AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 30 December 2017

HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS - BAB 62




            Dasuki menolak kerusi roda emaknya menghampiri meja makan. Tepung talam gandum, ayam goreng sambal dan sayur pucuk paku masak lemak cili api, sudah sedia terhidang.  Senyum terukir di bibir emaknya. Dia turut tersenyum bahagia.  Apa yang lebih bererti dalam hidupnya adalah melihat senyuman kembali berkembang di bibir emaknya.  Sejak kematian arwah ayahnya dua tahun dahulu, kehidupan emaknya bagaikan sepi dan hilang punca.  Pelbagai cara dia lakukan untuk memulihkan kembali semangat emaknya.  Sejak sebulan dua ini sahaja keadaan sudah kembali pulih sediakala.  Emaknya sudah berselera makan tetapi hanya makanan yang dibeli daripada gadis berkulit hitam di simpang jalan masuk taman ini. Masakan gadis itu menepati selera emaknya.  Kalau hari Ahad, jenuh jugalah dia memujuk agar makan apa yang dibelinya di mana-mana restoran.
            Hari ini, gadis itu membungkus makanan untuk emaknya begitu istimewa sekali. Di letakkan di dalam mangkuk berkaca.  Terusik juga hatinya, ada orang yang sudi mengambil berat.  Pandai gadis itu memasak, rasanya gadis itu masih muda tetapi tekun dan rajin mengusahakan perniagaan sendiri.  Jika gadis seusianya seronok berhibur sahaja, dia pula sibuk mencari duit.  Bila ditanya, jawapannya mudah, nak jadi jutawan.  Tersenyum dia mendengar omelan gadis berkulit hitam manis itu.  Sesekali tersenyum menawan juga.  Hitam-hitam si tampuk manggi, sungguh pun hitam di pandang manis, pantun itu masih diingatinya.
            “Pandai tukang masak ni ya Suki?  Mak suka kuih talamnya. Ayam sambalnya taklah pedas sangat.  Kena sangat dengan selera mak,”  ujar Hajah Sofiah.    Kuih tepung talam disudukan ke dalam mulut, dikunyah perlahan-lahan. 
            “Ya mak, ramai juga pelanggannya. Pandai dia berniaga,” puji Dasuki.
            “Suki pergilah kerja, mak menyusahkan Suki aje.” Hajah Sofiah memandang tepat ke anak mata anak tunggalnya itu.  Kalaulah anaknya tidak ada, siapalah yang akan menjaga kebajikannya.  Anaknya juga terpaksa berkorban menjaganya sehingga tiada masa untuk keluar bersama kawan-kawan.  Usia sudah semakin lanjut tetapi masih sendiri. 
            “Tak apalah mak, syarikat saya ada orang uruskan.  Saya perlu uruskan mak, lepas tu baharu saya pergi kerja.  Mak rehat,  mengaji dan nanti Kak B akan tolong mak mandi, kalau mak nak tunggu saya balik kerja, takut dah petang sangat.  Jangan lupa makan ubat.  Minggu depan ada temujanji dengan pakar fisioterapi.  Suki nak mak berjalan seperti dulu.  Banyak kerja emak tertangguh. Kawan-kawan mak pun dah bertanya, bila mak nak aktif semula dengan badan sukarelawan tu.”  Tangan emaknya diraih ke dada. Dicium berkali-kali.   Selagi ibunya bernyawa,  selagi itulah dia akan terus berbakti kepada orang tuanya itu.
            “Alhamdulillah… mak doakan perniagaan Suki terus maju jaya.  Mak takkan minta apa-apa lagi dengan Suki melainkan carilah seorang isteri untuk Suki, jaga makan minum Suki, lahirkan cucu-cucu untuk mak… hanya itulah harapan mak Suki,” luah Hajah Sofia.
            “Kalau mak nak tengok Suki berkahwin, mak kena sembuh dulu, nanti siapa pula nak uruskan majlis perkahwinan Suki?  Takkan nak harapkan orang lain,”  pujuk Suki.
            Hajah Sofia terdiam seketika.  Salah dirinya kerana terlalu  mengikut perasaan. Kehilangan suaminya membuatkan dia hilang arah.  Dia tidak kuat dan terlalu mengikut rasa hati. Kesannya sehingga sekarang, dia lumpuh separuh badan. Tekanan darah tinggi terlalu tinggi hampir dia terkena serangan angin ahmar.  Akibatnya diri sendiri yang susah.  Orang yang pergi tetap pergi, yang tinggal kenalah teruskan hidup. Kematian bukan satu perpisahan. 
            “Insya-ALLAH Suki, carilah calon menantu untuk mak, yang cantik budi bahasanya, pandai memasak itu yang paling penting,” ujar  Hajah Sofia.  Dia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk pulih semula. 
            “Sabarlah mak, bagi mak pulih dulu. Nanti kita cari sama-sama.”  Dasuki tersenyum.  Mereka makan tengahari bersama.  Pening juga kepalanya memikirkan soal jodoh. Sudah lewat begini, siapalah yang nak?  Biarlah jodohnya ditentukan oleh  ALLAH SWT.
            “Terima kasih Suki, kerana jadi anak yang baik pada mak.” Air matanya bertakung di tubir mata.
            “Mak, jangan macam ni, kalau Suki tak jaga mak, siapa lagi yang boleh mak harap?”    Dasuki mengurut belakang  Hajah Sofia.
            Hajah Sofia tersenyum kembali.  Air mata yang sudah mula mengalir diseka dengan cepat.  Jangan ada duka lagi, itulah janjinya.  Biarlah cinta arwah suaminya kekal tersemat di hati.  Tetap teguh dan utuh di sanubari.  Semoga mereka bertemu di syurga ALLAH nanti.

