AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Wednesday, 27 December 2017

IKATAN KASIH - BAB 47



Zaheer menyandar kegembiraan. Segala urusan jual beli sudah selesai.  Hati sudah tak sabar untuk membuka tirai baru. Dia sudah pun menyuruh orang-orangnya menyiapkan segala-galanya di Malaysia.
            Joe yang mengikutnya hanya menjadi pemerhati. Coke sahaja yang ditunggangnya sejak tadi. ‘Memang baik betul budak ini,’ detik hati kecil Zaheer. Sejak bekerja dengannya tidak pula dia melihat Joe melanggan mana-mana anak ayamnya.   Hanya menjalankan tugas yang diarahkan. Begitu juga, lelaki itu tidak mengambil dadah. Bersih.  Kagum dengan ketahanan lelaki itu..  Jangan-jangan…  Zaheer ketawa.  Tidak mungkin. 
            “Joe! Tak nak sambar seorang. Jangan biarkan malam berlalu pergi dengan dipeluk angin yang mereputkan tulang,” usik Zaheer yang masih dalam mod gembira.
            “Biar mereput di dunia, aku tak nak mereput dengan ular dan kala jengking, bos. Zina, bos!” jawab Joe sambil mencebik.
            “Dalam maksudnya tu?” Zaheer mengerutkan dahi.
            “Bila nak balik ni, bos?” tanya Joe, rimas.
            “Esoklah! Malam ini kita enjoy!” Zaheer menempik riang.   
            “Aku letihlah bos. Aku balik ke hotel dululah.    Tiket ada pada bos, kan?” Joe sudah menggeliat, menguap beberapa kali. 
            “Kau ni teruklah!”  tegur Zaheer.
            “Kalau bos nak berseronok, aku tak larang.  Tapi aku nak balik. Aku dah banyak dosa. Tak naklah aku tambah lagi.  Aku bukanlah alim, solat pun  tidak.  Jadi aku tak naklah buat dosa banyak-banyak.  Cukuplah yang ada,” ujar  Joe. 
            “Baik sangatlah tu,” sindir Zaheer. “Pergilah balik! Nanti aku naik teksi saja.” Buat apa dipaksa kuda minum. Silap haribulan dia pula tertonggeng masuk tasik. Yang penting malam ini dia ingin berseronok sepuas-puasnya. Esok segala-galanya akan berubah.
            Joe memandu kereta yang disewa olehnya kembali ke hotel. Usai mandi dia terus merebahkan diri di katil yang empuk itu. Matanya benar-benar mengantuk. Bukan berpura-pura. Dia perlu berehat. Sebelum memulakan perjalanan semula, esok pagi.  Biarlah Zaheer hendak bersuka ria sepuas hatinya malam ini. Esok yang mendatang belum tahu bagaimana keadaannya lagi. 
            Zaheer juga tidak lagi mengganggu bekas tunangnya. Mungkin sudah boleh menerima takdir yang telah ditentukan. Bukan jodoh mereka. Buat apalah merosakkan orang lain. Joe menarik nafas lega. Zaki pula tidak sudah-sudah mendesaknya agar memujuk Zaheer supaya bertaubat. Akhirnya dia terus terlelap.
            Dentuman ketukan di pintu membuatkan dia tersedar. Joe melihat jam di tangan. Sudah pukul 5.00 pagi. Dia menggeliat dan terus bangun menuju ke pintu bilik. Sebaik pintu dibuka, terpacul di hadapannya Zaheer dengan wajah serius, siap berpakaian.
            “Bangunlah, aku bagi kau masa 15 minit untuk bersiap. Flight kita pukul 7.30 pagi.  Cepat sikit bersiap!” arah Zaheer.
            Terkebil-kebil Joe memandang wajah Zaheer.
            Usai bersiap, mereka terus ke lapangan terbang. Zaheer telah merancang bagaimana hendak membawa barang-barang miliknya dengan baik. 
