AKU TURUT BAHAGIA

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Friday, 29 December 2017

IKATAN KASIH- BAB 48



Sekali lagi, malam itu, mereka ke Taman Tasik Timur di mana kelab malam Zaheer akan dirasmikan. Joe seperti biasa menjadi pemandu yang setia. Tidak  banyak kerenah walaupun sesekali terkeluar juga bebelan dari mulutnya.
            Zaheer yang menyandar di kerusi belakang mengelamun jauh. Kalaulah dia jadi berkahwin dengan Jasmina minggu lepas, sudah tentu malam ini, Jasmina akan dijadikan habuan paling bermakna buat pelanggan-pelanggannya. Gadis itu memang bernasib baik. Segunung harapan dipasakkan pada kelab mala mini. Semakin lebar sengihannya. 
            Kehadirannya disambut seperti raja oleh orang-orangnya. Mereka bersorak gembira, berada jauh dari hiruk pikuk kesibukan bandar. Semoga aman di situ dan yang pasti mereka di RIKA tidak mengetahui tempat itu. Pelanggannya begitu ramai sudah beratur untuk memasuki tempat hiburan baharunya itu. Kali ini mereka pasti gembira dengan perkhidmatan yang ditawarkan. Tip-top ada semuanya. 
            Joe menunggu di dalam kereta. Dia menghantar mesej kepada seseorang. Tetamu yang datang tidak putus-putus, tua dan muda sama sahaja tingkahlaku mereka. Yang tua tidak sedar diri, yang muda tergedik-gedik mendekati  maksiat.
Dia memeriksa pistolnya yang disorokkan di bawah tempat duduk pemandu. Dia mendengus kasar. Jaket kalis peluru sudah tersarung di tubuh. Dia melihat jam di tangan. Ada setengah jam lagi sebelum semua itu  akan jadi kenangan buat Zaheer.  Kenangan abadi yang bakal dikenang oleh lelaki itu selama-lamanya. 
            Mata Joe masih melekat ke arah pintu masuk ke kelab malam milik Zaheer. Rimas dengan kehadiran orang ramai yang tidak putus-putus itu. Joe meraup muka dengan kedua belah tangannya.
            Seorang lelaki yang amat dikenali muncul di hadapannya. Melangkah masuk ke dalam perut kereta. Mereka berbincang seketika dan lelaki itu keluar semula. Joe menarik nafas panjang. Bukan semua pelanggan yang datang adalah orang biasa. Pelbagai unit sudah bersedia, di dalam premis menunggu peluang untuk menyerang. Kali ini Zaheer tidak akan terlepas.
Semua perancangan telah dibuat oleh pihak polis untuk memerangkap Zaheer. Cubaan membunuh Jasmina mempercepatkan tindakan polis untuk menangkapnya. Bukti telahpun diperolehi melalui CCTV yang terpasang di dalam kawasan kolej.
            Joe menyisipkan pistol di belakang pinggangnya. Dia melangkah masuk. Konco-onco Zaheer yang setia ditegurnya. Joe membelingas.  Tercari-cari kelibat Zaheer. Nun di sana, lelaki itu berada di dalam bilik VVIP sambil berbual santai dengan beberapa orang lelaki yang berpakaian kemas.
            “Joe!” sapa Rudi.
            “Macam mana?” tanya Joe kepada lelaki yang telah diberi kepercayaan membuka tempat itu.
            “Beres!” Rudi mengenyit mata.
            “Bagus.  Lima minit lagi. Kau kunci pintunya!” arah Joe.     
            Rudi mengangguk perlahan, dia menuju ke pintu bilik VVIP dan menguncinya dari luar.  Kemudian dia bergerak ke bahagian depan pusat hiburan itu. Isyarat bertukar. Masing-masing bagaikan tahu tugas yang harus mereka lakukan seterusnya. 
            Di tingkat atas pula, anak-anak ayam Zaheer sudah pun dicekup beserta bukti. Zaheer masih berseronok di dalam bilik VVIP.
            Lampu terpasang, muzik dimatikan.
            “Hoi! Kenapa ni?” jerit Zaheer dari dalam.  Dia cuba membuka pintu yang terkunci rapat.  Fakhrul, Rudi dan Joe berdiri menghadap Zaheer di depan cermin. Mereka melakarkan senyuman. Beg yang sukan berisi ketamin di buka di hadapan Zaheer.
            “Buka pintu tu, Rudi,” arah Fakhrul. 
            Rudi akur. 
