AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 29 December 2017

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS- BAB 60



Dia masih belum memikirkan apa yang harus dia lakukan untuk meneruskan kehidupan.  Sudah empat hari berlalu.  Dia sudah pun kembali ke rumah sewanya.  Tidak sanggup berlama di kampung. Kata-kata kejian, hinaan dan nista daripada segelintir orang kampung menghiris hatinya. Rasa seperti ditusuk jauh ke dalam jantungnya.   Dia juga tidak bekerja.  Tidak tahu kerja seperti mana yang sesuai untuknya.  Tidaklah nak jadi tukang cuci atau tukang sapu di tepi jalan.  Bukan dia tidak berpelajaran.  Tidak mungkin, dunia ini hanya untuk orang yang  cantik-cantik dan berketerampilan menarik.  Takkanlah ALLAH itu kejam kepada hamba-hambaNYA.  Tidak mungkin!  Rose mengeluh lagi.

            Dia ke dapur.  Apa yang ingin dilakukan bagi mengisi masa lapangnya? Kalau duduk sahaja dia akan memikirkan kejadian yang berlaku, tercari-cari kesalahan sendiri yang membuatkan tunangnya itu melarikan diri.  Apa salahnya?  Mungkin, dia terlalu berangan-angan tinggi inginkan suami yang kacak bergaya.  Dasar tidak sedar diri!  Tengoklah diri itu dahulu sebelum  bersetuju.  Kan sudah malu seluruh ahli keluarganya menjadi umpatan orang.  Air matanya mengalir lagi.  Dia bukan menangis kerana tidak dapat berkahwin, tetapi dia mennangis kerana telah menghancurkan maruah keluarganya. 
Pilu rasa hati.  Sakit, marah dan geram. Dia geram, kerana keluarganya yang tidak berdosa menjadi mangsa.  Marah, kerana maruah keluarganya diinjak-injak tampa belas kasihan.  Kenapa Joe tergamak menghina dirinya sampai begitu sekali. Menitis manik jernih membasahi pipinya.    Kenapa hati manusia tidak mahu bersih, bersangka baik, dan tidak mengata orang lain.  Bukankah mengadu domba itu bagaikan makan daging  saudara sendiri?  Cubalah makan daging mentah, nak tahu bagaimana rasanya makan daging saudara sendiri. 

            Rose menangis pilu.  Mengenangkan wajah kedua orang tuanya membuatkan air matanya mudah mengalir dan mengalir.  Rasa berdosa, bersalah bertali arus di hati.  Sesalan yang tidak terucap. Kalaulah dia tidak menerima kehadiran Joe dalam hidupnya, keluarganya tidak akan  merana, emaknya tidak akan menangis saban malam kerana terlalu malu. Ayah tidak akan berkurung di dalam rumah kerana maruah diri telah terjual dengan harga murah. Tiada GST! 

            Dia mengetap bibir.  Tidak guna berkurung dan menangisi nasib diri. Tidak sesekali menjadi seorang yang lemah dan tidak berdaya.  Kalah dengan dugaan ILAHI terhadapnya.  Dia perlu bangun, bangkit untuk berjaya.  Biar tidak kahwin sampai ke mati, dia reda.  Dia perlu bangun memperbaiki diri.  Dia akan sambung belajar semula.  Tidak sesekali membiarkan dirinya dipermainkan begini.  Maruah keluarganya akan dikembalikan.  Harga dirinya akan dipulihkan.    Air mata diseka dengan kasar.  Dia melangkah masuk ke dalam bilik, bersiap dan keluar mencari sesuatu. 

            Rose memandu keretanya menuju ke pusat membeli belah yang terdekat.    Dia membeli barang-barang keperluan dapur.  Buku masakan yang terjual juga disambar.  Benarlah kata orang, membeli-belah boleh mengurangkan tekanan.  Dia tertekan? Memang tertekan tetapi tidaklah sampai jadi nasi himpit.  Tepung naik sendiri, planta, gula castor, tepung gandum, agar-agar, apa sahaja yang ada, semuanya dibeli.  Oven, periuk kukus, Loyang dan beberapa lagi barang keperluan dibelinya.    Nak buat apa?  Dia tersenyum sumbing.  Mencabar diri sendiri, itulah yang akan dilakukannya. 

