AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 2 December 2017

IKATAN KASIH - BAB 42



Pagi-pagi lagi Kamarul telah keluar dari rumah. Sudah berminggu-minggu dia tidak bertemu dengan mamanya. Paling dia rindukan wajah yang redup, sayup mata memandang yang sering berada di sisi mamanya sewaktu dia ke RIKA.
 Kamarul tersenyum sendiri.  Sudah angaukah dia?
“Assalamualaikum. Amboi, anak bujang mama, lawat kawasan ke?” sapa Rabeta  yang baharu sahaja keluar dari dapur RIKA. 
            “Wa’alaikumsalam, mama.” Kamarul terus mendekati Rabeta, mencium tangan mamatanya dengan penuh hormat.  Dia memeluk mamanya erat.  Hilang rasa rindu yang menebal di hati.
            “Dari mana ni?”  Rabeta membawa  Kamarul duduk di pondok wakaf. Tempat biasa.
            “Malam tadi baharu sampai dari Langkawi. Pagi ini datang ke mari,” ujar Kamarul.
            “Tak sarapan lagilah ni?”  Rabeta memandang wajah anak bujangnya.
            “Belum,” jawab Kamarul sambil mengusap perut. 
            Rabeta mengamit salah seorang petugas yang melintasi pondok wakaf itu. Dipesannya agar disiapkan sarapan dan dihantar ke situ.
            “Kamarul bangga dengan mama dan seluruh pengurusan rumah ini. Mampu membawa manusia yang telah dibuang kembali ke pangkal jalan. Satu kerja yang murni, ma…”  puji Kamarul.
            “Jangan nak puji sangat, tak tahu lagi sama ada kerja yang kami lakukan ini diredai ALLAH atau tidak. Kita hanya mampu menjalankan apa yang terbaik. Semoga ALLAH menerima kerja amal jariah kami di sini.” Rabeta tersenyum. Sepuluh minit kemudian hidangan sarapan pagi sudah tersedia di hadapan mata.
            “Oo… ada tetamu dari jauh rupanya,” tegur Zara. 
“Asyik bercakap dengan mama, sampai lupa nak sampaikan ini. Ini untuk Zara. Coklat saja. Dan… yang ini untuk mama.” 
            “Wah, coklat Langkawi!” Zara tersenyum riang. Pelbagai jenis coklat terdapat di dalam bungkusan itu. Dia teruja melihat coklat pelbagai jenis dan jenama itu. Pandai pemuda di hadapannya itu memilih coklat kegemarannya. 
            “Jangan makan banyak sangat. Gemuk nanti, tiada siapa yang nak,” usik Rabeta.
            “Tak apa mak cik. Biarlah jadi anak dara sampai tua,” gurau Zara.
            “Hish, tak baiklah cakap macam tu, kalau awak gemuk, saya tetap nak.” Ops! Tersasul.
“Kamarul…” Rabeta menjeling tajam. Di hujungnya bersisa senyuman. “Apa anak mama cakap tadi?”
            Zara sudah mula menunduk. Alahai…  macam manalah boleh terlepas cakap! Zara menjeling manja. 
            Rabeta ketawa.
            “Belajar dahulu ya sayang. Nak anak orang kenalah ada pekerjaan tetap. Mama tak suka anak mama makan duit hasil titik peluh seorang isteri.  Tidak praktikallah. Dayus namanya. Rasanya anak mama masih belum mampu.” 
Dia dapat mengesan, Kamarul menaruh hati. Sudah disimpan pula hatinya dalam poket hati Zara.
            “Kalau beritahu mama, banyaklah nasihat yang keluar.” Kamarul cemberut.
            “Untuk kebaikan anak mama juga, kan?”  Rabeta menepuk bahu Kamarul.
            “Terima kasih untuk coklatnya. Mak cik, Zara masuk dulu ya.”  Zara berpamitan.
            “Tak sarapan sekali ke?” tanya Kamarul. Dia ingin berlama-lama dengan gadis itu. Namun, jelingan mamanya membunuh keinginan itu.
            “Jom sarapan dulu, nanti kita sembang lagi,”  ajak Rabeta. Dia menghulurkan pinggan yang berisi nasi lemak yang telah dihidang bersama sambal tumis ikan bilik, hirian timun dan ayam goreng berempah.  Mereka makan dengan penuh selera. 
***
            Dalam kegelapan malam disirami cahaya lampu jalan, di lorong yang sempit dan tidak kelihatan kelibat manusia, terdapat dua buah kereta berhenti saling menghadap antara satu sama lain. Empat orang lelaki sedang berhadap-hadapan di belakang bonet kereta yang terbuka luas. Perbualan mereka tampak serius. Sejumlah wang turut bertukar tangan.
            “Aku nak kau cari pistol untuk aku. Minggu depan. Paling terkini.” Zaheer menggaru-garu hidungnya yang gatal. Beratus-ratus gram dadah sudah berada di dalam bonet keretanya. Kalau tertangkap, makan tak habis sampai ke bilik akhir.
