AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Tuesday, 19 December 2017

IKATAN KASIH - - BAB 45



Surat yang dikirim Nazatul untuk Zaheer diletakkan di atas meja kopi. Selalunya waktu-waktu begini, abangnya, Zaheer akan  berada di rumah. Dia sengaja mengelak daripada bertembung dengan abangnya itu.
            Keriut pintu pintu pagar terbuka dan enjin kereta membuatkan bingkas bangun. Surat diambil dan dipegang kemas. Menanti dengan sabar kelibat abangnya. Dia harus membantu kakak iparnya agar perkahwinan mereka dapat dibubarkan.
            “Ada kau di rumah? Dah lama aku tak nampak, kau ke mana?” tanya Zaheer, mendekatinya.
            “Ada hal di luar. Ini ada saman untuk abang.  Bang, lepaskanlah Kak Naz. Biarlah dia bina hidupnya sendiri.”  Surat itu diberikan kepada Zaheer.
            Zaheer mengambilnya. “Tak perlu ajar aku, apa yang harus aku buat dan tak buat!” sanggah Zaheer dengan mata menjunam tajam ke mata Zaki.
            “Jangan jadi manusia kejam bang! Cukuplah abang seksa Kak Naz selama ini!” nasihat Zaki. Dia tahu, abangnya tidak akan mendengar nasihatnya itu.   Dia tidak boleh berputus asa. 
            “Suka akulah! Dia isteri aku. Aku nak lepaskan dia ke…Nak simpan dia ke…Nak seksa dia ke… Tak ada kena mengena dengan orang lain!” Zaheer tersenyum sinis.
            “Tak cukup lagi ke apa yang dah abang lakukan selama ini? Tidak puas lagi ke, bang?” marah Zaki.
            “Ooo… sejak kau jumpa kakak ipar kau, kau dah pandai nak tegur aku?  Nak nasihatkan aku? Pergi jalanlah!” tengking Zaheer.
            “Jangan kejam bang!” jerkah Zaki, hilang sabarnya.
            “Kau jerkah aku?” marah Zaki.
            “Abang yang paksa saya bertindak begini! Tolonglah! Lepaskan Kak Naz!” rayu Zaki.
            “Ikut suka akulah!” sergah Zaheer. 
            Zaki mendengus kasar. Kalau ikutkan hati mahu sahaja dia menghamburkan penumbuk sebagai menyahut sikap degil dan ego abangnya itu. Sudahlah hidup bergelumang dengan noda dan dosa. Malah sanggup menganiaya orang lagi. 
            “Tolonglah bang! Kembalikan hak Kak Naz!” rayu Zaki sekali lagi. Dia memandang dengan pandangan mengharap. 
            “Yang kau susahkan diri untuk orang lain, kenapa? Dia hanya kakak ipar kau?  Aku ni abang kau!  Siapa yang patut kau sokong?” soal Zaheer. Sejak tadi dia masih lagi berdiri. Tiada hati hendak duduk menghadap adiknya itu.
            “Bagi saya, siapa yang buat salah, pasti saya tentang. Tidak kira abang atau hanya abang ipar,” jawab Zaki tidak mahu mengalah.
            “Kau memang tak guna Zaki!”
            “Abang pula?”
            “Hey, bila kau nak berambus dari sini hah?  Buat semak fikiran aku saja!”
            “Saya pun tak nak duduk lama di rumah ini! Abang memang teruk!”
            “Berambuslah! Aku tak minta pun kau balik sini.”
            “Abang!” jerkah Zaki.
            “Apa?” lawan Zaheer.
            “Lepaskan Kak Naz. Surat itu penting, abang kena pergi ikut tarikh yang ditetapkan. Jangan hancurkan hidup orang lain, bang. Cukuplah tu,” pujuk Zaki.
            “Argh!!!”
***
Nazatul memandang kiri dan kanan, mencari kelibat seseorang. Dia mengeluh. Tiada. Dia mendengus kasar. Tertangguhlah lagi kesnya, nampaknya. Sudah penat dia menanti. Sudah letih dia menunggu pembubaran perkahwinannya itu. Zaheer tetap berdegil tidak mahu melepaskan dirinya.   
            “Puan Nazatul,” sapa peguamnya. Nazatul menoleh dan melakarkan senyuman. 
            “Kita akan minta kepada pihak mahkamah untuk membubarkan perkahwinan ini tanpa kehadiran suami puan. Kita dah ada cukup bukti yang menunjukkan puan teraniaya selama perkahwinan ini. Jangan bersedih ya.”
            “Terima kasih. Saya amat menghargainya.” 
            Beberapa kes lain sedang dibicarakan.  Nazatul hanya duduk menunggu gilirannya. Duduk di hospital, pelbagai jenis penyakit boleh dilihat dan didengari. Begitu juga apabila ke mahkamah, pelbagai cerita akan tersebar, pecah segala pekung di dada.    Penceraian, tuntutan nafkah anak-anak, nafkah sepencarian. Hak penjagaaan anak, semua itu berlaku kerana sikap manusia yang tidak bertanggungjawab. 
