AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Monday, 25 December 2017

IKATAN KASIH - BAB 46



Senyuman yang terlakar di bibirnya terasa segar dan menawan. Hatinya jauh lebih tenang daripada dulu, semuanya kerana pengakuan Zaki. Akhirnya, terjawab segala pertanyaan yang sering berlegar di fikirannya. Dia memang tidak bersalah.  Bukan dia yang mencederakan bekas suaminya. Bukti sudah jelas sekarang. Cuma, dia tidak mahu mendedahkan Zaki. Lelaki itu sudah banyak berubah, tidak seperti yang dikenalinya berbelas-belas tahun dahulu.
            Setiap kali dia ke pasar mini tempat Zaki bekerja, keadaan lelaki itu agak tidak terurus tetapi sangat rajin bekerja. Tidak pernah culas jika diminta menghantar barang ke rumah. Dia pernah mengesyaki Zaki menagih dadah, tetapi bersangka baik untuk tidak mempersoalkannya. Setiap kali Zaki menghantar barang, pasti dia akan memberi tips.
            Masih dia ingat lagi, pagi itu dia bertembung dengan Zaki yang sedang berjalan kaki. Dia hanya melambai ke arah lelaki itu. Tidak sangka pula itulah kali terakhir dia melihat Zaki dan merupakan hari terakhir jugalah dia lepas bebas di bumi ini. Kali terakhir bertemu dengan suaminya. Rabeta mengeluh.
            Urusan di RIKA juga semakin bertambah. Penghuninya juga telah bertambah. Nazatul pula sibuk menguruskan bangunan baru. Banyak kerja lapangan yang terpaksa dilakukan sendiri. Zara pula, menguruskan latihan dan kelas-kelas pengajian untuk para penghuni pusat itu.  Arni seperti biasa, mencuba pelbagai resepi, semakin rancak sejak mengenali Zaki yang sesekali hadir membantu di dapur.  Apa lagilah Arni tidak lepaskan peluang mempelajari masakan negara luar pula. 
            Fakhrul pula sibuk dengan kerjanya. Sesekali sahaja singgah di pusat itu. Perkahwinan mereka hanya akan diadakan setelah dia mendapat restu kedua orang tuanya. Pihak keluarga Fakhrul tidak menghalang. Dia sahaja yang belum cukup kuat untuk bertemu kedua orang tuanya. Zaki juga sudah berkali-kali bertanya, bila dia boleh bertemu dengan orang tuanya. Bukan dia tidak mahu menyegerakannya, tetapi hatinya masih lagi berbelah bahagi. Takut  memikirkan anggapan mereka terhadap dirinya. 
***
            Hembusan angin pagi terasa sejuk apatah lagi malam tadi hujan turun dengan lebatnya. Haji Ismail, suami isteri sibuk mengemas laman rumah yang dipenuhi dengan dedaun kering.
            Anak bongsu mereka jarang lekat di rumah. Tinggallah mereka suami isteri. Ada cucu berdekatan, terasa jauh. Namun, sesekali Jasmina dan Kamarul rajin juga singgah menziarahi mereka berdua. Itu sudah cukup bagi mereka.
            Bunyi hon di hadapan pintu pagar membuatkan kedua-duanya saling berpandangan. Haji Ismail menekan punat pintu pagar otomatik itu. Proton Perdana dipandu masuk, berhenti tidak jauh dari tempat mereka berdiri. Turun dua orang lelaki yang langsung tidak mereka kenali.
            “Siapa pula tu?” tanya Haji Ismail. Hajah Kemboja menjongket bahu, tanda tiada jawapan. “Anak berdua cari siapa?” tanya Haji Ismail, sedikit cuak namun tetap menjawab salam yang diberi. Takut juga, jika kehadiran kedua lelaki itu ada niat jahat terhadap mereka berdua. Seram sejuk juga tubuhnya ketika itu. Macam-macam andaian yang bermain di benaknya.