            “Bos, anak-anak ayam bos mana?’ tanya Joe.  Matanya melilau mencari. Langsung tidak nampak gadis cantik  berpakaian seksi di kawasan  menunggu di lapangan terbang. Yang dilihatnya adalah sekumpulan wanita berhijab dan berjubah labuh.  Muka mereka ditutup semuanya. Dari negara Arab agaknya, detik hati kecil Joe.
            “Adalah, dihantar dengan cara yang paling selamat dan tiada siapa syak,” Zaheer bongkak memberitahu.              
            “Mana?”         
            “Hish, itulah.” Juih Zaheer ke arah kumpulan wanita berjubah labuh tadi.
            “Hah? Bos ini melampaulah! Buat pakai macam tu?” Kurang setuju dengan tindakan Zaheer. 
            “Habis tu? Kau nak suruh mereka pakai seksi ke?”
            “Pakai biasa sudahlah, bukan imigresen tahu pun siapa mereka!”
            “Banyak cakap betullah kau ni,” tegur Zaheer.          Joe mencebik, dahinya berkerut.  Sesekali menggeleng, kesal. Anak-anak ayam Zaheer yang berbungkus litup itu dipandang lama. Dia mengetap bibir. Rasa hendak ditelanjangkan sahaja mereka itu.          Zaheer menampar bahu Joe. 
            “Jangan buat perangai pula, kang ada yang syak pula.”  Zaheer memasamkan muka.
            “Yalah bos, ikut boslah!” Joe menyandar di kerusi yang tersedia. Sejam lagi mereka akan terbang  kembali ke Malaysia.
            Bagasi milik Zaheer melepasi pemeriksaan imigresen. Zaheer berasa lega. Begitu juga rombongan mak Arabnya. Mudah sungguh kerjanya.  Joe pula mencuka, seperti ayam berak kapur.  Langsung tidak tersenyum. Entah apa yang dimarahkan.
            “Lega aku, semuanya lepas,” kata Zaheer gembira.
            “Yalah bos, boleh untung besar lepas ni.”
            “Kalau aku untung, kau dapat bonuslah!”  Zaheer menyengih. Joe menyeringai melihat Zaheer.  Seronok benar agaknya. Dia sendiri sudah letih mengikut lelaki itu. Kalaulah tidak kerana…  dia mengeluh lagi. 
            “Aku tunggu beg. Kau pergi ambil kereta. Selesai tugas aku, aku cari kau,” arah Zaheer seperti biasa. 
            “Anak-anak ayam bos macam mana? Siapa bawa?” tanya Joe. Dia memandang ke arah kumpulan perempuan berjubah yang berdiri tidak jauh dari mereka.  Menunggu beg pakaian masing-masing. 
            “Ada van yang akan ambil mereka,” jelas Zaheer. Usai mendapat bagasi yang berisi ‘hartanya’ terus ke melangkah melalui pemeriksaan imigresen.  Tersenyum lagi. Dia terlepas. Betapa bahagianya dirasakan ketika itu. Joe yang mengekorinya hanya melepaskan keluhan. Beres. Semuanya berjalan lancar. 
            Joe mengenyit mata ke arah seorang anggota polis yang memandangnya. Mereka berbalas senyuman. Langkah Joe laju mendekati  Zaheer.
            “Aku pergi ambil kereta. Tunggu bos di atas.” 
            “Tunggu aku di tempat letak kereta. Bersedia untuk apa saja keadaan. Dah selesai nanti, kita terus  balik,”  beritahu Zaheer.
            Joe mengangguk laju. Caj parkir dibayar di kiosk parkir automatik. Dia menunggu di dalam kereta dengan enjin dibiarkan hidup. Dari jauh dia dapat melihat Zaheer sedang bercakap dengan dua orang lelaki. Seorang membawa beg bimbit. Joe menyengih. Pasti berisi duit di dalamnya. Dia memasang  radio.  Mendengar lagu yang sedang dimainkan membuatkan dia bernyanyi sama. Kepalanya melentok-lentok bergerak mengikut irama yang dimainkan.   