            Usai membayar harga barang, dia meninjau-ninjau  kawasan yang sesuai untuk memulakan kehidupan baharunya. Eh… taklah, bukan nak pindah rumah! Cuba teka, apa yang dia nak lakukan.  Dia tidak akan membiarkan orang memandang hina kepadanya.    Dia tidak  akan membiarkan dirinya kalah dalam permainan yang telah meragut maruahnya.  Rose memandu terus pulang ke rumah.  Barang-barang yang dibeli dibawa naik dan diletakkan di atas meja dapur.  Dia tersenyum sendiri. 

            Aktiviti bermula, apron sudah tersarung di tubuh.  Telur yang dibelinya tadi sudah dicuci bersih.  Buku masakan diselak satu persatu.  Buku masakan Jom masak kuih-muih, tulisan  Chef Nor Zailina Nordin menjadi pilihan. Kuih apa yang nak dibuat dahulu.    Koleh kacang, santan kotak ada, balun sahaja. Asalkan jadi. Dia ikut langkah demi langkah seperti yang ditunjukkan. Nasib baik alat penimbang sedia ada. Dia menimbang bahan-bahan yang diperlukan.  Tepung kacan hijau ditimbang mengikut jumlah yang tertulis. Tidak boleh salah, nanti tidak menjadi pula.  Cubaan pertama… cair? Mana silapnya?  Tidak mungkin tak menjadi.  Rose mengeluh.  Tidak pandai buat tahi minyak, hangus dibuatnya.  Habislah! Memang tidak ada bakat jadi tukang masak.

            “Tepung, tepung, kasihanlah kat aku, sudahlah ditinggalkan bakal suami, aku dah tak bekerja, kalau aku tak belajar buat kuih, aku nak makan macam mana?”  rengek Rose kepada tepung-tepung yang berlonggok di atas meja.

            “Jangan mengalah!” katanya kepada diri sendiri.  Sekali lagi kuih kole kacang dicuba.  Langkah demi langkah diikuti.  Nak buat tahi minyak, kali ini dia berjaga-jaga, menggunakan api yang kecil sahaja.  Percubaan kedua baharulah menjadi.  Tidak sempat tunggu sejuk, terus disudu masuk ke dalam mulut. Fuh! Sedap! Pujinya kepada diri sendiri.

            Azan zohor berkumandang membuatkan dia berhenti membuat kerja-kerja mencuba buku resepi yang ada.  Dia mandi dan bersolat dahulu, Dia menyerahkan diri kepada Yang Esa, biarlah dia jadi seperti Rabiatul Adawiyah yang tidak berkahwin sepanjang hayatnya.  Biarlah dia jadi wanita, pencinta dan kekasih ALLAH.  Dalam doanya, dia berharap nama keluarganya tidak lagi dicemar.  Semoga kedua orang tuanya terus kuat dan bersemangat. 

            Usai solat dan makan nasi yang dibelinya tadi. Dia menyambung kerjanya semula.  Kali ini dia akan buat tepung talam pula.  Nampak senang sahaja emaknya buat kuih-muih untuk sarapan dan minum petang.  Bila tiba giliran sendiri, baharu tahu.  Dia menimbang mengikut apa yang tercatit di dalam buku resepi yang ada.  Sukatan  diikut dengan betul dan tepat.  Rupanya memasak ini kena sabar dan buatnya dengan hati.  Kalau tidak pasti tidak menjadi.  Padanlah ada tukang masak kata, masak dengan kasih sayang, seperti mana seorang ibu memasak untuk anak-anaknya, dengan penuh kasih dan sayang.  Tiada satu pun yang senang dan mudah dalam hidup ini. 

