AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Saturday, 9 December 2017

IKATAN KASIH- BAB 44



            Seluruh tubuh Jasmina menggigil ketakutan.  Dia dan dua orang lagi kawannya yang sedang berbual terkejut mendengar bunyi tembakan seperti hampir sangat dengan kedudukan mereka.  Tidak pula ternampak siapa yang menembaknya. 
            “Kau tak apa-apa, Jas?” tanya kawan sekuliahnya. Mereka masih duduk mencangkung di sebelah kereta Jasmina. Dadanya berdebar-debar.  Masih berasa takut dan bimbang. Jangan-jangan penembak itu masih berada di dalam kawasan kolej.
            “Aku tak apa-apa! Kau berdua okey?” tanya Jasmina, matanya memandang kedua-dua rakannya yang sedang meneluk tubuh. Mereka masih tidak berani bergerak. 
            “Apa kita nak buat ni? Penembak tu dah pergi ke?” tanya temannya. Dia benar-benar takut.
            “Aku bangun dulu ya, semoga kita dilindungi ALLAH SWT!” kata Jasmina. Perlahan-lahan dia berdiri. Memandang kiri dan kanan. Tiada siapa di situ. Keadaan sunyi sepi. Mungkin hanya mereka yang mendengar tembakan tadi. 
            “Tak ada sesiapa,” ujar Jasmina. Matanya melilau. 
            “Kau pasti ke?” ujar teman sekuliahnya yang seakan-akan lembut lututnya, tidak bertulang. Benar-benar lemah. 
            “Okey, jomlah balik!” ajak  Jasmina. Hari ini tiada anggota polis yang mengawalnya. Sudah seminggu tiada sebarang gangguan, itu sebab mereka tidak lagi mengawal.
            “Jas! Kereta kau, berlubang!” tunjuk Nadia. Terdapat lubang kecil di pintu kereta.
            Jasmina terlopong melihatnya. Kelihatannya Zaheer belum penat memburunya. Atau mungkin sahaja menyasarkan peluru itu kepadanya. Jasmina ketakutan. Lelaki itu memang nekad, nampaknya.  Dia memeriksa keretanya. Ya ALLAH, detik hati kecilnya.  “Jom balik! Jas nak ke tempat mama Jas!” Jasmina melangkah masuk ke dalam keretanya.  Kawan-kawannya sudah masuk ke kenderaan masing-masing. Cuba menahan getar di hati. Rasa takut masih berbaki. 
            Jasmina memandu keretanya menuju ke RIKA. Dia perlu memberitahu mamanya. Kereta itu perlu dibaiki. Jika dilihat oleh ayahnya pasti panjang pula soal-siasatnya. Silap haribulan, dia tidak dibenarkan keluar dari rumah.
***
            “Angah,”  sapa Rabeta.
            Jasmina mendekati Rabeta, bersalam dengan Nazatul dan beberapa petugas pengurusan yang ada di situ.
“Tadi, ada orang cuba tembak angah! Tak nampak siapa? Nasib baik tersasar!” cerita Jasmina terketar-ketar. Perasaan takut masih berasa di hati. 
            “Tembak? Siapa? Angah tak apa-apa?” tanya Rabeta bertubi-tubi. Dia memusing-musingkan tubuh Jasmina.
            “Tak ma, terkena pintu kereta!” jawab Jasmina.
            “Ya ALLAH! Siapa punya kerja tu?” Nazatul turut terkejut.  
            “Sudah seminggu kita berkawal, tiada siapa yang mengganggu!” Fakhrul gelisah. Hanya nama Zaheer sahaja yang bermain di fikirannya. Dia perlu mendapatkan maklumat segera.
            “Jangan-jangan Zaheer tak?” tuduh Nazatul. Dia pasti lelaki itu yang melakukannya.
            “Mungkin juga,” sampuk Rabeta. 
            “Angah nak bawa kereta ke bengkel. ngah takut ayah tahu,”  cadang Jasmina.
            “Jom, mama ikut sekali!” ajak Rabeta. Dia sendiri takut memikirkan perkara itu.
            “Saya ikut sama,” kata Fakhrul. 
            “Yalah… kita naik kereta angah saja ya?”  Rabeta memandang kedua-dua insan yang dekat di hatinya itu.
            “Sebaiknya...” Fakhrul bersetuju. 
            “Saya pergi dulu Kak Naz. Nanti kita bincangkan lagi pasal hal tadi.” Rabeta memeluk bahu Nazatul.  Mereka bertiga serentak mengangguk.
            “Jas nak buat laporan polis tak?” tanya Fakhrul. Kalau boleh dia tidak mahu ada kes yang mengganggu siasatannya terhadap Zaheer.
            “Mama rasa macam mana?” tanya Jasmina.
            “Mama ikut sahaja apa yang Pak Cik Fakhrul sarankan.” Rabeta menoleh memandang Fakhrul yang duduk di belakang.
            “Kita buat laporan polis, saya akan arahkan orang perhatikan Jasmina sepanjang masa di kolej,” cadang Fakhrul. Demi keselamatan gadis itu. Dia tidak mahu berlaku apa-apa yang tidak diingini terhadap Jasmina.  Jika Zaheer semakin berani, pihak polis tidak akan berdiam diri lagi.
            “Bukti-bukti sudah cukup ke Fakhrul? Agak-agak bila boleh polis tangkap Zaheer tu?”
            “Kata pemberi maklumat saya, Zaheer ada projek besar hujung bulan ini. Kali ini pelaburan dia besar. Dengar kata hampir semua hartanya dilaburkan. Berani sunggu dia!” cerita Fakhrul.
            “Bagaimana dengan kumpulan kongsi gelap yang lain?  Ada jalan penyelesaian?” tanya Rabeta.
            “Mereka silih berganti lahir Eta, hari ini kita tangkap, esok adalah yang tubuhkan kembali. Selagi manusia tidak kembali kepada agama, tidak takut ALLAH, selagi itulah nafsu jahat bermaharajalela,” rungut Fakhrul.
            Rabeta mengeluh. Anak gadisnya menjadi sasaran lelaki gila. Dia mendengus kasar. Usai membuat laporan polis mereka kembali semula ke RIKA dan keluar semula menghantar Jasmina pulang.
***