***
            “Jom Joe!” arah Zaheer yang sudah menyengih sampai ke telinga.
            “Cepatnya bos?” tanya Joe.
            “Mereka dah percaya dengan akulah!” jawab Zaheer gembira.
            “Yalah bos! Kita nak ke mana?” tanya Joe ingin tahu. 
            “Kita ke tempat baharu, nak tengok anak-anak ayam tu.” Duit tunai di dalam beg bimbit itu ditepuk beberapa kali. Dia tersenyum lagi. 
            “Esok kau masukkan duit ini ke dalam bank,” perintah Zaheer.
            “Baik bos! Tiada masalah!”
            Mereka ketawa serentak. Meraikan kejayaan urusniaga yang berjalan lancar.
            Bandar Tasik Timur disirami mentari, memancar terik. Tasik yang membiru mengamit kehadiran sesiapa sahaja. Joe memandu masuk ke dalam kawasan rumah kedai yang agak tersorok ke dalam. Sunyi bagaikan tiada berorang. Dia memberhentikan kereta di depan rumah kedai yang sudah diubahsuai. Zaheer melangkah keluar dari perut kereta. Joe mematikan enjin kereta dan turut keluar mendekati Zaheer.
            “Sunyinya kawasan ni bos?” Joe mengintai kiri dan kanan. Rumah kedai itu bagaikan rumah kedai terbiar. Banyak bangunan yang tidak berpenghuni dan rosak.
            “Sewa di sini murah, kawasan luas. Tiada gangguan, jauh daripada orang ramai. Amat sesuai.  Aku suka sangat. Aku dah sewa seluruh bangunan, jadi aku cadang nak buka kelab malam. Apa kata kau Joe?” ghairah Zaheer bercerita.
            “Mana bos dapat tempat seperti ini? Lagi senang pihak polis kesanlah bos,”kata Joe.
            “Rudi yang carikan. Aku rasa sesuai sangat dijadikan markas kita.” Zaheer mendaki anak tangga.  Rumah kedai dua tingkat itu telah diubahsuai bagaikan sebuah hotel.
Wanita-wanita semalam telah diletakkan di dalam dua buah bilik yang siap dengan katil bertingkat. ‘Pejabat’ mereka juga telah siap sepenuhnya. Hanya terdapat sebuah katil dan bilik air untuk membersihkan diri.  Zaheer tersenyum puas. Joe memandang CCTV yang telah siap dipasang.
            “Ada CCTV?”
            “Perlu Joe. Manalah tahu, kalau kena gempur, sempatlah kita larikan diri,” terang Zaheer. Tangga kecemasan juga telah dipasang di bahagian belakang. 
            “Di tingkat bawah pula?” Joe bertanya lagi.  Tempat itu cukup besar.
            “Aku akan buka kelab malam,”  kata Zaheer gembira.
            “Kelab malam?” Joe mengerutkan dahi.
            “Mari aku tunjukkan kau,” ajak Zaheer.  Mereka menuruni anak tangga dan keluar  ke tingkat bawah pula. Mereka masuk ke dalam premis itu melalui pintu yang ada di sudut tepi bangunan itu. 
            Terkedu Joe melihatnya. Di dalam itu sudah diubahsuai menjadi sebuah pusat hiburan. Bar untuk pelbagai jenis minuman. Pentas untuk persembahan, ruang untuk menari, bilik khas untuk tetamu VVIP atau tempahan khas.  Bilik karaoke juga ada. 
            “Bos!” Rudi mendekati. Dia tersenyum lebar.
            “Bagaimana? Suka?” tanya Rudi.
            “Mana mereka?” Zaheer mengangkat kening.
            “Ada. Malam ini kita mulakan  operasi. Aku dah jemput VVIP merasmikan tempat ini, bos jangan bimbang, Apa yang penting aku mahu bos gembira!” Rudi beria-ia.