            Dia memanaskan periuk kukus yang baharu dibeli.  Loyang bulat digunakan untuk membuat tepung talam gandum.  Harap rasanya sedap, dan kuih itu menjadi secantik dalam gambar.  Berpeluh seluruh tubuhnya. Memang mandi peluh dia hari ini. Biarlah, asalkan dapat melupakan apa yang terjadi.  Tidak usah berfikir lagi. 

            Dia menuangkan lapisan pertama berwarna coklat kerana menggunakan  gula merah, dua puluh minit kemudian, memasukkan lapisan atas pula berwarna putih.  Tunggu sehingga masak.  Bagaimana rupanya, biarlah keadaan menentukan. Dia tersenyum sendiri. 

            Alhamdulillah… kuih talamnya menjadi. Tidak sia-sia membeli beberapa buah buku masakan sebagai rujukan.  Usai solat asar dia menyambung lagi.  Kali ini masak lauk-pauk untuk makan malam dengan Zaiton.  Dua jenis kuih telah siap.  Seminggu mereka berdua boleh makan kuih-kuih itu.  Di dingin bekukan.   Rose menari gembira.  Terasa seronok pula memasak, hilang tekanan di hati.

            Hari ini dia akan masak nasi tomato, ayam masak serai dan acar mentah seperti dalam buku masakan yang dijadikan rujukan.  Biarlah menjadi. Pasti Zaiton melonjak senang.

            Siap! Walaupun nasinya terlebih  tomato puree, namun tetap sedap.  Rose tersenyum puas.  Dia menjadi cekap sejak bekerja di Restoran Selera Melayu.  Banyak juga ilmu perniagaan restoran dikutipnya.  Mungkin akan bermanfaat kepadanya satu hari nanti.   Zaiton melangkah masuk. Bau harum semerbak di dalam rumah menusuk hidungnya.  Mesti Rose memasak.  Zaiton melangkah ke dapur.  Terhenti langkahnya.  Tergamam melihat barang-barang yang penuh di dapur. Pelbagai jenis tepung terdapat di situ.  Di meja makan sudah tersedia makan malam yang istimewa bagi dirinya. Nasi tomatokah itu? Kenapa jingga sangat?  Dia beralih melihat Rose yang sudah macam pembantu rumah.  Muka terpalit tepung.  Lantai penuh dengan plastik bungkusan tepung.  Kenapalah sahabatnya itu buat sepah? 

            “Kau beli barang banyak-banyak ni buat apa?” tanya Zaiton. Sejak di pejabaat lagi dia risau memikirkan Rose.  Nak menelefon takut kena tengking dengan majikannya yang garang tidak bertempat itu. 
            “Dah balik pun sahabatku, kau pergi mandi, rehat, lepas solat maghrib kita makan sama-sama, “ pelawa Rose dengan penuh mengharap.
            “Kau okey ke?” tanya Zaiton. Bimbang mencakar di hati.
            “Kenapa? Kau risau aku buat yang bukan-bukan?” Rose duduk di kerusi.  Dia merenung wajah Zaiton. Matanya berkaca.
            “Aku tidak sedih untuk diriku sendiri, Ton.  Aku sedih dan menangis kerana memikirkan emak dan ayahku.  Kau tengoklah keadaan mereka sebelum kita balik ke KL.  Mereka tampak kuat Ton, tapi aku tahu… jauh di sudut hati mereka, terluka parah,” luah Rose.
            Zaiton menangis kuat. Hatinya turut sedih dengan apa yang berlaku. Maruah sahabatnya dibaling dengan  najis.  Harga diri keluarga sahabatnya disimbah dengan  air longkang.  Kalaulah dia tidak sabar, mahu sahaja mengamuk.
            “Aku ada, kau buatlah apa saja yang kau nak, asalkan kau bahagia, Rose,” jelas Zaiton.  Dia sudah tidak peduli. Apa yang penting sahabatnya itu mampu gembira semula.
            Rose terharu dengan sikap Zaiton yang begitu mengambil berat.  Kalaulah tidak ada Zaiton sudah tentulah dia terus rebah dan tidak akan bangun-bangun lagi. Kepada ALLAH SWT yang harus diserahkan segalanya.

No comments:

Post a Comment