            “Kau orang berdua buat apa ni? Joe? Rudi! Kau orang berdua tali barut polis?”
            “Maafkan kami Zaheer. Kami terpaksa menahan kau!” tegas Fakhrul.
            “Tahan aku? Atas kesalahan apa?” tanya Zaheer, masih cuba untuk melepaskan diri.  Zaheer mendengus kasar. Padanlah semua urusan berjalan lancar. Langsung tiada yang tersangkut sejak dari mula. Rupa-rupanya, semua telah dirancang dan diatur oleh pihak berkuasa.
            “Kau ditahan kerana membawa masuk pendatang asing dan memperdagangkan mereka. Kau juga didakwa kerana memiliki dadah… yang secara praktikalnya membolehkan kau dihukum gantung sampai mati. Kelab malam tak ada lesen, jual minuman keras tanpa lesen. Pendekata, semua haramlah.” Fakhrul berceramah, sinis.
            “Kau orang penipu! Kau orang yang perangkap aku!” jerit Zaheer sambil meronta-ronta. untuk melepaskan diri. Dia menolak Rudi dan Joe hingga mereka jatuh ke lantai. Kemudian, dia berlari keluar merempuh anggota polis yang sedang berkawal di muka pintu masuk kelab itu. Tekadnya, dia harus menyelamatkan diri.
            “Kejar! Kejar dia!” arah Joe dan Rudi yang berlari yang juga mengejar Zaheer.
            Sebuah kereta peronda mengekori dan semakin laju Zaheer berlari. Kesempatan diperolehinya saat hampir dilanggar kereta yang terbabas ketika mengelaknya. Pistol diacu, dan dengan mudah, dia meloloskan diri ke tempat pemandu. Pemandu asal awal-awal sudah melangkah keluar. Daripada kena tembak, baiklah diserahkan sahaja keretanya.
            Zaheer memandu laju meninggalkan kawasan itu. Maki hamun bertaburan dari mulutnya. Dia tidak menyangka semua itu  berlaku. Dia telah dipermainkan oleh Joe dan Rudi, orang kepercayaannya. Sebuah kereta peronda polis masih mengejarnya. Dia masih  dikejar oleh pihak polis.   Nasib baik dia dapat melarikan diri.
            “Tak guna!” jerit Zaheer sekuat hati. Dua tahun Joe bersama dengannya. Rudi pula sudah setahun menjadi pengikutnya. Dia mengetap bibir.  Dia diperangkap.
            “Habis! Habis harta  benda aku! Duit? Mana duit aku?” Zaheer tercari-cari beg berisi duit yang diperolehi waktu urusniaga tengahari tadi. Cis! Dia pasti Joe telah mengambil duit itu. Salah dia juga kerana menyuruh Joe memasukkan duit itu ke dalam bank.  Musnah segala impiannya.  
            “Setan!!!!” jeritnya lagi. Melepaskan rasa marah di hati. Rasa nanar jiwanya. Licik sungguh mereka. Dia nyaris terperangkap.
            “Rumah Ikatan Kasih!” katanya perlahan. Wajah Nazatul, Rabeta dan Zara bermain di fikiran.  Musuh-musuhnya. Mereka semua harus mati, jika dia mati! Detik hati kecilnya.
            Rudi dan Joe melangkah masuk ke dalam pusat hiburan itu semula. Mereka tercungap-cungap selepas mengejar Zaheer yang sempat melarikan diri dengan kereta yang dirampas olehnya. Kedua-duanya
            “Mana Zaheer?” tanya Fakhrul yang sedang memeriksa pelanggan-pelanggan kelab malam itu. Matanya menerkam wajah pegawai-pegawainya yang masih kepenatan.
            “Sempat larilah tuan!” adu Joe.
            “Apa? Macam mana kau orang kejar? Takkan kejar orang tua pun semput?” kecam Fakhrul. Bukti lengkap, tertuduh pula yang terlepas.
            “Mesti dia tidak boleh lari jauh, tuan. Kami akan dapat tangkap dia nanti!” Rudi bersuara yakin. Apa yang penting semua orang Zaheer sudah masuk perangkap. Rudi berjaya mengumpulkan mereka di situ, malam itu. Semua perancangan diatur dengan jayanya oleh dia dan Joe.
            “Tahniah pada awak berdua. Geng Zaheer berkubur juga akhirnya,” puji Fakhrul. Terubat juga hatinya, walaupun tidak dapat menangkap Zaheer. Setidak-tidaknya, merekaa berjaya melumpuhkan terus sindiket pengedaran dadah dan pusat pelacuran milik Zaheer.