            Sejak akhir-akhir ini syak wasangka bermain di hati. Takut benar anak-anaknya mencari Rabeta, hinggakan anak bongsunya dihantar masuk ke sekolah berasrama. Hari ini Jasmina balik lewat pula. Sudah hampir menjelang senja. Bayang Jasmina masih tidak kelihatan. Kerisauan menghambat hati.  Kegelisahan merasuk diri. 
            Bunyi hon kereta di luar rumah menarik perhatian Ramadan, siapa pula yang menghantar Jasmina pulang kali ini? Dahinya berkerut. Dia melangkah keluar, berdiri sambil mencekak pinggang.
            “Tu... Tuan besar sudah cekak pinggang!” gurau Aida.
            “Biarlah mama, asyik nak marah dan simpan syak wasangka dengan kami.” Jasmina benar-benar kecewa dengan sikap ayahnya sejak akhir-akhir ini.   
            “Masing-masing dah pandai balik lewat, sekarang ni ya?”  Aida mengerling memandang wajah anak tirinya yang tersenyum merenungnya.
            “Bukan selalulah mama,” jawab Jasmina.
             
“Mama Eta hantar angah balik ya?” tanya Kamarul sebaik sahaja dia melangkah keluar dari Myvi-nya.
            Jasmina serba salah, kalau boleh dia tidak mahu mama atau ayahnya tahu, dia masih berhubung dengan Rabeta.
            “Erk…” Hendak mengangguk atau menggeleng.
            “Along ternampak tadi,”  kata Kamarul lagi.
            Jasmina mencebik. 
            “Tak perlu berahsia dengan mama. Mama tak kisah. Mama Eta bukan orang lain dengan mama.  Bohonglah kalau mama kata, mama tak rindukan dia!”  Ada sebak di hati, ada rindu yang menyapa di sanubari.
            “Mama!” Jasmina memeluk erat bahu Aida.
            “Baguslah kamu masih berhubung dengannya. Dia wajib dihormati dan disayangi,” ujar Aida. 
            “Kenapa ayah masih marahkan Mama Eta?” Kamarul cuba mencari jawapan daripada soalannya sendiri.
            “Ayah bukan marah dengan Mama Eta. Dia marah dengan dirinya sendiri.” Aida tidak meneruskan kata-kata. Dia pasti sangat. Ramadan marah kerana dia sendiri tidak dapat mempertahankan Rabeta. Tidak dapat menyelamatkan Rabeta daripada dipenjara. Tidak mampu menahan kebodohon sendiri ketika menceraikan Rabeta.
Mana mungkin kasih sayang yang mereka semai sejak di bangku sekolah, ghaib hanya sehari selepas kejadian itu. Dia pasti hingga ke hari ini, suaminya masih lagi menyayangi sepupunya itu.  Mulut kata benci, hati berlagu sayang. Buktinya, beberapa malam sebelum ini, suaminya sering menggigau menyebut nama Rabeta. 
            “Mama, jangan sedih ya. Biarpun kami sering ziarah Mama Eta. Kami tetap sayang mama sama seperti kami sayang Mama Eta,” pujuk Kamarul. Bimbang kalau Aida berasa hati pula.
            “Angah, along. Kalau mama minta sesuatu boleh?” Aida memandang ke arah suaminya yang sudah duduk di kerusi.  Matanya kembali memandang kedua-dua orang anak tirinya itu.
            “Tolong apa, ma?” tanya Jasmina.
            “Mama nak sangat jumpa Mama Eta!” Ada air jernih bergenang di tubir matanya.