***
            Dasuki berhenti di hadapan tempat Rose berniaga.  Ada perkara yang ingin dia minta tolong dengan gadis itu.  Hujung minggu ini dia terpaksa keluar daerah.  Tidak boleh tidak, ini bersangkutan dengan perniagaanya yang ingin dikembangkan ke persada antarabangsa.  Dalam hati tidak henti-henti dia berdoa agar gadis yang tidak diketahui namanya itu sudi membantunya.  Bukan minta percuma, dia akan bayar perkhidmatan yang diberi.
            Belum pernah dia minta bantuan orang lain waktu menguruskan emaknya. Sejak emaknya semakin pulih dia terlalu berhati-hati menjaga perasaan orang tuanya itu.  Tidak mahu hati emaknya terluka lagi.  Selera makan emaknya juga semakin baik, tetapi itulah, hanya masakan gadis hitam manis itu. Kalaulah emaknya tengok gadis itu entah apa yang ada dalam fikiran emaknya nanti. 
            “Encik?  Tiada makanan yang tinggallah.”  Rose mengerutkan dahi.  Dia sedang mengemas kerusi meja dan perkakas makanan yang telah pun kosong isinya.
            “Taklah, saya cuma nak minta tolong.  Macam mana nak cakap ya.  Memanglah kita tak pernah kenal.   Tetapi saya yakin, awak seorang yang baik, jadi saya percaya kat awak,”  kata Dasuki teragak-agak.  Kalau diherdik oleh gadis itu, dia kena terima.  Pandai-pandai sangat minta bantuan orang lain.  Kak B, pembantu rumahnya kan ada, suruh sahajalah pembantu rumahnya itu masak, hanya untuk dua hari, masalahnya… emaknya tidak mahu. Bukan Kak B tidak pandai masak, tetapi tidak kena dengan selera emaknya.  Hari sabtu, gadis itu berniaga.  Hanya hari minggu sahaja tidak.  Jadi, dia nak minta gadis itu hantar makanan kepada emaknya pada  hari Ahad juga, sebab tiada siapa yang akan belikan makanan untuk emaknya itu.
            “Encik! Encik!”  panggil Rose, berkerut dahinya. Menahan panas dan kepenatan.  Apa pula lelaki ini nak?  Lepas itu mengelamun.  ‘Mahu terbakar tubuhnya yang sedia gelap ini, berdiri tengah panas ini’ bisik hati kecilnya.  Dia memayung matanya menggunakan tangannya. 
            “Maaf, panas ya?” tanya Dasuki.
            ‘Memanglah panas, tidak nampakkah’?  Sergah Rose dalam hati.  Tidak beranilah nak sergah orang  yang kurang dikenalinya itu.  Kalau orang itu polis, takut pula kena tangkap kerana memarahi seorang anggota polis. Macam mana kalau lelaki itu seorang peguam?  Masak dia kena saman.  Jangan-jangan seorang ustaz, habiskan kena leter tentang adab dan akhlak. 
            “Eh, tak apa… dah biasa.  Tengoklah kulit!”  gurau Rose.