            “Kami nak minta maaf, boleh tak kami minta sedikit masa pak cik dan mak cik.” pinta Fakhrul,  penuh hormat. Pertama kali dia berdiri di depan bakal mentuanya. Hatinya diulit resah juga. Melihat karisma Haji Ismail, terasa tidak layak bergandingan dengan Rabeta.       
“Anak ni nak jual barang ke? Nanti mak cik panggilkan anak lelaki mak cik. Kami tak pandai sangat dengan benda-benda moden ni.” Hajah Kemboja menyampuk. Fakhrul tersenyum. Pasangan warga emas ini cakna dengan taktik menakutkan oportunis. Matanya mengerling garaj yang kosong.
“Eh…tak. Tak mak cik. Pak cik. Kami datang ni bawa hajat.” Pantas Zaki memotong.
“Hajat? Hajat apa?” Haji Ismail meletakkan cangkul yang masih kemas dalam genggamannya, bersedia pelbagai kemungkinan, jika kedua lelaki itu berniat jahat, cangkul ini akan naik atas kepala mereka. Zaki menelan liur melihat mata cangkul yang berkilat tajam itu.
            “Kami bawa kawan. Dia nak sangat jumpa mak cik dan pak cik,” terang  Fakhrul. Zaki di sebelah hanya mengangguk.
            “Siapa yang berhajat tu? Bawalah dia keluar.” Haji Ismail mengerut dahi. Senyum pun terasa pelik.           
“Eta!” jerit Hajah Kemboja ketika terlihat susuk tubuh yang amat dikenalinya itu. Terasa hendak sahaja dia berlari, memeluk anak perempuan yang amat dirinduinya itu. Rabeta balik juga ke rumah itu.  Hati keibuannya benar-benar tersentuh.
            “Mak!” Rabeta memeluk erat tubuh emaknya. Air mata kerinduan merembes  keluar.
            “Boleh kita masuk ke dalam rumah, pak cik?” tanya Fakhrul perlahan.
            Haji Ismail yang terpana menyaksikan babak-babak tadi turut tersentuh hati. Dia sendiri, rindu akan anak perempuannya itu. Bohonglah dia tidak teringat. Tipulah dia tidak terbayangkan wajah anak perempuan tunggalnya.
            “Jom kita masuk,” pelawa Haji Ismail. Sekelip mata, Rabeta dan Hajah Kemboja menjadi kembar siam, tidak mahu berenggang.
            Mereka duduk di ruang tamu. Fakhrul memilih untuk duduk di kerusi yang berkembar dua dengan Zaki yang setia di sisinya. Rabeta dan Hajah Kemboja di atas sofa berkembar tiga dengan wajah merenyuk mendung. Haji Ismail memerhati dengan penuh kehairanan.  Berlegar pelbagai pertanyaan dalam mindanya.
            “Mak, ayah… Yang berkaca mata itu, Zaki.  Yang di sebelahnya, Fakhrul atau Inspektor Fakhrul.”
            “Inspektor polis?” tanya Haji Ismail, terkejut. Dia begitu trauma dengan perkataan polis. Terutama selepas kehilangan Rabeta daripada hidup mereka.    “Ya pak cik, saya inspektor polis!” kata Fakhrul, takut pula melihat reaksi bakal bapa mentuanya yang pucat lesi itu.
            “Eta ada buat salah lagi ke? Eta ke mana selama ini?  Eta kena tangkap dengan polis lagi ke?”  tanya Hajah Kemboja bertubi-tubi. 
            “Hish, taklah mak…” Rabeta mengesat air mata yang berbaki. Tersenyum sendiri mendengar pertanyaan emaknya itu. Dalam kepala orang tuanya, polis itu tentulah ada kaitan dengan kesalahan jenayah.
            “Apa hajat kamu semua ni?” Haji Ismail memandang wajah ketiga-tiga mereka. Wajah suram Rabeta singgah di matanya. Rasa rindu yang mengunung tinggi terpahat di hati.
            “Mak, ingat tak kes Eta dulu? Eta kata Eta bercakap benar, bukan Eta yang buat, tapi semua orang tidak percaya.  Sekarang, Eta bawa bukti.”  cerita Rabeta.