            “Bagus Rudi! Inilah yang aku suka dengan kau, semua urusan berjalan lancar dan kena pada masanya,” puji Zaheer. Lelaki berbadan sasa itu tersenyum riang. Dapatlah dia menjadi orang kanan Zaheer. Itulah yang dinanti-nantikannya. Joe sudah layak ditukar dengan orang lain. Hanya tahu merungut dan membebel sahaja. 
            “Hebat kau ya Rudi!” puji Joe. 
            “Kau apa kurangnya?” balas Rudi sambil tersenyum sumbing. Joe tersenyum.
            “Aku balik berehat. Malam nanti aku datang balik! Kau siapkan lauk Siam tu. Mereka profesional. Jadi kau takkan takut mereka  melarikan diri.”
            “Okey bos!” Rudi menyengih sambil matanya sempat menjeling ke arah Joe yang berdiri di sebelah  Zaheer. 
            Joe mengenyitkan mata. Rudi  tersenyum.
            “Kenapa kau diam?” tanya Zaheer. Selalunya Joelah yang banyak membebel ketika bersamanya.
            “Penat bercakap. Diamlah pulak!” jawab Joe dengan muka selamba. Dia tidak menghiraukan Zaheer yang leka memandangnya.
            “Kau merajuk ke?” Zaheer bagaikan dapat membaca isi hati PAnya itu.
            “Merajuk? Ingat saya perempuan ke?” Joe menjeling tajam. 
            “Muka seposen tu, aku tahu kau merajuk!” teka Zaheer tegas.
            “Ikut suka akulah! Bos bukan percaya dengan aku. Aku tahulah siapa aku!” balas Joe, sebal.        
“Rudi pembantu khas aku dalam bisnes. Kan aku dah cakap, kau pembantu peribadi. PA. Berbeza, tahu tak?” 
            “Macam tu pula?” Joe mencebik. 
            “Ala, kau tetap orang penting akulah!” kata Zaheer sambil menepuk bahu Joe yang sedang memandu itu.
            “Yalah! Pentinglah sangat!” bebel Joe kembali. Dia memandu pulang ke rumah sewa Zaheer. Malam ini adalah malam yang bermakna buat Zaheer. Joe tersenyum sinis. Taksub betul Zaheer mengumpul  kekayaan. Pelaburan mega dilakukannya kali ini.
            Sampai di anjung rumah, Zaki sedang berehat sambil membaca akhbar. Kepulangan Zaheer membuatkan hatinya diburu tanda soal. 
            “Abang dari mana?” tanya Zaki. Mengharapkan jawapan yang jujur daripada Zaheer. 
            “Dari mana saja aku, bukan soal kau,”  tempelak Zaheer, tidak suka soalan yang berbau seperti mencampuri urusan peribadinya.
            “Abang hentikanlah kerja sia-sia ni! Kembalilah ke pangkal jalan!” pujuk Zaki. Tidak pernah kenal putus asa.
            “Kau diam boleh tak?  Mulai esok aku tak nak tengok lagi muka kau! Aku nak kau berambus dari sini!” halau Zaheer.
            “Bos!” Joe menggeleng-geleng.
            “Jangan masuk campur Joe!” marah Zaheer.
            “Saya akan keluar dari sini setelah abang berubah menjadi manusia semula!”
            “Ikut suka kaulah!” Zaheer berlari naik ke tingkat atas. Joe menjeling tajam. 
            “Kau jangan campur urusan dia, tak boleh ke?” 
            “Dia abang  aku Joe!”
            “Tapi dia tidak perlukan nasihat sesiapa. Ini pilihan dia Zaki. Biarkan dia, kau tak mampu berbuat apa-apa!” Joe menepuk bahu Zaki, jelas terpancar kekecewaan di wajah itu.
Dia mengeluh keras. Tidak mahu melayan perasaan kecewa Zaki dia terus masuk ke dalam perut kereta.  Enjin dihidupkan, penghawa dingin di pasang, dia mula buat tahi mata. Masih jauh lagi masa hendak ke Taman Tasik Timur. ‘Malam ini adalah malam besar untuk semua orang,’ bisik hati kecil Joe sebelum melelapkan mata. 

No comments:

Post a Comment