            Dasuki tersenyum. Pandai pula gadis ini buat lawak.
            “Okeylah, saya datang ni nak minta tolong kat awak hantar makanan pada emak saya.  Hari Sabtu dan Ahad, sebab saya keluar daerah selama tiga hari dua malam.  Emak saya tak makan masakan orang lain.  Boleh tak awak bantu saya?  Saya bayar perkhidmatan awak tu dan harga makanan,” pinta Dasuki.
            “Hah?  Encik nak saya hantar makanan pada emak encik. Hari Sabtu, tiada masalah. Hari Ahad saya tak berniaga,”  terang Rose, takkanlah lelaki itu tidak tahu, bukan baharu sehari dia dia berniaga di situ.
            “Saya tahu, tapi boleh tak hari Ahad ini awak masakkan?”  minta Dasuki penuh mengharap. 
            “Ehmmm… apa saya nak cakap ya?”  Rose terdiam.  Dia tidak mahu berjanji atas perkara yang dia takut tidak mampu melakukannya.
            “Tolonglah! Mak saya tu lumpuh separuh badan.  Memanglah ada pembantu rumah, tetapi dia tak suka, dia nak masakan awak juga,”  rayu Dasuki.
            Berat masalah ini! Omel Rose dalam hati.  Setuju sahajalah, sehari sahaja pun.  Lagipun bukan dia tidak memasak pada hari minggu.  Siap masak, dia hantar kemudian bolehlah pergi ke mana sahaja dengan Zaiton.  Selesai.
            “Baiklah… bagi alamat encik, nanti saya hantarkan.  Jangan lupa beritahu pembantu rumah encik, saya nak datang.  Nanti dia ingat orang Afrika mana pula yang terjah rumah encik,” jelas Rose.
            “Hah? Afrika?” tanya Dasuki kehairanan.Wajah gadis itu pandang lama. 
            Rose menunjukkan kulitnya pada Dasuki.
            Lelaki itu mengangguk perlahan, fahamlah dia.  Tidak pasal-pasal, pembantu rumahnya halau gadis itu nanti.
            “Kena bagi tahu secara terperinci ya encik?”  pinta Rose.  Dia tidak mahu orang salah faham dengan kehadirannya.  Kulitnya cukup cantik sehingga membuatkan orang terkejut.  Nasib baik pelanggannya tidak kisah dan pada mulanya tersalah anggaplah juga. Lama-lama mereka boleh terima dan setia menjadi pelanggannya.
            “Ini alamatnya dan satu lagi.  Jangan hina diri sendiri. Apa yang dijadikan oleh ALLAH SWT ada keistimewaannya tersendiri,”  pesan  Dasuki sebelum berlalu pergi dengan hati berbunga riang.  Selesai masalahnya.  Bolehlah dia menumpukan perhatian kepada kerja-kerjanya nanti. Nasib baiklah gadis itu tidak lokek masa dan sudi membantunya. Dia melambai ke arah gadis hitam manis itu sebelum berlalu pergi dengan keretanya.

No comments:

Post a Comment