            “Kalau bukan Eta, siapa?” tanya Hajah Kemboja. Haji Ismail juga terdongak. Bulat matanya.  Benarlah rupa-rupanya kata-kata Rabeta. Kekesalan berputik di hatinya.
            “Saya, mak cik, pak cik!’ jawab Zaki, bagi pihak Rabeta.
            “Awak?” Haji Ismail tersandar di sofa. Rabeta tidak bersalah. Dia teraniaya. Ya ALLAH! Besar dugaan-MU itu.
            “Ya ALLAH, sanggup kau aniaya anak mak cik?” tangis Hajah Kemboja.
            Zaki menunduk. Sedar kekhilafan diri sendiri.  Sedikit pun tidak berasa kecil hati dengan kata-kata kedua orang tua Rabeta. Dia berhak dihina. Dia manusia kejam yang tiada perasaan, hanya mengikut hawa nafsu ketika itu.
            “Kenapa inspektor tak tangkap lelaki ni?” tanya Haji Ismail. Wajah Fakhrul dipandang sekali imbas. 
            “Rabeta tidak benarkan pak cik.”
Fakhrul boleh boleh sahaja menahan Zaki. Kes boleh dibuka semula sekiranya terhadap bukti baru.
            “Kenapa pula, Eta?” tanya Hajah Kemboja, tidak puas hati.
            “Mak, Eta bawa dia berjumpa emak dan ayah sebab nak menerangkan perkara yang sebenar. Untuk bersihkan nama Eta di mata emak dan ayah. Bagi Eta itu sudah cukup. Eta tidak minta lebih mak, ayah.” Rabeta mengenggam tangan Hajah Kemboja. “Lagipun, kalau dia terhukum, keluarganya akan jadi mangsa. Macam keluarga kita, dulu. Eta tidak mahu menghancurkan hidup orang lain, seperti mana hidup Eta dihancurkan. Cukuplah, mak dan ayah menerima Eta semula.”
“Eta…mudahnya kau melupakannya, nak…” Hajah Kemboja mengusap pipi Rabeta.
“Eta tidak salahkah Zaki. Dia hanya manusia biasa. Dia dah insaf mak. Jika ALLAH pernah memberi peluang pada Eta, kenapa Eta tidak memberi peluang kepada Zaki? Eta dah maafkan kesalahannya mak.  Eta reda dengan apa yang berlaku,” jelas Rabeta.
            “Tapi, Ramadan dan anak-anak kau perlu tahu! Kau tak bersalah!” kata Haji Ismail. Geram tiba-tiba. Wajah bekas besannya juga menjelma.          
“Tidak! Dia tak perlu tahu! Sepatutnya dia lebih kenal siapa Eta. Kami kenal dah lama. Tapi, apa yang dia buat? Eta kecewa mak, ayah. Biarlah kalau dia terus nak menghukum Eta. Eta tak ralat sedikit pun.”  Rabeta mengesat air matanya yang tumpah.
            “Eta, maafkan mak dan ayah,” kata Haji Ismail. Dia terpukul dengan kata-kata Eta tadi, walaupun Eta memaksudkan Ramadan. Tidak jauh berbeza dengan dirinya. Dia sepatutnya lebih kenal dengan anaknya sendiri.
            “Maafkan saya pak cik, mak cik. Saya mohon ampun. Kalaulah saya tidak tekad masuk ke rumah  Kak Eta pada hari kejadian, pasti semuanya tak jadi.  Saya memang bodoh! Jahil juga!” kata Zaki mengutuk diri sendiri.
Kalaulah dia tidak menagih, pasti kejadian itu tidak berlaku. Kalaulah dia mempunyai orang tua, pasti kehidupannya tidak merempat. Tidak! Bukan takdir yang layak disalahkan. Dia reda, seperti mana redanya Rabeta terhadap nasib dirinya berbelas tahun dahulu.
            “Anak-anak Eta, macam mana? Mahu ke mereka terima  Eta semula?” tanya Hajah Kemboja.  Matanya masih berbaki air mata. Dadanya masih berombak menahan kesedihan bersulam kegembiraan yang menjengah tiba.