Semua gadis tempatan yang telah menjadi mangsa Zaheer dibebaskan. Mereka dihantar ke RIKA untuk untuk sesi pemulihan. 
            “Selepas ini tumpuan kita kepada kumpulan yang lain pula! Korang dah sedia nak beraksi lagi ke?”  Fakhrul menjongketkan kening memandang dua orang pegawainya. Hebat di lapangan!
            “Bagilah kami berehat sebulan dua dulu tuan!” Rudi menarik muka masam. Sudah setahun dia bertugas menjadi samseng.
            “Yalah tuan, saya dah dua tahun! Janganlah mendesak. Penat jadi penjahat ni!” rungut Joe. 
            “Yalah, yalah…” Fakhrul menyengih. Dia sengaja mengusik kedua orang pegawainya yang cekap itu.  Dalam cekap itupun, Zaheer terlepas juga.
            “Mana kita nak cari Zaheer tu?” tanya Fakhrul sambil menggaru kepalanya.
            “Jangan susah hati, tuan. Dia tidak akan ke mana-mana.” Rudi dan Joe sudah tersenyum. Selama bersama Zaheer mereka sudah dapat membaca gerak laku lelaki itu.
            Retak ketawa mereka, serentak. Maklum dengan arah tujuan Zaheer. Biarlah lelaki itu bersembunyi. Kalau dirasakan tindakannya itu sebagai bersembunyi. Cuma keadaan itu akan membahayakan orang lain. Itu sahaja yang mereka bimbangkan.
            “Jangan hebohkan. Nanti kecoh jadinya,” pesan Fakhrul.
            Rudi dan Joe mengangguk. 
            “Agak-agak bila nak  serbu tuan?” tanya Rudi.
            “Biarlah dia hilangkan penat beberapa hari.” Fakhrul ketawa rendah. Tidak mungkin dia membiarkan  Zaheer lepas bebas terlalu lama.
***
            Zaheer mengintip dari kejauhan. Dia mengeluh. Pintu masuk rumah itu dijaga rapi oleh beberapa orang pengawal keselamatan. Kepalanya disandar rapat pada leher kusyen. Matanya membulat memandang ke arah pintu pagar yang tertutup rapat. Dia mendengus kasar. 
Pagar itu terlalu tinggi. Ada bangunan sedang dinaikkan di lot bersebelahan. Dia tersenyum lebar.  Akalnya memanjang. Dia menunggu malam menjelang tiba.
            Segala-galanya sudah terbakar hangus. semuanya idea Rudi. Dia tidak menyangka lelaki itu adalah seorang anggota polis. Inilah padahnya jika  terlalu bergantung kepada orang lain. Akhirnya dia terperangkap juga. Dia meraup wajahnya, mengelap peluh dengan tangannya. Perutnya juga  berkeroncong. Terlalu suka hingga tidak sempat menjamah apa-apa makanan. 
             Hanya Zaki yang boleh diharapkan. Tidak  mungkin dia pulang ke rumah waktu ini. Pasti pihak polis akan mencarinya di rumah juga. Dia mendail nombor telefon Zaki, tetapi tidak berjawab. Dia mendail lagi sekali, masih tidak berjawab.
“Cis!! Ke mana pula perginya?” makinya. Dia memandu semula. Mencari adiknya ialah jalan terbaik. Dia perlu keluar dari Malaysia. Destinasi : bebas. Dia perlu mendapatkan pasportnya di rumah. Dia memandu meninggalkan kawasan Rumah Ikatan Kasih.
            Setengah jam memandu akhirnya sampai ke kawasan rumahnya. Pintu pagar terbuka luas. Kereta peronda polis pun tiada. Dia mematikan enjin kereta lantas memakai jaket kulit yang terdapat di dalam kereta itu. Dia mengatur langkah masuk ke dalam kawasan rumah sewanya. Terhendap-hendap seperti pencuri. Kereta sewa Zaki ada di garaj. Malam semakin menuju ke puncaknya. 
            Dia menekan loceng pintu, bertalu-talu. Dia menekan lagi hinggalah muncul Zaki dengan tasbih di tangan, berkopiah dan berkain pelekat.         
“Abang?” Zaki memandang kiri dan kanan.  Tiada kereta di luar, abangnya pulang dengan siapa?
            “Mana Joe?” tanya Zaki. 