            Kelibat seseorang yang mendekat membuatkan dia menoleh. Wajah yang amat dikenalinya. Datang pun! Dia mencebik. Nazatul mengamit peguamnya dan menunjuk ke arah Zaheer yang duduk di kerusi sebelah. Peguamnya mengangguk. 
***
            “Puas hati kau, kan?” sindir Zaheer. Dia menyandar di badan kereta Nazatul. Matanya merenung tajam.
            “Memang aku puas! Kau hanya layak duduk dengan syaitan!” kata Nazatul keras. Lelaki serakus Zaheer tidak layak dihormati.
            “Bukan main manis lagi mulut kau sekarang ini ya?” Zaheer cuba mencapai tangan Nazatul. 
            Nazatul mengundur. Dia mengetap bibir.  Bersedia untuk bertindak, jika Zaheer melakukan kekasaran. Dia tidak akan memberi peluang lagi kepada lelaki itu. 
            “Bos! Jomlah balik!” panggil Joe yang sudah sedia menunggu di dalam kereta.
            Nazatul menoleh, memandang Joe. Dia mencebik. Setia sungguh lelaki itu dengan bekas suaminya. Kenapalah hanya talak satu sahaja yang dilafazkan. Dia rela diceraikan dengan talak tiga, biar tidak perlu lagi ada angan-angan di hati lelaki itu untuk kembali kepadanya. 
            “Kau ni!” Zaheer mengetap bibir. Suka benar Joe mengganggu dia. Terutama jika melibatkan perempuan. 
            “Ala bos! Orang dah tak suka, buat apa merayu?” sindir Joe tanpa mengetahui apa-apa Hanya mulutnya sahaja yang gatal ingin berbicara.
            “Kau jangan ingat, aku akan duduk diam, jika kau ganggu perniagaan aku lagi!” ugut  Zaheer.
            “Kau ingat aku juga akan duduk diam, membiarkan kau merosakkan anak bangsaku!”  jawab Nazatul berani. Lelaki seperti Zaheer tidak harus ditunjukkan rasa takut. Seberani mana lelaki itu hendak melawan undang-undang negara? 
            “Anak bangsa?  Hey… apa erti anak bangsa?  Masa aku merempat? Siapa peduli? Mana pergi anak bangsa kau masa aku lapar, sakit, bergendalangan. Masa aku kena halau, kena caci maki?” tengking Zaheer melahirkan apa yang berbuku.
            “Jangan salahkan orang lain, jika jalan hidup yang dipilih pincang!” tempelak Nazatul.
Dia cukup benci dengan manusia yang hanya tahu mencari salah orang lain jika berlaku perkara yang tidak baik kepada diri sendiri. Langsung tidak mahu menerima takdir yang telah ditentukan. Tidak mahu menerima, itu semua adalah ujian untuk menguji keimanan.
            “Kau apa tahu kesusahan aku? Aku tiada pilihan! Aku harus terus hidup! Hidup di lorong sempit, tanpa wang, tanpa kasih sayang! Kelaparan, kesejukan, ada sesiapa peduli?  Jangan bercakap soal bangsa dengan aku!” Zaheer menjegilkan matanya.  Rasa marah membuak dalam dada.
            “Pilihan ada kepada setiap daripada kita!”  Nazatul mencebik.
            Zaheer masih lagi bersandar di badan keretanya.
            “Apa pilihan yang aku ada? Cuba kau bagi tahu aku? Jadi anak yatim piatu! Ada saudara mara, semuanya lintah. Aku kena halau macam anjing kurap! Kau takkan faham penderitaan aku!” 
Zaheer meluahkan apa yang selama ini menjadi duri di dalam daging dalam hatinya.  Penderitaan masa lalu membuatkan dia menjadi manusia yang hanya tahu mengejar kesenangan. Dia tidak perlukan sesiapa. Dia sudah biasa hidup sendiri.  Cuma, dia perlu tahu bagaimana hendak mencari duit yang banyak. Hanya kerja haram ini sahajalah yang cepat dapat duit yang banyak. 
            “Rasulullah SAW juga anak yatim, malah menjadi manusia yang hebat! Baginda juga miskin!” Nazatul memberi contoh terbaik dalam hidup manusia. Amat  berguna dijadikan idola dalam mengharungi hidup yang serba mencabar. 
            “Samakan aku dengan Nabi pulak!”
            “Bos! Sudahlah! Tak perlu dikenang kisah lama!” pujuk Joe. 
            “Aku harap, aku takkan jumpa kau lagi Zaheer! Bertaubatlah. Jangan buat kerja haram itu lagi! Jangan kau terus merosakkan anak bangsa kau sendiri,” nasihat Nazatul.
            “Tak payah nak mengajar aku! Aku bagi amaran, jangan kau ganggu aku! Kalau tidak aku hancurkan kau!” ugut Zaheer meluruskan jari telunjuk dan menegakkan ibu jari. Diacukan ke arah Nazatul.