            “Alhamdulillah, mereka okey. Mereka selalu datang ziarah Eta,” beritahu Rabeta. Dia tidak mahu mereka bimbang.  ALLAH  lebih bijak percaturannya.
            “Alhamdulillah, lega hati emak dengar.” Hajah Kemboja menarik nafas lega. Sudah terang lagi bersuluh, anaknya tidak bersalah. Zaki pula telah menceritakan kejadian itu secara terperinci, fahamlah dia duduk perkara apa yang telah terjadi. Terbukti di hadapan mata dan menjadi halwa telinganya, yang anak perempuannya tidak bersalah. 
            “Inspektor Fakhrul datang untuk apa pula? Sebagai peneman mereka berdua ke?” Haji Ismail memandang wajah lelaki yang tiba-tiba tersipu malu. 
            “Inspektor Fakhrul, tunang Eta. Mak… ayah!’ jelas Rabeta, sambil menunduk malu. Datang ke rumah orang tua membawa  bakal suami, terasa malu dalam hati.   
“Ya pak cik, Abang Fakhrul ni, bakal suami Kak Eta. Mereka datang nak minta restu,”  sambung Zaki, turut teruja.
            “Hah? Eta nak kahwin?” Hajah Kemboja melapik mulut yang terlopong dengan tapak tangan. Haji Ismail tersenyum.  
            Mendengar cerita dari mulut Rabeta membuatkan kedua orang tuanya menarik nafas lega.  Malah bersyukur kerana akhirnya Rabeta dipertemukan jodoh kembali. Mungkin Fakhrul adalah jodoh terbaik buat anak mereka. Menerima Rabeta seadanya, itu sudah cukup bagi mereka.  Hati mereka berbunga riang. Malah mereka sudi memaafkan Zaki. Tiada guna berdendam. Tiada perkara yang tidak boleh diselesaikan. Cuma caranya sahaja yang berbeza.
            “Kita buat kenduri di rumah ini,” cadang Hajah Kemboja.
            “Ayah setuju!” sampuk Haji Ismail.
            Rabeta menyengih. Melihat kedua-dua orang tuanya tersenyum bahagia membuatkan dia menarik nafas lega. Pandangan redup matanya mengucapkan terima kasih kepada Zaki. 
            Zaki mengangguk perlahan. Memahami maksud pandangan mata Rabeta. Fakhrul menepuk-nepuk bahu lelaki di sebelahnya.
            Pagi itu mereka disajikan dengan sarapan pagi yang lazat, semuanya dimasak segera oleh Rabeta dan  Hajah Kemboja.  Becok mulut Hajah Kemboja merancang tentang persiapan perkahwinan. 
            “Mak, ayah…Eta tak pernah sangka, emak dan ayah akan menerima Eta kembali. Sebenarnya, segala persiapan dah pun siap. Majlis tu kami nak buat di tempat Eta bekerja. Harap mak dan ayah tidak membantah. Eta nak meraikannya dengan orang-orang yang menyayangi Eta seadanya. Bolehkan mak, ayah?” Rabeta bertanya perlahan.
            “Tapi Eta, inikan kampung Eta?”  tukas Haji Ismail, berharap.
            “Tidak mak.  Bukan di sini.  Eta nak mak dan ayah bertemu dengan keluarga  besar Eta.  Bolehkan mak, ayah?” pohon Rabeta sekali lagi. 
            Laju anggukan Hajah Kemboja dan Haji Ismail. Mereka tidak mahu memaksa. Rabeta sudah membuat pilihan. Apa yang terlintas di hati mereka ketika itu adalah kebahagian Rabeta.
            Hari yang paling bahagia buat diri Rabeta hari itu. Dia dapat berkumpul semula dengan ahli keluarganya. Biarpun adiknya tidak turut serta, itu tidak mematahkan semangatnya. Dalam pada masa yang sama dia ingin memperkenalkan Fakhrul kepada kedua orang tuanya.

No comments:

Post a Comment