            “Okey, minggu depan jumpa aku di sini juga.  Aku bawa segala pesanan kau nanti! Jangan lupa hujung bulan depan ke tempat aku. Pilih anak-anak ayam yang kau nak.” Sengihan terpancar di bibirnya.  Hari ini dia untung besar. Urusniaga berjalan lancar kalau tiada hutang yang terlibat. Lelaki itu suka berurusan dengan Zaheer yang selalu membayar tunai. 
            Setelah semua selesai, masing-masing membawa haluan sendiri. Zaheer menutup bonet belakang. Joe yang berada di hujung lorong digamit kembali ke kereta. 
            “Minggu hadapan kita ke sini lagi,” beritahu Zaheer.
            “Untuk apa pula bos? Ambil bekalan lagi?” tanya Joe.  Kali ini perniagaan melibatkan ratusan ribu ringgit, tidak mungkin boleh habis terjual dalam masa seminggu. Namun tidak mustahil. Dia mengeluh.
            “Ikut sahajalah! Cuba jangan banyak soal!” tempelak Zaheer.
            “Yalah, bos!” Joe terus memandu. “Nak balik rumah terus ke bos?” tanya Joe. Matanya sendiri sudah tidak mampu diangkat. Semakin lama memandu, semakin kuyu matanya. 
            “Balik terus, aku nak berehat. Esok aku uruskan semua. Semuanya dah siap dibungkus. Sampai pada tokan, boleh untung juta-juta, Joe!” cerita Zaheer bangga.
            “Baguslah bos, boleh bagi bonus lebih sikit kat aku!”  Joe menyengih.
            “Kalau pasal, duit nak banyak saja!” rungut Zaheer.
            “Ala bos! Siapa lagi nak jolikan duit bos tu, aku seorang saja!”  usik Joe.
            “Tak nak lawat kawasan ke bos?” tanya Joe.  Sudah lama Zaheer tidak melawat rumah-rumah pelacurannya. Zaheer buat-buat pekak. 
***
            Sampai di rumah, dia terus masuk ke dalam biliknya. Joe pula tidur di dalam kereta. Disuruh tidur di dalam rumah, selalu menolak.  Sejak lelaki itu bekerja dengannya, dia tidak tahu di mana tempat tinggalnya. Jawapannya mudah, tidur di mana sahaja yang dirasakan boleh. Beg pakaian sentiasa ada di dalam kereta. Masuk ke dalam rumah ketika hendak mandi dan salin baju sahaja.
            “Abang baru balik?” tegur Zaki  yang muncul di sebalik pintu.
            “Kau tak tidur lagi ke?” tanya Zaheer, terkejut.
            “Dah nak subuh, bang.  Jom solat sekali,” ajak Zaki.
            “Kau pergilah solat dulu!” jawab Zaheer dengan hati yang sebal.
            “Bila lagi bang?” soal Zaki. Masih tidak mahu berputus asa.
            “Tunggu aku tua, bongkok tiga!” sinis.
            Zaki menggeleng-geleng. Kalau sempat umur kita hingga bongkok tiga, detik hati kecil Zaki. Kecewa dengan sikap abangnya itu. Mempermainkan agama sendiri, sedangkan solat itu adalah tiang agama. Tanpa tiang tidak mungkin hati seseorang itu akan kukuh berdiri di landasan yang betul.
            “Adik Bos!” tegur Joe yang sudah berdiri di sisi Zaki.
            “Joe!” Zaki tidak tahu harus berbuat apa-apa.  Terkedu seketika. Pemutar skru yang dicari, lain pula yang dijumpanya di dalam bonet kereta Zaheer itu.
            “Tutup balik bonet itu! Pergi masuk! Jangan cakap apa-apa atau buat apa-apa. Kalau Encik Zaheer tahu, nahas kau!” pesan Joe. 
            “Kenapa Joe? Kenapa dia buat semua ini?” soal Zaki.
            Joe menjongket bahu. Jawapannya hanya ada kepada mereka yang melakukan kerja terkutuk itu.  Menjual benda haram yang merosakkan bangsa sendiri.
            “Kalau kau tak mahu diapa-apakan, baik beredar dan berlagak seperti tiada apa yang berlaku.  Kau tidak tahu apa-apa pasal benda ni, faham!” kata Joe tegas. Matanya mencerun ke arah pintu, takut Zaheer muncul pula. Nahaslah Zaki nanti. Pandai-pandai menyelongkar kereta orang.
            “Tolong jangan biarkan abang aku hanyut, Joe!” rayu Zaki.
            “Pilihan di tangan dia, bukan aku! Dia cukup tua untuk dinasihati.  Bukan tidak tahu semua benda yang dia lakukan ini adalah salah. Siapa aku nak menegurnya!” Joe mengeluh. 
            “Apa perlu aku buat?” Zaki hampir putus asa.  Abangnya memang degil dan keras kepala. 
            “Sabar, berdoa dan tunggu sahaja. Baik kau masuk. Jangan sebut pasal barang-barang ni!” Joe memandang tajam  mata Zaki yang merenungnya.
            “Jaga dia untuk aku Joe,” kata Zaki sebelum kembali ke rumah.
            Joe hanya menganggukkan kepala. Dia menggaru kepala. Mereka adik beradik tetapi berlainan sikap dan perangai. Janganlah Zaheer mengetahui hal ini, tentu masalah akan timbul nanti.


No comments:

Post a Comment