            “Mama!” Kamarul dan Jasmina saling berpandangan. Mereka merenung Aida meminta kepastian daripada kata-katanya tadi.
            Aida mengangguk. Dia tahu, tentu sukar anak-anak tirinya hendak mempercayainya. Dia tidak membenci Rabeta. Jauh sekali cemburu. Cuma, dia menghormati pendirian suaminya, itu sahaja.
            “Tak tahu nak masuk rumah ke? Dah senja ni?” jerit Ramadan dari anjung rumah. 
            “Jomlah masuk, kang panjang leter ayah kamu!”  Aida mendahului anak-anaknya. Diikuti Kamarul dan Jasmina. Adik-adik tiri Kamarul dan Jasmina sudah berada di dalam rumah.
            “Siapa hantar angah balik tadi?” tanya Ramadan.
            “Pak Cik Fakhrul, bakal ayah tiri angah,” jawab Jasmina berani.
            “Amboi! Bakal ayah tiri? Sudah mengaku ada ayah tiri?” sindir Ramadan.
            “Betullah ayah! Kan ke Pak Cik Fakhrul nak kahwin dengan Mama Eta beberapa bulan lagi,” ujar Jasmina dengan mata tersenyum riang.
            “Ayah angah hanya ayah seorang! Bukan orang lain! Faham!” jerkah Ramadan.
            “Awak ni kenapa bang? Senja-senja ni nak naik angin? Kena rasuk ke?” bangkang Aida. Ramadan tiba-tiba mengamuk dan marah-marah. Seperti  hilang akal pula.
            “Manjakanlah anak-anak tiri awak ni!” ungkit  Ramadan, keras.      
            “Mereka anak-anak saya, memanglah kena dimanjakan! Nanti awak juga yang kata saya tak sayangkan anak-anak awak.” Aida buat muka seposen dan terus ke dapur. Kerenah suaminya sejak akhir-akhir ini berlainan sekali, boleh sakit jiwa jadinya.
            “Kenapa lambat?” Kasar soalan Ramadan kepada kedua-dua orang anaknya yang berdiri bagaikan patung di hadapannya.
            “Biasalah ayah, kadangkala ada perkara yang tidak diduga,” jawab Kamarul.
            “Angah pula, apa pula alasannya?”  tempelak Ramadan.
            “Kereta angah rosak,” jawab Jasmina.
            “Lain kali jangan balik lewat, kalau ada hal di luar  telefon dulu,” pesan Ramadan. Matanya membulat memandang wajah anak-anaknya. 
            Ramadan mendengus kasar. Dia melangkah ke dalam bilik dan bersiap untuk ke masjid. Hatinya sayu mengenangkan hubungannya dengan anak-anak hambar dan tidak lagi semesra dahulu.
            “Bang, kita dah tua, anak-anak pula semakin membesar. Mereka dah boleh berfikir buruk dan baik.  Selama mana abang boleh halang mereka jumpa Eta?    Eta, mama kandung mereka bang, hubungan mereka tidak akan putus hingga mati.” Aida bersuara, tenang sebaik melangkah masuk ke dalam bilik. “Jangan jauhkan mereka daripada abang hanya kerana ego. Kasihan mereka bang. Apa yang abang dapat?”  Aida mencapai tuala.
Wajah cemberut suaminya ditatap dengan penuh kasih dan sayang. Dia mengharapkan lelaki itu menjadi manusia yang lebih memahami.
            Ramadan tidak menjawab. Dia lebih suka mendiamkan diri. Lebih-lebih lagi apabila dirasakan semua orang di dalam rumah sudah pandai membantahnya.
Wajah Rabeta bermain di ruangan mata. Sesungguhnya perempuan itu telah banyak berubah.


No comments:

Post a Comment