baki duit tadi.
            “Terima kasih dik, jangan lupa datang lagi ya?” 
            “Orait kak! Hari-hari saya datang!” pelajar itu melambai dan berlalu dengan menunggang basikal. Terdapat sebuah sekolah rendah dan menengah beberapa kilometer dari tempat dia berniaga.  Dia tersenyum puas, benar-benar puas.  Tidak sia-sia dia mengutip ilmu di Restoran Selera Melayu, mengenang restoran itu membuatkan hatinya terhiris luka.   Kalau boleh dia tidak mahu mengenangkan hal itu lagi. Biarlah menjadi lipatan sejarah yang tidak perlu diungkit lagi.  Tidak perlu dibuat buku atau dikenang.  Biarlah dia melupakan terus kejadian itu.  Kejadian yang menghancurkan hati dan perasaan kedua orang tuanya. Kejadian yang telah membunuh kepercayaannya terhadap seorang lelaki.  Rela membujang sehingga ke akhir hayat.   Tidak perlu menagih kasih sesiapa.
             Dia selesa  begini, sendirian hidup, berniaga kecil-kecilan untuk menyara diri sendiri dan jika ada duit lebih keluarga di kampung tidak akan dilupakan.  Sebulan sekali dia akan menjengah orang tuanya di kampung.  Selalunya dia akan pulang di waktu malam, dan balik ke Kuala Lumpur juga di waktu malam, tidak mahu bertembung dengan jiran-jiran sekampung.  Biarpun kejadian itu  sudah lama berlalu, tetapi kisah itu masih dikenang oleh orang kampung.
            Dia mula berniaga usai solat subuh sehingga stok masih ada, selalunya pukul 12.00 tengahari dia sudah mengemas meja dan barang-barang perniagannya.  Dia membeli sebuah van kecil untuk memudahkan dia bergerak dari rumah ke tempat perniagaannya.  Tidak kisahlah walaupun hanya di tepi jalan.  Asalkan halal dan tidak mengganggu orang lain.
            Setiap hari dia akan ke pasar sebelum balik ke rumah.  Membeli barang keperluan untuk berniaga esok pula.  Berehat seketika, mandi dan solat.  Selepas itu dia akan menyiang, membersihkan semua barang-barang yang dibeli tadi.  Malam nanti usai solat isyak dia akan mula memasak lauk-pauk dan kuih-muih mengikut menu pilihannya sendiri.  Zaiton akan ringan tulang membantunya.  Jam 4.30 pagi esoknya, dia akan bangun menanak nasi pula.  Semua barangan kelengkapan untuk dia berniaga, dibeli sedikit demi sedikit.  Penuhlah rumah sewanya dengan peralatan perniagaannya.  Namun, dia pastikan semua barang-barang itu tersusun kemas dan rumah sentiasa bersih.  Kalau tidak mengamuklah Zaiton nanti.
            Makan malam sudah siap terhidang.  Zaiton menyengih. Sejak sahabatnya itu berniaga, makan-minumnya sempurna.  Duitnya tersimpan kemas.  Siap boleh bawa bekal lagi. Malah rakan-rakan sepejabat juga sering memesan nasi lemak dan kuih-muih air tangan Rose.  Kalaulah dari awal dia ambil bidang masakan, sudah tentu sekarang ini, sahabatnya itu sudah mempunyai restoran  sendiri.
            “Esok cuti. Aku ikut kau ya?”  pinta Zaiton.  Nasi berlauk masak lemak cili api sotong sedap di tekaknya. Memang superblah!  Hebat sungguh Rose sejak tidak jadi berkahwin.  Alhamdulillah, semangatnya tidak lemah walaupun diuji dengan ujian yang amat dasyat.  Bukan semua orang mampu menghadapinya.
            “Macam biasalah.  Nanti aku bayarlah gaji kau jadi pembantu aku,” kata  Rose riang.
            “Aku rasa, baik kita buka restoran,  kau sendiri dah ada pelanggan tetap.  Aku pun rasa seronok pula membantu kau.  Teringin pula nak buka perniagaan sendiri.  Apa kata kau?” Zaiton menghabiskan nasi dan sotong yang berbaki.
            “Molek cadangan kau tu.  Biar aku kumpul modal dulu, aku tak nak buat pinjaman. Nanti susah kita nak bayar kalau ada masalah dengan perniagaan kita,” jelas Rose. Dia tidak mahu berhutang untuk memulakan perniagaan.  Biarlah berdikit-dikit dahulu. 
            “Seronoknya! Tak sabar rasanya, dah ada yang menjadi pelanggan tetap kau ke?” tanya Zaiton.
            “Alhamdulillah… pembeli baharu pun ada,” cerita Rose.
            “Syukur Alhamdulillah… kau memang tabah dan kuat,”  akui Zaiton.
            “Kalau aku tak kuat dan tidak tabah.  Agak-agak kau, aku akan jadi apa?”  Rose mengeluh. Kenangan silam terlalu sakit untuk dikenang.  Perkahwinan Haikal pun dia tidak pergi.  Tentu sahabatnya itu berkecil hati sehingga ke hari ini tidak menghubunginya.  Dia tidak mahu lagi berasa atau berkecil hati dengan sikap manusia. Biarlah.  Kehidupan harus diteruskan.  Semoga ALLAH SWT sentiasa berada di sisinya setiap masa dan setiap waktu.  Itulah kekuatannya.  Setiap hari dia tidak pernah lupa bertahajud dan solat hajat agar diberi petunjuk dan hidayah.
            Zaiton terdiam.  Tidak mahu lagi mengenangkan kejadian dahulu. 
            “Maafkan aku kerana buat kau terkenangkan kisah silam,” ucap Zaiton.
            “Tak mengapalah Ton, aku dah lupakan semuanya.”  Rose tersenyum panjang.  Biarlah luka semalam membawa kejayaan dalam hidupnya hari ini.

No comments:

Post a Comment