            Zaheer menolak Zaki ke tepi. Dia mengatur langkah laju menuju ke biliknya. Beberapa helai pakaian dikemas dan dimasukkan ke dalam beg, pasport dan beberapa dokumen turut dibawa bersama.
            “Abang nak ke mana? Tadi polis cari abang. Abang sudahlah! Menyerah sajalah!” pujuk Zaki.
            “Menyerah? Kau nak suruh aku mati katak?”  tempelak Zaheer.
            “Kalau abang mengaku salah, buat rayuan, mana tahu hukuman diringankan. Paling tidak seumur hidup aja,” kata Zaki. Dia tidak mahu abangnya menjadi pelarian pula.
            “Seumur hidup? Aku takkan hidup seperti itu! Kau mesti bantu aku. Bawa aku keluar dari sini.” pohon Zaheer.
            “Saya tak nak tolong abang!” Zaki menolak. Dia tidak mahu membantu penjenayah seperti abangnya itu.
            “Aku abang kau!” jerkah Zaheer.
            “Kerana abang, abang sayalah, saya tidak akan benarkan abang buat salah lagi. Menyerahlah bang!” rayu Zaki.
            “Kau nak aku mati di dalam penjara?” marah Zaheer.
            “Sekurang-kurangnya di sana abang dapat mengubah diri abang.”
            “Jangan nak mengajar aku! Tolong ikut aku, aku perlu keluar dari Malaysia!’ rayu Zaheer.
            “Maafkan saya bang!” Zaki tidak sanggup melakukannya. Dia tidak mahu bersubahat dengan Zaheer.
            “Zaki!” jerit Zaheer seraya melepaskan tumbukan ke pipi Zaki. Zaki tergamam. Zaheer terus menggila dengan menarik tangan adiknya itu menuju ke tingkat bawah. Ditolaknya Zaki hingga terhempas tubuhnya di lantai.
            “Sudahlah bang!” jerit Zaki. Dia mengerang kesakitan. Kopiahnya tercampak.
            “Kau nak bantu aku atau tidak?” tanya Zaheer, tangannya menggenggam penumbuk, melutut dan sebelah tangan lagi mencekak leher kurta Zaki.
            “Abang nak lari ke mana? Abang sedang diburu. Abang nak ke mana?” 
            “Ke mana saja!”
            “Tak mungkin bang! Abang takkan berjaya keluar dari Malaysia.” Zaki cuba bangun. 
            “Aku tak kira, kau mesti bawa aku keluar!” 
            “Zaheer! Lepaskan Zaki. Kau telah dikepung! Menyerahlah!” Joe menghalakan senjatanya ke arah Zaheer yang berdiri  di sebalik tiang anjung rumah itu. 
            “Abang, menyerahlah!” rayu Zaki lagi. 
            “Aku akan tembak dia, ke tepi kau Joe!”  lengan Zaheer mengunci leher Zaki. Zaki diheret dengan susah payah. Dia melangkah keluar menuju kembali ke kereta yang telah diletakkan di luar rumah. 
            “Zaheer! Jangan mendesak kami!”
            “Kalau kau orang  nak dia selamat, bagi aku lalu!” Pistol yang diacu menuruti langkah Zaheer. Zaki, termengah-mengah, tercekik dek kuatnya cengkaman di leher. Sedang mata Zaheer tajam mengawasi gerakan Joe.
Zaki ditolak ke tempat duduk penumpang sebelum diarah mengengsot ke tempat duduk pemandu. Pistol masih terhala kepada Zaki.
            “Pandu!” arah Zaheer.
            “Abang! Tolonglah!”
            “Aku kata pandu!”
            “Macam mana ni Joe?” tanya Rudi.
            “Kita ikut keretanya,” arah Joe. Mereka masuk kembali ke dalam kereta.
            “Mana mereka pergi? Lajunya dia memandu!” rungut Rudi.
            Zaki terpaksa mengikut kehendak abangnya. Dia tidak mahu mati sia-sia. Mungkin dengan mengikut abangnya itu dia mampu memberikan nasihat. Mungkin pintu taubat masih terbuka untuk Zaheer mengubah dirinya menjadi manusia yang baik.
            “Kita nak ke mana ni bang?” tanya Zaki.
            “Berhentikan kereta! Kau keluar!” halau Zaheer.
            “Tapi bang?” Zaki serba salah. Zaheer keluar dari kereta dan menuju ke tempat pemandu. Dia menarik Zaki keluar. Ditinggalkan Zaki di kawasan itu. 


No comments:

Post a Comment