            “Kau jangan ganggu Jasmina lagi! Aku tahu apa yang kau cuba buat minggu lepas.” tuduh Nazatul. Dia pasti itu kerja Zaheer. Siapa lagi yang sakit hati dengan gadis itu, kalau bukan bekas suaminya itu.
            “Hey! Jangan main tuduh tanpa bukti ya! Kau ingat aku ni main tembak curi ke? Kalau aku nak tembak, baik aku bersemuka, tembak di depan! Biar bersepai otak tu!”  Zaheer menyengih.
            “Aku tak cakap apa-apa pasal tembak pun!” Nazatul menyengih. Zaheer termasuk perangkap kata-katanya sendiri. Joe tercekik. Aduhai, kalau terus dibiarkan, habis terbongkar semuanya.
“Bos, sudahlah,”panggil Joe.
“Tak perlu main sandiwaralah Zaheer! Aku cukup kenal kau! Oh ya… Tan Sri Jaafar kirim salam pada kau.” Nazatul menolak Zaheer daripada terus menghalang pintu keretanya. 
            Zaheer melangkah masuk ke dalam kereta.  Menahan getar di hati. Kalau ikutkan hati, berkecai otak bekas isterinya di situ juga. Nasib baik masih ada kewarasan di hatinya. Dia terpaksa melepaskan Nazatul atas kehendak mahkamah, kalau tidak jangan haraplah dia hendak berbuat demikian. Perempuan itu harus dihukum kerana melawannya.
Kata-kata terakhir Nazatul mengusik hatinya.  Tan Sri Jaafar? Sudah lama nama itu tidak dengarinya.  Hidup lagi orang tua itu, rupa-rupanya. Dia menyengih. Dia tidak boleh mendekati lelaki itu. Bijak, lelaki tua itu memang bijak. 
Walaupun puas kerana mendapat bayaran yang setimpal daripada lelaki itu namun terasa menyesal pula kerana membunuh isteri pertamanya itu terlalu awal. Kalaulah dia tidak mengikut hawa nafsu, pasti ketika ini dia hidup senang dengan harta bekas isterinya itu.
            “Bos! Bos ni teruklah. Semuanya kerana perempuan. Bos kena ingat, dalam dunia ini, ramai pemimpin jatuh kerana perempuan! Janganlah bos jadi orang yang ke seterusnya pula?” Joe menggeleng-geleng. Beberapa kali dia memanggil, Zaheer langsung tidak menjawab.
            “Kau buat aku terkejut sajalah!” Zaheer mengurut dada. Main sergah orang sahaja. 
            “Apa kau merepek tadi?” tanya Zaheer semula.
            “Apalah pula merepek? Saya ingatkan bos, makin hari, bos semakin teruk. Semuanya kerana perempuan! Ramai pemimpin dulu-dulu, musnah kerana perempuan. Saya nak ingatkan saja, jangan bos pula jadi seperti mereka! Agaknya bos kena sumpah tak? Yalah ramai perempuan dah jadi mangsa bos!” sindir Joe.
            “Jangan nak sindir aku! Kau tu pun apa kurangnya? Pandai nak tuduh orang pula?” Zaheer menjeling tajam. 
            “Ala, bos ni… sikit-sikit nak marah! Nanti kena sakit jantung, aku tak tahu nak buat apa? Kang mati kejun pula.” Joe memandu keretanya meninggalkan kawasan mahkamah syariah. Selesai satu masalah.  Dia mengeluh. 
            “Esok kita ke Bangkok. Kau ikut aku!” arah Zaheer.
            “Selalunya bos tak bawa aku? Kenapa tiba-tiba teringin nak bawa pula?” tanya Joe.
            “Ikut saja sudahlah! Kenapa kau suka persoal tindakan aku?” sergah Zaheer.
            “Yalah! Bisnes besar ke bos?” tanya Joe.
            “Kali ini pelaburan aku besar. Aku dah suruh kaki-kaki kita cari tempat strategik untuk memulakan bisnes yang lebih baik lagi. Aku juga dapat pengedar baru. Kali ini aku tidak mahu menyerah kalah,”  terang Zaheer tentang rancangannya.
            “Bos tak pernah cerita kat aku pun? Aku kan PA bos?”  Joe terasa kecil hati. “Yalah, aku mana tahu jaga kepentingan bisnes bos!” rajuk Joe.
            “Tak payahlah nak merajuk? Geli aku tengok.”
            Joe menekan padel minyak, berdesup kereta itu meluncur laju. Geram diperkecilkan kebolehannya.  Macamlah dia tidak tahu langsung perjalanan bisnes Zaheer. Dia kenal orang-orang Zaheer, pengedar dan pembeli, senarai nama itu ada padanya. Cuma, Zaheer tidak perasan. 
            “Naik apa bos?” tanya Joe setelah reda rajuknya.
            “Kapal terbang,” jawab Zaheer. Dia sudah merancang semuanya. Dia berharap urusniaga ini berjalan lancar.  Hanya senyuman yang terlakar di bibirnya. Segala-galanya sudah dirancang rapi.













No comments:

Post a Comment